Monday, 29 November 2021

MERAWAT GUNDAH BANGSA

 ASSALAMUALAIKUM



Alhamdulillah kakpidah terima kiriman hadiah antologi MERAWAT GUNDAH BANGSA kiriman Tuan Mohamed Nasser Mohamed, NUHA BOOKS. BUKU 1 n BUKU 2. Terima kasih banyak kesudiannya. Artikel kakpidah berjudul LANGIT DIJUNJUNG SELAGI HAYAT BERSAMBUNG turut disertakan antaranya. Terima kasih banyak editor penyelenggara TN Prof Lim Swee Tin, Tn Rozan Azen Mat Rasip, Tn Ishak Hamzah sudi pilih karya kakpidah seadanya itu untuk diterbitkan.
TAHNIAH NUHA BOOKS!
TAHNIAH PENUKIL TERLIBAT!

Sekiranya berminat milikinya sila hubungi TN Nasser Mohamad NUHA BOOKS @facebook. tidak rugi milikinya kerana dapat telusuri gaya fikir penulis pemula n mapan dan juga tulisan dua orang Sasterawan Negara...PI biasala meenyibuk selalu heh..heh..

Thursday, 25 November 2021

HMM APA YA

 ASSALAMUALAIKUM



APA ITU

 

Menyapa tanya lupa segala,

menyimpan emping saku berdebu;

apa sebabnya kenapa pula,

papan sekeping paku beribu

 

Lurus jalanya menyimpang gaya,

menghala situ sampainya tentu;

lurus bentuknya tumpang berdaya,

kepala satu kakinya satu.

 

Di pulau itu teja merendang,

bakal dicantas bergencok sewah;

Walau begitu teruja pandang,

Pangkal di atas pucuk di bawah.

 

Terbias hujah berubah peri,

masa berada adang berpada;

menghias wajah menambah seri,

dirasa ada pandang tiada

 

.

Mencari tauhu nanti adinda,

lama di kota terpempan rimas;

diberitahu pasti tiada,

bersama kita tersimpan kemas.

.

Kala menepi reba merahang,

tetapi langkah terpijak nenas;

menyala api haba membahang,

api apakah yang tidak panas.

.

Nangka meninggi lalu ditebang,

sangka menyilang pinang mandala;

ketika pergi selalu terbang,

ketika pulang berenang pula.

.

Berinya minyak mintanya cawan,

biskut dipesan bungkuskan kopi;

kakinya banyak bukannya haiwan,

ikut landasan bukan keretapi.

 

 

Limau yang harum kilik ke Manir,

pinang ke hulu dekam selesa;

harimau mengaum balik banir,

tenang dahulu menerkam mangsa.

.

Padannya lurus terganti runcing,

rapi susunnya keratan rotan;

badannya kurus seperti cacing,

tapi minumnya nan selautan.


Wednesday, 24 November 2021

CITRA WARNA

 ASSALAMUALAIKUM


WORDLESS WEDNESDAY







Monday, 22 November 2021

EDITOR

 

ASSALAMUALAIKUM

 


EDITOR

.

Karya berlambak perlu disunting

pilihan mesti isinya penting

pada hematnya

banyak kurangnya

hilang minatnya riuh melenting

.

Dia bekerja bersunguh-sungguh

apa dibuat tidak bertangguh

semua cepat

terlompat-lompat

letih ketara tersengguh-sengguh

.

Pihak atasan bagai memaksa

siap semua mengikut masa

suntingan tamat

teliti cermat

namun celaru tergesa-gesa

.

Terbitlah sudah akan majalah

hasil olahan genre makalah

ada yang baca

mencaci cerca

karya tak tulin dia yang salah

 

PARIDAH ISHAK

DMS

22/11/021

Saturday, 20 November 2021

SAMBUNGAN TAFSIR SURAH 18: AL KAHFI (GUA).

ASSALAMUALAIKUM



 PERKONGSIAN ILMU: SAMBUNGAN TAFSIR SURAH 18: AL KAHFI (GUA).

Muka Surat: 297 – 298.
Ayat 32 hingga 40.
KISAH KEDUA: FITNAH HARTA. Kisah Dua Lelaki.
Ayat 32: Allah buat contoh bandingan. Boleh berlaku pada zaman dahulu hingga sekarang. Kalau seseorang itu kaya, berharta ada yang bangga diri dan memandang rendah kepada orang lain. Allah ceritakan tentang dua orang lelaki. Lelaki pertama, tidak beriman. Lelaki itu memiliki kebun anggur yang luas dan di sekeliling kebun anggurnya terdapat kebun kurma yang luas juga. Pokok-pokok kurma itu dapat menahan angin kuat daripada merosakkan pokok-pokok anggur. Di samping itu, lelaki itu memiliki ladang- ladang tanaman lain seperti gandum. Allah yang mengurniakan rezeki itu.
Ayat 33: Kedua- kedua kebun lelaki itu mengeluarkan hasil yang banyak. Di antara kedua kebun tersebut, terdapat sebuah sungai yang mengalir. Pekerja- pekerja di kebun-kebun tersebut mudah mendapat sumber air. Semuanya nikmat daripada Allah. Apabila Allah cerita kebun yang
hebat
dalam al Quran, maknannya tiada kebun lain yang paling
hebat
. Seperti kerajaan Nabi Sulaiman as. yang
hebat
. Tiada kerajaan lain yang lebih
hebat
.
Ayat 34: Pemilik kebun itu juga mempunyai banyak harta yang lain, melimpah ruah. Dia beritahu kepada jirannya sesorang lelaki Mukmin: Dia lebih banyak harta, lebih berpengaruh dan pengikut- pengikutnya ramai. Dia berkata demikian, ketika sedang berbual-bual dengan jirannya itu. Cara dia bercakap, menunjukkan kesombongannya.
Ayat 35: Lelaki kaya itu masuk ke kebunnya bersama jirannya lelaki Mukmin. Dia sebenarnya telah menzalimi diri sendiri kerana angkuh dan riak. Dia menganggap semua harta kekayaan yang dimiliki hasil usaha sendiri. Lupa kurniaan itu daripada Allah. Pemilik kebun itu yakin, kebunnya tidak akan kekal selama-lamanya. Dia menafikan kekuasaan Allah. Mengingkari Tauhid.
Ayat 36: Pemilik kebun itu berkata lagi kepada jirannya, dia yakin kiamat tidak akan terjadi. Mengingkari Hari Kiamat. Kalau kiamat betul-betul terjadi dan setelah mati dihidupkan kembali, seperti fahaman lelaki jirannya itu. Dia yakin, dia akan selamat dan akan diberi kekayaan yang lebih banyak lagi. Itu hanyalah sangkaan, merasa mulia di sisi Allah jika dibangkitkan.
Ayat 37: Apabila lelaki kaya itu menyebut fahaman yang menyalahi akidah, lelaki mukmin, jirannya menjawab dengan pertanyaan. “Patutkah kamu engkar dengan Tuhan yang menciptakan kamu dari tanah. Kemudian menciptakan kamu daripada sperma. Kemudian DIA sempurnakan kamu menjadi lelaki yang sempurna?”. Lelaki mukmin itu mengagungkan Allah dan menolak dakwaan lelaki kaya itu.
Ayat 38: Lelaki Mukmin itu berdakwah kepada lelaki kaya dengan menyatakan: Dia yakin dan percaya bahawa, DIAlah Allah, Rabb yang mencipta , memiliki, memelihara dan menjaga serta mentadbir kehidupan kita. Dengan tegas dia berkata; Dia tidak akan menyekutukan Allah.
Ayat 39: Lelaki mukmin beri nasihat kepada sahabatnya yang kaya itu. Supaya menghargai nikmat yang Allah berikan. Ketika masuk ke dalam kebun berkatalah: “Ma sya Allah, Laaquata illah billah”. Sebagai tanda kita mengkagumi nikmat Allah dengan melafazkan kalimah ini. Apabila melihat sesuatu yang
hebat
dan menakjubkan, ucapkanlah kalimah ini. Yang bererti: Sungguh, atas kehendak Allah semua ini wujud. Tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Lelaki Mukmin itu mengakui bahawa dia miskin harta dan anak lelakipun kurang. Tetapi dia yakin, semuanya ketentuan daripada Allah.
Ayat 40: Lelaki Mukmin itu yakin, Allah boleh lakukan apa sahaja. Allah boleh berikan kepadanya yang lebih baik daripada lelaki kaya tersebut. Redha Allah dan keampunan daripada Allah lebih baik dan kekal daripada harta dunia yang sementara. Allah boleh tarik nikmat dan harta dunia bila-bila masa. Allah boleh mengirimkan kilat dan petir yang membinasakan kebun-kebun anggur dan kurma serta tanaman. Pokok-pokok tumbang dan terbakar. Dalam yang singkat, kebun-kebun itu menjadi tanah yang rata dan licin.

Friday, 19 November 2021

ANTOLOGI SPTA 021

 ASSALAMUALAIKUM

ANTOLOGI SPTA 021


PIC HAMIMAH IBRAHIM (C)

BANYAK JUGA ANTOLOGI TERBITAN SPTA WALAU PADA MUSIM PANDEMIK KAN...MEMANG PROAKTIF SIFU TA..TAHNIAH SIFU TA DAN SEMUA PENUKIL TERLIBAT..PI TAK KETINGGALAN JUGA MENYIBUK SELALU HEH..HEH........


KATA SIFU TABIR ALAM

WORK IN SILENCE, AND LET SUCCESS MAKE THE NOISE...







Wednesday, 17 November 2021

LUKISAN ALAM

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM RABU TANPA BICARA

MENDAMBA DAMAI 












Monday, 15 November 2021

PUISI TERAPI MINDA

 

ASSALAMUALAIKUM

MENULIS PUISI TERAPI MINDA



Pelbagai genre puisi sama ada moden atau tradisi boleh dinukil untuk menyegarkan minda yang layu. Menggubahnya agar kelihatan indah puitis tentulah terpaksa berfikir sedikit dan merujuk pelbagai sumber juga. Ketepatan fakta amat perlu. Terutama kalau menukil puisi tradisi seperti pantun, syair, nazam, seloka, gurindam, talibun, teromba, rejang dll  yang menuntut kepatuhan tatabahasa, jumlah suku kata dan rima tertentu. Tidak seperti puisi moden iaitu sajak yang lebih bebas peraturannya. Sajak sebagai wahana luahan rasa hati yang tidak terikat dengan disiplin ketat seperti puisi tardisi haiku, tanka, senryu dari Jepun dan diamante, limerick, soneta, vilanell, terza rima dari Italy. Tapi puisi moden, sonian dan saduka penciptanya menentukan suku kata.

Sifu Tabir Alam juga disamping mengenalkan berbilang puisi dalam bukunya PUISI & PEMUISI turut membimbing penulis di bawah naungan SPTA genre puisi tradisi tempatan dan luar negara dan menerbitkannya sebagai antologi menurut kesuaian tajuk.

Bagi yang telah menyambut ilmu daripada sifu TA tentu dengan mudah dapat menukil puisi berbeza. Kalau ilhamnya melimpah ruah boleh bercerita dalam syair yang panjang. Namun puisi pendek haiku walau 3 larik dengan jumlah suku kata 5, 7, 5 hendak membinanya memakan masa juga.

Masa terbuang pula rasanya. Lebih baiklah digunakan masanya untuk menukil pantun rima sempurna. Begitulah caraku akan menulis puisi berbeza menurut mood,ilham dan masa. Selalunya kalau aku rasa stress terkilan, limerick akan kutulis. Sajak jadi pilihanku sekiranya sesuatu perkara berlaku menyentuh hatiku.

Terima kasih sifu TA sudi menurunkan ilmu puisi kepadaku pelbagai genre. Dapatlah aku berayun selalu dalam buaian puisi menghibur sunyi. Alhamdulillah 

 

Saturday, 13 November 2021

PERKONGSIAN ILMU: SAMBUNGAN SURAH 18: AL KAHFI (GUA)

ASSALAMUALAIKUM


 

PERKONGSIAN ILMU: SAMBUNGAN SURAH 18: AL KAHFI (GUA)

Muka surat: 296
Ayat: 21 - 25
Ayat 21: Pemuda yang menjadi wakil keluar dari gua pergi ke pasar untuk membeli makanan. Ketika membayar harga makanan, peniaga terkejut kerana pemuda itu menggunakan mata wang lama. Peniaga menyatakan itu duit lama. Sekarang negara diperintah oleh Raja Yandusus beragama Nasrani.
Pemuda itu dibawa mengadap Raja. Pemuda itu menceritakan perkara yang sebenar. Untuk membuktikan kebenaran, Raja dan beberapa orang pengawal mengikut pemuda itu kembali ke gua.
Pemuda itu meminta Raja dan rombongan nya menunggu agak jauh di luar gua supaya kawan- kawannya yang masih dalam gua tidak takut dan lari. Pemuda itu masuk ke dalam gua dan menerangkan kepada kawan- kawannya, mereka telah tidur beratus- ratus tahun. Wang mereka sudah tidak laku lagi. Raja yang zalim dulu telah mati. Raja sekarang telah beriman. Pemuda-pemuda itu sangat mengantuk. Mereka tidur semula.
Raja yang menunggu di luar gua, memerintahkan pengawal-pengawal nya masuk ke dalam gua kerana terlalu lama menunggu. Mereka terkejut apabila mendapati beberapa orang pemuda telah mati dalam keadaan masih elok. Semua mati semula, betul-betul mati.
Sebenarnya Allah nak buktikan kiamat itu benar. Kebangkitan itu benar.
Ada yang bercadang supaya didirikan bangunan dekat gua tersebut. Pihak raja telah bercadang untuk mendirikan gereja (masjid). Allah sahaja yang tahu kedudukan mereka. Tiada masjid dibina di situ.
Hadis sahih - Jangan dirikan masjid di atas kuburan.
Ayat 22: Tiga pendapat tentang bilangan pemuda- pemuda gua.
a. Ada yang menyatakan 3 orang bersama seekor anjing
b. Ada yang mengatakan 7 orang bersama seekor anjing.
c. Kembalikan pengetahuan ini kepada Allah.
Tidak perlu berbahas. Bilangan berapa orang tak penting. Yang penting pengajaran.
Ayat 23 - 24: Dalam segala muamalat (urusan) jangan lupa menyebut Allah. (IN SYA ALLAH)
Ayat 23: Setelah Allah menjawab soalan pertama, Allah menegur Nabi Muhammad saw. Supaya tidak berkata: "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu esok..." Peringatan kepada Nabi saw dan kita semua. Perkara esok dalam takdir Allah. Ini menunjukkan baginda tidak tahu perkara ghaib. Wahyu tidak turun selama 15 hari. Orang-orang Musyrikin Mekah sindir Rasulullah saw - Allah telah tinggalkan baginda. Tuduh baginda penipu.
Ayat 24: Pengajaran daripada Allah - hendaklah sebut: "IN SYA ALLAH." Dan katakan juga: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpin ke jalan hidayah yang lebih dekat dan lebih jelas kebenarannya." Segala sesuatu bergantung kepada Allah. DIA izin atau tidak.
Kalau terlupa ucapkan IN SYA ALLAH ketika berjanji dengan seseorang. Kita boleh ucapkan kepada diri sendiri. Boleh juga ucapkan IN SYA ALLAH apabila berjanji dengan orang kafir
Ayat 25: Berbalik semula kepada kisah pemuda kahfi. Allah beritahu mereka tidur selama 300 tahun dan ditambah 9 tahun. Berjumlah 309 tahun.
Nabi Muhammad saw beritahu 300 tahun kepada Yahudi , kerana mereka gunakan tahun Samsiah. Ikut kiraan perjalanan matahari (Kalender Masihi)
Baginda beritahu kepada orang Arab selama 300 tahun, kerana mereka gunakan tahun Qomariah. Ikut kiraan perjalanan bulan. (Kalender Islam).

Friday, 12 November 2021

MENGUNDI...

 ASSALAMUALAIKUM

SALAMJUMAAT MULIA



PENGUNDI

 

Hendak mengundi tak lama lagi

tentulah dia terpaksa pergi

memangkah calon

bukan membalun

reda beratur sedari pagi

.

Kesal hatinya tidak tergambar

bagai tertusuk duri selumbar

hajat dibawa

bergadai nyawa

saing endemik semangat hambar

.

Pengundi cuma rakyat jelata

akan memberi apa dipinta

suruh ke sini

laju terkini

angguk setuju menurut kata

.

Namun pilihan pada tangannya

undi siapa ketentuannya

tanpa sedari

boleh dicari

bukan rahsia pada fikirnya

PARIDAH ISHAK

DMS

12/11/021


Wednesday, 10 November 2021

NOVEMBER

 ASSALAMUALAIKUM



‘lagu “November”

Dato Sharifah Aini -

alur kenangan

 

semilir  dingin-

Pantai Kundur Melaka

tinjauan khabar

 

awal November -

jadual air pasang

lokasi cuti

 

akhir Oktober –

jelang pilihan raya

langkah rencana

 

sempena Ogos -

baris kabinet baru

dapur berasap


Monday, 8 November 2021

JENJALAN MELAKA

 

ASSALAMUALAIKUM

 








 

Alhamdulillah Sabtu lalu rentas negeri Selangor dan NS  menuju Melaka Bandar bersejarah bersama anak menantu dan cucu-cucu. Berkereta lama juga.memang menahan sakit pinggang. Maklum PI kan sakit. Tapi pantang anak cucu pelawa jenjalan, nak mengekor je heh..heh..

Sempatlah ronda-ronda Bandar Melaka BERSEJARAH berkelah di pantai Puteri,melihat mentari terbenam. Singgah bersolat di masjid Tankera, sebelum berkurung dalam hotel SRI MALAYSIA sehingga malam menjelang pagi. Sepagi-pagi hingga waktu check out di dalam hotel saja berenang-renang di kolam.PI perhati dari jauh saja. Cucu-cucu bukan main seronok lagi lagaknya macam itik jumpa air.

Ketika pulang anak-anak lelaki yang memandu mengikuti jalan lama pesisir laut sehingga PD. Rupanya luas juga negeri Melaka. Selalu tu lalu highway sekejap saja dah sampai Melaka. Mengikuti jalan tepi pantai terasa jauhnya. Namun dapat perhati kedamaian alam sepanjang perjalanan. Aman harmoni indah semulajadi. Rumah penduduknyapun jauh-jauh satu.

Berhenti di pantai PD makan bekkal MACD heh..heh..sampai di Serendah sebaik masuk maghrib…Alhamdulillah selamat


Thursday, 4 November 2021

JATUH LAND ROVER

 

ASSALAMUALAIKUM

PENTAS BUDAYA

pic google images (c)


 


Issey Miyaki

Menonton filem Man Laksa arahan pengarah tersohor allahyarham Mamat Khalid terimbau suasana ketika itu pernah kulalui dulu.. Di mana-mana saja pada malam hari tertentu akan ada pementasan budaya untuk menghiburkan pemastautin di situ. Di kampungku kalau pentas budaya dibawa PEMENTASAN BERGERAK FELDA, pertunjukannya secara percuma saja. Kalau berkesempatan aku akan menontonnya. Terhibur hati dapat menyaksikan artis lama menyanyi, menari dan berlakon cerita bangsawan dengan prop menarik. Setelah berpuluh tahun berlalu, baru kuketahui rupanya pengurus PEMENTASAN BERGERAK FELDA yang sering jelajah cerok kampung felda seluruh Malaysia itu ialah sahabat penulis SPTA Issey Miyaki. Hebat sungguh kan insan ini. Amat berbangga dapat mengenalinya pada sisa usia senja ini.

Tapi kalau pentas budaya anjuran badan sosial tanah rancangan dengan tujuan mengutip derma, tiket masuk dikenakan bayaran. Aku pernah terlibat dalam pengurusan membantu serba sedikit. Maklum aku kan setausaha persatuan belia kampungku. Penolong pengurus felda UJ mengajak aku dan sahabatku Fazila ke pejabat LKWJ untuk menyampaikan kad jemputan menyaksikan pementasan tersebut.

Artis terkenal 70-an turut diundang. Antaranya Hail Amir dan Ahmadi Hassan dan ramai lagi dramatis yang terlibat dalam siri drama FAJAR DI BUMI PERMATA yang sangat digemari siarannya di radio nasional  RTM.tika itu.

Land rover felda yang dipandu abang Atan sedang mendaki aspal menghala pejabat LKWJ tiba-tiba pintunya di sisiku terbuka. Astaghfirullah. Aku jatuh tergolek-golek di atas jalan. Dahi luka tersagat aspal. Mujur tidak terlalu parah. Kebetulan pula sangat dekat klinik kesihatan Bandar Jengka. Encik Halim menguruskan untuk mendapatkan rawatan lukaku. Fazila menemaniku. Aduh sakitnya dahi dijahit.

Misi ke pejabat LKWJ dibatalkan. Patah balik semula ke rumah. Sebab aku ditugaskan sebagai penjual tiket terpaksa juga aku hadir pada malam pementasan tersebut dengan memakai selendang menutupi bahagian muka yang luka. Kelihatan Islamik puji seorang sahabat. Cerita sebenar mereka tak tahu heh..heh..       

Wednesday, 3 November 2021

TONGKAT

 ASSALAMUALAIKUM



TONGKAT

 

Tatkala lemah mengatur langkah

perguna tongkat cecah jambatan

usaha daya tidak bertingkah

hindar segala duri kaitan

.

Tongkat mengukuh sokongan diri

tegak ceragah menyongsong angin

asa sejati gagah berdiri

gejolak hiba mulai mendingin

.

Semakin kukuh kaki berpijak

bersama tongkat titi seberang

yakin terawang tinggalkan jejak

gelombang riang beralun girang

.

Tongkat di tangan entah ke mana

dilontar jauh ke dalam semak

dianggap ganggu gaya sempurna

andai disimpan hanya menyemak


PARIDAH ISHAK

DMS

3/11/021

Monday, 1 November 2021

BERUMAH TANGGA

 ASSALAMUALAIKUM


ALHAMDULILLAH SERANGKAP  PANTUN PI SUDI DIBACA DJ AMELIN DALAM SLOT MELODI PAGI ISNIN @RADIOKLASIK...AMAT DIHARGAI KESUDIANNYA.

MEMANG TERUJA MENDENGAR PANTUN KARYA PI SESEKALI DIBACA  DJ RADIO KAN....SELALU JUGA DIKIRIM TAPI TIDAK KELIHATAN DI SKRIN HEH..HEH..




Pantun D’Klasik

Radio Klasik RTM

Isnin ,   1/11/ 2021

Pantun dibaca

 

 

Pohonan redup sisi telaga,

mengait manggis berhati-hati;

dugaan hidup berumah-tangga,

pahit dan manis sabar nikmati.