Monday, 3 October 2022

CENDERAWASIH

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES  (C)



CENDERAWASIH
AKUmendongak memandang langit. Mengintai-ngintai kelibat Cenderawasih di celah gumpalan kumulus putih. Tiada kelihatan Cenderawasih di situ. Hatiku menggelombang berbaur rasa. Risau pun ada.
‘Ke mana kau ni Asih? Aku suruh kau ke kedai saja, beli barang dapur sedikit. Kenapa pula kau pergi merayau serata alam. Jangan-jangan mungkin kautersangkut celahan gumpalan komulunimbus yang mengandung jisim berat higokorpis.
. Cepatlah pulang hai Cenderawasih. Kau tu masih demam. Suhu tubuh pun tidak normal. Urat perutkau masih bengkak. Sebab terlebih makan bijirin penjana energi ciptaanku.’
“Kau di sini lagi? Kan mak suruh ke kedai beli barang yang mak tulis senarainya.” Emak terjengol di muka pintu dapur. Emak tentu amat perlukan barang-barang dapur itu sebagai persediaannya memasak pelbagai juadah untuk berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri. Entah esok atau lusa jelangnya. Aku tidak pasti. Terpaksa menunggu pengumuman tarikh Aidilfitri dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sejak berdasawarsa lalu.
“Arif dah suruh Cenderawasih ke kedai beli semua barang yang mak hendak tu! Sekejap lagi pulanglah agaknya. Mak bertenang saja. Tak payah mak nak risau sangat. Nanti tak pasal-pasal mak diserang hipertensi. Kan susah! Hipertensi tu bahaya tau mak. Tak boleh ambil mudah. Sebabnya akan mengganggu fungsi kesihatan seperti jantung dan buah pinggang. Tiba-tiba mak dapat penyakit tiga serangkai pula. Nauzubillah. ” Aku cuba menenangkan kegelisahan emak.
“Kau ni ada saja alasannya. Menyusahkan Asih saja yang kau tahu. Kan Asih tak berapa sihat. Perutnya sakit. Tentu tak larat dia nak bawa barang-barang mak. Dibuatnya sakit perutnya menjadi-jadi tentu dia tak dapat imbang diri dan terjatuh kala terbang. Bertambah sakit dia. Kesian Asih! Nak merawat sakitnya besar juga belanjanya. Susah juga kau nak cari ubatnya di Shopee!. Terpaksa pula kaupesan dari China, Jepun atau USA. Mahal pertukaran nilai wang. Maklum wang kita jumlahnya banyak nilainya sikit. ”
Bicaraku dan ibu terkedu tatkala melihat Cenderawasih tiba-tiba menjunam, menghampar sayapnya di sisi kami. Aku segera menghampiri Cenderawasih. Kegembiraanku mengusir kerisauan yang berladung lama dalam sukma. Aku tidak berdaya kehilangannya.
“Cepat bawa ke dapur barang-barang yang dibeli Asih ya Arif!” emak berlalu dari situ, memasuki ruang dapur.
“Baik mak!” balasku bersahaja.
“Mengapa lambat pulang Asih? Kau ada masalah tika terbangkah?”
“Tiada apa-apa masalah Bos. Semasa terbang pulang tadi, aku bertemu Pegar. Kami singgah di R&R Puncak Jerai, berborak sekejap. Pegar berehat di situ setelah selesai kerjanya menabur baja NPK di sawah padi. Sebelum itu katanya, dia telah menabur benih padi serata sawah. Pabila padi tumbuh dan sebulan usianya dia membaja pula untuk menyuburkannya. Nampak penat juga dia bekerja di situ. Tapi katanya dia seronok dan gembira bekerja sesekali saja menabur baja padi dan meracun rumpai mengikut jadual yang diberi Ketua Desa, tuannya.”
“Jangan pegar tunggu nak makan padi setelah padi masak, sudah!” leluconku disanggah Cenderawasih pantas.
“Bos keliru pula dengan peribahasa lama ya. “Harapkan pagar, pagar makan padi.” Diksi peribahasa Melayu lama menegaskannya. Bukan “harapkan pegar, pegar makan padi.” Tapi “harapkan pagar, pagar makan padi.” Memang burung pegar itu makan padi. Itu makanan rujinya.Takkan petani nak harapkan dia menjaga padi. Bos ni mesti tak merujuk kamus peribahasa DBP. Hih..hih” halus suara Cenderawasih mengetawakan aku.
“Oh begitu sebenarnya maksudnya ya. Nanti aku semak kamus DBP dalam bilik baca aku!”
“Tak payah susah payah Bos. Pandang saja dalam mata Asih ni. Semua ada fakta di sini. Cuma dengan detak hati Bos saja dapat dibaca niatnya. Aliran sel neuron dalam mindaku cepat saja menghadam kehendak Bos. Asih kan sakti. Asal dari kayangan lagi hih hih!” Asih tertawa galak. Cenderawasih selalu berkata kepadaku bahawa dia berasal dari kayangan. Dan makanannya awan gemawan.
Aku menganggapnya bercanda cuma. Aku temuinya tersangkut di atas pokok di hutan. Ketika itu pertandingan drone peringkat negara sedang berlangsung. Mungkin dia antara drone yang tersesat dibawa kelajuan angin ke situ. Aku terkejut tatkala dia menegurku dan meminta aku membawanya pulang. Drone ini nampak canggih rekaciptanya. Siapalah pemiliknya agaknya! Aku serba salah hendak membawanya pulang bersamaku. Tapi kasihan pula kerana katanya kepadaku, kakinya sakit dan minta aku tolong carikan ubatnya.
“Ialah. Terperasan pula kau ya!” Aku merenung mata Cenderawasih.
“Hmm! Maksudnya mereka yang tidak amanah dalam menunaikan tanggungjawab yang digalaskan di bahunya.ibarat pagar yang didirikan untuk menjaga padi. Tapi menjahanamkan padi pula. Peliknya gen xyz mempertikaikannya dan menyalahkan pegar pula ya! Sebenarnya mereka tidak faham hendak terjemah maksud metafora diksi tersirat peribahasa yang terbentuk dalam perbidalan Melayu purba. ” aku berkomentar lirih setelah membaca kenyataan yang tertera di retina mata Cenderawasih.
.”Ralit pula aku membaca informasi di mata kau! Biar aku ke dapur dulu menghantar barangan kau beli pada emak. Nanti aku datang bersembang dengan kau lagi. Kau jangan terbang ke mana-mana. Kau duduk diam-diam di bawah pokok pukul lima ni ya. Kalau ada sesiapa yang mengganggu, cepat kau hantar siren isyarat ke peranti rahsia.”
“Okey Bos! Bayaran debit sudah dimasukkan dalam akaun ‘keluarga besar’”
Akaun ‘keluarga besar’, ialah kira-kira kewangan desa yang diwujudkan Ketua Desa untuk menentukan perbelanjaan harian kehidupan warga desa sesuai dengan keperluan sesuatu keluarga agar tidak berwenang-wenang berbelanja menjurus kepada pembaziran.. Bukankah membazir itu sifat mazmumah kesukaan syaitan laknatullah. Ketua Keluaga Besar Negara cuba mengadaptasi nilai murni Islam syumul agar menjiwai setiap diri keluarga besar desa seluruhnya. Dan Ketua Keluarga Desa mematuhi arahan dengan sebaiknya.
“Ketua Keluarga Besar Negara” memperuntukkan pada setiap keluarga kecil di desa sejumlah dana yang digunakan membiayai keperluan asas hidup iaitu makanan, pendidikan dan kesihatan mengikut bilangan ahlinya. Setiap tahun Ketua Desa akan mengaudit kira-kira yang tersenarai rapi. Ketua Desa sangat teliti dalam soal keselesaan hidup keluarga di desa secara holistik. Aku tahu itu. Beliau seorang yang memegang amanah dengan jujur. Cuma aku tidak berkenan dengan sikap anaknya yang gemar mengusik Cenderawasih. Mungkin dia teruja dengan kecantikan Asih semulajadi. Aku berprasangka baik. Meminggir cemburu menguasai emosi.
“Mak nak buat apa dengan barang-barang semua nih?”
“Eh! Bertanya pula! Mestilah nak buat sedikit kuih raya. Esok lusa dah nak raya. Mak dan Ayah bercadang menziarahi Nenek dan Atuk di selatan. Mak nak buat kuih juga nak bawa balik pada ke sana.” Emak sibuk membentuk adunan dengan acuan biskut pelbagai. Kemudian segera memasukkan ke dalam ketuhar otomatik. 30 saat kemudian ketuhar terbuka sendiri. Emak membiarkan seketika sebelum memasukkannya dalam balang kedap udara.
“Cepat betul masaknya kuih mak nih!”
“Ya. Kini semuanya segera. Mati pun segera juga!” balas emak sinis.
Aku faham apa yang emak maksudkan. Sebab semasa pandemik C19 membadai, beribu-ribu yang meninggal dunia sekelip mata di hospital atau di mana-mana saja di sini. Bagaikan setiap hari komuter terjun ke gaung kerana hilang daya unit kawalan enjin (ECU). Fasa endemik baru diisytiharkan Ketua Keluarga Besar Negara setelah beberapa tahun virus corona, delta, omicron merejam sarwajagat dengan panahan berbisa.
“Nak naik apa nak balik kampung?”
“Naik apa lagi, Rusalah! Kan Rusa laju berlari!” balas emak yakin.
“Kenapa tak terbang dengan Nuri? Nuri lebih pantas terbangnya.”
“Nuri sibuk bersama abangmu selalu di atas awan menjaga sempadan negara agar tak dibolosi pendatang asing (PTI) yang menyelinap masuk ikut jalan tikus. Selalu. Makin dikawal, makin berani mereka menjelajah setiap cerok ruang desa kita. Kemudian menguasainya seolah menganggap tanah kita harta mereka. Kata abangmu, tahun ini pun dia tak dapat pulang cuti beraya bersama kita.” Emak mengomel seraya mengeluh.. Aku setuju pandangan emak. Walau dunia ini milik Allah namun watan sesuatu bangsa itu telah ditentukan sempadannya berkurun lamanya. Dan sayangi watan itu sebahgian dari iman (hubbul watan minal iman) menurut pepatah Arab..
‘Penat saja abangku bersama Nuri dan tim keselamatan menjaga sempadan negara di laut dan di darat tapi setelah PTI (Pendatang Tanpa Izin) itu ditangkap terlepas pula dari kawalan imigrasi. Menjengkelkan sungguh.’ Tidak berbaloi usaha dan tenaga terbuang sia-sia.
“Musim raya lebuh raya sesak mak. Letih saja berlama-lama dalam Rusa nak ke kampung.”
“Berlama-lama sesekali dalam Rusa, bersesak di lebuh raya tinggi di udara tidak mengapa. Sebagai tanda pengorbanan jiwa raga untuk meraikan Aidilfitri setelah kita berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan.” Emak bersuara positif. Sifat emak sudah lama kukenali sebati dengan sabar, reda bertawakal menghadapi apapun cabaran.
Lebuh raya di sini berselirat setinggi pucuk kelapa di udara disokong pilar-pilar demi mengelakkan kesesakan lalu lintas untuk kenderaan keluarga kecil. Lebuh raya aspal atas tanah dikhususkan untuk kenderaan besar membawa muatan berat sahaja. Namun kesesakan di lebuh raya di musim perayaan persis dahulu juga lantaran pertambahan kenderaan berlaku setiap hari. Pelbagai jenis jenama dan bentuk menjadi pilihan warga desa.
Medal peranti kecil yang kukalongkan di leherku mengombak nota. Tidak kubaca nota itu.
Sekonyong-konyongnya siren perantiku menjerit lantang.
“Biar Arif keluar pergi tengok ya mak! Cenderawasih yang hantar signal!”
Terkejut aku memandang Amil berdiri di sisi kuda terbangnya. Suara kudanya meringkih gamat.
“Diamlah kau!” kuda terbangnya terdiam. Nada suaranya difahami kuda terbangnya.
“Assalamualaikum Amil. Kau ke mari nak ambil zakat fitrah keluargaku kah?”
“Waalaikumsalam! Maaf aku terlupa nak memberi salam.”
Dia kesiluan lantaran kealpaannya.
“Kau nih nak mengusik akulah tu! Walau namaku Amil, tapi aku tak kutip zakat fitrah. Zakat fitrah semua kita di desa ini diuruskan oleh bapaku Ketua Desa. Tak ingin aku nak buat kerja itu. Biar bapa aku yang uruskan semuanya.”
“Habis kenapa kau ke sini? Aku tahu kau tak akan sengaja ke sini tanpa ada sebab musababnya.”
“Bukankah aku dah hantar nota, beritahu aku nak ke sini! Tapi kau tak balas pun. Itu yang aku ke sini menziarahi kau.”
“Terima kasih Amil. Ingat kau pada aku. Maaf aku tak baca nota yang kaukirim. Tadi aku sibuk di dapur menolong emak buat kuih.”
Amil tersengih. Tergeletek hatinya mungkin kala mengetahui kawannya ini tidak canggung menolong emaknya membuat kuih.
“Rajin kau ya! Aku makan saja rajin. Menolong emakku buat kuih tak rajin pula.”
“Aku tolong sikit-sikit saja pun.”
“Aku berkenan sangat dengan Cenderawasih kau nih! Boleh kau jualkannya padaku. Aku sanggup bayar berapa pun harganya.” Hajat disuarakan Amil kepadaku bagai aliran listrik menyentak minda sedarku. Terpana,
“Oh itu tujuan kau ke sini. Tapi drone seperti Cenderawasih boleh kau beli di Shopee. Pesan saja. Cepat pesan, cepat dapat. Banyak drone Cenderawasih produksi Jepun di pasaran sekarang. Cantik dan memudahkan banyak pekerjaan kita. Seperti Pegar milik bapakau yang boleh menabur benih padi, membaja, meracun dll. Cenderawasihku tak canggih sangat ciptaannya. Dia cuma boleh tolong aku pergi beli barang di kedai saja.” Aku mencipta alasan.
“Aku hanya hendak memilikinya. Bukannya nak suruh dia ke kedai beli barang! Sebab aku rasa Cenderawasih ni sangat istimewa. Dan tidak seperti kebanyakan drone yang berlambak di pasaran.”
“Aku pun rasa begitu. Sebab itu aku tidak akan jualkannya padakau walau trillion RM kau sanggup bayar. Maafkan aku Amil.”
“Kalau begitu katakau, tidak mengapalah. Tapi kalau berubah fikiran cepat beritahu aku!” aku berdiam diri. Mengangguk pun tidak.
“Aku balik dulu ya! Assalamualaikum!”
Amil melonjakkan diri ke atas pelana kuda terbang setelah menyalamiku. Kudanya membawa terbang tinggi menuju destinasinya. Mesti mahal harga kuda terbang itu menurut perkiraanku. Dan aku tidak mampu memesannya untuk dibeli daripada Shopee. Aku berangan-angan juga hendak memilikinya setelah aku kaya nanti.
Cenderawasih tiba-tiba melayah turun saat aku tercari-cari keberadaannya.
“Kau ke mana Asih?”
“Ada. Di atas pucuk pukul lima tu. Sembunyi diri daripada pandangan anak Ketua Desa. Aku tidak gemar dia suka membelai-belai aku sambil memuji-muji kecantikanku. Aku rasa Bos pun tidak suka dia belai aku begitu.”
“Hmm. Tahu pun. Aku bimbang dia akan mencuri kau daripada aku. Sebab dia minat sangat dengankau.”
“Tapi aku tidak suka dimiliki. Aku akan berkhidmat kepada sesiapa yang aku suka dan percaya hati budinya.”
“Demi menjaga keselamatankau, jom ikut aku pulang ke kampung menyambut raya. Bimbang pula nak tinggalkankau sendirian di rumah.”
“Tak mengapa. Aku tahu menjaga diriku. Tapi bila Bos nak balik kampung sambut raya?”
“Esok. Raya kan lusa.”
“Esok dah raya Bos. Di atas langit, aku lihat sudah muncul bulan sabit. Cuma samar, belum cukup sifatnya. Aku rasa malam ni sifat bulan sabit akan sempurna. Dan esok tentu raya.”
“Iyakah? Baik aku bagi tau mak! Mak!”
“Cepat berkemas. Ayah ajak kita balik kampung sekejap lagi. Tak jadi nak balik esok.” Mungkin ayah juga tahu esok sudah raya. Bukan lusa.
“Asih jaga rumah ya! Kau jangan ke mana-mana!” aku berpesan.
“Baik. Bos! Tapi aku hendak terbang ke kayangan sekejap!“
Setelah seminggu beraya di kampung, aku terasa tidak sabar hendak pulang bertemu Cenderawasih. Kalut aku mencarinya.Tidak kutemuinya di persekitaran rumah. Apakah Asih pulang ke kayangan? Atau Amil telah mencurinya? Seseorang menyapaku.
“Hai Bos!”
“Kau siapa. Kau tahu di mana Cenderawasih?”
Gadis secantik bidadari kayangan itu tersenyum manis.
“Akulah Asih Bos!” aku termangu-mangu. Boleh percayakah?
TAMAT

10 comments:

  1. cerpen yang unik. sekejap ada unsur mitos, burung boleh bercakap. tetibe pasal isu terkini iaitu Covid pulak

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh sal sudi baca itula karya kreatif boleh masuk semua heh heh

      Delete
  2. menarik kak PI cerpennya, pernah terbaca burung cenderawasih ini burung kayangan...

    ReplyDelete
  3. cerpen yg menarik. sy save dulu n baca bila ada masa lapang, ok?

    ReplyDelete
  4. saya terbayangkan burung kayangan yg bersayap cantik hehee

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya anies burung kayangan yg cantik tq anies sudi baca

      Delete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”