Saturday, 31 October 2020

AL INSYIRAH

 ASSALAMUALAIKUM


PERKONGSIAN ILMU

SURAH 94: AL INSYIRAH / AN NASYRAH (MELAPANGKAN)
MUKA SURAT: 596
(8 AYAT)

PENGENALAN: Surah ini merupakan pujukan (Tasliyah) kepada para sahabat dan umat. Surah ini turun pada peringkat pertama kenabian. Iaitu tahun pertama hingga tahun ketiga di Mekah. Dakwah secara senyap- senyap.

Dua amalan seorang mukmin.
1. Bersama manusia lain – berdakwah. Sampaikan agama.
2. Bersama Allah SWT – beribadah.

Ayat 1: Pertanyaan Allah SWT, ayat bentuk RETORIK – sebagai penekanan. Allah SWT mengingatkan Nabi Muhammad saw. DIA telah melapangkan dada baginda dengan cahaya Islam. Faham agama melalui wahyu. Diberi ilmu dan Hilmu (kebolehan mengajar ilmu).

Ayat 2: Allah SWT telah menghilangkan bebanan kepada Nabi Muhammad saw sebelum baginda menerima wahyu. Baginda terbeban melihat perbuatan syirik Musyrikin Mekah. Terbeban dengan kerosakan moral masyarakatnya. Allah SWT angkat beban baginda dengan diberi wahyu, dakwah kepada masyarakat Arab supaya lebih baik.

Ayat 3: Bebanan itu seolah-olah hampir mematahkan belakang Nabi Muhammad saw. Allah SWT beri jalan, hanya dengan wahyu boleh mengubah kejahilan masyarakat. Baginda rasa terbeban, menjalankan tugas sebagai rasul terakhir. Allah SWT beri peringatan. Tugas baginda menyampaikan dakwah. Beri hidayah hanya Allah.

Ayat 4: Dalam ayat ini Allah SWT menaikkan nama Nabi Muhammad saw. Contoh - dalam kalimah iman, kalimah TASYAHUD. Sebut nama Allah sebut nama nabi.

Ayat 5: Janji Allah SWT. Penentangan hanya di peringkat awal sahaja. Sesungguhnya setiap kesusahan yang dialami dalam agama, akan ada kesenangan. Kesenangan yang datang lebih banyak daripada kesusahan.

Ayat 6: Allah SWT menegaskan sekali lagi – Sesungguhnya sesuatu kesulitan itu ada kemudahan. Pujuk Rasulullah saw dua kali. Bukti Allah SWT sayangkan sahabat, sayangkan kita. Pujuk berkali-kali. Kesusahan hidup di dunia diganti kesenangan di akhirat berganda-ganda.

Ayat 7: Berita gembira kepada sahabat. Walaupun nabi telah tiada, teruskan tabligh wahyu. Selepas selesai berdakwah, beribadahlah kepada Allah SWT. Berdoa dengan penuh tawajjuh (fokus). Setelah melakukan amalan soleh, lakukan amalan soleh yang lain. Ingatan Allah SWT kepada kita, setelah selesai urusan dunia beribadahlah kepada-Nya. Teruskan pergantungan kepada Allah SWT.

Ayat 8: Kita hendaklah sentiasa menghadap kepada Allah SWT. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Sentiasa minta tolong kepada Allah SWT. Bukan kepada orang lain.



Friday, 30 October 2020

KALAU ABAH DAPAT GAJI

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

Alhamdulillah terima hadiah kiriman penulis mapan lagi prolific sdr
Akademik Sanggar Nurimas
. Terima kasih banyak along sudi hadiah kan kakpidah karya berupa kompilasi cerpen ini. tentu kelak dapat membantu kakpidah bagaimana menulis cerpen dengan sempurna dan karya itu mendapat perhatian editor. bolehlah bersaing dengan penulis femes ini hehehe nak lawan toke pulak kakpidah ya.
Abah dah dapat gaji tu..cubalah minta abah belikan buku ni..mudah saja janganlah segan hubungi penulisnya @FACEBOOK.

AKADEMI SANGGAR NURIMAS anak kelahiran Johor kini menetap di Terengganu seorang penulis terkenal yang rajin berkarya. Setiap minggu pasti ada karyanya berupa cerpen dan puisi disiar akhbar di sini dan menyeberang laut China Selatan juga mengisi akhbar di Sabah dan Sarawak. PI beruntung dapat mengenali penulis yang ramah dan baik sekali budi bahasanya dalam saju majlis pelancaran buku 2 tahun lalu,

Sekiranya ada yang berminat menjadi cerpenis cubalah baca buku ini untuk menambah ilmu cetusan ilham seorang penulis berpengalaman lama dalam bidangnya.




Thursday, 29 October 2020

SALAM MAULIDURRASUL

 ASSALAMUALAIKUM







RASULULLAH

 

Sebermula bismillah melafaz kata,

selawat dan  salam rasul tercinta,

pembawa nur sinar semesta,

syair digubah  dicoret tinta.

 

Dilahir bonda bernama Aminah,

Rabiulawal di tahun gajah,

dikasih asuh penuh amanah,

anak yatim ayahanda  Abdullah,

 

Bonda berpulang kepada Ilahi,

yatim piatu seorang diri,

Abd. Mutalib nendanya nabi,

menumpah kasih anugerah warisi.

 

 

Malidur rasul ingatan umat,

hari sejarah nabi Muhammad,

lahir ke dunia menjunjung rahmat,

anugerah Allah berserta nikmat.

 

Syiar Islam syariat dijulang,

meski berbilang dugaan menghalang,

tegar berjuang bukan kepalang,

darah air mata iring berselang.

 

Nabi utusan yang Rahim Rahman,

kepada umat akhir zaman

dakwah tarbiah ilmu pedoman,

semoga menjadi insan budiman

 

 

Nabi Muhammad  tersurat sudah,

membawa risalah Allah permudah,

berhati suci sifat mahmudah,

demi ummati di hujung lidah.

 

Demikian kisah nabi bestari,

 riwayat nabi  sekadar beri,

karangan kecil karya sendiri,

moga maafi  kesilapan diri.


Wednesday, 28 October 2020

HADIAH ISTIMEWA BLOGGER NORHIDANA

 ASSALAMUALAIKUM





ALHAMDULILLAH BERBAHAGIA SUNGGUH PI MENERIMA HADIAH KIRIMAN BLOGGER COMMEY LOTEY CHEFF NORHIDANA MISWAN...AKAN DISIMPAN BAIK-BAIK SEBAGAI KENANGA ABADI UKHUWAH YANG TERJALIN SELAMA INI WALAU SEMANGGA LEWAT MAYA..

TERIMA KASIH BANYAK DANA SUSAH-SUSAH KIRIM KAK HADIAH.

JOM SERBU BLOG http://misshamakeupstore.blogspot.com/ SEBAGAI TANDA SOKONGAN N MENINHKATKAN TRAFIK VIEWERS JUGA.

Tuesday, 27 October 2020

DARURAT

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)


DARURAT

Saat darurat sedang sakarat
kepada Allah hanya berserah
sakit segala terasa berat

Minda memikir tak tentu arah
mendamba Allah tenangkan jiwa
detik terakhir harungi parah

Dosa pahala akan dibawa
ke alam baqa kekal abadi
mengharap belas kerana takwa

Amalan soleh yakin sempurna
ibadah dengan setulus hati
moga di sana tidak merana

Langkah yang pasti menuju mati
mailakat maut sering memandang
hadirnya kelak nafas terhenti

Monday, 26 October 2020

TUMBUK SAMBAL

 ASSALAMUALAIKUM


 

PIC GOOGLE IMAGES (C)

PANTUN ANEKA

 

Terserlah warna berseri batik,

galau di sidai berhabuk tebal;
apalah guna isteri cantik,

kalau tak pandai menumbuk sambal.

 

 


Membaling batu terkena gelas,

kisah dikenang lama bersisa;

Saling membantu tulus dan ikhlas,

Susah dan senang sama dirasa.



 

Rimbunan redup subur kelisa,

tatkala senja dihinggap merbah;

dugaan hidup sukar terasa,

sabar sahaja moga berubah.

 

Adik melenjan tak tentu arah,

sambil menampi kaki direndam;

semoga hujan turun mencurah,

gejolak api segera padam.

 

Mawar berduri berkuntum sisi,

gugusan pauh leka dilihat;

jaga kendiri kawal emosi

berfikir jauh demi maslahat.

 

Tertumpah tumpi adik terkenang,

selerah baju cari busana;

serapah jampi bidik petunang,

arah dituju biar mengena.


Saturday, 24 October 2020

MANDI BUNGA

 ASSALAMU  ALAIKUM


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU

SELESAKAN DIRI SERAYA BERPKPD.


MANDI BUNGA
Dalam perubatan alternatif, mandian begini untuk memudahkan sesiapa yang melakukannya memperolehi jodohnya. Insyaa-Allah. Segalanya mungkin saja. Kalau mengikut kata perawat alternatif tidak lebih dari tujuh jenis bunga yang ditentukan saja.
Sebenarnya mandi dengan bunga-bungaan boleh menyegarkan kelesuan tubuh dan menyerikan wajah. Boleh saja diamalkan sendirian tanpa melibatkan sesiapa. Kutip sajalah bunga-bunga yang ada di halaman rumah dan daun-daun seperti pandan, limau purut. Ikutlah apa teringin. Jangan lupakan masukkan juga dalam air mandian, hirisan limu nipis.
Selalunya bunga-bunga yang menjadi pilihan untuk tujuan mandi bunga mestilah yang harum dan cantik seperti melur, melati, mawar, cempaka, tanjung, anggerik dll. Boleh juga dicampurkan dengan bunga-bunga yang tidak harum untuk menambah jumlahnya.
Mandilah dengan nyaman sambil tidak lupa berniat kerana Allah. Hasilnya tentu terasa tubuh menjadi segar dan wajah kelihatan berseri auranya memancar-mancar. Mempesonakan.






Friday, 23 October 2020

OKB

 ASSALAMUALAIKUM


OKB



Tajuk cerpenku kali ini OKB lela...
Demikian smsku kepada sahabatku, Lela penulis yang menggunakan nama pena NOORLAILA GHAFAR yang rajin berkarya. Dan karya-karyanya sering menangi hadiah penulisan.

Aku bukan penulis seperti ramai rakan-rakan penulis hebat dan giat berkarya. Aku sekadar berkarya suka-suka, menghibur hati sunyi, mengisi ruang masa. Tidak ada apa-apa matlamat yang hendak dikejar pun. Agaknya kalau aku tidak patah kaki dan pinggul pastinya aku tidak mengadap skrin computer dan mengetik keyboard setiap hari. Hobiku yang utama hanyalah berkebun. Lantaran tiada lagi dayaku hendak menguruskan kebunku maka di sinilah aku terduduk lesu di atas kerusi roda bertemankan computer yang sering bertukar ganti. Biasalah benda baharu alam ini tidak akan kekal selamanya.
Kenapa OKB ida? Orang kaya baru ya...
Balas sms lela

Bukanlah lela......Orang Kurang Berupaya...sy lh tu...
Jelasku dengan sms sambil gelak sinis.

Aku teringatkan secebis kisah itu tika hendak bertemu dengan seorang rakan fb iaitu Rashida Othman di cafe Selayang. Beliau ini ingin sekali menemuiku walauku katakan kepadanya aku ini adalah OKU.

Pertemuanpun diatur seesuai dengan janji yang dimeteri. Aku sampai lebih dulu bersama anak menantu dan cucu yang menemani. Seorang lelaki Cina mungkin sebaya aku lantas segera turun dari cafe berusaha untuk menolongku menaiki tangga cafe yang cuma dua takah itu.

Hatiku tersentuh sekali dengan keprihatinannya membantuku tanpa mengira siapa aku. Berkali-kaliku ucapkan rasa terima kasihku kepadanya.

" Takpa saya pun tua......saya faham masalah orang tua..."
Dan orang-orang tua sepertiku juga lelaki Cina itu tentu ingin hidup harmoni saling tolong bantu tanpa ragu dan keliru menghuni sebuah negara yang aman dari sengketa. Apalagi setelah bergelar OKB atau OKU...

Thursday, 22 October 2020

TAHNIAH SIFU

 ASSALAMUALAIKUM

TELAH DIUMUMKAN SENARAI PEMENANG SAYEMBARA MENULIS SYAIR PERINGKAT NEGERI PERAK ANJURAN DBP DAN KERAJAAN NEGERI PERAK. SAHABAT PENULIS YAHTI HAYATI MENGAJAK SIFU TABIR ALAM MENYERTAINYA KERANA KEDUA-DUANYA WARGA PERAK.

ANAK MURID DAN SIFU BERSAING KARYA DALAM SAYRMBARA SYAIR MEMANG TERBAIK.

KEPUTUSANNYA MENGEJUTKAN JUGA. SIFU TABIR ALAM MENANG TEMPAT PERTAMA DAN SAHABAT PENULIS YAHTI HAYATI TERSENARAI SEBAGAI PEMENANG TEMPAT KETIGA...MANAKALA ZURAIDA DEWI SAHABAT PEMULIS GRUP SPTA MENDAPAT HADIAH SAGUHATI.

ALHAMDULILLAH KEMENANGAN SIFU DAN ANAK-ANAK MURIDNYA MEMBANGGAKAN KAMI PENULIS-PENULIS YANG BERNAUNG DI BAWAH SPTA...KATA SIFU KAMI PENULIS-PENULIS SPTA ADALAH PUJANGGA...HEH..HEH..PUJANGGALAH SANGAT



Wednesday, 21 October 2020

SAMBAL ROSEL NORAZIMAH

 ASSALAMUALAIKUM


ALHAMDULILLAH PI MENERIMA HADIAH ISTIMEWA DARIPADA BLOGGER NORAZIMAH SEBUAH PURSE KECIL YANG CANTIK DIBELI DARI MEKAH LAGI...TURUT DISERTAKAN SAMBAL ROSEL YANG ENAK AIR TANGANNYA....TERHARU SUNGGUH HATI PI KERANA BAIK BUDI BLOGGER SEORANG INI...TERIMA KASIH BANYAK NOR KIRIMKAN KAK HADIAH ISTIMEWA INI...SEMOGA ALLAH SENTIASA MEMBERKATIMU SEKELUARGA DAN JUGA KITA SEMUA DILINDUNGI ALLAH DARIPADA SEGALA MUSIBAH SENTIASA BEROLEH RAHMAT KEBAHGIAN DILIMPAHI REZEKI-NYA AMIIN....JOM RAMAI SERBU BLOG https://srikandiofficialblog.blogspot.com/2020/10/air-asam-roselle-vs-ulam-raja.html

SEBAGAI TANDA SOKONGAN KITA SESAMA BLOGGER. MANA TAU ADA REZEKI DAPAT PULA HADIAH DARIPAD NOR KAN...








Tuesday, 20 October 2020

PENYELENGGARA ANTOLOGI

 ASSALAMUALAIKUM


PENYELENGGARA ANTOLOGI

 





Aku  giat menulis di medsos @facebook mulai 2011. Kemudian berpeluang mengenali beberapa penulis prolific yang giat berkarya secara maya. Sebelum ini aku telah mendapat beberapa kawan penulis yang baik sangat setelah berpeluang mengikuti kursus penulisan cerpen 2007 anjuran DBP untuk pesara di hotel Dynasty KL.  

Antaranya Noorlaila Ghafar, Amir Hamzah, Mokhtar Rahman, Wan Kursiah, Hamidah Kamarudin, Solehin Osman, WB.Rendra, Norjan Rahim, Baharudin Darus dan beberapa nama lagi yang tidak dipanggil ingatan. Kursus itu di bawah kendalian bimbingan sifu penulisan puan Zaharah Nawawi.

Pengalaman baru berada di kalangan penulis-penulis ternama begitu mengujakan. Sedangkan aku bukan sesiapa pun. Hanya sekadar penulis yang suka menulis dan membaca sejak pengetahuan itu kuperolehi. Kesemua kawan-kawan penulis yang baru kukenali telah miliki buku karya persendirian masing-masing. Sedang aku tiada lagi. Sedih pula. Teringin juga nak milikinya walau sebuah.

Aku cuba menghantar karya berupa cerpen, artikel, puisi kepada penerbit BeTA, ustaz Ilhami Hisham Selaku penyelenggara ustaz ini membimbing secara umum bagaimana menulis sesuatu karya. Kebetulan tika itu didokong sahabatku penulis Saniah Masri join grup haiku di bawah bimbingan sifu TA. Kuat betul SM mendokong kakaknya ini dan mendudukkannya dalam kelas haiku kan heh..heh.

Sambil cuba memahami ilmu puisi haiku setakat kemampuan sifu mempelawa menyertakan sajak dalam antologi AIDILFITRI yang akan diterbitkan. Alhamdulillah hajatku untuk miliki sebuah antologi tertunai juga. Antologiku yang pertama dalam sejarah terbitan sifu TA. Aku pun berkongsi kegembiraanku dengan sahabatku NG.

Setelah itu aku terus menekuni kelas puisi dalam talian SPTA. Hasil bimbingan sifu terbitlah sejumlah antologi yang tidak sedikit tersusun dalam rak. Terima kasih banyak sifu menurunkan ilmu, menunjuk ajar sekali gus menerbitkan karya. Dan merealisasi impian penulis marhaen.

Langkah menerbitkan buku secara karya bersama berkembang kini. Kalau ada sedikit rezeki insyaa-Allah aku join juga. Kebanyakkannya penyelenggara hanya meminta karya untuk dinilai dan diterbitkan. Ada penyelenggara meminta penulis mengedit sendiri karya mereka setelah karya itu dipulangkan. Pening pula penulis memikirkan nak edit tang mana lagi heh..heh..kan Yahti. Kan kerja penyelenggara itu mengedit karya. Edit sajalah.

Ada penyelenggara yang meminta izin penulis mengedit karya penulis agar kelihatan lebih bersesuaian. Ini cara cikgu HMY @grup MMSK amat aku setujui sebab menyenangkam kerjaku heh..heh..


Monday, 19 October 2020

BISIKAN HATI

 ASSALAMUALAIKUM


BISIKAN HATI

Tidaklah mudah melayap lelah,
ketapang sanggu gerigis rintis,
lahan disurih sedak terjingkit,
bimbang dipingit di pekan Larkin;
patahlah sudah sayap sebelah,
bertopang dagu tangis menitis,
menahan perih tidak sedikit,
terbang ke langit masakan mungkin.





Teringat sari menyusur rumah,
landur serata nian sekata,
pelita bawa perdu tembusu,
mempelam lama di tepi guri;
semangat diri beransur lemah,
uzur merenta kian ternyata,
derita jiwa terkedu bisu,
di dalam sukma sepi sendiri.

Sunday, 18 October 2020

TAFSIR SURAH AD-DHUHA

 ASSAKAMUALAIKUM



Perkongsian ilmu.
TAFSIR SURAH 93: AD-DHUHA (MATAHARI YANG MENINGGI/ PAGI YANG CEMERLANG)
MUKA SURAT : 596 ( 11 AYAT)
PENGENALAN: Surah ini merupakan pujukan (Tasliyah) kepada Nabi Muhammad saw. Surah ini turun setelah terputus wahyu beberapa lama. Rasulullah dicela dan dimaki oleh orang-orang Quraisy Mekah. Tuhan Muhammad meninggalkannya. Ketika itu baginda sedih. Allah SWT angkat darjat baginda. Ujian menyebabkan seseorang rapat dengan Allah.
Ayat 1 : Allah SWT memulakan surah dengan bersumpah Ini merupakan sumpah yang pertama daripada Allah SWT. Allah bersumpah dengan waktu DHUHA. Waktu pagi manusia memulakan kehidupan dan bekerja. Setelah tidur dan rehat sepanjang malam. Waktu Dhuha isyarat wahyu datang kapada Nabi Muhammad saw dengan penuh cahaya. Sebagaimana cahaya matahari pagi yang nyaman. Allah bersumpah dengan waktu Dhuha, menunjukkan kepentingan waktu Dhuha. Hanya Allah sahaja boleh bersumpah dengan waktu dhuha. Kita tidak boleh.
Ayat 2: Sumpahan kedua. Allah bersumpah dengan waktu MALAM. Malam apabila senyap dan sunyi. Isyarat, satu waktu Ketika Nabi Muhammad saw tidak menerima wahyu. Tanpa wahyu alam ini gelap seperti malam. Malam untuk berehat. Siang dan malam, susah dan senang adalah kehidupan manusia.
Ayat 3: Kisah orang Quraisy sindir dan menuduh Tuhan Muhammad telah meninggalkannya. Tuhannya telah marah. Allah SWT menjawab tegas, Tuhanmu tidak meninggalkan kamu. Tuhan kamu tidak murka kepadamu. Tidak turun wahyu bukan kerana tuduhan-tuduhan itu. Tidak turun wahyu ada hikmahnya. Allah SWT sediakan tempat Rasulullah saw tempat yang lebih baik di akhirat, iaitu syurga.
Ayat 4: Ayat TASLIYAH – Pujukan kepada Nabi Muhammad saw. Kesudahan untuk baginda lebih baik daripada permulaan. Kesudahan membawa maksud akhirat, baginda ahli syurga. Akhirat lebih baik daripada dunia. Kelebihan Nabi Muhammad saw – disebut dalam AZAN. Dalam TASYAHUD. Amalan-amalan kita Rasullaulah saw dapat pahala jariah. Allah beritahu kerja-kerja dakwah di awal memang sukar. Lama kelamaan mudah, Allah SWT bantu. Untuk lapang jiwa - berzikir. Zikir
terbaik
solat dan baca Quran.
Ayat 5: Allah SWT berjanji, Nabi Muhammad saw akan mendapat nikmat yang banyak. Allah SWT beritahu jangan takut dengan tentangan daripada Musyrikin Mekah. Surah ini turun di Mekah. Janji Allah SWT baginda akan menang. Di awal dakwah, baginda mendapat tentangan dan dipulaukan. Tetapi akhirnya baginda dapat menawan Kota Mekah dan mempunyai pengikut 100,000 lebih. Allah SWT beri kebaikan kepada baginda di dunia dan akhirat. Pasti baginda akan berpuas hati.
Ayat 6: Allah SWT telah mengingatkan kepada Nabi Muhammad nikmat-nikmat yang telah diberi. Allah SWT telah lindungi Rasulullah saw ketika baginda yatim. (1) Baginda dijaga oleh datuknya Abdul Mutalib (2) Dijaga oleh bapa saudaranya Abu Talib. (3) Kahwin dengan Siti Khadijah. Semua menyangi baginda termasuk para sahabat. Sebenarnya Allah SWT yang menyangi dan melindungi baginda.
Ayat 7: Allah SWT mengingatkan lagi. Ketika Nabi Muhammad saw dalam mencari kebenaran, Allah SWT beri petunjuk dan hidayah. Ketika itu masyarakat Arab menyembah berhala. Dulu baginda tidak jumpa jalan yang benar. Tidak tahu kitab. Tidak tahu iman. Allah beri pimpinan.
Ayat 8: Allah SWT sebut lagi nikmat-nikmat yang telah diberi kepada Nabi Muhammad saw. Baginda seorang yang miskin, serba kekurangan. Allah SWT beri kecukupan. Menjelang wafat harta baginda sangat banyak. Diperolehi daripada harta rampasan perang. Contoh tanah-tanah di Khaibar. Tetapi harta baginda tidak boleh jadi pusaka kepada anak-anaknya. Harta baginda sedekah untuk umatnya. Hanya pusaka ilmu untuk anak-anak dan keluarganya.
Ayat 9: Allah SWT mengarahkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kita semua supaya jangan menzalimi anak-anak yatim. Jangan layan mereka dengan kasar. Anak-anak yatim piatu masih kecil, perlu perlindungan dan pertolongan. Perlu kasih sayang dan didikan. Layanan kasar kepada mereka akan mengganggu fikiran. Hadis sahih – sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim, dekat dengan Rasullullah saw seperti dua jari.
Ayat 10: Golongan yang meminta-minta, jangan halau dan herdik. Jangan tengking dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Jangan berjanji, kalau berjanji dia datang lagi. Layan dengan baik. Boleh jadi mereka minta bantuan dari segi makanan, wang, ilmu pengetahuan dan tempat tinggal. Allah SWT mengajar Nabi Muhammad saw dan kita semua supaya berlembut dengan mereka. Minta maaf jika tak mampu tolong. Jangan pandang hina kepada mereka.
Ayat 11: Nikmat-nikmat yang kita dapat daripada Allah SWT perlu sebarkan. Nikmat-nikmat ilmu , ceritakan dan kongsikan. Nikmat kenabian, Nabi Muhammad saw hendaklah sampaikan kepada orang lain. Merujuk kepada kita juga. Nikmat ilmu agama, nikmat pandai Quran – perlu, sampaikan. Nikmat harta kekayaan – perlu bersyukur dengan infak wajib (zakat) dan infak sunat.
You, Sabariah Nor