Tuesday, 29 June 2021

BELAJAR MEMANDU

 ASSALAMUALAIKUM



BELAJAR MEMANDU KERETA

Teringat dulu-dulu rupanya diriku ini boleh membawa motor ke ofis dengan ditemani suami dan berjalan ke mana sahaja. Biasanya kalau bawa motor suami mesti duduk di belakang. Aku sebenarnya bukan berani dan reti nak bawa motor. Tapi suami yang menguatkan semangatku untuk mencuba. Akhirnya pandai juga. Bolehlah aku meronda keliling kampung felda selamba saja tanpa lessen dan topi keledar heh..heh..
Berani sungguh mengabaikan keselematan diri kan. Setelah ekonomi hidup semakin stabil, suami membeli sebuah kereta kecil...hati menggelitik pula nak cuba memandu kereta. Suami tidak ada masa nak ajarku memandu sebab sibuk dengan urus niaganya. Jadi aku pun daftar masuk kelas memandu. Setelah itu ambil pula ujian bertulis kat JPJ. Kali pertama tak lulus sebab tak sempat nak ulangkaji. Sibuk duk belek buku letrik terputus pulak.
Suasana gelap menggelapkan pemikiran juga. Tawakal saja jawab soalan. Hasilnya terlepas dua mata untuk lulus. Terpaksa ambil ujian sekali lagi. Nasib baik lulus cukup makan. Dan bolehlah memegang stereng memandu kereta dengan instructor sekolah memandu berada disebelah. Beberapa kali juga nak terbabas masuk longkang heh..heh.. mujur instructor cepat menekan hand brake.
Selesai berapa sesi belajar memadu dan dihentikan dahulu kerana tika itu aku sedang sarat hamil anak keempat. Berani sungguh kan ketika hamil belajar memandu! Tibalah masanya bersalin pula melahirkan seorang bayi lelaki yang comel. Usai berpantang selama 50 hari suami mengajak ke KL ziarahi kakaknya, kereta kecil kami dilanggar lori ayam. Alhamdulillah suami dan anak-anak selamat. Dan tiada lagi cerita belajar memandu kereta bersambung kerana itu.

SIAPA DIA...

 ASSALAMUALAIKUM




DIA
Dia di situ entah siapa
tidaklah tahu mahunya apa
seorang diri
duduk berdiri
kadang ketawa berubah rupa
.
Ramai melihat tidaklah pelik
laku dirinya berulang-alik
bagai memikir
hendak menyingkir
apa di tangan jatuh bergolek
.
Bagai pelakon sedang beraksi
tala kamera merakam sisi
mulut ditutup
dengan pelitup
bernyanyi-nyanyi layan ilusi
.
Rupanya ada gajet di tangan
teman setia dipegang ringan
peranti mudah
menghalau gundah
tiasa ralit berangan-angan

Sunday, 27 June 2021

KELUHAN RASA..

 ASSALAMUALAIKUM


 

 

SYAIR KELUHAN RASA

 ALHAMDULILLAH SEMALAM PI DAN PENULIS SUJATA WEE MENANG SAYEMBARA SYAIR NORMA BAHARU ANJURA GAKSA E-SASTERA...TERIMA KASIH BANYAK PROF IRWAN ABU BAKAR DAN PANEL JURI SUDI MEMILIH KARYA PI DAN SUJATA SEBAGAI PEMENANG...REZEKI MUSIM PKP KAN..

 


Keluhan  rasa syair mencitra,
kerana wabak melukis dura,

hendak dihapus dengan segera,

menghembus padam api membara.

 


Apa yang mampu diucap lagi,

masalah timpa segenap segi,

bagaikan kain tidak beragi,

kerap mengadu dijawab ranggi.

 

Bicara kata coretan hati,
sekadar zahir rasa simpati,

kata balasnya maklum teliti,

namun tindakan ternanti-nanti.

 


Kuatkan asa usah mengalah,
onak dan ranjau bukan masalah,

sudah diredah apa pun olah,

sujud berserah kepada Allah.

 

 

Syair keluhan tamatlah sudah,

tidak sempurna susunan madah,

puisi lama irama indah,

menafsir makna melerai gundah


Saturday, 26 June 2021

KENALI BENTO...

 

ASSALAMUALAIKUM

 

BENTO

 




Bento Blogger dik Tok Perak (c)



Tahukah apa itu bento? Ramai yang mengagak bekas mengisi bekal nasi dan lauk-lauknya kan. Rupanya ada satu lagi makna bento iaitu perangkap ketam. Kalau nak tangkap ketam di muara tepi laut letak saja beta di celah-celah pohon bakau atau nipah. Tentu bento akan memerangkap ketam yang termasuk ke dalamnya. 

PI pun baru tau setelah baca antologi anekdot BENTO terbitan SPTA selenggaraan sifu TA. Bento karya nukilan penulis Bayu Pagi kelahiran Semporna Sabah. Antara sebuah karya pengalamannya yang sangat melucukan tika menangkap ketam menggunakan bento. 

Memang menekan perut menahan tawa yang tidak putus-putus. Kalau nak tahu kenalah baca. Himpunan pelbagai kisah lucu pelbagai pengalaman penulis SPTA yang bergabung di dalam antologi BENTO   memang tidak kering gusi dibaca. Setiap Penulis menghasilkan 3 tajuk anekdot. 

Tahniah semua penukil. Anlian pengkarya yang hebat. Tahniah sifu TA selaku penyelenggara.  Terima kasih sifu sudi sertakan juga karya PI. Alhamdulillah. Sekiranya ingin turut berketawa bersama melegakan stress musim PKP jangan lupa oder BENTO daripada sifu TA @FACEBOOK ya…   

Thursday, 24 June 2021

HADIAH BLOGGER ANIES

 ASSALAMUALAIKUM


BLOGGER ANIES MENGIRIMKAN HADIAH KERANA PI BERIKAN SEDIKIT ULASAN TENTANG SESUATU...PI PUN DAH LUPA HEH..HEH.. BIASALA FAKTOR USIA KAN...TERIMA KASIH BANYAK ANIES...HADIAHNYA DIAMBIL MIA...CUCUNDA COMEL ITU HANYA MENINGGALKAN KERTAS KECIL INI PADA NENDANYA....ALAHAI BERTUAH SUNGGUH CUCU SORANG NI




TERIMA KASIH ANIES SELALU KIRIM KAK HADIAH MOGA ANIES TIASA SIHAT SEJAHTERA MURAH REZKI SUKSES DUNIA AKHIRAT DALAM LINDUNGAN-NYA


Tuesday, 22 June 2021

DESA MELOR SERENDAH

 ASSALAMUALAIKUM





 

DESA MELOR SERENDAH

 

D-amai sekali suasana Desa Melor Serendah

E-kspresi aman permai tenang

S-antunan masyarakat saling prihatin

A-mbil berat apa saja masalah penghuni

 

M-asyarakat bersatu menjaga maslahat

E-lakkan pergeseran mencetus perbalahan

L-adeni samarata siapa pun jua

O-ngkos biaya menjaga desa disepakati

R-amai mengunjungi air terjun di hujung desa

 

S-antai berkelah bersama keluarga

E-nak nikmati bekalan yang dibawa

R-asa tenang melihat deru air mengalir jernih

E-nggang terbang hinggap di pohon rimbun

N-yaman nian angin bertiup sepoi-sepoi bahasa

D-aerah ini letaknya di hulu Selangor

A-ntara daerah nadi pembangunan negeri

H-arta pusaka warisan yang dipertahankan


Monday, 21 June 2021

GURINDAM BICARA

 ASSALAMUALAIKUM


DEWAN SASTERA EDISI JULY TELAH PUN TERBIT

ALHAMDULILLAH KARYA PI GURINDAM BICARA MENGHIASI LAMAN UJANA KLASIK.

TERIMA KASIH BANYAK EDITOR MAJALAH  DEWAN SASTERA DBP ATAS KESUDIAN MEMILIH KARYA KECIL PI UNTUK SIARAN...

JOM BACA DS YA...BOLEH DAPATKAN DI MANA-MANA OUTLET DBP...PERCUMA SAJA





Sunday, 20 June 2021

SELAMAT HARI BAPA

 ASSALAMUALAIKUM



Anda sudah beristeri tapi masih membayangkan wanita lain untuk menikah lagi. Itu yang dinamakan *KEINGINAN*
Ketika anda bertemu wanita cantik dan solehah, anda ingin menikahinya tetapi wajah isteri anda selalu terbayang-bayang. Itulah yang dinamakan *KETAKUTAN.*
Namun, anda tetap nekad menikahinya. Itulah yang dinamakan *KEBERANIAN.*
Ketika anda sedang mengadakan akad nikah tiba-tiba isteri anda datang, itulah yang dinamakan *KEDAPATAN.*
Tetapi isteri anda tidak marah dan tidak menyerang madunya. Malah ikut hadir dalam acara tersebut bahkan membawa anak anda sekali demi menjaga maruah anda. Itu yang dinamakan *KEAJAIBAN.*
Ketika anda pulang ke rumah isteri pertama, dia menyambut anda dengan senyuman bahkan menghulurkan secawan kopi panas kesukaan anda sambil berbisik "abang semakin kacaklah". Itu yang dinamakan *KEANEHAN.*
Jika setelah minum kopi tiba-tiba tubuh anda menjadi kejang dan mulut pula berbuih, itulah yang dinamakan *KERACUNAN* .
*Selamat Hari Bapa buat semua bapa2

Saturday, 19 June 2021

LAUTAN BUDI

 ASSALAMUALAIKUM





LAUTAN BUDI

.

Dingin

tenang biru

ombaknya putih bak

selendang sutera indah

mulus

.

Wujud

dalam alam

yang luas saujana

menafaskan kehidupan

benar

.

Terus

gagah renang

kerana lautan

budi tidak akan kering

kasih

.

Laut

budi suci

iman reda hukum

gapai bahagia cinta

Allah



paridah ishak

DMS

19/6/021


Friday, 18 June 2021

MENULIS ULASAN...

 ASSALAMUALAIKUM



MENULIS ULASAN



Sesekali menulis ulasan menyukakan hati juga. Apalagi sekiranya ulasan yang ditulis itu menerima respons. Maknanya tulisan itu ada yang baca. Tidak kiralah ulasan itu tentang sesuatu produk atau apa saja. Pengalamanku menulis ulasan di blog dan akhbar memberi pulangan juga pada penerbit produk yang diulas. Tidak dikenakan sebarang bayaran pun. Gratis heh..heh..
Aku suka mempromosi perniagaan kuih-muih kawan-kawan dengan sedikit ulasan di blog. Dan kawanku itu memberitahu dia telah menerima banyak tempahan pembelian. Alhamdulillah.
Dahulu hobiku menanam orkid dan gemar menghiasi blogku dengan orkid yang cantik disamping mempromosi jualan orkid kawan-kawan yang miliki nursery. Gembira diberitahu pemilik nursery orkid ramai pengunjungnya sehingga mendapat tempahan dari luar negara.
Pernah juga kutulis ulasan beberapa buku SPTA di Mingguan Malaysia. Dan ada yang mencariku di facebook untuk inbox pesanan. Kata netizen itu ibunya teruja sangat nak baca buku itu setelah membaca tulisanku itu. Maka si anak pun terpaksa menemuiku untuk tunaikan permintaan ibunya. Terharu sungguh hatiku mendengarnya kerana tulisan kecil yang sederhana saja berkesan juga di hati pembaca.
Jadi tulislah yang baik-baik semata agar peroleh manfaat dunia akhirat kerana menulisnya tanpa berkira-kira. Justeru tulisan kita di mana saja ada yang perhati dan baca.

Thursday, 17 June 2021

NILA KANDI

 

ASSALAMUALAIKUM

 

Alhamdulillah kakpidah menerima SUKARELAWAN NAN LIMA novel terbaru karya penulis mapan prolific Along NURIMAS SN terbitan DBP dan NILA KANDI antologi terbitan SHE selenggaraan NURIMAS.

Kedua-dua buku karya terbaik hadiah kiriman Along kepada kakpidah. Terharu sungguh menerimanya. Terima kasih banyak Along yang amat baik budinya tiasa. Dapatlah kakpidah telusuri ceritanya mengisi waktu yang lewat. Didoakan Along dan keluarga sihat sejahtera dilimpahi ilham-Nya dan terus menghasilkan karya terbaik selalu untuk dinikmati pembaca…murah rezeki dilindungi Allah daripada segala bahaya.

SUKARELAWAN NAN LIMA novel remaja setebal 200 halaman, penulisnya bercerita fokus kepada peristiwa banjir besar yang berlaku mengambil situasi lokasinya bandar  Kemaman di Terengganu. Lima remaja berganding bahu menjadi sukarelawan membantu mangsa banjir mendepani situasi yang amat mencabar keteguhan semangat diri masing-masing. Pelbagai pengalaman suka duka berselang-seli mewarnai kisah mereka. Watak utama Amni, Bella, Hairi, Emma, Chew Han membawa peranan melakar cerita dengan sangat menarik. Tahniah Along…rajin selalu menghasilkan karya yang hebat.

Sebuah karya sempurna persembahan penulis wibawa memang asyik dibaca peminat sastera.

NILA KANDI pula ialah antologi himpunan cerpen karya 12 penulis siswa dan tidak ketinggalan sebuah cerpen karya editor penyelenggara Sdr Nurimas SN

Semua cerpen sangat kreatif idea yang dilakar cerminan minda penulisnya. Tahniah penulis terlibat penyelenggara dan penerbitnya.

Teringin miliki buku-buku ini sebagai khazanah peribadi sumber bacaan ilmu hubungi penulisnya @facebook ya..jangan segan-segan..rugi kalau segan tau…





Wednesday, 16 June 2021

MONUMEN GAGAL

 ASSALAMUALAIKUM



 


MONUMEN GAGAL

.

Tempah arca indah

ukiran jaya

rencana pun

tersergam

.

Adun warna warni

tiup semangat

nafas hayat

menjati

.

Hiasan dunia

sementara tak

menjanjikan

Ia kekal

.

Monumen berdiri

seteguh mimpi

gagal nyata

kehendak



PARIDAH ISHAK

DMS

6/16/021

Tuesday, 15 June 2021

IMPIAN ALMIRA

 

ASSALAMUALAIKUM

Alhamdulillah kakpidah menerima IMPIAN ALMIRA hadiah kiriman Penulis Zakiah Abd. Ghafar. Terima kasih banyak dik Zakiah. Buku comel dengan ilustrasi cantik setebal 48 halaman terbitan KARANGKRAF dicetak di atas kertas tebal eksklusif sekali. Cerita berkisar dalam keluarga watak Almira. Ada lima tajuk cerita menjadi pilihan penulis;

1.    Hari lahir di tahun lompat

2.    Diserang sakit gigi

3.    Musim cuti sekolah

4.    Melawat muzium Negara

5.    Menjadi petani moden

Buku ini amat sesuai dibaca seisi keluarga, anak-anak sekolah yang kini berada di rumah saja musim PKP. Lagipun genre sastera kanak-kanak tidak susah untuk menghadaminya. Penulisnya berjaya melakar karya dengan sempurna dan tidak sukar memahaminya. Tahniah kepada Puan Zakiah!

Sekiranya  berminat milikinya sebagai bacaan anak-anak dan keluarga hubungi penulisnya @facebook ya…harganya 7.50 rm saja 



 


Monday, 14 June 2021

SIFAT PUISI

 ASSALAMUALAIKUM


SIFAT PUISI


Sering kali saya terserempak dengan karya puisi yang ditulis oleh pemuisi di dinding Facebook akaun mereka sendiri, dan saya tertanya-tanya - "adakah mereka betul-betul kenal sifat puisi yang mereka hasilkan?"
Serangkap haiku atau haiga ditulis hanya sekadar menepati patrun 5-7-5 sudah memadai dan berpuas hati itulah haiku, hilangnya sifat rakaman pengalaman sedangkan ianya tidak menepati zen penulisan haiku. Kekuatan haiku sirna oleh kerana sifat bercerita daripada yo-in gabungan dua imej yang kukuh.
Serangkap puisi gurindam terpapar umpamakan ikatan berirama atau karmina oleh kerana hilangnya sifat nasihat yang yang membezakan gurindam dari bentuk puisi lainnya.
Serangkap puisi seloka lebih mirip kepada ikatan berirama atau karmina oleh kerana hilangnya sifat persendaan dalam sesebuah seloka yang juga membezanya dari jenis puisi lainnya.
Pantun bukan serangkap pantun jika stanza puisi itu tiada wajah sampiran yang menepati kehendak pemantun menyampaikan wajah maksudnya dengan senada ungkapan.
Apabila terza rima diselenggarakan, banyak karya yang muncul tanpa memahami tujuan terza rima oleh kerana hilangnya sifat membincangkan sesuatu isu yang memerlukan penyelesaian.
Dan seterusnya puisi sajak akrostik, asalkan memuatkan isi kepada seuntai ungkapan maka itu adalah akrostik kepada penulis berkenaan. Hasilnya karya akrostik hilang sifat sanjungan yang membinakannya sebagai sebuah puisi akrostik
Sajak adalah satu-satunya puisi yang zahirnya tiada perlu mematuhi apa-apa peraturan yang ketat, justeru sajak begitu sinonim dengan pemuisi Melayu. Bebas dan mudah.
Ternyata masih ada kalang pemuisi yang berkarya sekadar tangkap muat dan syok sendiri. Berkaryalah mengikut roh puisi supaya nilai estetikanya zahir dalam sifat puisi tersebut.

SIFU TABIR ALAM

Saturday, 12 June 2021

PENDAPAT..

 ASSALAMUALAIKUM



PENDAPAT

 


Beri pendapat berkias-kias,

kusut fahami kadang membias.

 

Beri pendapat tapi tak tepat,

pastilah ada akan mengumpat.


Beri pendapat semata benar,

tanggapan ramai tidaklah nanar.


Beri pendapat selari masa,

akan sesuai senantiasa.


Beri pendapat apa yang perlu,

pasti diminta dengan selalu.


Beri pendapat berdasar ilmu.

apa dicari akan bertemu.

 

Beri pendapat kala diminta,

benar sahaja tidak berdusta.

 

Beri pendapat perkara penting,

apa dibahas mudah disunting

Friday, 11 June 2021

PEMERHATI..

 ASSALAMUALAIKUM

ASSALAMUALAIKUM

PEMERHATI
.

Hai anak mata bagaikan lensa
fokus sasaran tepat tiasa
musim PKP
bertapi-tapi
cerita tular media massa
.
Bagai wartawan cari berita
bukan sensasi benar semata
amat berani
isu begini
polis siasat terkedu kata
.
Walaupun tidak mendapat gaji
bersih niatnya bukan mengeji
persoal tindak
turut kehendak
akta PKP habis dikaji
.
Nyata persona sifatnya tegar
undang-undang pun cuba digegar
rakaman sisi
menjadi saksi
ralit perhati terlanggar pagar

PARIDAH ISHAK
DMS
11/6/021

Thursday, 10 June 2021

LEGASI ABAH...LELAKI ADIWIRA PERTAMA

 ASSALAMUALAIKUM








PI TIBA-TIBA TERLIBAT DENGAN PROJEK ANTOLOGI WRITER WRITES PENERBITAN PUAN SRI DIAH SHAHARUDIN...SELALAUNYA PI SIBUK DENGAN PROJEK TERBITAN BUKU SPTA YANG TIDAK PERNAH PUTUS....MENELITI TEMANYA TENTANG ABAH/BAPA HATI TERTARIK UNTUK SERTAI..SEBAB TERLALU BANYAK KISAH TERJALIN DALAM KEHIDUPAN SELAIN SEORANG ANAK KEPADA BAPA PENGASIH BUDINYA MENGGUNUNG EMAS TIDAK TERNILAI HARGANYA MEMBAWA KE SYURGA ..TERINGIN JUGA HENDAK MENCORET KENANGAN  ABADI BERSAMA BAPA TERCINTA..PI PUN HUBUNGI PENULIS PN ISYAH ANTARA PENULISNYA..SEKALI PUAN SRI DIAH PM INBOX FB MEMPELAWA PI TURUT SERTA BERKARYA...ALHAMDULILLAH  BAGAIKAN ORANG MENGANTUK DISORONGKAN BANTAL..BERSYUKUR SANGAT..TERHARU SUNGGUH JEMPUTANNYA..TERIMA KASIH BANYAK.

TIDAK LAMA LAGI BAKAL TERBIT 12 ANTOLOGI LEGASI ABAH DENGAN JUDUL BERBEZA SELENGGARAAN 12 PENULIS EDITOR..PI MENULIS DALAM ANTOLOGI LA 11 ... ADIWIRA PERTAMA SELENGGARAAN PENULIS ZAKIAH ABD GHAFAR.

SETIAP JUDUL MENGGABUNGKAN 32 KARYA PENULIS...BAYANGKAN BERAPA PENULIS YG TERLIBAT DALAM 12 JUDUL BUKU SEKALI TERBIT.

PROAKTIF SUNGGUH PUN PUAN SRI DIAH  MEMPRODUKSI BUKU-BUKU

KAGUM SUNGGUH SEMANGATNYA

PERKONGSIAN PENULIS NORM SUFI;

LEGASI ABAH(LA1-12) - Kisah benar buat tatapan pembaca serta tanda ingatan kita buat insan tersayang. Moga boleh menjadi panduan hidup dan mengutip iktibar serta ibrah disebalik kisah yang dibaca
12 Naskah momen bersama Abah, Ayah, Abi, Apak, Appa, Bapak, Babah, Baba, Chik, Daddy, Encik, Walid dan bermacam lagi gelaran insan yang sangat kita cintai ini
Kisah Abahku dalam Naskhah #lelakiarjunahati LA5. Buat adik beradik kembar Pengkarya, syukur kita dapat menjalin ukhuwah dilandasan penulisan ini #BKHLegasi_Abah
TAHNIAH! Semua kaver dan tajuk Legasi Abah sangat menarik dan menawan jiwa
🌸LA1 - Lelaki Pelindung Cinta(Lela Osman)
🌸LA2 - Lelaki Dambaan Jiwa (Sofiyah Sumayyah Amir Paisal)
🌸LA3 - Lelaki Teragung Selamanya (Mazziah Wahab)
🌸LA4 - Lelaki Khazanah Bahagia (Hanna Sophia Hanafi)
🌸LA5 - Lelaki Arjuna Hati (Normasufi Norm)
🌸LA6 - Lelaki Langit Kejora (Mashitoh Musa)
🌸LA7 - Lelaki Pawana Cinta ( Sakinah Abu Bakar)
🌸LA8 - Lelaki Anugerah Terindah (Irni Fazrita Farid)
🌸LA9 - Lelaki Tasbih Syurga (Tie Rizal)
🌸LA10 - Lelaki Tawanan Rindu (Sitirokiah Muhamad)
🌸LA11 - Lelaki Adiwira Pertama (Paridah Ishak)
🌸LA12 - Lelaki Himpunan Setia (Saadiah Shuib Ju)

Syabas dan tahniah buat Mak Sri Diah Shaharuddin serta Tim Admin UNIVERSITI INSPIRASI KISAH HIDUP (UnIKH) moga terus membimbing kami untuk menulis hingga menjadi Saudagar Perkataan
Doaku semoga semua Pengkarya Legasi Abah sentiasa sihat dan dilidungi serta di jauhi wabak virus Covid19
Anda yang berminat sila klik👇