Sunday, 17 May 2020

SURAH 21; AL ANBIYA (PARA NABI) Ayat 82 - 90

ASSALAMUALAIKUM


PERKONGSIAN ILMU: SURAH 21; AL ANBIYA (PARA NABI) Ayat 82 - 90
Kami memulakan kelas tafsir, setelah keluargaku selesai menunaikan solat sunat tarawih dan witir. Suamiku mengimami solat kami.
Denial cucu ketigaku memimpin bacaan kami secara bertalaqi. Walaupun baru berusia sembilan tahun bacaan dan tajwidnya baik.
"Ayat 82: Sambungan
mukjizat Nabi Sulaiman as. Ada syaitan-syaitan dan jin yang berkhidmat kepada baginda." Aku memulakan tafsir
"Baginda dapat menguasai syaitan- syaitan dan jin. Mereka menyelam ke dasar laut ambil mutiara."
"Wah...hebat Nabi Sulaiman." Zulaikha kakak Denial bersuara.
"Mutiara nak buat apa?" Balqis cucu sulungku melontar tanya.
"Sebagai barang kemas dan buat perhiasan. Contoh untuk perhiasan di dalam masjid." Afyan bapa mereka tolong memberi jawapan.
Aku juga menjelaskan
orang-orang Yahudi menggunakan perkhidmatan syaitan dan jin untuk buat sihir. Dalam buku-buku mereka, ditulis supaya seru Nabi Sulaiman as. Tidak seru Allah SWT. Ini menyalahi akidah. Perbuatan syirik.
"Ayat 83: DALIL NAQLI KE-6; Kisah Nabi Ayub as ditimpa penyakit yang berpanjangan. Banyak riwayat palsu tentang sakit Nabi Ayub as."
"Palsu macam mana Ma..?" Afyan bertanya.
"Contoh riwayat palsu. Badan Nabi Ayub as dipenuhi ulat. Kisah-kisah ini Israiliyyat, untuk memburukkan rasul dan nabi-nabi." Jawabku.
"Nabi Ayub as berdoa: Ya Allah sesungguhnya aku ditimpa penyakit dan Engkau Maha Penyayang Antara Para Penyayang."
Aku menjelaskan, jika kita sakit. Berdoalah dengan doa Nabi Ayub as dalam ayat 83 ini untuk memohon kesembuhan. Allah SWT suka kita berdoa.
"Ayat 84 pula: Allah makbulkan doa Nabi Ayub as. Dihilangkan penyakit baginda. Allah juga beri Rahmat khas, beri keluarga yang ramai berganda-ganda. Ini merupakan sebagai peringatan dan kesedaran kepada ahli-ahli ibadah yang menyembah Allah."
"Ayat 85: DALIL NAQLI KE -7; Allah sebut nabi-nabi lain iaitu Nabi Ismail, Nabi Idris dan Nabi Zulkifli. Nabi-nabi ini memiliki sifat sabar . Sabar menyempurnakan syariat dan sabar ketika ditimpa ujian."
"Beri contoh sifat sabar Nabi Ismail?" Aku pula melontar tanya.
"Rela disembelih oleh bapanya Nabi Ibrahim." Laju Zulaikha menjawab.
"Tolong Nabi Ibrahim bina kaabah." Denial tidak mahu mengalah.
"Betul... Pandai semua..." Aku memuji kesungguhan mereka.
"Ayat 86: Allah SWT menjelaskan, nabi-nabi adalah orang-orang yang soleh. Allah masukkan mereka ke dalam Rahmat-NYA. Iaitu masuk syurga. Kalau kita beramal soleh pasti masuk syurga. Amal soleh bermakna amalan-amalan ikut syariat dalam Quran dan hadis sahih sahaja."
"Ayat 87: DALIL NAQLI KE-8: Kisah Nabi Yunus as. Nama baginda Yunus ibnu Mata as. Baginda lari meninggalkan kaumnya dengan keadaan marah. Kerana kaumnya tidak mahu beriman." Aku menyambung tafsir sambil menulis nota di papan putih. Zulaikha dan Balqis tekun mencatat nota.
"Nabi Yunus as meninggalkan kaumnya sebelum mendapat arahan daripada Allah SWT. Baginda meyangka dakwahnya telah selesai."
Aku menceritakan Nabi Yunus as telah menaiki sebuah kapal. Tiba-tiba dalam pelayaran kapal dipukul ombak besar. Nakhoda kapal bertanya siapakah hamba yang lari daripada tuannya. Tiada penumpang yang mengaku dalam kapal tersebut. Akhirnya nakhoda membuat undian. Tiga kali undian dibuat semua terkena kepada Nabi Yunus as. Baginda diarahkan berenang kembali ke pantai.
Apabila Nabi Yunus as terjun ke laut, baginda telah ditelan ikan Nun yang besar. Nabi Yunus berada di dalam tiga kegelapan. Iaitu kegelapan lautan, kegelapan malam dan kegelapan dalam perut ikan.
"Dalam perut ikan Nabi Yunus berdoa." Aku masih menghurai tafsir ayat 87.
"Doa Nabi Yunus: Tiada Tuhan yang disembah selain Engkau Yang Maha Suci. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim."
"Mama, doa ini untuk kita minta hajat kan...?" Afyan bertanya lagi.
"Ya betul. Berdoalah dengan doa Nabi Yunus as ini. Doa memohon menyelesaikan masalah. Doa ketika kita ditimpa musibah. Doa untuk kesembuhan pun boleh." Aku menjelaskan panjang lebar. Betapa Allah SWT mengajar kita cara berdoa.
"Ayat 88: Allah SWT mendengar doa Nabi Yunus dalam perut ikan itu. Setelah 40 hari Allah memperkenankan doa baginda. Allah keluarkan baginda dari perut ikan dengan selamat. Ikan itu memuntahkan Nabi Yunus as di tepi pantai."
"Ayat 89: DALIL NAQLI KE-9. Kisah Nabi Zakaria as. Baginda berdoa memohon zuriat; Ya Allah janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri dan Engkau Waris Yang Paling Baik."
"Ammar, Ain.. kena amal doa ini untuk tambah zuriat. Izzul dah besar tak ada adik lagi..." Afyan bersuara.
"Ha..ha...ha..." Ramai yang tertawa mendengar gurauan Afyan.
"Ayat 90: Allah SWT memperkenankan doa Nabi Zakaria. Baginda dikurniakan anak iaitu Nabi Yahya as, setelah Allah pulihkan isterinya daripada mandul."
Aku menjelaskan Allah SWT mahu menunjukkan kekuasaannya. Nabi Zakaria as dan isteri yang telah lanjut usia boleh mendapat anak. Allah SWT mencipta Nabi Adam as manusia pertama tanpa ibu bapa. Nabi Isa as lahir tanpa bapa. Begitu kekuasaan Allah SWT.
Majlis ilmu berakhir dengan aktiviti kuiz secara lisan. Cucu-cucuku berebut untuk menjawab soalan-soalan kuiz yang aku kemukakan.

You, Rosmieza Che Mat and 43 others


6 comments:

  1. Seronok baca kisah2 nabi dlm al-quran..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH NOHAS YA PELBAGAI KISAH KITA KETAHUI JIKA RAJIN MEMBACA TAFSIR QURAN

      Delete
  2. Alhamdulillah
    banyak pengajarang yang kita perolehi.

    ReplyDelete
  3. Kisah nabi yunus memang menginsafkan

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas perkongsian ini kak PI. Semoga Allah sentiasa memberkati dgn rahmat dan kasih sygNya.. aamiin.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”