Saturday, 23 July 2022

MAT KILAU

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)


SYAIR MAT KILAU

#1

Bermula syair kisah pahlawan,

pejuang bangsa gagah melawan,

salah silahnya jalur bangsawan,

citra riwayat seorang ikhwan.

#2

Pada lapan belas enam lima,

di pulau Tawar tahun yang lama,

lahirlah waris wira utama,

akan Mat Kilau diberi nama.

#3

Imam Rasu ataupun Tok Gajah,

nasab warisan berseri wajah,

akan ayahanda jauh jelajah,

bijak orangnya pintar berhujah.

 #4

 

Bondanya pula ialah Mahda,

Tok Kaut Burau namanya nenda,

di dalam kampung sama berada

hidup gembira bergurau senda.

#5

Telah dewasa anak remaja,

membantu ayah bonda bekerja,

seawal pagi sehingga senja,

cari rezeki buat belanja.

#6

Mahir sekali ilmu mengaji,

berdikir maulud  suka berzanji,

merdu bersyair bakat teruji,

santun budaya sifat terpuji.

#7

Berminat juga bermain gasing,

cekap melilit pangkah berpusing,

bentuknya cantik terukir asing,

tatkala menang senyum kerising.

#8

Kekar  sekali bangun tubuhnya,

ramai terpikat ketampanannya,

telah bertemu pula jodohnya,

Yang  Chik jadi  suri hatinya.

#9

Hai Imam Daud guru agama,

di Pulau Tawar termahsyur nama,

bapa mentua juga ulama,

ajar menantu mensuci atma.

#10

Allah kurnia cahaya mata,

penyeri hidup sinar permata,

mencerlang terang suluh gelita,

mengerat kasih sisih derita.

#11

Saing  sahabat menimba ilmu,

Pawang Nong, Teh Ibrahim tiada jemu,

Mat Ali Awang turut bertamu,

Mat  Kelubi juga Mat Tahir temu.

#12

 

Disamping itu belajar silat,

mengguna keris, parang berkilat,

ilmu batinnya sempurna solat,

langgas langkahnya sepantas kilat.

#13

Menuntut ilmu alim gurunya,

dengan Tok Gajah juga ayahnya,

Haji Uthman bin Senik di antaranya,

Mufti Pahang jawatan tadbirnya.

#14

Di dalam Gua Kota Gelanggi,

Mat Kilau cekal melangkah pergi,

diam bertapa malam ke pagi,

menyerap akil tahap yang tinggi.

 

#15

Gua Gelanggi di dalam hutan,

penghubung Pahang dengan Kelantan,

Terengganu sisi berdekatan,

menurut kisah ada kaitan.

#16

Tika  Tok Gajah pergi ke Pekan,

datang Hugh Clifford berhujah sakan.

petah Mat Kilau seolah rakan,

pendapat jitu telah khabarkan.

#17

Residen British dalam sejarah,

Pahang dikawal tiap daerah,

Mat Kilau rasa terlalu marah,

sanggup berjuang bertumpah darah.

#18

Negeri Pahang mula bergolak,

 

rakyat semua tak dapat elak,

tindakan British riuh tempelak,

mengutip cukai sungguhlah galak.

#19

Di kampung Budu British menyerang,

tabah Mat Kilau melawan garang,

rakan setia menangkis serang,

bersilang keris melibas parang.

 

#20

Beratus orang askar upahan,

hanya mengikut kata arahan,

pejuang Pahang hendak ditahan,

namun semua kekal bertahan.

#21

British semakin rasa terdesak,

merata sudut mereka asak,

lincah mat kilau tidak terpasak,

jerangkap samar tingkahnya lasak.

#22

Tok gajah, Dato Bahaman berpadu

British tewas di kampung Budu,

sifat durjana syaitan memandu,

berakhir dengan kisah yang sendu,

#23

Kampung nan indah menjadi mangsa,

dibakar marak tiada sisa,

terkorban insan tidak berdosa,

kejam penjajah rampas kuasa.

#24

Mat Kilau rasa amat berduka,

saudara-mara  nahas celaka,

British isytihar si penderhaka,

sedih berundur ke Ulu Cheka.

#25

Berpindah-randah sembunyi geri,

di dalam hutan rentas negeri,

British memburu tercari-cari,

berbagai nama samaran diri.

#26

Akhbar The Free Press siar berita,

di Singapura menyusun kata,

Mat Kilau mati terbujur leta

kala di Siam tembus senjata.

#27

Tatkala muncul sekurun hilang,

kisah sebenar lantas diulang,

berjuang hingga berputih tulang,

di Pulau Tawar tempatnya pulang,

#28

Di dalam masjid hari Jumaat,

lidah berzikir setiap saat,

buka rahsia terlalu cermat,

jelas Mat Kilau sehingga tamat.

#29

Pesan Mat Kilau pahlawan bangsa,

cintakan nusa luar biasa,

dendangan syair teguhkan asa,

andai terjajah hancur binasa.

 

 


5 comments:

  1. Panjang syairnya Kak PI.
    Bangga sangat dengan usaha kreatif Kak PI menukil Syair Mat Kilau!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh amie biasanya kisah syair dgn kronologinya panjang sikit

      Delete
  2. wah....menariklah stir ini kak PI

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH TN HANAFI CUBA SYAIRKAN KISAH SEJARAH

      Delete
  3. tahniah,,,indah sekali,saya gunakan untuk pelajar saya mendendangkannya ya

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”