Friday, 7 October 2022

SURAH: 108: AL KAUTHAR Muka Surat: 602.

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



PERKONGSIAN ILMU
SURAH: 108: AL KAUTHAR
Muka Surat: 602.
Ayat: 1 – 3
Pengenalan: Dakwa utama surah ini adalah berkenaan dengan TAUHID. Surah ini memujuk Rasulullah saw dan menafikan syirik dalam kepercayaan dan perbuatan. Surah Kauthar memberi ancaman kepada Musyrikin Mekah.
Al Kauthar bermakna kebaikan yang banyak. Al Quran adalah sumber kebaikan yang banyak dengan memperkenalkan Allah. (Mentauhidkan Allah dan memahami serta menafikan syirik). Menjadikan perkataan, perbuatan dan harta seseorang berpahala untuk melayakan dirinya mendapat minuman di telaga Kauthar!
Surah al-Kawuthar ini diturunkan di Mekah dan ia adalah surah yang menceritakan tentang nikmat besar yang Allah berikan kepada baginda Rasululullah SAW. Juga betapa sayangnya Allah kepada baginda. Disebut tentang pemberian kepada baginda dalam hal dunia dan di akhirat kelak.
Ayat 1 surah ini menyebut tentang nikmat yang diberikan kepada baginda; Ayat 2 pula memberitahu yang baginda mestilah bersyukur di atas nikmat-nikmat itu; Ayat 3 pula memberitahu bahawa mereka yang memusuhi Nabi akan disumpah laknat. Mereka tidak akan mendapat nikmat dunia dan akhirat (berlawanan dengan apa yang Nabi dapat).
AYAT 1: Surah ini adalah surah yang paling pendek dalam Al-Qur’an. Ia adalah berita gembira kerana mendapat al-Kauthar.
Allah telah memberikan kebaikan yang teramat banyak kepada Rasulullah SAW. Bukan sahaja Nabi dapat kebaikan, malah kita yang menjadi pengikut baginda juga dapat kebaikan. Sebagai contoh, bayangkan kalau kita selawat sekali kepada Nabi Muhammad SAW, Allah berikan balasan 10 kali selawat kepada kita. Syaitan juga tidak boleh ganggu dan khianat orang yang mengikut sunnah Nabi dan mengikut ajaran tauhid.
Apakah dia الكَوثَرَ itu?
1. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘kebaikan yang teramat banyak’.
2. Satu lagi pendapat mengatakan ianya adalah satu telaga di Syurga, dan juga satu tasek di Mahsyar . Nabi Muhammad SAW akan memberi minum kepada umat baginda yang mengamalkan sunnahnya, sebelum mereka masuk ke dalam syurga.
Ini juga terbukti kerana nama baginda sentiasa disebut. Sebagai contoh, setiap kali azan dilaungkan, nama baginda akan disebut juga. Azan juga dikumandangkan setiap ketika di bumi Allah ini. Allah menyuruh kita berselawat kepada baginda. Allah mulakan ayat ini dengan memberitahu bahawa Allah sendiri berselawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW dan para malaikat juga berselawat ke atas baginda. Ini adalah satu bentuk penghormatan yang teramat tinggi diberikan kepada baginda. Kerana tidak ada lagi ibadat lain yang sebegini
hebat
.
Kebaikan yang banyak Allah beri kepada Nabi Muhmammad saw antaranya:
1. Allah telah menjadikan Nabi Muhammad SAW dengan akhlak yang amat mulia.
2. Allah telah memberikan pangkat Nabuwwah dan Risaalah (pangkat kenabian dan sebagai pembawa Risalah dari Allah) – baginda telah diangkat sebagai pembawa Kitab yang terakhir sehinggalah ke Kiamat kelak. Tidak akan ada lagi Kitab dari Allah selepas Al-Qur’an.
3. Baginda dibangkitkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.
4. Baginda diberikan dengan Al-Qur’an – mukjizat yang terakhir
5. Perubahan Qiblat dari MasjidilAqsa ke Ka’bah kerana baginda.
Nabi Ibrahim a.s telah mendirikan semula Ka’bah dan baginda berdoa supaya manusia akan datang kepadanya. Tapi semasa Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, qiblah waktu itu adalah BaitulMaqdis (kerana umat Islam sebelum itu adalah Bani Israil dan qiblat mereka adalah BaitulMaqdis). Tapi ianya bertukar untuk selama-lamanya kerana Nabi Muhammad SAW.
6. Allah akan mengurniakan Maqaama Mahmooda iaitu kedudukan yang khas kepada baginda. Ini disebut dalam Isra’:79
“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji”.
Secara ringkasnya, kedudukan مقام المحمود adalah baginda akan diberikan penghormatan untuk memberikan syafaat. Ini adalah penghormatan dari Allah untuk baginda, tapi tidaklah ini bermakna baginda boleh menentukan siapa yang dapat syafaat atau tidak.
7. Allah memberikan baginda dengan pengikut yang ramai dari kalangan manusia. Dan pengikut baginda adalah orang yang hebat-hebat. Sahabat-sahabat yang
hebat
. Dan sampai sekarang umat Islam semakin bertambah dan menambahkan lagi umat Nabi Muhammad SAW.
8. Keluarga baginda dimuliakan. Ini jelas kerana dalam selawat kita pun ada diajar oleh Nabi untuk berselawat kepada baginda dan keluarga baginda sekali. Dalam riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.
Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawapan kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat. Tentunya ‘keluarga’ yang dimaksudkan adalah keluarga baginda yang Muslim. Abu Lahab tidak termasuk.
Asbabun Nuzul ayat ini ada beberapa pendapat dan ini adalah salah satu darinya: Rasulullah ada dua anak lelaki dari isterinya Khadijah – seorang bernama Qasim dan dia telah lama meninggal. Dan seorang lagi bernama Abdullah dan anak lelakinya yang ini juga meninggal dunia. Ada juga yang mengatakan anak lelaki yang dimaksudkan adalah anak baginda yang bukan dari Khadijah, dan anak itu bernama Ibrahim. Allahu a’lam.
Orang pertama yang dengar tentang kematian Abdullah adalah Abu Lahab, kerana beliau duduk bersebelahan dengan rumah Rasulullah dan beliau juga adalah bapa saudara baginda. Beliau amat menentang usaha dakwah Nabi dan selalu mengatakan perkara yang buruk terhadap Nabi. Apabila Abu Lahab tahu tentang kematian anak Nabi itu, dia telah keluar dari rumahnya sambil menari dan meraikan kematian cucu saudaranya itu.
Jadi, untuk syukur kepada Allah atas segala nikmat – solat; untuk hilangkan kesedihan atas musibah yang menimpa, juga solat… Subhanallah, solatlah yang utama.
AYAT 2: Ia mengandungi perintah untuk mengamalkan tauhid. Baginda diingatkan untuk mendirikan solat dan solat itu لِرَبِّكَ (untuk Tuhanmu). Bandingkan dengan solat Quraish Mekah yang hanya hendak menunjuk-nunjuk sahaja solat mereka. Kena solat kerana Allah – kena ikhlas, bukan kerana hendak menunjuk kepada orang lain. Selepas kita mendapat nikmat, tentulah sepatutnya kita bersyukur kepada Allah atas nikmat yang telah diberikan. Tapi Allah tidak sebut ‘syukur’ selepas diberitahu tentang nikmat yang diberikan kepada Rasulullah. Sebaliknya Allah sebut ‘solat’. Selepas disebut tentang solat, disebut pula وَانحَر (dan berkorbanlah). Pendapat jumhur mengatakan yang dimaksudkan adalah korban penyembelihan pada ‘Eid al Adha. Ada juga yang mengatakan ianya bermaksud binatang yang diberikan dalam sedekah/zakat. Musyrikin Mekah juga ada melakukan korban binatang, tapi mereka ada juga menyembelih binatang untuk berhala-berhala mereka. Maka Allah perbetulkan perbuatan mereka itu dan mengingatkan yang sembelihan mestilah atas nama Allah SWT sahaja.
AYAT 3: Ia mengandungi ramalan tentang kegagalan pihak musuh. Waktu ayat ini diturunkan, kedudukan umat Islam adalah amat lemah. Orang kafir yang lebih ramai dan mereka menggunakan kekerasan untuk menyeksa dan menyusahkan umat Islam yang sedikit bilangannya. Tapi Allah beri semangat dan berita gembira kepada Rasulullah supaya jangan risau, mereka itu pasti akan terputus. Allah nak tenangkan hati Nabi dan para sahabat. Walaupun orang kafir itu nampak kuat waktu itu, tapi mereka akan dikalahkan juga akhirnya.
Ketika Nabi Muhammad kematian anak lelakinya, mereka bergembira dengan berkata: بتر محد (Muhammad telah terputus) maksudnya ‘keturunan baginda terputus’. Mereka sangka Nabi Muhammad yang terputus, tapi sebenarnya, mereka lagi terputus. Apabila Allah memperkatakan tentang orang kafir yang memusuhi Nabi Muhammad, Allah beritahu yang mereka itu ‘terputus’ – memberikan isyarat kepada kejayaan Nabi ke atas mereka akhirnya. Dan ini telah terbukti nanti dengan Pembukaan Mekah dan ini disebut dalam Surah an-Nasr. Tapi sebelum kejayaan itu, Allah sudah beri isyarat tentang kejayaan Nabi. Allah telah menjadikan musuh baginda itu hilang segala kuasa mereka, mereka akan jadi lemah dan akan dimalukan di hadapan semua orang.
Dan satu lagi, ia bukan merujuk kepada mereka yang membenci dan memusuhi Nabi semasa hayat baginda, tapi kepada mana-mana musuh Nabi Muhammad sepanjang zaman. Sesiapa yang memusuhi Rasulullah SAW pada mana-mana zaman. Tidak kira kalau zaman sekarang atau di masa hadapan, mereka akan terputus juga.

4 comments:

  1. Menarik perkongsiannya.. Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  2. syukran kak, berkongsi ilmu..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, jemput join GA Cuya ^^ https://nasuha-itsmyessay.blogspot.com/2022/10/giveaway-contengan-cuya.html

    ReplyDelete
  4. surahnya pendek je tapi panjang betul penerangannya

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”