بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
BERADA di tengah masyarakat di kampung pedalaman jiwanya mungkin terasa tenang. Kebanyakan pemastautin di sini adalah dari keturunan Jawa dan Banjar. Suaminya juga dilahirkan ibunya yang Melayu tetapi ayahnya Jawa. Suaminya tidak mahir bertutur jawa tetapi dapat memahami lawan penuturnya dengan baik sekali. Sedangkan dia hanya melopong setiap kali mendengar mereka bertukar kata tatkala berkunjung ke teratak buruknya.

'Mereka ini mengata aku kot, Siapa tahu...' Barangkali hatinya memutuskan begitu untuk menggambarkan ketidaksenangan yang tertera di wajahnya yang suram keliru lantaran tidak faham suatu apapun tentang bahasa jiran-jirannya itu. Cuma kalau jirannya yang Jawa bertemu jirannya yang Banjar mereka akan menggunaka bahasa Melayu sebagai pengantara.

Daripada pemerhatiannya dia menaksirkan kehidupan mereka ini sangat sederhana sekali. Rumah-rumah mereka bertiang kayu, berdinding papan atau rumbia dan beratap nipah yang disemat. Lebih kurang sama dengan teratak yang dihuninya kini bersama suaminya, mertuanya dan abang iparnya. Itupun ihsan dari mbah saudara suaminya.

Keadaannya sangat daif sekali. Sekadar boleh dijadikan sebagai tempat berlindung daripada panas dan hujan. Ruang kecil itu dikongsi bersama. Amat merimaskannya keadaan sebegitu. Namun demi kasih dan sayang terhadap suaminya yang tercinta dia bersedia menerimanya.

Kadangkala terbayang juga lintasan keselesaan hidup yang pernah dinikmati suatu ketika dulu. Tiada siapa yang tahu apa yang tersimpan kemas di sudut hati isteri muda itu lantaran tidak pernah zahir sebagai bicara bibir mongelnya.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”