Sunday, 12 April 2026

MENYAMBUT HARI RAYA DI MALAYSIA HALL, LONDON

 ASSALAMUALAIKUM






Prof Dr Salmah Amir
5.1 2025

Kulai, Johor

 

 

MENYAMBUT HARI RAYA DI MALAYSIA HALL, LONDON
(Sebuah Refleksi Perantauan dan Kesyukuran)

Menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga di sisi merupakan satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Perasaan sayu itu bukan sekadar hadir sebagai rindu biasa, tetapi menyelinap perlahan-lahan ke dalam jiwa, terutama apabila alunan lagu-lagu raya berkumandang di pagi Syawal. Lagu yang sepatutnya membangkitkan keceriaan tiba-tiba menjadi pemicu air mata. Sayu mendera hati. Saat itu, jarak ribuan batu antara diriku dan keluarga terasa terlalu jauh, Seolah-olah  tiada jambatan emosi yang mampu menghubungkan kerinduan yang menyeksa diri ini.
Namun, di sebalik kesedihan tersebut, aku menyaksikan satu kekuatan luar biasa yang terpancar dalam diri anak-anak remaja Malaysia yang berada di perantauan kerana menuntut ilmu. Mereka masih terlalu muda, baru melangkah keluar dari kepompong keluarga, namun terpaksa berdiri sendiri di bumi asing. Aku, sebagai pelajar dewasa, masih mampu mengawal emosi dan menahan sebak di dada. Tambahan pula, terdapat pelajar peringkat Doktor Falsafah yang membawa ahli keluarga bersama, maka kesunyian itu tidak terlalu menekan jiwa mereka. Keadaan ini sangat berbeza dengan pelajar-pelajar lepasan sekolah yang baru berusia sekitar lapan belas tahun. Mereka datang dengan harapan, impian dan keberanian, tetapi dalam diam menyimpan rasa takut dan sunyi. Dan menanggung rindu pada ayah ibu dan mereka yang dikasihi di kampung halaman.
Golongan muda inilah yang paling terasa kekosongan pada pagi raya. Ada antara mereka yang mencari keluarga angkat, sekurang-kurangnya agar tidak menyambut Hari Raya sendirian. Mereka ingin merasa bahawa masih ada bahu untuk bersandar, tangan untuk bersalaman, dan suara untuk mengucapkan takbir bersama. Aku dan rakan-rakan pernah menyambut Hari Raya bersama mereka, dan pengalaman itu membuka mataku tentang makna sebenar sebuah keluarga—bukan sekadar ikatan darah, tetapi hubungan kasih sayang yang dibina atas empati dan keprihatinan. Saling berkongsi merasai kehilangan yang sukar ditafsirkan.
Kami memasak rendang dengan penuh rasa cinta bersama-sama, menyediakan ketupat beras yang dibungkus ringkas menggunakan plastik dan diikat dengan getah, lengkap dengan lodeh serta sambal kacang. Walaupun jauh dari kesempurnaan hidangan di tanah air, setiap lauk itu sarat dengan niat untuk menghadirkan suasana Hari Raya yang sebenar. Bau rendang yang memenuhi ruang dapur kecil itu seakan-akan membawa kami pulang seketika ke rumah sendiri. Merasai suasana kemeriahan menyambut hari raya bersama keluarga yang jauh ditinggalkan di tanah air. Wajah-wajah muda yang menikmati juadah tersebut dengan senyuman dan mata yang bersinar menjadi ganjaran paling bermakna buat kami. Kelihatan mereka begitu berselera.
Pada pagi raya, aku mengenakan baju kurung batik yang dibawa khas dari Malaysia. Sebanyak  empat pasang semuanya dengan pilihan warna asas biru, merah, hijau dan kuning. Kebanyakannya batik sutera Terengganu, dijahit dalam gaya baju kurung Johor bersembat yang ditempah khas. Aku amat menyukainya. Setiap helai baju itu bukan sekadar pakaian, tetapi lambang jati diri dan kenangan kampung halaman. Saat menyarungnya, aku berasa seolah-olah membawa sebahagian tanah air ke bumi asing ini. Cantik belaka, dan dipakai dengan penuh rasa syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Alhamdulillah.
Pada suatu tahun, aku benar-benar ingin merasai suasana Hari Raya yang sering diperkatakan sangat meriah di Malaysia Hall, London. Rakan-rakan pelajar mengajakku menempah bilik di Malaysia Hall yang terletak di Bryanston Square, dengan kadar sewaan pelajar yang murah. Namun, setelah berfikir panjang, aku memilih untuk memberi keutamaan tersebut kepada pelajar-pelajar remaja yang hidup bergantung sepenuhnya pada biasiswa. Ramai antara mereka datang dari keluarga kampung dengan pendapatan terhad. Mereka bergelut menempuh cabaran kehidupan di perantauan Ada yang terpaksa bekerja sambilan, mencuci pinggan di kedai makan demi menampung keperluan harian. Aku pula menerima elaun latihan dan gaji bulanan dari Malaysia, selain kiriman suami. Lega sedikit masalah sara hidupku. Ketika itu, aku benar-benar tersentuh dan bersyukur atas aturan Allah yang sempurna dalam perjalanan hidupku. Setiap rezeki datang bersama tanggungjawab untuk berkongsi.
Dua hari sebelum Hari Raya, aku dan sahabat menempah tiket kereta api ke London serta hotel berhampiran Malaysia Hall. Perjalanan selama tujuh jam dari Newcastle terasa agak memenatkan, namun penuh dengan debaran. Kami berbual tentang kenangan raya, tentang keluarga di tanah air, dan tentang harapan masa depan. Setibanya di London, kami memilih untuk berehat awal agar dapat bangun dengan segar dan bertenaga pada pagi Syawal. Walau jauh di sudut hati aku merindukan ayah ibu suami, anak dan adik-beradikku di sana. Aku membayangkan keriangan bersama kecintaanku itu. Memendam kerinduan membungkam.
Pagi itu, aku bersiap dengan penuh tertib, mengenakan baju kurung batik sutera Terengganu bercorak lukisan tangan yang halus. Aku memilih kombinasi warna hijau pucuk pisang dan kuning, dihiasi garisan emas yang sederhana tetapi anggun. Setiap helaian kain itu seakan-akan menyimpan cerita tangan-tangan seni dari tanah air. Dan menata-rias wajah dengan solekan tipis, menyembur pewangi mawar mengharumkan tubuh. Setelah itu aku dan kawan-kawanku  berjalan kaki menuju Malaysia Hall untuk menunaikan solat Hari Raya bersama Duta Malaysia, pegawai kedutaan, staf Malaysian Student Department (MSD), serta pelajar-pelajar dari seluruh United Kingdom. Ramai juga jumlahnya. Kawalan keselamatan Polis London mengiringi perhimpunan besar rakyat Malaysia di tengah kota metropolitan itu. Aku kagum sekali keprihatinan pihak berkuasa di situ. Pemandangan tersebut sungguh menyentuh hati. Sebuah  komuniti kecil yang bersatu atas nama negara dan agama, di tengah-tengah kesibukan kota asing bersama-sama di hari raya.
Selepas solat, ucapan Selamat Hari Raya disampaikan oleh Duta Malaysia. Kata-kata beliau sarat dengan semangat perpaduan dan harapan. Jamuan disediakan, diiringi alunan lagu-lagu raya yang menghidupkan suasana. Kami berkenalan, bertegur sapa, dan berbual mesra tanpa mengira siapa dan latar belakang atau peringkat pengajian. Pada saat itu, aku benar-benar merasakan seolah-olah berada bersama keluarga sendiri. Silaturahim yang terjalin terasa begitu ikhlas, malah berpanjangan sehingga kami pulang ke tanah air.
Hari itu diisi dengan kunjungan ke beberapa rumah terbuka. Termasuk juga ke rumah Duta Malaysia, rumah warden Malaysia Hall, dan kami turut menikmati juadah Hari Raya warga Indonesia di Directorate Matahari yang terletak di belakang Malaysia Hall. Tidak jauh pun dari situ. Kepelbagaian budaya dan persaudaraan serantau itu mengajar aku tentang erti kebersamaan yang melangkaui sempadan negara. Namun syariah Islam suci mulia menyatukan semua tanpa pedulikan perbezaan keturunan. Walaupun perut terasa kenyang dengan pelbagai hidangan, hati aku jauh lebih kenyang dengan rasa bahagia dan amat bersyukur anugerah-Nya.
Pengalaman menyambut Hari Raya di Malaysia Hall, London bersama ratusan pelajar Malaysia ini kekal sebagai kenangan indah yang tidak akan aku lupakan hingga akhir hayatku. Ia bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi sebuah pelajaran pengalaman hidup tentang empati, pengorbanan dan kesyukuran. Di perantauan, aku belajar bahawa rumah bukan hanya sebuah tempat, tetapi binaan agamnya perasaan. Citra perasaan indah asbab diterima, dihargai dan disayangi. Alhamdulillah, pengalaman ini akan sentiasa tersemat kemas dalam lipatan memoriku sebagai satu anugerah yang tidak ternilai. Dan mungkin tidak mampu lagi untuk diulangi merasai suasananya. Abadi sebagai nostalgia menggamit kenangan.

Lagu pilihan;

1.    Dendang Perantau – P Ramlee

2.    Sesuci Lebaran - Siti Nurhaliza

3.    Bersabarlah sayang – Sanisah Huri

 



1 comment:

  1. Rasa sedih ketika melaluinya tapu rasa manis apabila dikenang.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”