Anita dan Sarina bergegas memasuki sebuah pejabat produser yang
aktif menerbitkan drama-drama untuk siaran TV. Kedua-duanya adalah dramatis
yang sering membintangi drama-drama dari syarikat ini ataupun yang dikeluarkan
syarikat yang lain.
Tetapi kedua-dua dramatis ini sangat selesa jika ditawarkan untuk
berlakon drama terbitan Encik Rosli dari syarikat Drama Kita. Syarikat ini
dirasakan memberi bayaran yang setimpal dan sentiasa menunaikannya mengikut
waktu yang dijanjikan. Kebajikan dan kesusahan artis-artis yang terlibat dengan
produksi ini juga diperhati.
“Hai Nita…Sarina... dah sampai pun.” Rosli menyambut kehadiran
kedua-dua gadis itu dengan senyuman.
“Mestilah kena tiba tepat menepati waktu Encik Rosli. Janjinya
hendak tandangani surat
perjanjian kontrak berlakun pada pukul 9.00 pagi. Saya harap saya dan Sarina
tidak terlambat.” Dia mengerling Sarina yang amat payah hendak dikejutkan dari
tidurnya di awal pagi walau disengguh
tubuhnya beberapa kali sehingga terpaksa dibasahkan mukanya dengan tuala
berair.
Mengenang insiden itu dia tersenyum sendiri. Sarina yang
terjerit-jerit terpekik terlolong marahkan dirinya kerana menekap mukanya
dengan tuala yang basah dingin. Menyebabkannya bingkas bangun dari katil dan
mengejar pelakunya. Ditumbuknya bahu Anita sedang Anita cuma terkekeh-kekeh
tertawa.
“Nita ni Encik Rosli, semuanya hendak cepat dan tepat masanya.
Hingga saya ni yang jadi mangsa kerana hendak pastikan betul prinsip yang
dipegangnya.”
“Kenapa?” Tanya Johan yang hanya berdiam dan memandang saja sejak
tadi.
Sarina merasa serba-salah pula hendak menceritakan apa yang
dialaminya sebentar tadi. Dia bimbang persepsi produser dan pengarah drama
terhadapnya akan merudum prestasinya lantaran cerita yang tidak memihak
kepadanya itu.
“Kita nikan artis Melayu Malaysia . Orang Melayu sangat
berpegang dengan janji Melayunya. Kalau janji nak jumpa pukul 9.00, jawabnya
pukul 9.30 atau tidak pun lewat sikit pukul 10.00.” Sarina tersengih dengan
hujah yang dipertahankannya.
Rosli dan Johan saling
berbalas senyuman. Anita pula yang mengetap bibirnya kegeraman. ‘Kalaulah kita
ni bodoh, jangan ditunjukan kebodohan kita tu pada orang lain Sarina oii.
Simpan saja kebodohan tu dalam batu jemala di atas kepala tu..’getus hatinya
dalam diam. Dia tidak suka sesiapa pun mentertawakan temannya itu kerana sikap
ambil mudahnya.
“Itu Melayu dulu Sarina. Melayu zaman purba. Melayu kini mesti
pantas dan menepati waktu, seiring dengan perubahan masa. Jika tidak kita akan
tertinggal jauh di belakang dan berada di takuk lama. Hidup ini tidak statik
Sarina, sentiasa berubah. Awak pun jika masih dengan mentaliti ‘janji melayu’,
saya tidak akan ragu-ragu untuk menggugurkan nama awak dari senarai dramatis
yang akan berlakon drama ini.” Jawapan produser drama itu sangat mengejutkan
Sarina. Terpana seketika.
Wajah teman yang dijelingnya tersengih kepadanya. ‘Rasakan kau, kan aku dah cakap tadi.’
Dia kalut dan menggelabah. Warna wajahnya yang ceria sebentar tadi kesuraman.
“Tapi saya menepati waktu kan
Encik Rosli. Maknanya keputusan Encik Rosli itu
tidak akan
menjurus kepada saya.” Ujarnya mulai risau tidak menentu.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”