Friday, 26 August 2011

Penunggu

Setia sekali menunggu
walau Romadan pergi
dan datang lagi
menyisip anyaman hati
seiring sujud yang panjang
hanya mendamba corak lagang terindah
sebuah hamparan takwa
dan mengharap belas kasih-Nya

Kasihan penunggu itu
masih menunggu tidak jemu

Kali ini yang ditunggu
adalah secubit rasa bahagia
yang bakal dibawa
dan dilambakkan ke ribanya
cinta manusiawi aidilfitri
hadiah untuknya
seorang bonda

Apa salahnya untuk seketika
melupakan duka
walau nestapa itu
berayun di birai mata

Senyum jangan malu terorak
seadanya beriang-rialah
seadanya bercerialah
kerana
masih ada hidup
meski masih menunggu
dan kekal sebagai penunggu

Wednesday, 24 August 2011

Lambaian Romadan Syawal digamit

Romadan melambai mohon mengansur
membawa amal doa mabrur






Sayu hati melepas pergi
entahkan bisa ketemu lagi

Romadan syahdu pasti dirindu
tiada yang terbaik selainmu

Moga suatu ketika suatu masa
pasti akan bertemu pula

Insya-Allah kemas tersemat
di dalam hati memohon rahmat

Kita ini hanya hamba
penentunya Allah jua

Terasa beramal bersungguh hati
entah diterima tidaklah pasti

Hanya kepada Allah berpasrah
mohon keampunan dan anugerah

Lailatulqadar dirisik selalu
Insya-Allah mudahan ketemu

Sedih pilu menyambut salam
Romadan berlalu di ujung malam

Pertaruhkan harapan semahunya
Romadan hadapan bertemu pula

Entah ada entah tiada
entah sudah tidak bertanda

Rumah sepi di sudut desa
tiada yang sudi mengungjunginya

Berubah pula suasana itu
tatkala Romadan menguak pintu

Bercahaya siang dan malam
setiap detik bagai pualam

Detik itu sentiasa diisi
amal ibadat sudahlah pasti

Romadan mulia semakin berhujung
Syawal pula datang berkunjung


Monday, 22 August 2011

Dulang Kechil desa terpencil

Anak ikan bukan semilang
daun telepok daun keladi
Dulang bukan sebarang dulang
dulang mengepok jelapang padi

Kenangan terbayang di malam hening
jatuh berderai air mata
Sawah bendang kuning menguning
puncak Jerai menaunginya

Beribu-ribu nama diseru
kalau-kalau mengingatinya
Laut biru awan pun biru
pulau pulau di tengahnya

Ke arah taman camar melayang
merah pulasan di pinggir lata
Kampung laman indah terbayang
bak lukisan tertera nyata

Hilang bukan sengaja hilang
gadis kecil menuju kota
Dulang bukan sebarang dulang
Dulang Kechil desa tercinta

Banyak tekukur di tengah bendang
usah dihalau dengan tebaran
Lambaian nyiur menggamit pulang
anak perantau pulang berlebaran

Gunung merapi di Kediri
Pohon tualang lebat daunnya
Desa sepi kembali berseri
perantau pulang memeriahkannya

Enak masakan juadah hidangan
resepi nenda diolah direka
Idilfitri menemukan melerai kerinduan
ayahanda bonda berbahagia seketika

Berbaju kaftan berbatik jawa
hatinya suka tidak terkawal
Bersalaman bermaafan gembira ria
tinggalkan duka di awan Syawal

Wednesday, 17 August 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 3

BERADA di tengah masyarakat di kampung pedalaman jiwanya mungkin terasa tenang. Kebanyakan pemastautin di sini adalah dari keturunan Jawa dan Banjar. Suaminya juga dilahirkan ibunya yang Melayu tetapi ayahnya Jawa. Suaminya tidak mahir bertutur jawa tetapi dapat memahami lawan penuturnya dengan baik sekali. Sedangkan dia hanya melopong setiap kali mendengar mereka bertukar kata tatkala berkunjung ke teratak buruknya.

'Mereka ini mengata aku kot, Siapa tahu...' Barangkali hatinya memutuskan begitu untuk menggambarkan ketidaksenangan yang tertera di wajahnya yang suram keliru lantaran tidak faham suatu apapun tentang bahasa jiran-jirannya itu. Cuma kalau jirannya yang Jawa bertemu jirannya yang Banjar mereka akan menggunaka bahasa Melayu sebagai pengantara.

Daripada pemerhatiannya dia menaksirkan kehidupan mereka ini sangat sederhana sekali. Rumah-rumah mereka bertiang kayu, berdinding papan atau rumbia dan beratap nipah yang disemat. Lebih kurang sama dengan teratak yang dihuninya kini bersama suaminya, mertuanya dan abang iparnya. Itupun ihsan dari mbah saudara suaminya.

Keadaannya sangat daif sekali. Sekadar boleh dijadikan sebagai tempat berlindung daripada panas dan hujan. Ruang kecil itu dikongsi bersama. Amat merimaskannya keadaan sebegitu. Namun demi kasih dan sayang terhadap suaminya yang tercinta dia bersedia menerimanya.

Kadangkala terbayang juga lintasan keselesaan hidup yang pernah dinikmati suatu ketika dulu. Tiada siapa yang tahu apa yang tersimpan kemas di sudut hati isteri muda itu lantaran tidak pernah zahir sebagai bicara bibir mongelnya.

Tuesday, 16 August 2011

Alam desaku kini

Kelopak tanjung kemboja putih
pohon sentang di halaman
Langit dijunjung berawan putih
bumi terbentang seluas pandangan

Masih juga mengarang pantun
jangan tersepak batas penghalang
Senja jingga mewarna horizon
camar mengepak sayap pulang

Burung nuri burung bayan
leka mengutil kayu pautan
Berjuntai kaki di pengkalan nelayan
perahu kecil masih di lautan

Lilitkan jari selembar benang
sulamkan benang buat hiasan
berdiri di sini dengan tenang
sawah bendang kuning keemasan

Buah keranji sedang menjadi
buah bidara juga meretih
Tiada petani mengerat padi
kini jentera mengambil alih

Bertukar kata bukan menentang
sekadar hanya berdebat berbincang
Tiada cerita atas permatang
gadis wanita berlonggok bersembang

Ambil sebuku buat juadah
roti buah masak penganan
Alam desaku tetaplah indah
walau berubah demi pembangunan

Monday, 15 August 2011

Fadilat Romadan/kelebihan

1. Berdoa rumah untuk tuannya;luaskan kelak kuburnya; terangkan lahatnya

2. Berdoa tilam untuk tuannya akan kesejahteraannya.

3. Berdoa air ketika berwuduk.

4. Pabila bangun solat malam seisi alam mendoakan.

Keutamaan solat sunat tarawih; mengikut turutan senaraian:

1. Solat malam pertama Romadan terhapus dosa laksana baru dilahirkan.

2. Solat malam kedua menghapus dosa ibubapanya

3.

4. Ganjaran pahalanya sama dengan membaca al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur.

5. Pahalanya sama seperti solat di Baitilharam

6. Pahalanya seperti tawaf di Baitilmakmur tempat tawaf para malaikat

7. Pahalanya seolah bersama nabi Musa memerangi Firaun dan Haman.

8. Pahalanya seolah bersama berjuang bersama nabi Nuh

9. Pahalanya seolah berjuang bersama nabi Ibrahim

10.

11. Suci seperti lahir

12. Bercahaya

13. Aman dari kejahatan.

14. Saksi malaikat bersolat tarawih.

15. Malaikat berselawat untuk kita

16. Ditulis terlepas dari azab neraka

17. Ganjaran pahala nabi-nabi

18. Allah redha

19. Diangkat darjat

20. Ganjaran pahala syuhada

21. Dibina rumah di syurga

22. Aman dari segala duka di syurga

23. Dibina taman di syurga

24. Doa-doa mustajab

25. Diangkat azab kubur

26. Pahala 40 tahun beramal.

27. Berjalan di titian sirat seperti kilat.

28. Seribu darjah di syurga.

29. Pahala seribu kali haji

30. Malam pengiktirafan Allah; AKU KINI TUHAN KAMU DAN KAMU HAMBAKU...

ADA RUANG YANG TIDAK TERISI KERANA TERLEPAS ILMU DIBERI PAK USTAZ.MAAFKANLAH. HANYA ALLAH YANG MAHA TAHU.

Friday, 12 August 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 3

DARI rumah kakitangan pejabat suaminya dia dan suaminya memunggah semuah peralatan rumah mereka ke sebuah lori. Sarat muatannya. Mereka berpindah. Hendak berpindah ke mana lagi? Mestilah hala tujunya ke tempat yang selamat. Buat sementara waktu mereka akan tinggal bersama keluarga isterinya sebelum pulang ke kampung halaman suaminya di Selangor.

Suaminya telah membeli sebidang tanah di Perak tapi amat berdekatan dengan Selangor dan bercadang mengusahakannya dengan tanaman kelapa sawit. Hendak mengubah corak hiduo daripada kerja makan gaji sebagai petani pula. Bukanlah sesuatu yang asing kepadanya hidup cara begitu. Memang pun wasilah mereka turun menurun adalah petani yang berbakti kepada tanah.

Di sinilah. Di pulau Mekarsuli pasangan suami isteri memulakan langkah permulaan sebagai petani. Suaminya begitu gigih dan rajin mengusahakan tanah yang dibelinya dan menanamnya dengan anak-anak benih sawit yang dibeli daripada pembekal berdekatan. Anak-anak sawit itu ditanam berselans-seli dengan anak benih koko.

Turut membantu suaminya adalah ayahnya dan abangnya juga. Abang ipar iparnya itu kelihatannya sangat pendiam. Kenapa? Dia tidak tahu mengapa dan apa sebabnya. Nampaknya suaminya itu menyembunyikan sesuatu tentang abangnya lantaran selama ini suaminya tidak pernah bercerita tentang ahli keluarganya yang seorang ini. Rungsing dan risau mula menyerang minda isteri muda itu.

Apalah yang hendak dirungsing dan dirisaukan sangat. Bukankah fenomena sikap manusia yang suka mendiamkan diri itu adalah perkara biasa saja. Bukannya pelik pun. Namun segala persoalan tentang itu terbongkar sebaik saja dia menerima kehadiran kakak iparnya ke teratak buruk mereka pada suatu pagi.

Thursday, 11 August 2011

Sedikit tips kehidupan

Kita sedang kusyuk menjalani ibadah puasa di bulan romadan yang mulia dan kita tambah lagi dengan berdoa dan bersolat tarawih. Jangan lupa bersolat sunat tahajud taubat dan hajat juga untuk memohon keampunan Allah terhadap dosa-dosa yang disedari atau tidak. Dan memohon perkenan Allah akan hajat-hajat kita yang terbuku di hati; di sini diperturunkan 2 versi cara-cara mengerjakan solat hajat yang telah dipelajari daripada seorang imam/ustaz...

Solat hajat dua rokaat:

Rokaat pertama: baca fatehah
qulya kafirun 11 kali

Rokaat kedua: baca fatehah
surah al ikhlas 11 kali

Selepas salam sujud dan baca selawat nabi 10 kali
baca tasbih 10 kali dan baca robbana atina hingga tamat 10 kali

Dan berdoalah minta apa yang dihajati. Permintaan hajatnya hendaklah ringkas saja.
Disudahi dengan bacaan fatehah dan selawat nabi.

Solat hajat 4 rokaat

Rokaat pertama:

Baca fatehah dan alkhlas 11 kali

Rokaat kedua:

Baca fatehah dan alikhlas 20 kali

Rokaat ketiga:

Baca fatehah dan alikhlas 30 kali

Rokaat keempat:
Baca fatehah dan alikhlas 40 kali

Selepas salam baca aliklas 75 kali
dan Astaghfirullah 75 kali. Kemudian berdoalah minta apa yang di hajati.

Banyak lagi cara bacaan solat hajat mengikut kemampuan kita melakukannya tanpa rasa terbeban sangat tika melakukannya. Yang penting keikhlasan kita berdoa mengharapkan belas kasih Allah yang Maha Esa,

r

Tuesday, 9 August 2011

Sekujur jasad itu

Saat yang sangat meletihkan mendatangi
lesu kaku seluruh tubuh
keyakinan yang semakin rapuh
sendupun merusuh

Apalah daya meminggirnya
entah untuk kesekian kali
ulangannya begitu
mengharukan sungguh

Apakah semangatnya hilang?

Taburkan kelopak mawar putih
di tengah kolam teratai
dengan semerbak wangian pandan
dan bersiramlah

Berserulah
berkat la ila haillallah
memanggil semangat
agar pulang ke dalam jiwa
ke dalam jasad
seorang manusia
yang sedang meratapi
kehilangannya




Monday, 8 August 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 2

"Jangan bimbang walaupun abang tidak berkerja kita masih dapat hidup seperti biasa..."
Manalah dia tidak bimbang, manalah dia tidak risau kerana tika itu dia sedang hamil muda. Dimana wang yang hendak diambil untuk melunaskan segenap pembiayaan keperluan hidup dengan kehadiran cahaya mata yang dinanti kelak jikalau tidak berkerja.

Sepanjang hidupnya bersama suaminya dia tidak merasai kekurangan wang ringgit. Hanya kadangkala perasaannya yang tertekan kerana sikap suaminya yang panas baran dan suka menghamburkan kata-kata yang menyakiti hatinya.

Dia tidak pasti daripada sumber mana wang banyak yang diperolehi suaminya untuk memewahkan kehidupan mereka. Kerana jikalau diperhalusi pendapatan suaminya sebagai store-keeper itu tidaklah seberapa.

Kata suaminya kepadanya. dia miliki share dengan sebuah syarikat bas mini di Kuala Lumpur. Tiap bulan pasti dia akan menerima wang hasil keuntungan syarikat. Dia cuma termangu mendengar penjelasan suaminya itu. 'Iyakah?'
Dia cuma mengiyakan saja. Malas hendak menyoal siasat begitu begini. Lagipun pengetahuannya tentang operasi syarikat-syarikat perniagaan tidak pernah termasuk dalam kamus kehidupannya.

Impiannya sederhana saja. Ingin hidup bahagia disamping suami tercinta. Tentang kekayaan duniawi lngsung tidak terlintas di fikiran. Cuma berpada dengan apa yang ada. Kini semakin jelas jurang kefahaman di antara kedua-duanya. Suaminya ternyata sangat bercita-cita. Ambitious. Sedangkan dia langsung tidak menggenggam sesuatu di tangannya dengan kemas.

Nampaknya dia hanya boleh menjadi pendorong dan penyokong setia kepada suaminya agar cita-cita suaminya itu mampu termakbul. Moga-moga begitulah,

Sunday, 7 August 2011

Murai murai

Hai murai
yang sedang berkicau di pagi hari bening
teruskanlah kicauan nyanyianmu
kibarkan bilah sayapmu
merentasi hening dan dingon suasananya

Hiruplah harum dedaunan dan bunga-bunga
yang berkemilauan di atasnya
butiran embun
yang gemerlap
bak mutiara

Nikmatilah semaumu
segala estetika fenomena sementara

Kerana
tatkala suria menjulang di puncaknya
pastinya kau
bakal kehilangan
segala-galanya

Saturday, 6 August 2011

Renungilah

Zuriat baru
yang mewarisi impian silam
nan tidak tergapai tangan
jangan nyanyikannya dengan lagu-lagu
yang menggamit nostalgia
yang mahu dilupakan

Kenapa langkah punah itu
mahu dibaca catatannya kembali

Semuanya adalah sketsa kesilapan

Biarlah lakaran baru diukir
dengan rupa ceria
lagi gemilang

Padamkan nota-nota harubiru itu
jangan selak lembarnya lagi

Berkoleklah di tasik hati
lalu merenda bahasa puitis
melukis bait-bait harmonis
mengisi hari dengan warnanya

Walau kadangkala kesunyian
yang lapang lagi panjang
membosankan

Thursday, 4 August 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 2

Lantaran kesukaran hidupnya dia terpaksa meninggalkan alam persekolahan awalnya tika itu. Namun ada seorang adik abahnya yang baik dan bersimpati dengan nasibnya yang terumbang-ambing dilambung gelombang hidup itu berusaha menyekolahkannya semula. Prestasinya di bidang akademik memang menyerlah juga. Mampu mendapat gred 2 dalam peperiksan SPM. Tika itu bukan senang juga untuk mendapat gred kejayaan sebaik itu di dalam SPM.

Lepas SPM dapat pula menjadi guru sementara di tempatnya bersekolah dulu itu. Tapi tidak lama terpaksa berhenti pula kerana ada kes merotan pelajar dengan teruk yang melibatkannya. Dia memang tidak ada tokoh sebagai guru yang baik kerana hobinya yang suka merotan pelajar pantang ada kesalahan.

Cerita suaminya kepadanya lagi, setelah berhenti kerja sebagai guru sementara dapat pula tawaran memasuki maktab perguruan tapi dengan senang hati ditolaknya kerana dia ingin berkerja dan mengumpul wang untuk mengubah penghidupan daifnya bukannya membuang masa dengan belajar saja. Lagipun dia memang tidak berminat sebagai guru.

Berhijrah pula ke Kuala Lumpur menumpang hidup dengan abangnya yang sulung. Abangnya itu telah berkeluarga dan berkerja di dalam majlis bandaraya sebagai seorang kakitangannya. Menumpang lagi. Kali ini menumpang dengan abang sendiri. Masalahnya tetap ada, Berhadapan pula dengan kerenah kakak iparnya yang sentiasa cemberut mukanya kerana tidak menyenangi kehadirannya di tengah keluarga itu.

Lantaran dia semakin dewasa dia tidak ambil kisah lagi kesemua masalah yang menekan emosinya itu. Dia asyik dengan kerjanya. Kerja sebagai kuli pembina bangunan tinggi. Kebanyakan bangunan tinggi yang menjulang di bandaraya ini ada keringatnya yang tumpah di situ.

Tuesday, 2 August 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 2

KATANYA kepada isterinya dia ingin memulakan sebuah perniagaan. Tidak sudahnya dengan hanya berkerja makan gaji saja. Perlu cepat mengorak langkah untuk menjadi orang yang berjaya di dalam kehidupannya. Suaminya itu sudah lama bercita-cita hendak menjadi seorang kaya. Tinggi sekali impian suaminya itu. Dia langsung tidak menduga suaminya yang sederhana dan pernah miliki koleksi sajak-sajak karyanya sendiri itu menjurus ke situ hala minatnya.

Nampaknya dia tidak mengenali lagi siapa suaminya itu dan sejarah silam yang mendalam tentangnya. Dia hanya dikhabarkan suaminya sedikit cerita bahawa dia cuma tinggal bersama kakaknya dengan keluarga pakciknya yang kaya di sebuah kampung di hilir sebuah sungai di Selangor. Lantaran keluarganya yang berpecah-belah. Ibu mereka melarikan diri entah kemana kerana tidak tertahan dengan kerenah suaminya yang panas baran dan suka mengamuk tahap psikosis. Ditambah lagi dengan sumpah seranah mertuanya yang menyalahkan ibu malang itu di atas apa yang berlaku terhadap keluarga itu. Ibu suaminya itu sudah habis berfikir dan nekad meninggalkan empat orang anak-anaknya termasuk suaminya.

Hanya anaknya yang paling kecil dibawa bersamanys. Ibunya melangkah entah kemana arah tujuannya membawa hatinya yang luka kerana tidak tertahan lagi menanggung derita didera suaminya setiap hari ditambah dengan tekanan emosi dari pihak keluarga suaminya yang tidak bertimbang rasa.

Tika itu usia suaminya baru 5 tahun. Kakaknyalah yang mengambil tugas ibu menjaganya sebaiknya dengan bertungkus-lumus berkerja sebagai pembantu rumah kepada keluarga pakciknya itu tanpa ada apa-apa imbalannya. Ahli keluarga itu memanafaatkan anak-anak saudara yang menumpang bersama mereka semahunya.

Dia dan kakaknya tidak pernah dapat berihat atau bersantai bersama sepupu-sepupu mereka sewajarnya kerana mereka adalah orang menumpang. Bukan ditakrif sebagai keluarga terdekat, Hidupnya dan kakaknya rutinnya setiap hari adalah kerja...kerja...kerja. Jikalau tidak siap sempurna kerja yang dilakukan akan dimaki, disumpah-seranah pakcik dan makciknya.

Apa yang dirasa dan dilihatnya disimpannya di dalam hati sebagai nota-nota yang tidak akan terpadam. Dan dia menyimpan azam untuk menjadi seorang yang kaya. Sudah tentu lebih kaya daripada pakciknya yang memiliki beberapa puluh hektar kebun kelapa itu.

Dan suaminya itu bertekad untuk segera mencari ibunya yang hilang itu.

MyBloglist