بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...

CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 10
MATA BERTENTANG MATA
Pada malam yang telah dijanjikan itu, lebih kurang jam 8.00 malam, aku sudah berada di Salak Tinggi. Sebelum pergi ke rumah Tengku Normah aku singgah dahulu di rumah kawanku Abdul Rahman Tahir. Aku memberitahu dia bahawa aku hendak pergi ke rumah Tengku Normah. Kawanku itu tidak berkata apa-apa. Selepas itu aku pun turun dari rumah kawanku dan terus menuju ke rumah Tengku Normah. Tepat jam 9.00 malam aku sudah berada di belakang rumah Tengku Normah. Aku berdiri di bawah cahaya bulan yang cahaya samar-samar. Cahaya yang tidak berapa terang.
Pada waktu itu aku memakai baju kemeja putih, baju panas kain flannel hijau dan berkain sarung. Dengan lampu suluh yang aku bawa aku memberi isayrat. Dari isyarat lampu suluh aku itu, Tengku Wok telah tahu bahawa aku sudah berada dalam kawasan berhampiran dapurnya. Tiba-tiba Tengku Wok bersuara dengan agak kuat, "Nanti dulu!" katanya. Lebih setengah jam aku di situ barulah Tengku Wok bersuara semula, "Datanglah dekat", katanya. Pada mulanya aku merasa takut juga. Takut kerana mereka ada saudara lelaki. Tiga orang semuanya iaitu Tengku Ismail, Tengku Said dan Tengku Murad. Mereka ini semua bersaudara dengan berlainan ibu. Sedangkan Tengku Normah hanya ada dua beradik iaitu dia dan kakaknya Tengku Wok. Mereka berdua ini satu ibu. Dua orang lagi kakaknya adalah juga berlainan ibu.
Setelah aku berada di hadapan pintu dapur sebelah hulu rumah, daun pintunya pun dibuka dengan perlahan-lahan. Dalam samar-samar cahaya bulan itu kelihatan seorang gadis berjalan keluar. Aku mengagak dia itulah Tengku Normah. Dia keluar dengan menundukkan kepalanya. Disebabkan dia tidak berkata apa-apa, maka aku pun memulakan bicara.
"Tengku, apa hajat Tengku memanggil patik ke mari?" soalku. Dengan lekas dia datang mendekati aku lalu berkata, "Bukankah saya telah beritahu, jangan menggunkn perkataan yang sebegitu? Janganlah nak bertengku-tengku dan berpatik-patik."
"Baiklah.." jawabku pendek. Dalam suasana yang hening itu dan di bawah sinar bulan yang samar-samar, aku dan Tengku Normah banyak mendiamkan diri sahaja dari berkata-kata. Mungkin lidahku dan lidah Tengku Normah, kelu untuk bersuara.
Setelah hampir setengah jam berlalu aku bersama Tengku Normah maka aku pun berkata, "Sekarang hajat Normah telah saya tunaikan. Normah kata ingin berjumpa dengan saya. Walaupun sekelip mata jadilah. Sekarang sudah hampir setengah jam Normah berada bersama saya. Izinkanlah saya balik dulu."
Sebaik habis aku berkata Tengku Normah lantas menjawab, "Sampainya hati kanda hendak balik selekas ini?"
"Bagaimana nanti kalau terjumpa oleh saudara-saudara lelakimu ketika kita sedang berdua-duaan sebegini? Apa akan jadi nanti?" balasku.
Tengku Normah terus berlari masuk ke dalam rumah menemui kakaknya Tengku Wok. Seketika dia keluar semula. Tengku Normah datang menghampiriku. Lantas dia berkata, "Tidur sini, ya?"
Dengan lekas aku menjawab, "Tidak Nor. Nanti diketahui orang. Lain kali sahajalah. Biarlah kanda balik dahulu buat malam ini."
"Tidak boleh!" pintasnya. "Kalau sampai hati kanda hendak balik, baliklah," sambung Tengku Normah lagi. Selepas berkata-kata itu Tengku Normah masuk semula ke dalam rumah. Apabila dia keluar balik, tanganku terus dipegangnya. Dia menarik aku masuk ke dalam rumah itu melalui pintu dapur. Aku terus dibawa ke dalam sebauh bilik. Bilik itu bilik Tengku Normah. Setelah berada di situ, kakak-kakaknya pun datanglah masuk sama ke dalam bilik itu.
Salah seorang kakaknya berkata. "Inilah rupanya ya orang Bhutan Estate!"
"Iya.. Inilah dia orangnya yang keturunan Nepal itu," jawabku.
 Mereka pun ketawa beramai-ramai. Kemudian Normah memberi isyarat kepada kakak-kakanya supaya tidak bercakap lagi. Setelah dua kakaknya keluar maka tinggallah aku, Tengku Normah, Tengku Wok dan kakak iparnya.
Tiba-tiba Tengku Wok berkata, "Othman, apakah ubat guna-guna yang telah Othman kenakan pada Normah?"
"Demi Allah tidak ada ubat guna-guna yang saya kenakan pada Tengku Normah, Tengku," jawabku.
"Mana boleh?" Sambung Tengku Wok lagi. "Telah sekian lama Normah menanggung perasaannya. Sebulan yang lalu, makan dan minum pun tidak dihiraukannya. Setiap hari asyik menunggu Othman lalu di hadapan rumah ini."
Dia menambah lagi "Rambutnya pun tidak bersikat. Kami semua sangat kasihan melihat penanggunggan Normah selama ini."
"Sebab itulah telah kuberi surat pada Othman. Meminta Othman agar sudi datang ke rumah ini. Datang untuk menemui Normah dengan tidak boleh tidak. Untung-untung dia akan pulih dan baik semula seperti sediakala." Sambung Tengku Wok lagi.
"Tengku," kataku, "Saya berkata benar kepada Tengku. Saya tidak ada berbuat apa-apa kepada Tengku Normah. Saya sedar saya ini anak dagang. Masakan ada orang yang mahu menumpahkan kasihnya pada saya." "Apatah lagi dari kerabat-kerabat Tengku", sambungku lagi.
"Saya tidak berani mendahului sesuatu. Saya takut diri saya akan terancam. Tengku percayalah cakap saya." pintaku pada Tengku Wok.
"Sudahlah", kata Tengku Wok. "Sekarang Othman sudah ada di sini. Berceritalah dengan Normah." Ujar Tengku Wok lagi.
Tengku Wok dan kakak iparnya pun tidur di atas katil di dalam bilik Tengku Normah itu. Aku dan Tengku Normah duduk di bahagian sudut bilik. Duduk di bawah sinaran lampu pelita. Aku berbual-bual dengan Tengku Normah. Aku bertanya padanya, "Apakah mulanya maka boleh terjadi hal yang sebegini?"
"Nor pun tak tahu", jawabnya. "Cumanya hati Nor mungkin tak mahu mengikut kata," katanya lagi.
Tengku Normah menyambung ceritanya lagi, "Semuanya bermula selepas temasya sukan di Sekolah Salak. Pada malam selepas sukan itu bukankah ada sandiwara. Kanda yang berlakon di atas pentas pada malam itu. Nor ingat lagi ceritanya iaitu 'Topeng Hitam'. Sejak detik itulah Nor mula terpikat dengan kanda. Kemudian diikuti pula dengan pementasan sandiwara seminggu sekali yang diadakan pada waktu malam itu." Sambung Normah lagi, "Dari hari ke minggu wajah kanda tak boleh hilang dari pandanagan mata Nor. Bila Nor termenung, air mata Nor akan bergenang di kelopak mata. Ianya akan terus menitik dan berderai membasahi pipi. Hati Nor telah dilanda rindu. Rindu pada kanda!" "Bila kanda lalu untuk ke pekan Salak, Nor akan perhatikan. Tiada orang lain lagi di hati Nor pada ketika itu hnaya kanda seoranglah." katanya lagi. "Nor rasa kalau kanda tak mahu datang menemui Nor, pasti akan parah lagi sakit Nor ini. Mujurlah kanda mempunyai perasaan belas kasihan terhadap Nor," kata Tengku Normah lagi sambil merebahkan kepalanya ke bahuku.
Tiba-tiba kedengaran jam di rumah Tengku Normah berbunyi empat kali. Teng, teng, teng, teng! Ia menandakan waktu sudah jam empat pagi. Aku tersentak dari lamunan. Aku terpaksa berkerja pada jam 5.00 pagi. Oleh itu aku pun berkata, "Normah, izinkanlah kanda balik. Hari pun sudah jam 4.00 pagi. Rasanya sebanyak sedikit rindu di hati Nor telah terubat."
Normah terus bangun dari duduknya. Dia membawa aku keluar melalui dua tiga pintu. Aku pun tidak tahu pintu arah jalan ke mana. Inilah kali pertama aku masuk ke dalam rumahnya. Setelah berada di pintu dapur Normah memegang tanganku erat-erat. Seolah-olah tidak mahu melepaskan aku pergi. Dalam keadaan ini aku terasa titik air mata yang panas menitis ke tangan kananku. Tangan kiriku meraba pipinya. Rupannya Tengku Normah menangis.
"Kau menangis Normah?" soalku. "Apakah yang menyinggung perasaan Nor? Atau mungkinkah Nor telah menyesal agaknya bertemu dengan kanda?" tanyaku lagi.
"Tidak!" Jawabnya pantas. "Cuma Nor rasa sedih, kerana baru sahaja dapat menemui kanda kita sudah terpaksa berpisah kembali." "Nor merasa sangat bertuah yang kanda telah dapat datang ke rumah Nor pada malam ini. Kanda datang kerana kasihankan Nor yang menanggung sengsara selama ini," sambungnya lagi.
"Boleh jadi sampai disini sahajalah yang kita dapat bertemu. Ini kerana semua yang lain telah pergi ke Kampung Manggis. Dan Nor juga harus pergi ke sana," sambung Tengku Normah dengan sedu-sedannya.
Sambil mengusap air mata di pipi Normah, aku pun menjawab. "Sudahlah Nor. Usah menangis lagi. Hanya kanda harap kasih Nor kepada kanda tak akan berubah sampai bila-bila. Soal bertemu, bila-bila masa pun kanda boleh datang menemui Nor. Usahlah Nor bimbang. Kanda tetap akan datang asalkan Nor sudi menunggu kedatangan kanda nanti."
"Kalau Nor tak sudi takkanlah Nor buat begini." balas Normah kembali.
"Baiklah jikalau begitu. Izinkanlah kanda balik dahulu," kataku.
Dengan perlahan-lahan Tengku Normah melepaskan tanganku. Selepas tanganku dilepaskan aku pun berlari-lari anak ke tempat letak basikalku. Dengan tergesa-gesa aku berkayuh balik ke Bhutan Estate untuk menyiapkan enjin pam air. Pada waktu siangnya hari itu aku merasa tersangatlah mengantuk. Selepas menjalankan enjin pam air, aku pun tak sedar akan bila kalanya aku telah tertidur. Masa aku tertidur itu, Tuan Pengurus Ladang telah datang. Dia telah memberitahu Pak Itam Sadin tentang aku tidur pada waktu kerja itu.
Pada waktu petangnya, Pak Itam Sadin bertanya padaku akan kejadian itu. Aku hanya mendiamkan diri. Tidak lama selepas itu isteri dan anakku pun baliklah ke Bhutan Estate sebab telah lama berada di kampung.
(Bersambung ke... BAB 11 - GELORA MEMBADAI HIDUPKU)

9 ulasan - "MANUSKRIP LAMA SIRI 10..."

raihanah delete icon 24 Januari 2017 9:34 PG

saya ikutinya setiap siri. tahniah kak

Kakzakie Purvit delete icon 24 Januari 2017 9:41 PG

Dah kan sampai tertidur masa kerja, mengantuklah tu..
Mana tak kalau dah berbual sampai jam 4 pagi
Penangan cinta dahsyat betul:)

paridah delete icon 24 Januari 2017 11:28 PG

TKSH HANA...KISAH LAMA YG XDPT KITA BAYANGKANNYA MENARIK SEKALI

paridah delete icon 24 Januari 2017 11:31 PG

TKSH KAKZAKIE..YELAH TU CINTA DULU BGTU BERANI N HEBAT

Warisan Petani delete icon 24 Januari 2017 1:20 PTG

Ish ish, kira dah kes parah macam ni.
Tak sabar nak tunggu sambungannya.

PeRdU cINta delete icon 24 Januari 2017 2:37 PTG

Cinta ni unik..darjat bukan menjadi halangan..

paridah delete icon 24 Januari 2017 3:15 PTG

TKSH WP..HEBATKAN PERCINTAAN ORG DULU..

paridah delete icon 24 Januari 2017 3:17 PTG

TKSH PC...PENANGAN CINTA HEH..HEH..SEMUA DIREDAH

Khir Khalid delete icon 25 Januari 2017 5:43 PTG

Kdg2 maksud cinta itu buta membawa erti yg tertentu juga...

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”