Wednesday, 30 September 2020

KKM

 ASSALAMUALAIKUM

PIC GOOGLE IMAGES (C)


KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 

K-awal maslahat rakyat jelata

E-lak ancaman mudarat sihat

M-erawat sakit selagi boleh

E-mpati akan nasib pesakit

N-yahkan derita rasa

T-empuh cabaran melintang lalu

E-rat ukhuwah dijalin mesra

R-amah sekali lunak bicara

I-ngin terbaik santun pesakit

A-gar segera sihat sejahtera

N-amun berserah kehendak Allah

 

K-es jangkitan corona virus

E-ndah peduli diambil berat

S-anggup hadapi apa akibat

I-mpikan wabak berhujung pantas

H-adir semula normal dahulu

A-man harmoni menolak ragu

T-etap pilihan sayangi nyawa

A-mbillah langkah tegas kendiri

N-escaya akan putus rantaian

 

M-asih ketara tidak peduli

A-njuran KKM cegah berapat

L-alu terjadi apa diduga

A-kibatnya virus merajalela

Y-ang pasti akan berpusu dapatkan rawatan

S- abar KKM tangani masalah

I-nsaf memandang beratnya beban

A-ndai tersilap akan perhitungan

 

PARIDAH ISHAK

DMS

30/9/020


Monday, 28 September 2020

MERENTAK TIDAK MEMUTUS TALI

 TALIBUN PERBIDALAN



Cari tenggiri akan dijeruk,
dengan cempedak campurkan kerang,
ketam diagak tanpa timbangnya;
diri sendiri berkelakuan buruk,
jangan hendak salahkan orang,
hitam gagak tak siapa mencelupnya.

Jerat memintas landak tertusuk ,
galau sang sewah hendak mendarat,
terjengah-jengah menggorek terbang;
ibarat ke atas tidak berpucuk,
kalau ke bawah tidak berurat,
di tengah-tengah digerek kumbang.

Mengelau biar hasilan ganda,
halau kumpulan ikan yang mahu,
pulau serata apungan landai;
kalau belayar dengan nakhoda,
kalau berjalan dengan yang tahu,
kalau berkata dengan yang pandai.

Pasar Serendah kunjungan ramai,
jarang ke situ belek barangan,
tapau beluru keseringan;
tidak mudah menggelamai,
kurang haru cik kambingan,
terlampau haru berlantingan.

Meresah sasau melembing kancil,
tersentak budak menggetus pasli,
batuk tersedak lambung alami;
usah dirisau si kambing kecil,
merentak tidak memutus tali,
berantuk tidak melambung bumi.

Galah dirikan usah jatuhkan,
belah dilarik lalu ukirkan,
setelah rekah lurut sekali;
salah makan memuntahkan,
salah tarik mengembalikan,
salah langkah surut kembali.

PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
22/O6/020

Sunday, 27 September 2020

JUARA?

 ASSALAMUALAIKUM


JUARA?


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU....SAMBIL TU JOM BACA SAJAK PI YANG DISIAR AKHBAR MINGGUAN MALAYSIA HARI INI AHAD 27 SEPT 2020.

TERIMA KASIH BANYAK EDITOR MINGGUAN MALAYSIA ATAS KESUDIAN MENERBITKAN KARYA KECIL PI



Saturday, 26 September 2020

CERITERA HAYAT

 ASSALAMUALAIKUM






CERITERA HAYAT

Syair sahaya mencoret rasa,
tajuk pilihan amat selesa,
rutin semua senantiasa,
tidaklah janggal luar biasa.

Hidup tercipta laksana alam,
bagaikan siang berganti malam,
bersinar terang gelaplah kelam,
masa berlalu melipat silam.

Kenangan manis teringat-ingat,
lazat nikmatnya tersangat-sangat,
seolah rasa bubur dan pengat,
mahu diulang menyulam jangat.

Penangan pahit ingin dipadam,
sukar sekali hendak menghadam,
tersudut kalbu jauh terendam,
agar terlupa menghapus dendam.

Lalui hidup sedaya mampu,
jujur dan ikhlas tidak menipu,
kepada Allah malu tersipu,
dosa menimbun mahu disapu.

Masih mengarang cerita hayat,
selagi belum tamat riwayat,
syair berlagu menyusun ayat,
mohon beroleh taufik hidayat.

PARIDAH ISHAK
DMS
26/9/020

Friday, 25 September 2020

SAYEMBARA CERPEN LHDNM-DBP

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA

JOM BLOGGER SYAZNI , PC, ATEA, NOHAS, WP, MRSA, NOTIE, CIKGU ETUZA, USTAZ ABU IKHWAN, CIKGU BADA, TN HANAFI, SITI, SAL, ANIES, DIANA, DANA, ANA JINGGA, KHAMSIAH, YATI, NORAZIMAH DAN SEMUA BLOGGER KITA TULIS CERPEN MENGIKUT SYARAT YANG DITENTUKAN...HADIAHNYA LUMAYAN....MESTI BERANI MENCUBA...BARU KELAK AKAN DIKETAHUI HASILNYA...SEMUA BLOGGER ADALAH PENULIS YANG KOMITED BERKARYA. SEPERTI BLOGGER KHIR KHALID YANG KINI KOLUMNIS AKHBAR UTUSAN MALAYSIA...TAHNIAH PROF KK...PI DAAN RAKAN-RAKAN BLOGGER SUDAH SEMESTINYA TURUT MERASA BANGGA.






azlin_asmuni@dbp.gov,my
rohaizah@dbp.gov.my

URUS SETIA SAYEMBARA PENULISAN CERPEN
LHDN-DBP
Bahagian Promosi dan Pengiktirafan
Aras 25 Menara DBP Jalan Dewan Bahasa
50460 Kuala Lumpur 


Thursday, 24 September 2020

lupa

 ASSALAMUALAIKUM



 

LUPA

 

Kau telah lupakan

akan diriku

biarkanku

merindu

 

Hadirmu kunanti

seiring waktu

detik saat

berlalu

 

Semoga kau sedar

bahawa aku

bahagian

jiwamu

 

Usah sesekali

sengaja lupa

citra kisah

semalam

 

Justeru semalam

bukanlah  mimpi

suka duka

memori

 

 

Secebis coretan

sketsa karya

pena hayat

sejarah



PARIDAH ISHAK

DMS

23/09/020

Wednesday, 23 September 2020

HADIAH NUHA BOOKS

 ASSALAMUALAIKUM


TUAN MOHD NASSER YUSOF MEMBUAT KEJUTANMEMILIH LIKERS NUHA BOOKS UNTUK DIBERIKAN HADIAH BERUPA BUKU TERBITAN SYARIKATNYA....ALHAMDULILLAH NAMA PI TURUT TERSENARAI...TERIMA KASIH NUHA BOOKS.




Tuesday, 22 September 2020

ANI

 



ASSALAMUALAIKUM

 

Sudah beberapa hari aku tidak memegang hp cokiaku lantaran kesibukan berkarya pelbagai genre. Sekali tergerak hati hendak membuka grup whatsapp sekolahku. Sahabatku Hjh Fadzilah pos status mengatakan ani Kg.Marhom Pekan telah meninggal dunia. Aku keliru. Ani yang mana satu ni? Aku harap dan mendoakan bukan Ani sahabatku yang dimaksudkan. Sebab aku nampak status Ani menggunakan nama honey tertera di bawahnya. Mungkin Ani yang lain. Tiba-tiba gambar Ani yang dihantar Fadzilah mengesahkannya. Berderai air mataku mengurai kesedihan. Kau sudah pergi meninggalkan suami, anak-anakmu dan semua yang kau sayangi Ani. Telah mendahuluiku ke sisi-Nya semasa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan masalah kesihatanmu, lancarnya perjalanamu dalam hosnulkhatimah menemui-Nya.. Subhanallah. Aku mendoakan kebahgianmu di sana dalam lindungan rahmat-Nya berada di kalangan para solehin kekasih-Nya. Amiin.

Ani atau Rohani Awang sahabat sekelasku di SMART Kuantan. Beliau sangat rapat denganku dan sering menolong mengepos surat-surat kirimanku kepada sesiapa saja. Kerana Ani tinggal di kampong berhampiran sekolah, amat mudah baginya melakukan itu berbanding aku yang duduk di asrama.

Habis sekolah kami semua berpisah membawa nasib masing-masing. Setelah 40 tahun baru bertemu semula. Itupun via media social fb. Ani berhajat menemuiku dan meminta alamatku. Tapi tidakku beri. Segan pula rasanya hendak bertemu Ani yang kini seorang peniagawati berjaya tahap korporat. Sedang aku siapalah. Hanya seorang OKU. Sekali Ani inbox masengger bahawa dia sudah berada di depan rumah anakku.

Rupanya dia berusaha mendapatlan alamatku daripada Jamilah sahabatku yang pernah menemuiku, pertemuan yang menzahirkan air mata kesedihan. Setelah bertemu berpisah pula.  Kehilanganmu  menjuraikan kesedihanku lagi. Insyaa-Allah langkahmu yang mendahului akanku susuli jua.

Monday, 21 September 2020

HARGA CINTA

 ASSALAMUALAIKUM

Terima kasih DJ puan
Aniesma Klasik
sudi bacakan pantun kakpidah dan sahabat Radio Klasik ...Alhamdulillah.
Pantun D’Klasik
Assalamualaikum
Adik mencari buah kuini,
membawa baldi tepi telaga;
sempurna diri rohani murni,
cinta abadi bawa ke syurga.
Pic RKlasik (c)




Sunday, 20 September 2020

KHAZANAH P.RAMLEE

 ASSALAMUALAIKUM

KHAZANAH P.RAMLEE
Selamat berhujung minggu dengan pelbagai aktiviti yang diingini dan disenangi meniti hari. Sambil-sambil tu jom baca buku KHAZANAH P.RAMLEE karya sifu Tabir Alam yang comel ini. Buku ini melahirkan penghargaan dan kekaguman penulis kepada Seniman Negara yang ulung dan telah menghasilkan karya seni berupa lagu dan filem dengan penuh wibawa sepanjang beliau berada di persada seni selama hayatnya.
Penulis mendokumentasikan karya Tan Sri P. Ramlee di dalam buku ini sepanjang penglibatan seniman ini dalam 120 muka surat. Sebanyak 391 tajuk lagu disenaraikan. Dan dicatatkan sekali sekiranya setiap lagu itu dinyanyikan dalam sesebuah filem;
AI AI TWIST
Lagu nyanyian P. Ramlee, irama Twist iringan EMI Orchestra pimpinan P.Ramlee. SP label EMI Pharlahone katalog 46rpm DPE 8187 matrix 7XPEI 210. Lagu ciptaan P.Ramlee, lirik Ainul Jamal dari filem MASAM MASAM MANIS arahan P.Ramlee keluaran Merdeka Film Productions tahun 1965.
Catatan penulis melengkapkan semua lagu sejumlah 391 tajuk lagu yang tersenarai. Bukan sedikit karya Seniman Negara yang diwariskan kepada anak bangsa untuk dinikmati melampaui masanya. Bakat seniman ini luar biasa dan kebanggaan negara. Sebagai penghargaan kepada seniman yang banyak berjasa dalam bidangnya dan telah dianugerahi darjah kebesaran P.S.M(P), D.A(P), A.M.N molek sangat kita miliki buku ini untuk rujukan sejarah ilmiah. Boleh hubungi penulisnya sifu
Tabir Alam
untuk membuat pesanan.
Pic dinda
Syidah Ida
terima kasih.



Saturday, 19 September 2020

BELAJAR MEMANDU KERETA

 

ASSALAMUALAIKUM

 

Teringat dulu-dulu rupanya PI ini boleh membawa motor ke ofis dengan ditemani suami dan berjalan ke mana sahaja. Biasanya kalau bawa motor suami mesti duduk di belakang. PI sebenarnya bukan berani dan reti nak bawa motor. Tapi suami yang menguatkan semangat PI untuk mencuba. Akhirnya pandai juga. Bolehlah PI  meronda keliling kampong  felda selamba saja tanpa lessen dan topi keledar heh..heh..

Berani sungguh mengabaikan keselematan diri kan. Setelah ekonomi hidup semakin stabil, suami membeli sebuah kereta kecil...hati menggelitik pula nak cuba memandu kereta. Suami tidak ada masa nak ajar PI  memandu  sebab sibuk dengan urus niaganya. Jadi PI  pun daftar masuk kelas memandu. Setelah itu ambil pula ujian bertulis kat JPJ. Kali pertama tak lulus sebab tak sempat nak ulangkaji. Sibuk duk belek buku letrik terputus pulak.

Suasana gelap menggelapkan pemikiran juga. Tawakal saja jawab soalan. Hasilnya terlepas dua mata untuk lulus. Terpaksa ambil ujian sekali lagi. Nasib baik lulus cukup makan. Dan bolehlah memegang stereng memandu kereta dengan instructor sekolah memandu berada disebelah. Beberapa kali juga nak terbabas masuk longkang heh..heh.. mujur instructor cepat menekan hand brake.

Selesai berapa sesi belajar memandu dan dihentikan dahulu kerana tika itu PI sedang sarat hamil anak keempat. Berani sungguh kan ketika hamil belajar memandu! Tibalah masanya bersalin pula melahirkan seorang bayi lelaki yang comel. Usai berpantang selama 50 hari suami mengajak ke KL ziarahi kakaknya, kereta kecil kami dilanggar lori ayam. Alhamdulillah suami dan anak-anak selamat. Dan tiada lagi cerita belajar memandu kereta bersambung kerana itu.




Friday, 18 September 2020

Thursday, 17 September 2020

MENULIS

 ASSALAMUALAIKUM



SEORANG PENULIS
Menulis catatan
teramat asyik
sungguh-sungguh
hayati
Waktu pun bergulir
tidur dan lena
senyum tangis
terlakar
Tersirat tersurat
luahan rasa
lagu jiwa
senada
Menyelak semula
lembaran silam
enggan hati
membaca


PARIDAH ISHAK
DMS
17/9/020

Wednesday, 16 September 2020

IMPIANNYA TERMAKBUL

 ASSALAMUALAIKUM




PENERBIT BUKU PEKAN ILMU AKAN MENERBITKAN BUKU CERPEN KANAK-KANAK DENGAN JUDUL IMPIANYA TERMAKBUL SELENGGARAAN CIKGU HAMIDI MD YUDIN @GRUP MMSK @FACEBOOK. PI TURUT SAMA DENGAN MENULIS DUA BUAH CERPEN

SERAMAI 8 ORANG PENULIS TURUT TERLIBAT SAMA MENUKIL KARYA;



Asmah Hashim Hashim

,

Dzilla Ishak

,

Hamidi Md Yudin

,

Mazita Md Nor

,

Paridah Ishak

,

Raiza Khairina

,

Suhana Salleh

dan

Suzana Jumadil

.

Monday, 14 September 2020

JARUM EMAS

 ASSALAMUALAIKUM




AYAM JANTAN DAN JARUM EMAS

 

PIC GOOGLE IMAGES (C)




Pada suatu masa dahulu seekor ayam jantan sedang mencari makan di tepi hutan. Tiba-tiba seekor musang muncul di situ. Musang cuba menangkap ayam jantan itu untuk dimakannya kerana  dia sedang kelaparan. Ayam jantan berlari  untuk menyelamatkan dirinya daripada ditangkap musang. Dia amat takut menjadi habuan makanan musang.

            Lariannya yang tidak begitu pantas itu menyebabkan musang semakin menghampirinya. Dan cuba menangkapnya. Seekor helang yang sedang terbang melihat kejadian itu. Helang cuba menolong sahabatnya Ayam Jantan  daripada ditangkap Musang. Dia menggunakan jari-jari kaki dan paruhnya yang tajam untuk mencederakan Musang.

            Musang yang merasa kesakitan terus berlari dari situ.  Ayam Jantan mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya Helang kerana telah menyelamatkannya daripada menjadi mangsa Musang.

            “Kenapakah kamu berjalan sehingga ke tepi hutan ini sahabatku? Di sini tempat kediaman Musang dan pelbagai jenis hidupan liar yang buas. Kau tidak takutkah diserang seperti tadi? Mujur  aku sempat menolong kau. Jikalau tidak tentu kau sudah dimakan Musang dan berada dalam  perutnya. Cepatlah  kau balik ke reban kau!“ ujar Helang dengan tegas.

            “Tapi kalau aku boleh terbang seperti kau, tentu aku boleh terbang menyelamatkan diri aku sekiranya Musang atau siapa saja hendak menyerang aku.” Ayam Jantan menyatakan kekesalan hatinya kepada sahabatnya itu.

            “Tentu kau boleh tolong ajar aku terbang sahabatku! Ajarlah aku terbang sahabatku, supaya aku boleh menjaga keselamatan diriku di mana saja aku berada.” Ujar Ayam Jantan kepada Helang. Dia bersungguh-sungguh meminta  sahabatnya itu mengajarnya terbang.  

            “Asal-usul keturunan  aku memang sudah boleh terbang sejak kami kecil lagi. Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengajar kau terbang sahabatku.” Beritahu Helang kepada Ayam. Dia terdiam dan berfikir sejenak.

            “Tapi Raja Burung Helang  miliki jarum emas hikmat yang membolehkan sesiapa saja yang menggunakannya boleh terbang.” Helang menyambung kata.

            “Cubalah kau pinjam daripada Raja Burung Helang,  jarum emas itu dan berikan kepadaku. Kalau aku dapat gunakannya tentu aku boleh terbang bersama dengan kau kemana sahaja.” Ayam memujuk Helang agar membantunya. Dia teringin sekali hendak terbang seperti helang.

            “Baiklah Ayam Jantan! Nanti aku cuba meminjam jarum emas hikmat itu daripada Raja Burung Helang. Kau tunggu di sini! Aku akan terbang bertemu dengan Raja Burung Helang untuk meminjam jarum emas hikmat daripadanya.”

            Sebentar kemudian kelihatan Helang sedang melayang mendekati Ayam.

            “Raja Burung Helang telah setuju memberi kau pinjam jarum emas miliknya untuk kau gunakan.  Tapi kau mesti menjaga amanah yang aku berikan ini.  Dan tidak sesekali menghilangkannya. “ Ujar Helang,  berpesan kepada sahabatnya itu.

            “Baiklah! Aku berjanji akan menjaganya dengan baik. Tapi kau terangkanlah bagaimana caranya hendak menggunakan jarum emas ini.”

“Kau sela-selakannya dicelah bulu kau. Setelah itu kau cubalah terbang.” Helang menerangkan  cara menggunakan jarum emas itu.

            “Begitukah? Baiklah aku cuba melakukannya seperti apa kau katakan itu! Terima kasih sahabatku kerana menolong aku mencapai cita-citaku selama ini!

            “Ya sama-sama! Ingat!  kau mesti menjaga jarum emas itu dengan sebaiknya. Aku akan kembali keesokannya untuk mengambil jarum emas ini. Dan memulangkannya kepada Raja Burung Helang.”  Setelah berpesan begitu kepada Ayam Jantan, maka Helang pun terbang dari situ..

            Ayam sangat teruja hendak terbang seperti Helang. Segera disela-sela bulunya dengan jarum emas itu. Setelah berbuat begitu dia meletakkan jarum itu di atas tunggul kayu di situ. Dia pun cuba terbang. Dan percubaannya berjaya.  Dia  sudah boleh terbang ke atas pagar di tepi rebannya

            “Wah aku sudah boleh terbang!” ujarnya dengan  gembira.  Dia berkokok nyaring memanggil kawannya Ayam Betina.

            “Eh bagaimana kau boleh berada di atas pagar itu, Ayam Jantan?” Tanya Ayam Betina kehairanan.

            “Aku terbang. Dan hinggap di sini.”

            “Begitukah? Bagaimana boleh terjadi begitu?” Ayam Betina bertanya lagi.

            “Aku gunakan jarum emas yang dipinjamkan Raja Burung Helang kepada aku. Jarum emas itu dibawa Helang sahabat aku.”

            “Aku juga ingin terbang seperti kau! Dapatlah aku bertengger di atas pagar bersama dengan kau.”

            “Kau ambillah jarum emas yang aku letakkan di atas tunggul kayu itu. Dan kau sela-selakan di celah bulu-bulu kau. Tentu kau akan boleh terbang. Dan dapat bertengger bersama aku di atas pagar ini.” Ayam Betina tidak bertangguh lagi menuruti apa yang dikatakan Ayam Jantan kepadanya.

            Dia sangat gembira dapat terbang ke atas pagar. Dan bertengger bersebelahan Ayam Jantan.

            “Mungkin kita boleh terbang lebih tinggi, sekiranya kita sela-selakan semua bulu-bulu kita dengan jarum emas itu.” Ayam Jantan mengatakan pendapatnya.

            “Iya mungkin juga! Ayuh kita turun ke bawah, melakukannya!”  sahut Ayam Betina menyetujui pendapat Ayam Jantan. Lalu mereka berdua pun terbang turun ke tempat jarum emas diletakkan

            “Eh di mana jarum emas ini?” Ayam Betina tertanya-tanya.

            “Di mana kau letakkannya?” Tanya Ayam Jantan agak gusar. Hatinya merasa bimbang jarum emas itu telah hilang.

            “Tadi setelah gunakannya, aku letakkannya di atas tunggul kayu ini.”

            “Cepat segera kita mencarinya kerana jarum emas itu hendak aku beri kepada Helang. Dan dia akan memulangkannya kepada Raja Burung Helang. Bagaimanalah aku hendak berhadapan dengan Helang sekiranya jarum emas itu tidak ditemui. Tentu Helang akan memarahi aku!”

            “Kita bukan sengaja hendak hilangkannya! Helang tentu faham dan tidak salahkan kita.” balas Ayam Betina cuba menenangkan perasaan hati Ayam Jantan yang kerisauan.

            “Cepat kita cari. Usah berlengah-lengah lagi. Jarum emas itu amanah Helang kepada aku agar aku menjaganya. Dan aku tidak boleh mencuaikannya.”

Maka Ayam Betina dan Ayam Jantan pun mencarilah merata tempat. Mereka mengais tanah kerana menyangka jarum emas itu telah jatuh dari atas tunggul kayu dan termasuk ke dalam tanah. Semua ayam di situ turut sama membantu mengcakar tanah mencari-cari jarum emas itu.

            Helang melayang dan hinggap di atap reban. Dia kehairanan melihat semua ayam di situ mengais-ngais tanah.

            “Apa yang kamu semua sedang cari?” Ayam Jantan merasa serba salah hendak menjawabnya.

            “Maafkan aku Helang! Disebabkan kelalaian aku, jarum emas yang kau pinjamkan kepada aku telah hilang. Dan kami semua sedang berusaha mencarinya.”

            “Apa! Kau ini memang tidak boleh diharap Ayam Jantan. Bagaimanakah aku hendak memberitahu Raja Burung Helang bahawa jarum emas miliknya telah hilang!”  Helang memarahi Ayam Jantan.

            “’Maafkan kesalahanku sahabatku. Aku dan kaumku akan berusaha mencarinya sehingga berjumpa.”

            “Mulai sekarang kau dan kaum ayam bukan lagi sahabatku. Bersedialah kau dan kaum ayam kerana aku dan kaum aku kini musuhmu selagi jarum emas itu tidak ditemui.” Helang memberi kata amaran kepada Ayam Jantan sebelum terbang entah kemana.