Thursday, 31 March 2022

BERSESAK BERUNDUR-UNDUR

 ASSALAMUALAIKUM




Di mana pancang letak di sana,

langgai di selat mengawal suhun,

liar menjala digelar isim;

rencana rancang tidak sempurna,

bagai berbuat di awal tahun,

belayar pula di luar musim.

 

 Memaku pasak andur melendur,

selari hulu menejar palu,

agak semuat kopi memberat;

laku bersesak berundur-undur

nak lari malu,  kejar tak lalu

berlagak kuat tapi tak larat

 

.

Sergai mengilu merengus ayu,

menyulam kurma meratus hatta,

halua sanya lembab membasah;

bagai lalu hangus surut layu,

dalam dilema memutus kata,

kedua-duanya penyebab susah.


Bercanda hendak mengolah suka,
adinda tandak ralitlah kanda,
berdegup debar mengada-ngada;
daripada cempedak baiklah nangka,
daripada tidak baiklah ada,

hidup sekadar seada-ada.

Wednesday, 30 March 2022

MALANG

 ASSALAMUALAIKUM




MALANG

.

Tiap

gerak daku

sangat hati-hati

akibat gelut  tersungkur

jua

.

Aduh

Perih ngilu

dahi benjol lebam

merening biru di bawah

mata

.

Konon

hendak cepat

sudahnya terlambat

juga lantaran tersilap

cara

.

Puas

pula anak

cucu tolong angkat

derai air mata kenang

nasib


PARIDAH ISHAK

DMS

30/3/022


Saturday, 26 March 2022

DAMIA KE ROMPIN LAGI

 ASSALAMUALAIKUM


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU

ANAK PI TUAN UZAINI TERPAKSA BERULANG-ALIK KE ROMPIN SELAGI PROJEK PAKATAN AKITEK DI PANTAI HIBURAN ROMPIN DI BAWAH SELIAANNYA TIDAK SELESAI...BERPELUANGLAH DAMIA, ABQORI MENGEKORINYA KE SANA..SIMPAN DI SINI CITRA KENANGANNYA











Thursday, 24 March 2022

PUSARA GAGAL

 ASSALAMUALAIKUM




PUSARA GAGAL

 

Air matanya tidak jatuh di pipinya

 namun harus diseka basahnya

ke sudut hati paling dalam dasarnya

lalu berderai rapuh hatinya  

.

Meski tegarnya ternyata kersani

walau hakikat sembunyi berani

tiada raungan suara kini

nyeri perih menahan gelodak ini

.

Kawal  tidak membuak ruah

malu tersipu akui lemah

diri mulai mengira susah

sifat pun wujud mencipta resah

.

Gagal hakiki  laksana rancang

yang dijanji terukir pincang

hancur lebur dicincang-cincang

tanda pusara sudah terpancang


PARIDAH ISHAK

DMS

24/03/022


Wednesday, 23 March 2022

DESIR KALBU

 ASSALAMUALAIKUM




DESIR KALBU

Ingin yang membeku bagai tugu statu
tidak beranjak diganjak asak
kekal selama di situ
meski citra wajah sungguh berubah

Apa terlindung tidak sukar ditelah
rasa yang tercoret dibaca sumbang
simpati dihulur emosi
mengurai solusi sedar
kenyataan menghampakan
demikian firasat rahsia


PARIDAH ISHAK
DMS
23/03/022

Tuesday, 22 March 2022

DILEMA MEMUTUS KATA

 ASSALAMUALAIKUM



PERIBAHASA
.
Rigai selalu melurut kayu,
balam di huma menggetus rata,
jua ikatnya jerembab basah;
bagai lalu hangus surut layu,
dalam dilema memutus kata,
kedua-duanya penyebab susah.
.
Pedada tidak pilihlah bingka,
bersenda hendak biarlah pada,
redup ke bandar ada agenda;
daripada cempedak baiklah nangka,
daripada tidak baiklah ada,
hidup sekadar seada-ada.
.
Penghulu Langka mengira-ngira,
peti suasa isinya gudang,
pitam menghimpun ratna mencerah;
Terlalu suka berpura-pura
seperti rasa manisnya udang
hai ketam pun berwarna merah

Saturday, 19 March 2022

GURINDAM BUNGA BANGSA

 ASSALAMUALAIKUM




 Alhamdulillah PI terima kiriman naskhah puisi gurindam; GURINDAM BUNGA BANGSA dan MUNAJAT SYAIR hadiah daripada penulis mapan Nazim MS. Terima kasih banyak cikgu selalu hadiahkan PI buku terbaru. Baik budi dan kesudiannya amat dihargai. Semoga CIKGU dalam lindungan Allah bersama family tercinta, murah rezeki, dipermudahkan Allah semua urusan dunia akhirat…amiin.

Tahniah cikgu Nazim MS

Didoakan terus sukses menghasilkan karya terbaik. 

PI ulas  sedikit berkenaan naskhah GURINDAM BUNGA BANGSA


ULASAN BUKU

GURINDAM BUNGA BANGSA

Genre : Puisi tradisi

Penulis :

Nazim Mohd Subari

Penerbit : DBP

Nombor ISBN : 978-983-49-  3232-9 ( Sastera puisi)

Bilangan mukasurat : 109

Pengulas : Paridah Ishak

 

Naskhah GURINDAM BUNGA BANGSA hasil karya penulis mapan prolifik, Cikgu Nazim Mohd Subari ini menghimpun 105 gurindam, puisi tradisi Melayu yang berasal dari India dengan pelbagai tema bersesuaian. Tema pilihan penulis naskhah ini seperti keagamaan, patriotism, pendidikan dan kasih sayang dinukilkan dengan sempurna menurut kehendak disiplin puisi gurindam yang tidak mengikat jumlah suku kata hanya sepuluh namun rima hujungnya sama.

Penulis mengolah diksi frasa aksara sangat berhati-hati pilihannya agar hasilnya karya ternyata indah dibaca disamping menyerap pelbagai unsur positif menyegarkan jiwa raga.

Sekadar sedikit petikan beberapa rangkap gurindam yang terdapat di bahagian kulit luar naskhah ini;

Jika pengembara betul niatnya,

akan dipermudah jalan hidupnya.

.

Jika pengembara cukup bekalan,

tidaklah nanti digamit penyesalan.

.

Jika pengembara kaku di persimpangan,

bimbang kelak gelap pandangan.

.

Buku GURINDAM BUNGA BANGSA dengan gambar bunga kebangsaan iaitu bunga raya merah  pada kulit hadapan, menurut pendapat editor penerbit DBP amat sesuai dijadikan bahan pengajaran sokongan dalam mata pelajaran bahasa Melayu atau pendidikan moral di sekolah.

Tahniah cikgu Nazim Mohd Subari sentiasa aktif menerbitkan karya penulisan terbaru dan memeriahkan arena sastera dengan sumbangan karya berharga lagi memanfaatkan khalayak pembaca.

Sekiranya ingin menjadikan buku ini sebagai koleksi bacaan sekeluarga sila hubungi penulisnya atau di mana-mana kedai DBP atau secara pesanan dalam talian. Harganya cuma RM 13.50


Friday, 18 March 2022

MENITI HARI

 ASSALAMUALAIKUM



MENITI HARI
.
Terus melangkah meniti hari
meredah onak melintas aral
kadang bertatih kadang berlari
penat terkedu membisu oral
.
Usung semua nota riwayat
coretan pena berwarna-warni
andai terhimpun jadi hikayat
lukisan hidup menyerlah seni
.
Susun aksara melakar hiba
terukir jua senyum sedikit
panas derita membahang haba
asa berhembus membakar sakit
.
Singgah di sini ruangan indah
walaupun cuma hanya sebentar
reda takdir-Nya luahan madah
raungan rengsa jauh dilontar
.
Horizon langit mendung meredup
pagi nan dingin beransur kelam
semakin hujung titian hidup
menabur budi amalan sulam

PARIDAH ISHAK
DMS
1803022

Wednesday, 16 March 2022

JALAN KE ROMPIN HINGGA ENDAU

 ASSALAMUALAIKUM


SABTU LALU TUAN UZAINI ADA TUGAS MENYELIA PROJEK PAKATAN ARKITEK DI ROMPIN DAN ENDAU...ANAK MENGAJAK PI IKUT BERSAMA CUCU2 SEMUA KE SANA

PI BIASALA PANTANG DIPELAWA NAK MENGEKOR SAJA WALAUPUN KESIHATAN TIDAK BEGITU SEMPURNA..


PROJEK PAKATAN ARKITEK DI PANTAI HIBURAN ROMPIN








PROJEK KORIDOR TIMUR PAKATAN ARKITEK DI ENDAU


PANTAI TANJUNG PENYABONG ENDAU AMATLAH INDAH








Tuesday, 15 March 2022

OMBAK MEMBANTING SENDIRINYA

 ASSALAMUALAIKUM



PERIBAHASA
.
Raga diganti raup seluang,
angkat segerah abang menungging;
sehingga mati sanggup berjuang,
bersukat darah bertimbang daging.
.
Lelah kerana menyapu rahat,
akan melesang karat dielus;
telah terkena tipu muslihat,
bagaikan terpasang jerat halus.
.
Suri menyeduh memandak pandan,
mengagak lahan senang bertambah;
mencari jodoh tidak sepadan,
bak tabuhan meminang anak labah-labah.
.
Merah pipinya rahsia lama,
seregai gombak gunting alisnya;
kemarahannya yang sia-sia cuma,
bagai ombak membanting sendirinya.

Monday, 14 March 2022

IKAN LAYARAN

 ASSALAMUALAIKUM


 




PIC GOOGLE IMAGES(C)

ikan layaran

‘Pantai Hiburan Rompin’

tazkirah ombak

 

awan kelabu –

gema senjata Ukhraine

gempita dendam

 

Hari Wanita

nur ‘Bersama Saksama’

tafsiran samar

 

deret kereta

landaan banjir kilat –

lumpuh separa

 

Hari Wilayah –

Puisi ‘ Wilayahku’

Isu salinan



PARIDAH ISHAK

DMS

14/3/023

Friday, 11 March 2022

SAHABAT MAYA

 

ASSALAMUALAIKUM

SAHABAT MAYA



Aku membuka akaun facebook pada tahun 2011 dengan pertolongan adikku Pazeli. Mengharapkan aku buat sendiri memang tak akan menjadi. Sudah bertahun-tahun juga fb berjasa kepadaku menemukan sahabat baru kenalan maya. Disamping mengeratkan ukhuwan kawan-kawan yang terpisah jauh dan bertemu semula di wall fb.

Ada yang menghulur salam sebagai kenalan maya. Aku tidak lupa kenalanku yang pertama Cempaka Diamond dari JB. Kemudian disusuli Rashidah Othman dari KL dan beberapa orang lagi. Kini kenalan fbku telah 2k. walau berderet-deret lagi senarai nama menunggu terima/app, aku terasa tawar hati pula untuk masukkan dalam senarai kenalan ekoran ada kenalan yang pos/tag gambar-gambar menjolok mata. Menyusahkan aku saja nak sembunyikan/hide paparan itu.

Kenalan alam maya agak sukar hendak ditelah peribadi mereka sebenar. Setakat bertemu dalam wall fb, bertukar-tukar komen tidak menjadi masalah padaku. Tapi kalau hendak bersemuka aku berusaha mengelaknya. Maklum aku kan OKU tidak sempurna segalanya. Sedih sangat aku tidak dapat meraikan tetamu kenalanku yang datang bertamu. Tapi setiap pertemuan itu tetap berlaku dengan izin-Nya jua.

Kawanku  Rashidah Othman ini terlalu ingin menemuiku. Anak-anakku mengatur pertemuan itu di sebuah cafĂ© di Selayang. Selama perkenalan kami beliau berkongsi cerita kehidupannya denganku. Beliau seorang mantan tentera laut yang bersara awal. Kehilangan anak sulungnya yang kembali ke pangkuan Ilahi membuatnya lama bermurung. Hatinya robek kelukaan ditinggalkan anak kesayangan. Setiap hari beliau akan ke pusara anaknya membaca yasin tidak kira suasananya. Dengan sokongan suami dan anak-anaknya  yang memahami perasaannya dan memberinya sokongan dia kembali pulih sediakala.

Beliau mengikuti tulisanku di blog dengan entrynya puisi pantun sajak dll catatan. Kala beliau bersama keluarga hendak meminang bakal menantunya beliau meminta aku menulis beberapa rangkap pantun untuk disampaikannya dalam majlis tersebut. Walau tiada pengalaman menulis pantun peminangan, kutulis juga seadanya demi seorang kawan baik.      

Hendak ke tanjung lintasi paya
cenderawasih berterbangan
sirih junjung lengkap semua
dulang kasih membawa lamaran

Pantunnya kelihatan tidak cantik kerana tika itu aku belum lagi join SPTA dan belajar menukil pantun dengan molek sempurna

Kala beliau mendapat tahu aku alami patah bahagian pinggul beliau dan anaknya berusaha memandu kereta pada awal subuh pagi untuk menunjukkan tempat perawatan patah di Seremban. Beliau menunggu di situ bersama anak-anakku hingga aku selesai dirawat. Begitu  besar budinya kepadaku tanpa meminta satu sen pun bayaran pertolongannya. Terharu sungguh aku menerimanya.

Khabarnya Pak Mus, perawat patah asal Indonesia itu baru saja meninggal dunia. Innalillahiwainnailaihirojiun al-fatihah. Semoga arwah dicucuri rahmat rohnya dan berada di kalangan para solehin beriman amiin.

Tika projek antologi haiga sedang berlangsung, kebetulan beliau berkunjung ke rumah anakku di Serendah. Aku pun tidak melepaskan peluang bergambar bersamanya. Dan gambar itu kuabadikan dalam antolgi haiga dengan kelulusan sifu TA

Aku terkenang selalu sahabatku dan tertanya-tanya kenapa agaknya lama tidak muncul di fb. Pertanyaanku terjawab setelah membaca pos menantunya, Eja. Rupanya sahabatku telah berpulang ke negeri abadi semalam lalu. Terkedu. Sedih terlalu. Kini aku kehilangan seorang sahabat maya yang teramat baik budinya. Hanya doa mampu kukirimkan semoga kau di sana damai berbahagia selama. Ya Allah kubermohon pada Mu ampunilah segala dosa-dosanya dan tempatkanlah Rhashidah Othman itu di kalangan para solehin beriman. Aamiin YRBA