بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Malam yang sangat tenang. Bintang-bintang bergemerlapan di dada langit. Keadaan laut tidak terlalu bergelombang. Angin sentiasa berpuput nyaman. Belum lagi membawa monsun Timur Laut yang akan menggelorakan Laut China Selatan ini dan merumitkan penghidupan di persisir perairannya dengan musim tengkujuh.
Ketika ini nelayan-nelayan pantai yang menaiki bot kecil dan peralatan penangkapan ikan yang minima tidak berani turun ke laut untuk mengait sedikit rezeki.
Kini masih di bulan Ogos. Cuacanya masih berseri dan metah sesuai berwisata di tempat peranginan di tepi laut. Dan aktiviti nelayan-nelayan berterusan sebagaimana biasa. Di kejauhan kelihatan cahaya bergerak di tengah samudera. Ada kapal yang sedang belayar merentas lautan.
Rizal berdiri di tepi bot memerhati alam sekeliling yang sunyi. Yang  kedengaran hanya lagu ombak yang berdebur menampar bot dan suara enjin bot yang tidak putus. Dia menilai situasi laut yang melengkonginya. Berdasarkan dari sedikit pengetahuan yang diperolehi tentang kejuruteraan laut yang di pejajarinya dari universiti di Amerika.
Pelayarannya bersama bot yang dinaiki ini pasti sangat lancar ke destinasinya kerana tiupan angin yang lembut tidak akan menyebabkan tekanan ombak yang menggelora.
Ketenangan suasananya melekakannya menikmati keindahan laut Cina Selatan yang terbentang dan tidak tercapai hujung pandangannya.
Bot sudah tiba di jeti. Rizal masih alpa, termenung seketika. Dia tidak melangkah turun dari bot lagi. Fareez segera mencapai begnya dan beg temannya itu untuk dibawa bersamanya. Rizal tersedar dari lamunannya yang melayang jauh. Dicapainya begnya daripada genggaman Fareez. Langkah Fareez dituruti.
Di hadapannya terpampang papan tanda Resort Sri Jelapang. Fareez kagum sekali melihat persekitaran resort yang cantik dengan rekaan chalet yang unik bentuknya walaupun hanya kelihatan samar diterangi lampu jalan.
Fareez terus melangkah mendekati kaunter pertanyaan resort yang masih terang benderang. Ada sesaorang yang kelihatan mundar-mandir di dalamnya. Seakan sedang menanti kehadiran sesaorang.
Langkahnya terhenti bila terasa tangan Rizal menyentuhi bahunya. Dia segera berpaling. Dia menanti buah bicara temannya itu. Hatinya merasa gusar, tidak enak.
“Fareez..”
“Kenapa Rizal? Kan aku dah kata kita datang esok saja. Tidaklah kena bayar tambang bot mahal-mahal. Sekarang kau takut nak masuk ke situ sebab sudah tidak ada duit?” Tanya Fareez yang terpinga-pinga dengan gelagat temannya itu. Di hatinya timbul dugaan yang tidak disenanginya.
“Bukan begitu…” pendek saja ayatnya.
“Habis tu…jomlah. kau kata kau ada kawan yang berkerja di sini. Lambat-lambat sangat nanti bila dia sudah tidur, kita pula yang susah.” Tangan Rizal di tariknya. Rizal terpana kebingungan. Tetapi langkah Fareez dituruti juga. Tidak teragak-agak lagi.
Kedua-duanya sudah berada di lobi resort. Sesaorang datang menyongsong dan memperkenalkan dirinya sebagai pengurus Resort Sri Jelapang. Yakin sekali bahawa orang-orang ini memang yang dinantikannya berjam-jam lalu.
“Saya Azmi. Datin Majmin ada telefon saya siang tadi. Katanya anaknya Encik Rizal hendak datang...maafkan saya…yang mana satu Encik Rizal. Maklumlah saya tidak kenal Encik Rizal sebab dia tidak pernah datang ke sini.”
“Saya Fareez. Ini Rizal anak Datuk Shaari.” Rizal memintas pantas. Membiarkan Fareez diserbu kebingungan yang mengelirukan. Renungan mata berbaur pertanyaan menujah anak mata Rizal. Dia terkapa-kapa dibungkus tandatanya.
Rizal menarik Fareez berpaling menghadapnya. Membelakangi Azmi. Dua jarinya di letakan di bibir. Matanya disaluti renungan bermakna.
“Kenapa ada yang tidak kena ke?” Tanya Azmi yang mulai berprasangka kerana telatah kedua-dua pemuda itu. Dia perlu berwaspada juga kerana ramai yang menyamar seperti umang-umang yang suka membawa sarang siput yang cantik sebagai pelindung dirinya.
Dia sangat berharap keputusannya terhadap kedua-dua pemuda ini tidak silap. Risiko kerana kesilapan menentukan Rizal anak Datuk Shaari yang sebenar amat berat. Tidak terdaya hendak dipikulnya kelak.
“Tidak...tak.” Azmi merasa yakin dengan instink dalamannya dan tidak ragu-ragu dia menyalami Fareez selayaknya di antara seorang perkerja dengan majikannya. Sangat menunjukan rasa hormatnya. Fareez merasa amat kekok diperlakukan sebegitu.
Dia melihat Rizal tersenyum membalas pandangannya yang mengandung pelbagai persoalan yang tidak terjangkau jawapannya. Untuk mengelakan sebarang persoalan yang bakal menambah kerumitannya, dia hanya menurut arusnya.
‘Apalah yang tidak kenanya dengan Rizal ni. Rupanya dia anak Datuk Shaari saudagar besar yang kaya raya tu. Sudah jadi anak Datuk tak nak mengaku pulak. Seperti cerita Mark Twain, Anak Raja dengan Anak Papa le pulak kisahnya. Tapi aku ni bukannya papa kedanapun. Susah benar nak faham keletah orang-orang kaya ni.’ Fareez diselubungi pelbagai persoalan yang membingungkan.
“Eloklah Encik Rizal datang di ketika ni. Sebab esok saya akan pergi dari sini.”
“Kenapa?” Tanya Fareez. Seolahnya dia sudah mengikut rentak Rizal yang mahukannya menjadi Rizal anak Datuk Shaari. Rizal tersenyum di sisinya.
“Saya akan berkerja di Mauritius. Saya sudah beri notis berhenti kerja sebulan lalu. Hari ni sebenarnya hari terakhir saya di sini. Tetapi saya masih boleh lanjutkan sehari lagi kerana hendak kenalkan Encik Rizal dengan pengurusan di sini. Tentu Encik Rizal tidak kenal perkerja yang sentiasa bertukar ganti sepanjang Encik Rizal berada di US.” Wajah Rizal yang tersenyum dengan mata kuyunya ditatapnya sambil mengulum bibirnya.
‘Wah lulusan luar negara rupanya ‘mamat’ ni. Bijak sungguh kau menyamar ya Rizal.’ Fareez menggeleng-gelengkan kepala melirik arah Rizal yang tersenyum lebar.
“Mulai esok kaulah bos di sini.” Tukas Rizal. Fareez semakin menggelabah. Mahu saja dilukunya kepala teman itu yang tersengih sentiasa kepadanya. Tiba-tiba saja dia terpaksa menjadi pengurus sebuah resort terkenal tanpa mengetahui suatu apapun yang berkaitan dengannya.
‘Agaknya boleh ke aku jadi pengurus ni?’ Fareez termangu. Dahinya dipicitnya buat melegakan kebengangannya. Rasa pening berputar-putar di kepalanya.
‘Apalah motif sebenar kau Rizal? Kalau aku rasa kau hanya hendak mengenakan aku, esok aku cabut. Jika tidak ada bot atau feri, berenang pun aku sanggup. Tapi tidak mungkin Rizal yang baik budi bahasanya sanggup hendak menganiaya aku kut.’ Fareez berusaha menenangkan perasaan haru birunya yang berkecamuk tidak menentu. ‘Bagaimana pun aku nak tengok dulu rentaknya. Aku pun bukan mudah hendak dikelentong, lulusan U lagi.Walau U tempatan tidak kalah juga dengan U luar negara.’
 “Tentu tidak jadi masalahkan. Lagi pun ramai yang akan membantu. Datuk Shaari pun selalu datang ke sini.” Rizal tersentak. Fareez melihat gaya temannya yang kalut dan gawat itu. Wajahnya kelat.
“Oh ya ke. Datang dengan Datin Majmin ke?” Rizal bersuara. Azmi agak kehairanan kerana Fareez yang bertanya, bukan Rizal seperti yang sepatutnya tetapi dia menjawabnya juga sebagai menghormati kawan kepada Rizal anak kepada bosnya.
“Tidak. Selalunya dengan klien perniagaannya.”
 “Kami dah penat ni, di mana kami hendak tidur malam ni?” Fareez mencelah,
setelah melihat Rizal dengan gaya bahasa isyarat menurut pemahamannya tidak mahu lagi berpanjang lebar bercerita.
“Oh itu sudah saya uruskan awal-awal sebaik saja Datin telefon. Tapi Datin tidak sebut pula hendak datang berdua.” Pandangannya terlontar ke wajah kedua-duanya.
“Tulah kau…aku dah kata dah, mama kau mesti marah kalau aku ikut sama.” Sela Rizal sambil mengerut-ngerutkan dahinya. Fareez mulai berfikir untuk ikut bertandak selari dengan gaya nada temannya itu. Beriya-iya menyusun skrip yang spontan.
“Apa pula dia hendak marah, kalau aku bawa perempuan lainlah.” Fareez bertukar senyum dengan Rizal. Tersengih sedikit kemudiannya. Saling faham memahami. Rizal mengangkat jari telunjuknya dengan maksud lakonan Fareez memang bagus.
“Marilah...saya tunjukan chalet Encik Rizal dan Encik Fareez.” Ketiga-tiganya sedang mengatur langkah kearah sebuah bangunan yang lebih besar untuk kediaman seorang majikan berbanding dengan chalet untuk kediaman pekerja. Terletak di bahagian sipi pejabat pengurusan.
“Lupa pula saya hendak beritahu, tempat ni memang popular di kalangan artis. Setiap bulan pasti ada yang datang shooting di sini. Kadang tu untuk produksi filem. Kadang pula untuk drama.” Azmi menerangkan serba sedikit tentang keistimewaan resort itu.
“Wow  hebat, hebat.” Balas Fareez teruja.
“Buat masa ini tidak ada shooting, tetapi dua hari lagi akan datang satu grup buat shooting selama sebulan.” Rizal tidak gembira mendengar penerangan Azmi itu. Wajahnya selamba polos..
Dibiarkan saja Azmi dan Fareez bercerita tentang pelbagai info mengenai resort itu di sepanjang perjalanan yang singkat menghala ke chalet tanpa mencelah sedikit pun.
                                              

                                                          bab 23


Majmin meneruskan kebiasaannya setiap hari. Selesai solat isyak dia akan berbaring di depan TV. Sambil menonton sempat juga membaca majalah  apabila siaran iklan memenuhi slot. Sering juga menulis diari yang dicatat tentang beberapa peristiwa besar yang berlaku di dalam mahupun di luar negara. Dan yang menyangkut kehidupannya seharian.
17 Jun 01, Ahad.
Pramoudiya Anantatoer, penulis yang dianggap setanding dengan penulis terkemuka dunia memberi komen yang positif tentang ekonomi, sosial dan sikap mandiri rakyat Malaysia di bawah pucuk pimpinan PMnya berjaya menangani tangan-tangan asing yang amat berminat hendak mencampuri urusan negara dan membentuknya mengikut acuan ciptaan mereka.
 Beliau membandingkan nasib sebaliknya yang menggeluti Indonesia sendiri yang  di sifatkan sudah hilang kewibawaan dan keterlaluan lemah jati diri dari segenap aspek. Penulis Pro Sukarno dan aktif era Sukarno ini membandingkan tindakan Dr. M menyamai tindak-tanduk Sukarno yang telah berjaya memerdekakan Indonesia dari penjajahan Belanda dengan pelbagai cara. Dan memakmurkan negara itu setelahnya.
Semua akhbar arus perdana hari ini memetik pandangannya hasil temuramah RTM (Radio Televisyen Malaysia) di Bogor. Novelnya Keluarga Gerilya memang ketara nilai sasteranya. Namun aku tidak berminat untuk menghabiskan pembacaannya. Lebih selesa pula membaca novel hasil novelis tempatan seperti Abdullah Hussain atau Azizi Hj. Abdullah.
17 Dis 02, Selasa;
Berita TV menyatakan keputusan penghakiman di The Hague. Belanda berkenaan kedudukan Pulau Ligitan dan Sipadan yang direbutkan Malaysia dan Indonesia, rupanya memihak kepada Malaysia. Agaknya lega sungguh hati Dr. M kerana sebelum persaraannya dari jawatan PM dia telah mengembalikan banyak harta Malaysia yang telah diambil dan hendak diambil orang. Itulah kebijaksanaannya dengan izinNya jua.
 Tetapi dia tidak rajin menulis setiap hari. Diarinya juga sarat dengan pantun pantun karyanya. Baginya seni pantun melayu sangat indah dan halus.
Kelapa sebatang tepi perigi
Kudup mengkudu di hujung dahan
Kenapa datang kenapa pergi
Menyimpul rindu tak berkesudahan.

Riang ria ke sana sini
Patah rusuk apa jadinya.
Riang ria hari ini

Entah esok apa jadinya.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”