UNTUK MENUNAIKAN HASRAT CIKGU ETUZA BLOGGER http://madey09.blogspot.com/2018/07/tiap-saat-doa-untuk-anak-dekat.html PI PUBLISH CERPEN PI YANG DISIAR UTUSAN MALAYSIA SABTU LALU.
MOGA CIKGU ETUZA DI KENINGAU SABAH BERPUAS HATI.
SELAMAT MEMBACA JUGA SEMUA SAHABAT BLOGGERS DAN VIEWERS KARYAKU.
TERIMA KASIH KESUDIANNYA.
PIC TUNZA(C)
Cerpen:
Karya:
Paridah Ishak.
PUSAKA MOYANG
MOYANGKU itu dalam salasilah
keluargaku adalah ayah kepada nenekku dan nenekku pula adalah ayah kepada
atokku. Atok adalah ayah kepada ayahku. Begitulah susur-galur jurai keturunanku
yang kalau dikira sekali denganku dan anak-anakku sudah enam generasi.
Jarak masa moyangku kini
di keberadaanku jauh juga.
Menurut ayahku,
moyangku adalah orang terkaya di kampungku. Tanahnya berelong-relong
keluasannya. Rumahnya tersergam indah dan pengurusan harta hasil kerja kerasnya
membawa nikmat kepada warga kampungnya
yang turut menumpang mencari rezeki dengan kerja-kerja tani di tanahnya.
Ada yang menyingsing lengan menoreh getah di kebun-kebun getah
moyangku. Juga sanggup dibasahi keringat
bermain lumpur menanam padi daripada
permulaan kerja penyemaian benihnya hingga penuaian hasilnya di bendang moyangku.
Setiapkali
selesai musim menuai padi moyangku akan mengagihkan zakat tanamannya kepada
asnaf yang ditentukan. Begitu juga zakat pendapatannya daripada lain-lain punca.
Zakatnya diberikan kepada masyarakat
kampungnya yang dikenali siapa dan
kesusahannya pada tahap mana.
Melimpah-ruah harta moyangku kerana sikapnya tidak lokek berzakat itu menyuburkan hartanya lagi. Firman Allah,
“Dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat,” menunjukan betapa pentingnya ibadah
itu dilakukan umat Islam.
Demi
hari berlalu moyangku semakin uzur kerana usianya lanjut. Tanda-tanda baginya ke alam
baqa sudah dirasakannya. Mulalah moyangku berkira-kira mencari pengganti pengurusan baru kepada
timbunan hartanya itu.
Pilihannya lebih menjurus
kepada anak sulungnya kerana daripada pemerhatian anaknya ini wara’ dan taat agama dan rukunnya. Isteri
kepada anak pertamanya ini juga alim dan sopan santun orangnya.
Wajahnya manis dan
mahkotanya sentiasa dilindungi kerudung
labuh Kelebihan kewibawaan anak sulung
dan pasangannya tidak pula menyebabkan moyangku tidak menilai calon-calon
pengganti daripada kalangan anak-anaknya yang lain.
Kesemuannya disenarai, termasuk anak-anak perempuannya. Pada
hemat moyangku anak perempuan keduanya walau sederhana keterampilannya namun
seorang penyabar menangani situasi dan bijak mengurusi kewangan milik keluarga dengan
jujur.
Bendahari
kewangan keluarga itu tidak diremehkan moyangku walau ianya seorang
perempuan, kejadian-Nya bersifat lemah
dan berasal dari rusuk kiri nabi Adam alaihissalam. Bagi moyangku wanita memang
jelas keupayaan mentadbir urusan penting seumpama Ratu Balqish yang memakmurkan
Saba’ yang dicitrakan burung hud hud kepada baginda nabi Sulaiman alaihissalam.
Moyangku
masih menghalusi keputusannya dengan
lebih teliti. Kehendak Allah mendahului perancanganya. Moyangku dipanggil
mengadap Ilahi
Pengurusan harta kekayaan moyangku segera
diambil alih anak sulungnya demi melancarkan pengurusan organisasi keluarga
dengan janji meneruskan setiap usaha yang telah dirangka moyangku. .
Pewarisan hartanya diagihkan kepada yang berhak. Moyangku mewakafkan
beberapa keping tanahnya kepada badan-badan kebajikan. Pemilikan haknya kepada
moyangku tidak berubah.
Moyangku
mengambil sedikit daripada hartanya itu untuk dikekalkan kegunaannya abadi di
akhirat sana secara mewakafkannya. Itulah hartanya sebenar yang dibawa
mengadap-Nya. Moyangku beringat
orangnya.
Barangkali setelah meninggalkan fana, waris-warisnya
perlahan-lahan melupakannya tanpa iringan doa dan amal soleh yang dikirim
kepadanya. Dan tiadalah lagi pahala tersalur kepadanya untuk membantunya di
alam kubur.
Menurut ayahku lagi, berubah drastik gaya hidup anak sulung
moyangku setelah berada di atas timbunan harta peninggalan moyangku. Berbelanja
sesuka hatinya.
Rugi kufur nikmat
dengan hanya mengabaikan harta yang banyak it u. Mungkin itu yang bermain di
fikirannya. Wajib dibelanjakan rezeki
yang dilimpahi Allah itu.
Kalau dulu moyangku ke luar negara untuk mengerjakan wajib
haji dan umrah hanya beberapa kali sepanjang hidupnya kini amalan begitu bukan
pilihannya. Seluruh Asia tenggara dari Indonesia, India, Thailand, Myanmar,
Kemboja, Laos, Vietnam telah dilawatinya.
Berliburan
sambil berhiburan bersama kawan-kawan dan kaum kerabatnya yang sefikiran
dengannya menyeronokannya.
Isterinya juga semakin
rajin ke Paris, memilih fabrik
berkualitii untuk dijadikan busana yang dipasangkan dengan tudung yang dibeli
di Dubai.
Sebab anak sulung moyangku bijak mengambil hati adik-adik
beradiknya yang lain dengan turut menghamburkan sedikit harta amanah pusaka
moyangku itu kepada mereka juga., tidaklah ada yang membantah tindakanya.
Kecuali seorang saja anak moyangku yang gelisah kerana wang
amanah moyangku yang diwasiatkan untuk kegunaan semua waris-warisnya demi kebajikan kampungnya yang kecil itu
semakin menyusut kira-kiranya. Wang keluarnya besar sekali jumlahnya mengatasi
jumlah wang masuk.
Jikalau terlalu kurang wang di dalam akaun amanah kewangan
keluarga bagaimana mahu membantu anak-anak waris yang ingin menyambung
pelajaran, membantu waris-waris yang miskin dan menunaikan hajat waris-waris
yang ingin beribadat haji seperti yang sering dilakukan moyangku.
Kalut sekali bendahari harta amanah keluarga itu memikirkannya.
Bendahari amanah harta
warisan moyangku walau berbuih mulutnya menyatakan saranan kepada abang
sulungnya agar tidak berbelanja terlalu berlebihan tidak dipedulikan dan
diambil hirau.
Gaya hidup pemegang amanah harta warisan moyangku, bermewah-mewah
dalam berbelanja masih berterusan. Persediaan menghadapi muramnya suasana
kehidupan lantaran tiba-tiba jatuh miskin langsung tidak ada. Seperti yang
dilakukan nabi Yusuf alaihissalam dalam menjaga perbendaharaan negara Mesir
sewaktu baginda sebagai bendaharinya. Setiap tujuh tahun akan berlaku kemuraman
ekonomi setelah tujuh tahun berada dalam suasana mewah.
Jadi sebelum terperangkap dalam kemelesetan kewangan yang amat
menyulitkan itu haruslah membuat perancangan persediaannya..
Pendapat yang disuarakan
bendahari harta warisan amanah moyangku yang tidak dipedulikan itu kini telah
menunjukkan kesannya pabila tanah-tanah tani yang subur dan menyumbang kepada
penghasilan harta tidak seperti dulu lagi. Sawah padi tinggalan moyangku
tidak boleh lagi dituai hasilnya kerana serangan penyakit bena perang.
Penghasilan
daripada kebun getah tidak boleh diandalkan
juga kerana harganya amat rendah. Harga komiditi dunia yang tertakluk kepada
harga pasaran semasa sentiasa menurun
hari demi hari.
Akhirnya
apa yang dibimbangi anak kedua moyangku ternyata. Satu persatu tanah warisan moyangku bertukar tangan kepada
pembelinya demi melunaskan hutang sedia ada dan hutang tertunggak yang dibuat
anak sulung moyangku walau ditegahi adiknya iaitu anak kedua moyangku.
Tiadalah
lagi harta amanah pusaka moyangku yang boleh diuruskan kira-kiranya oleh
bendaharinya. Dengan sedihnya menutup buku-buku kira-kira yang selama ini
tersusun kemas dalam ofis kerjanya.
Namun
harta moyangku yang diwakafkan masih kekal sebagai tanda kepada waris-warisnya
bahawa moyang mereka seorang yang kaya-raya. Kaya harta dan kaya hati nurani
yang murni juga. Walau harta-harta wakaf itu telah cuba untuk diambil
kembali anak moyangku yang sulung itu tapi tidak berjaya kerana moyangku telah
mengemaskinikan dengan surat guaman.
“Masjid
ini di atas tanah moyangmu!” Ayahku menunjukkan kepadaku sewaktu kami berdua
mengelitari kampungku.
“Sekolah
tahfiz ini juga atas tanah moyangmu!” kelihatan kepadaku sebuah sekolah
tahfiz, ramai sekali pelajarnya mundar- mandir dalam perkarangannya dengan
tujuan tersendiri. Pastinya mereka
menimba ilmu akhirat bersekali ilmu dunia. Dan aku tidak pernah kupa kata-kata
seorang ustaz yang memberi kuliah dalam sesi kelas agama dalam syarikatku
bahawa seorang yang mengkilik akhirat, dunia akan bersujud di kakinya.
Subhanallah!
“Hospital
yang di kelilingi bendang ini juga atas
tanah moyangmu! Memberi khidmat perubatan kepada kepada penduduk kampung dan
yang berdekatan daerah sini. Ada masanya kita sihat walafiat dan ada ketikanya
kita perlukan ubat untuk menawar bisa sakit kita. Hidup kita ini memang tidak lepas dengan ujian-Nya. Kesabaran
menghadapinya amat penting.”
Tambah ayahku lagi,
“Setiap
harta yang kita ada berupa tanah wajar kita kekalkan keberadaannya demi anak
cucu kita kemudian hari kelak. Kalau sudah kehilangannya untuk mendapatkannya
balik memang tiada harapan lagi. Jangan sesekali kamu berniat menjual tanah
pusaka walau apa saja masalahnya. Ini kamu ada masalah bisnis sedikit sudah nak
minta ayah jualkan tanah pusaka untuk menyelesaikan masalah kamu.”
Tapi kalau ayahku yang
merupakan ciut kepada bendahari harta amanah warisan keluarga moyangku itu
siapalah lagi yang dapat membantuku yang diambang kemuflisan kerana kegawatan
ekonomi kini? Hanya kepada ayahku boleh kugantungkan harapan kerana beliau
mempunyai beberapa keping tanah warisan nenekku yang boleh kusandarkan di bank
untuk permohonan pinjaman.
“Agaknya
kamu pun mewarisi sikap anak sulung moyangmu yang berbelanja tak ingat dunia
bila sudah berharta dan kaya-raya kot. Sudahnya dibelit hutang pula. Kesilapan
orang dulu-dulu jangan diulangi. Jadikan sempadan. Kamu kan generasi terkini
yang bijak.” Ayahku berbahasa sinis.
Tamat.