ASSALAMUALAIKUM
Prof Dr Salmah Amir
5.1 2025
Kulai, Johor
MENYAMBUT HARI RAYA DI MALAYSIA HALL, LONDON
(Sebuah Refleksi Perantauan dan Kesyukuran)
Menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga di sisi merupakan satu pengalaman
yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan sayu itu bukan sekadar hadir
sebagai rindu biasa, tetapi menyelinap perlahan-lahan ke dalam jiwa, terutama
apabila alunan lagu-lagu raya berkumandang di pagi Syawal. Lagu yang sepatutnya
membangkitkan keceriaan tiba-tiba menjadi pemicu air mata. Sayu mendera hati. Saat
itu, jarak ribuan batu antara diriku dan keluarga terasa terlalu jauh, Seolah-olah
tiada jambatan emosi yang mampu
menghubungkan kerinduan yang menyeksa diri ini.
Namun, di sebalik kesedihan tersebut, aku menyaksikan satu kekuatan luar biasa
yang terpancar dalam diri anak-anak remaja Malaysia yang berada di perantauan
kerana menuntut ilmu. Mereka masih terlalu muda, baru melangkah keluar dari
kepompong keluarga, namun terpaksa berdiri sendiri di bumi asing. Aku, sebagai
pelajar dewasa, masih mampu mengawal emosi dan menahan sebak di dada. Tambahan
pula, terdapat pelajar peringkat Doktor Falsafah yang membawa ahli keluarga
bersama, maka kesunyian itu tidak terlalu menekan jiwa mereka. Keadaan ini
sangat berbeza dengan pelajar-pelajar lepasan sekolah yang baru berusia sekitar
lapan belas tahun. Mereka datang dengan harapan, impian dan keberanian, tetapi
dalam diam menyimpan rasa takut dan sunyi. Dan menanggung rindu pada ayah ibu
dan mereka yang dikasihi di kampung halaman.
Golongan muda inilah yang paling terasa kekosongan pada pagi raya. Ada antara
mereka yang mencari keluarga angkat, sekurang-kurangnya agar tidak menyambut
Hari Raya sendirian. Mereka ingin merasa bahawa masih ada bahu untuk bersandar,
tangan untuk bersalaman, dan suara untuk mengucapkan takbir bersama. Aku dan
rakan-rakan pernah menyambut Hari Raya bersama mereka, dan pengalaman itu
membuka mataku tentang makna sebenar sebuah keluarga—bukan sekadar ikatan
darah, tetapi hubungan kasih sayang yang dibina atas empati dan keprihatinan.
Saling berkongsi merasai kehilangan yang sukar ditafsirkan.
Kami memasak rendang dengan penuh rasa cinta bersama-sama, menyediakan ketupat
beras yang dibungkus ringkas menggunakan plastik dan diikat dengan getah,
lengkap dengan lodeh serta sambal kacang. Walaupun jauh dari kesempurnaan
hidangan di tanah air, setiap lauk itu sarat dengan niat untuk menghadirkan
suasana Hari Raya yang sebenar. Bau rendang yang memenuhi ruang dapur kecil itu
seakan-akan membawa kami pulang seketika ke rumah sendiri. Merasai suasana
kemeriahan menyambut hari raya bersama keluarga yang jauh ditinggalkan di tanah
air. Wajah-wajah muda yang menikmati juadah tersebut dengan senyuman dan mata
yang bersinar menjadi ganjaran paling bermakna buat kami. Kelihatan mereka begitu
berselera.
Pada pagi raya, aku mengenakan baju kurung batik yang dibawa khas dari
Malaysia. Sebanyak empat pasang semuanya
dengan pilihan warna asas biru, merah, hijau dan kuning. Kebanyakannya batik
sutera Terengganu, dijahit dalam gaya baju kurung Johor bersembat yang ditempah
khas. Aku amat menyukainya. Setiap helai baju itu bukan sekadar pakaian, tetapi
lambang jati diri dan kenangan kampung halaman. Saat menyarungnya, aku berasa
seolah-olah membawa sebahagian tanah air ke bumi asing ini. Cantik belaka, dan
dipakai dengan penuh rasa syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan.
Alhamdulillah.
Pada suatu tahun, aku benar-benar ingin merasai suasana Hari Raya yang sering
diperkatakan sangat meriah di Malaysia Hall, London. Rakan-rakan pelajar mengajakku
menempah bilik di Malaysia Hall yang terletak di Bryanston Square, dengan kadar
sewaan pelajar yang murah. Namun, setelah berfikir panjang, aku memilih untuk
memberi keutamaan tersebut kepada pelajar-pelajar remaja yang hidup bergantung
sepenuhnya pada biasiswa. Ramai antara mereka datang dari keluarga kampung
dengan pendapatan terhad. Mereka bergelut menempuh cabaran kehidupan di
perantauan Ada yang terpaksa bekerja sambilan, mencuci pinggan di kedai makan
demi menampung keperluan harian. Aku pula menerima elaun latihan dan gaji
bulanan dari Malaysia, selain kiriman suami. Lega sedikit masalah sara hidupku.
Ketika itu, aku benar-benar tersentuh dan bersyukur atas aturan Allah yang
sempurna dalam perjalanan hidupku. Setiap rezeki datang bersama tanggungjawab
untuk berkongsi.
Dua hari sebelum Hari Raya, aku dan sahabat menempah tiket kereta api ke London
serta hotel berhampiran Malaysia Hall. Perjalanan selama tujuh jam dari
Newcastle terasa agak memenatkan, namun penuh dengan debaran. Kami berbual
tentang kenangan raya, tentang keluarga di tanah air, dan tentang harapan masa
depan. Setibanya di London, kami memilih untuk berehat awal agar dapat bangun
dengan segar dan bertenaga pada pagi Syawal. Walau jauh di sudut hati aku
merindukan ayah ibu suami, anak dan adik-beradikku di sana. Aku membayangkan
keriangan bersama kecintaanku itu. Memendam kerinduan membungkam.
Pagi itu, aku bersiap dengan penuh tertib, mengenakan baju kurung batik sutera
Terengganu bercorak lukisan tangan yang halus. Aku memilih kombinasi warna
hijau pucuk pisang dan kuning, dihiasi garisan emas yang sederhana tetapi
anggun. Setiap helaian kain itu seakan-akan menyimpan cerita tangan-tangan seni
dari tanah air. Dan menata-rias wajah dengan solekan tipis, menyembur pewangi
mawar mengharumkan tubuh. Setelah itu aku dan kawan-kawanku berjalan kaki menuju Malaysia Hall untuk
menunaikan solat Hari Raya bersama Duta Malaysia, pegawai kedutaan, staf
Malaysian Student Department (MSD), serta pelajar-pelajar dari seluruh United
Kingdom. Ramai juga jumlahnya. Kawalan keselamatan Polis London mengiringi
perhimpunan besar rakyat Malaysia di tengah kota metropolitan itu. Aku kagum
sekali keprihatinan pihak berkuasa di situ. Pemandangan tersebut sungguh
menyentuh hati. Sebuah komuniti kecil
yang bersatu atas nama negara dan agama, di tengah-tengah kesibukan kota asing
bersama-sama di hari raya.
Selepas solat, ucapan Selamat Hari Raya disampaikan oleh Duta Malaysia.
Kata-kata beliau sarat dengan semangat perpaduan dan harapan. Jamuan
disediakan, diiringi alunan lagu-lagu raya yang menghidupkan suasana. Kami
berkenalan, bertegur sapa, dan berbual mesra tanpa mengira siapa dan latar
belakang atau peringkat pengajian. Pada saat itu, aku benar-benar merasakan
seolah-olah berada bersama keluarga sendiri. Silaturahim yang terjalin terasa
begitu ikhlas, malah berpanjangan sehingga kami pulang ke tanah air.
Hari itu diisi dengan kunjungan ke beberapa rumah terbuka. Termasuk juga ke
rumah Duta Malaysia, rumah warden Malaysia Hall, dan kami turut menikmati juadah
Hari Raya warga Indonesia di Directorate Matahari yang terletak di belakang
Malaysia Hall. Tidak jauh pun dari situ. Kepelbagaian budaya dan persaudaraan
serantau itu mengajar aku tentang erti kebersamaan yang melangkaui sempadan
negara. Namun syariah Islam suci mulia menyatukan semua tanpa pedulikan
perbezaan keturunan. Walaupun perut terasa kenyang dengan pelbagai hidangan,
hati aku jauh lebih kenyang dengan rasa bahagia dan amat bersyukur anugerah-Nya.
Pengalaman menyambut Hari Raya di Malaysia Hall, London bersama ratusan pelajar
Malaysia ini kekal sebagai kenangan indah yang tidak akan aku lupakan hingga
akhir hayatku. Ia bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi sebuah pelajaran pengalaman
hidup tentang empati, pengorbanan dan kesyukuran. Di perantauan, aku belajar
bahawa rumah bukan hanya sebuah tempat, tetapi binaan agamnya perasaan. Citra perasaan
indah asbab diterima, dihargai dan disayangi. Alhamdulillah, pengalaman ini
akan sentiasa tersemat kemas dalam lipatan memoriku sebagai satu anugerah yang
tidak ternilai. Dan mungkin tidak mampu lagi untuk diulangi merasai suasananya.
Abadi sebagai nostalgia menggamit kenangan.
Lagu pilihan;
1.
Dendang Perantau – P Ramlee
2.
Sesuci Lebaran - Siti Nurhaliza
3.
Bersabarlah sayang – Sanisah Huri


Rasa sedih ketika melaluinya tapu rasa manis apabila dikenang.
ReplyDelete