Saturday, 30 July 2022
SALAM MAAL HIJRAH
Wednesday, 27 July 2022
BALADA BUAT SN TONGKAT WARRANT
ASSALAMUALAIKUM
BALADA BUAT SN TONGKAT WARRANT
Adakah jika kukatakan
sahabatku figura ternama
lewat lembar warkah yang dikirim padaku kelmarin dulu
Kau ketawa tidak yakin konon ilusi
angan bermimpi siang hari tapi itu
adalah kebenaran usah menafikannya
bukan sekadar dakwa dakwi reka cipta
semata
Akhirnya kau terkesima
kala kulayangkan warkah istimewa itu ke mukamu
dan kita bersama menatapi wajah tampan sasterawan lunak perawakan
kembaran foto kiriman
sambil berusaha meraih markah tertinggi sastera tahap SPM kala yang lain sibuk menyurati artis femes
sedang aku tertunggu-tunggu kunjungan balasan warkahku kepada sasterawan yang dikirim berminggu lalu
Berkat dorongan sasterawan terbilang
melonjak genre karya dianugerah sekolah pencapaian terbaik sastera 75
TONGKAT WARRANT membimbingku menulis ulasan tentang antologi sajak DURI DAN API menelaah karya novelnya TULANG TULANG BERSERAKAN lewat surat serta buku rujukan karya sasterawan itu
Sayangnya kenanganku hanya milikku
akuanku diceberkan aku peduli apa
rakaman sekelumit nostalgia indah bersejarah seorang penggemar sastera bersama figura idolanya kala masih anak sekolah
Dengan izin Allah bertemu seketika bertukar senyum ramah dalam acara sastera tidak terduga
Usai persekolahan terputus hubungan dengan kawan kawan sealiran bertebaran membawa nasib diri
Puluhan tahun berpisah kau masih mengungkit warkah sahabat pena itu di sisi pertemuan semula sekolah kita
Terjeda malaikat lalu diiring doa dan lafaz suci al-Fatihah semoga dilimpahi karunia-Nya Sasterawan Negara Usman Awang yang berjasa menyantuni rumpun sastera berada di sisi-Nya di kalangan solehin yang dicintai-Nya berbahagia dilimpahi rahmat-Nya
Tika kehilangan Sasterawan Negara kenangan lalu terawang air mata pun bergenang
Saturday, 23 July 2022
MAT KILAU
ASSALAMUALAIKUM
SYAIR MAT KILAU
#1
Bermula syair kisah
pahlawan,
pejuang bangsa gagah melawan,
salah silahnya jalur bangsawan,
citra riwayat seorang ikhwan.
#2
Pada lapan belas enam lima,
di pulau Tawar tahun yang
lama,
lahirlah waris wira utama,
akan Mat Kilau diberi nama.
#3
Imam Rasu ataupun Tok Gajah,
nasab warisan berseri wajah,
akan ayahanda jauh jelajah,
bijak orangnya pintar
berhujah.
#4
Bondanya pula ialah Mahda,
Tok Kaut Burau namanya nenda,
di dalam kampung sama berada
hidup gembira bergurau senda.
#5
Telah dewasa anak remaja,
membantu ayah bonda bekerja,
seawal pagi sehingga senja,
cari rezeki buat belanja.
#6
Mahir sekali ilmu mengaji,
berdikir maulud suka berzanji,
merdu bersyair bakat teruji,
santun budaya sifat terpuji.
#7
Berminat juga bermain
gasing,
cekap melilit pangkah
berpusing,
bentuknya cantik terukir
asing,
tatkala menang senyum
kerising.
#8
Kekar sekali bangun tubuhnya,
ramai terpikat
ketampanannya,
telah bertemu pula jodohnya,
Yang Chik jadi suri hatinya.
#9
Hai Imam Daud guru agama,
di Pulau Tawar termahsyur
nama,
bapa mentua juga ulama,
ajar menantu mensuci atma.
#10
Allah kurnia cahaya mata,
penyeri hidup sinar permata,
mencerlang terang suluh
gelita,
mengerat kasih sisih derita.
#11
Saing sahabat menimba ilmu,
Pawang Nong, Teh Ibrahim
tiada jemu,
Mat Ali Awang turut bertamu,
Mat Kelubi juga Mat Tahir temu.
#12
Disamping itu belajar silat,
mengguna keris, parang berkilat,
ilmu batinnya sempurna solat,
langgas langkahnya sepantas kilat.
#13
Menuntut ilmu alim gurunya,
dengan Tok Gajah juga ayahnya,
Haji Uthman bin Senik di antaranya,
Mufti Pahang jawatan tadbirnya.
#14
Di dalam Gua Kota Gelanggi,
Mat Kilau cekal melangkah pergi,
diam bertapa malam ke pagi,
menyerap akil tahap yang tinggi.
#15
Gua Gelanggi di dalam hutan,
penghubung Pahang dengan Kelantan,
Terengganu sisi berdekatan,
menurut kisah ada kaitan.
#16
Tika Tok Gajah pergi ke
Pekan,
datang Hugh Clifford berhujah sakan.
petah Mat Kilau seolah rakan,
pendapat jitu telah khabarkan.
#17
Residen British dalam sejarah,
Pahang dikawal tiap daerah,
Mat Kilau rasa terlalu marah,
sanggup berjuang bertumpah darah.
#18
Negeri Pahang mula bergolak,
rakyat semua tak dapat elak,
tindakan British riuh tempelak,
mengutip cukai sungguhlah galak.
#19
Di kampung Budu British menyerang,
tabah Mat Kilau melawan garang,
rakan setia menangkis serang,
bersilang keris melibas parang.
#20
Beratus orang askar upahan,
hanya mengikut kata arahan,
pejuang Pahang hendak ditahan,
namun semua kekal bertahan.
#21
British semakin rasa terdesak,
merata sudut mereka asak,
lincah mat kilau tidak terpasak,
jerangkap samar tingkahnya lasak.
#22
Tok gajah, Dato Bahaman berpadu
British tewas di kampung Budu,
sifat durjana syaitan memandu,
berakhir dengan kisah yang sendu,
#23
Kampung nan indah menjadi mangsa,
dibakar marak tiada sisa,
terkorban insan tidak berdosa,
kejam penjajah rampas kuasa.
#24
Mat Kilau rasa amat berduka,
saudara-mara nahas celaka,
British isytihar si penderhaka,
sedih berundur ke Ulu Cheka.
#25
Berpindah-randah sembunyi geri,
di dalam hutan rentas negeri,
British memburu tercari-cari,
berbagai nama samaran diri.
#26
Akhbar The Free Press siar berita,
di Singapura menyusun kata,
Mat Kilau mati terbujur leta
kala di Siam tembus senjata.
#27
Tatkala muncul sekurun hilang,
kisah sebenar lantas diulang,
berjuang hingga berputih tulang,
di Pulau Tawar tempatnya pulang,
#28
Di dalam masjid hari Jumaat,
lidah berzikir setiap saat,
buka rahsia terlalu cermat,
jelas Mat Kilau sehingga tamat.
#29
Pesan Mat Kilau pahlawan bangsa,
cintakan nusa luar biasa,
dendangan syair teguhkan asa,
andai terjajah hancur binasa.
Friday, 22 July 2022
HIDAYAH
ASSALAMUALAIKUM
HIDAYAH
.
Taufik
pimpin
tunjuk
jalan
lurus cerah
tidak
sesat arah tuju
benar
.
Iman
dakap
erat
semai
tumbuh segar
dalam
tanah lembah kalbu
tauhid
.
Bolak
balek
rasa
merobah
akidah
fitnah
dunia semoga
tangkis
.
Kala
akhir
zaman
pesona
dugaan
selaru
amalan Islam
syumul
PARIDAH ISHAK
DMS
22/07/022
Tuesday, 19 July 2022
KOMENTAR SASTERAWAN TENTANG MURAI
ASSALAMUALAIKUM
MURAI
Sentuhan pagi murai terjaga
dingin sang bayu selimut diri
hening ruangan santunan raga
lena sehingga separuh hari
.
Sudahkah hilang kata bicara
usrah wacana gamat selalu
bagai tiada lagi suara
rindu berderu bersalut pilu
.
Mungkinkah murai terlalu penat
semakin malas mahu berkicau
gara durjana dengki kianat
saran nasihat meracau-racau
.
Biarkan hari berlalu pagi
terbanglah murai tinggal masalah
layangan jauh ranggi meninggi
pasrah adanya tiada salah
.
Daya upaya sekadar mampu
telah berbuih riuh omelan
jujur amanah isih menipu
pesanan murai lagu siulan
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
1307022
KOMENTAR SAJAK MURAI @grup wasap esastera
OLEH SASTERAWAN HAMIZON SHAH
[6:10 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Saya memilih sajak
MURAI apabila pertama kali membacanya, segera saya teringat sajak sajak Pak
Usman Awang.
[6:12 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Kak Paridah, dgn
melambangkan keresahan murai pada situasi semasa yang memang meresahkan dgn
penuh memujuk.
[6:13 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Kemudian
memperlihatkan sikap sesetengah kita yang sudah tidak mampu diubah cara kerja
dan fikir
[6:14 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Akhirnya ramai
yang terpaksa pasrah dgn situasi semasa yang langsung tidak menyenangkan
sesiapa.
[6:15 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Banyak pesanan
baik sekadar lagu murai bersiul. Tidak banyak perubahan yang lebih selesa dapat
diharapkan dari berbagai pihak
[6:16 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Murai pun
tinggalkan semua masalah tadi terbang tinggi dan pasrah seadanya
[6:16 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Siapa murai di
sini?
[6:17 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Pemimpin, penyair,
pejuang bangsa atau pejuang agama?
[6:19 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Tak peduli siapa
pun 'murai', mengapa murai itu kecewa?
[6:21 PM, 7/14/2022] +60 11-1070 6971: Jawab saya begini:
tak peduli siapa pun Murai itu, tetapi sajak ini memperlihatkan sikap sebenar
masyarakat yang sememangnya tidak mudah berubah mencapai sesuatu yang lebih
selesa, sesuai dgn ajaran agama; pasrah adanya!
Sunday, 17 July 2022
JUARA SYAIR FIGURA KLASIK DBP 022
ASSALAMUALAIKUM
TAHNIAH SIFU TABIR ALAM ADMIN AKADEMI SPTA DINOBATKAN SEBAGAI JUARA SYAIR FIGURA KLASIK DAN TEMPAT KEDUA DIMENANGI USTAZAH ANA JUGA PENULIS SPTA...ZALINA AMAT ROSMAN MEMENANGI HADIAH SAGUHATI...TAHNIAH SEMUA PEMENANG..PI CUBA JUGA SERTAI TAPI MENAIP MENGGUNAKAN HP MEMANG SUKAR NAK EDIT FILE WORDS...HEH HEH ALASAN SEBAB TAK MENANG!
Wednesday, 13 July 2022
LAGI LAUK LAGI NASI...
ASSALAMUALAIKUM
PERIBAHASA
Jintan seloyang lumat di rakit,
hilir ke hulu gerangan lohor;
pendapatan yang amat sedikit,
bak air lalu kubangan tohor.
.
Mengeruk nangka ramin sebelah,
melalap turi campurkan kerang;
bak buruk muka cermin dibelah,
silap sendiri salahkan orang.
.
Pandaklah sudah bangkut dilihat,
di situ kabus akan bertompok;
tidaklah mudah ikut nasihat.
batu direbus masakan empuk.
.
Menyinggai janggi sauk kebasi,
yakin sahaya minyak dibebat;
bagai lagi lauk lagi nasi,
semakin kaya banyak sahabat.
Monday, 11 July 2022
KAK CIK
ASSALAMUALAIKUM
KAK CIK
Kebetulan pulang
menghadiri kenduri kahwin sepupuku Syafikah anak makcikku di Dulang Kechil,
adik-adikku yang turut bersama mengajakku dan anak-cucu menziarahi sepupu yang
tinggal di perkampungan nelayan Sungai Udang. Bukan ke rumahnya tapi sekadar
singgah di gerainya di tepi jalan. Kak Cik berniaga cendol, nasi lemak dan
kuih-muih masakannya. Melihat kegigihan ibu tunggal dengan anak tunggal
berniaga mencari rezeki, gugur air mataku. Tambahan pula rindu bermukim lama
lantaran sekian tahun tidak bersua. Kak Cik bertongkat menghampiri aku di
kereta. Manis senyumannya menyapa aku bertanya khabar. Aku walaupun
kenyataannya bisu tapi sekali terantun suaraku menyebut “anak!” Kak Cik
menangis tersedu-sedu. Aku kehibaan. Turut menangis.
“Abang Long anak
Kak Cik dah meninggal adik Pidah. Eksiden jatuh motor.”Kak Cik bersuara sebak
bersambung tangisannya. Terharu sungguh aku. Menyesal pula aku cuba bercakap.
Sedangkan aku tahu juga bahawa Kak Cik telah kehilangan anak lelakinya dua
tahun lalu. Kak Cik dan dua lagi adiknya memanggilku adik Pidah walaupun aku
lebih berusia daripada mereka. Arwah mak ndak Yah, emak saudaraku mengajar
sepupu-sepupuku sebutan begitu untuk mengeratkan kemesraan ukhuwah yang sekian
lama terjalin.
Thursday, 7 July 2022
KEPALA AIR BALING
ASSALAMUALAIKUM
kepala air
deruan hujan lebat –
malapetaka
penternak ayam –
harga siling pasaran
bajet nilaian
Julai pertama –
lebuh raya utara
walimatul-urus
gerobok usang –
kelambu benang kapas
renda memori
krisis makanan -
tanaman ubi kayu
sambungan hayat
rimbunan nipah
tabung tadahan nira
rezeki pagi
awal Zulhijjah -
juadah gula apong
senyuman manis
Dewan Pelajar –
Lelabah Pinggang Ramping
penulis graha
dua puluh Jun –
layar filem Mat Kilau
pesona tonton
Tuesday, 5 July 2022
PUTERI GUNUNG LEDANG
ASSALAMUALAIKUM
PUTERI GUNUNG LEDANG
(Puisi talibun)
.
Merenung pandang kasturi layu,
dilumat serta ragi di cawan,
layur durinya sena di sana,
catan direka sintar di peran,
mengikat rendah sisa meranti;
di Gunung Ledang puteri ayu,
amat jelita lagi rupawan,
masyhur kisahnya di mana-mana
Sultan Melaka hantar lamaran
terpikat sudah rasa di hati.
.
Berbuah sawa sisinya rotan,
mandak sempaya laki tercenung,
segerah cermat lurus simpulan,
terkapa-kapa menyigai cempa,
peria miang menggalas antun;
Hang Tuah bawa hajatnya sultan,
tidak terdaya mendaki gunung,
arah Tun Mamat terus berjalan,
disapa puspa pelbagai rupa,
ceria riang berbalas pantun.
PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
0507022
Monday, 4 July 2022
WISATA SANTAI
ASSALAMUALAIKUM
JUMAAT LEPAS PI BALIK KAMPUNG KUALA DULANG KECHIL YAN KEDAH MEMENUHI UNDANGAN KENDURI KAHWIN SEPUPU ...SAMBIL TU ZIARAH SEDARA MARA MANA SEMPAT DI SAMPING TAK LUPA MENYAMPAIKAN HADIAH BUKU TERBITAN SPTA, ESASTERA, PENA PADU, PERPUSTAKAAN PAHANG DLL PENERBITAN KEPADA PUAN HAJJAH FARIDAH MUDIR SMA ALKHIRIAH HALIMIAH (PONDOK PAKYA) DI GUAR CHEMPEDAK...ALHAMDULILLAH PERJALANAN PERGI DAN PULANG SELAMAT ADANYA INSYA-ALLAH