Monday, 2 January 2017

SEPANJANG JALAN KENANGAN...1

ASSALAMUALAIKUM...

CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 1
PERMULAAN HIDUPKU
Aku dilahirkan pada tahun 1913. Tarikh yang tepat, hari dan bulannya aku tidak tahu. Aku anak yang kelima dari enam orang adik beradik, dua lelaki dan empat perempuan. Keluarga aku orang yang tidak berada. Selepas aku dilahirkan tercetus peperangan dunia pertama. Peperangan itu berterusan dari tahun 1914 hingga ke tahun 1918. Dalam tahun 1918 itu, aku berumur lebih kurang lima tahun. Aku masih ingat lagi akan waktu dan suasana pada ketika itu. Bekalan barang-barang makanan sentiasa sahaja dicatu. Setiap keluarga hanya dibenarkan membeli segantang beras dan dua kati tepung sahaja.
Ayahku bernama Kawal. Dia berkerja sebagai Mandur di Ladang Getah Bukit Jelutung. Sebuah ladang yang terletak di antara jalan Seremban ke Rantau. Sebagai Mandur ayahku mendapat beras India dari pihak pengurusan ladang. Ibuku bernama Saebah. Ibuku tidak suka makan beras India yang diberikan oleh pihak ladang ini. Kata ibuku beras ini berbau busuk. Jadi aku dan adik beradik akulah yang memakan beras India ini. Sedangkan ibuku makanlah beras yang dicatu oleh pihak berkuasa itu.
Pada tahun 1919 aku pun mulalah bersekolah. Aku bersekolah bersama abangku Abdul Rahman. Pada masa itu abang aku dalam Darjah Tiga. Tugasku apabila balik dari sekolah ialah menjaga kambing. Pada waktu petangnya pula aku pergi mengaji Al-Quran di Kampung Belangkan. Kampung yang jauhnya lebih kurang dua batu dari rumahku. Aku mengaji di rumah seorang guru mengaji yang bernama Haji Othman bin Datuk Muda Linggi. Isterinya bernama Hamidah. Semua murid yang mengaji di situ memanggil isterinya dengan panggilan Wan sahaja.
Dari kecil lagi aku sangat suka bermain bolasepak. Apabila umurku meningkat 12 tahun semakin asyik aku bermain bolasepak. Bercampur dengan orang-orang yang lebih dewasa dari aku. Aku memang pandai bermain bola. Pada masa itu di mana sahaja ada perlawanan pasti aku akan ada bermain bersama-sama. Kawan-kawanku menggelarkan aku 'Dol Fatah' iaitu nama seorang lagenda iaitu pemain bolasepak yang handal dan tersohor dalam pasukan Singapura pada ketika itu.
Ayahku tidak suka aku bermain bolasepak. Awal permainan bola sepak, kata ayahku, adalah bermula dari kisah orang-orang Yahudi menyepak kepala cucu Nabi. Kepala cucu Rasulallah yang dipenggal oleh orang kafir dalam peperangan untuk menegakkan agama Islam. Namun kata-kata ayahku itu cuma untuk pendengaranku sahaja sedangkan aku tidak dapat meninggalkan permainan itu. Dengan cara menyorok-nyorok aku teruskan bermain. Ayahku pula sering ke pekan Kuala Sawah. Kalau aku sedang bermain dan ayahku lalu, maka kawan-kawanku akan lekas-lekas memberitahu aku, "Man, ayah kau lalu." Dan aku akan cepat-cepat lari meyuruk di dalam semak rumpun senduduk di tepi padang bola itu. Selepas ayahku berlalu, aku akan sambung semula bermain. Begitulah yang sering terjadi!
Dalam pasukan bola di kampungku, akulah yang paling muda. Namun oleh kerana aku pandai bermain, kawan-kawanku semua telah memilih aku untuk menjadi ketua pasukan. Sebagai penyerang utama, akulah yang banyak menjaringkan gol untuk pasukan aku. Dalam kebanyakan perlawanan, pasukan akulah yang selalunya menang. Begitulah penghidupanku di zaman awal remaja.
Sesudah tamat Darjah Lima, aku terus bersekolah lagi hingga ke tahun 1924. Pada tahun itu aku berada dalam Darjah Enam. Pada penghujung tahun itu aku telah menduduki satu peperiksaan untuk menjadi guru. Sayangnya aku gagal. Aku hanya mendapat tempat yang kelapan belas dalam peperiksaan. Sedangkan kerajaan hanya berkehendakan seramai 16 orang sahaja.
Selepas gagal dalam hasrat untuk menjadi guru itu, ayahku telah menyuruh aku menuntut ilmu agama. Dia tidak setuju aku dimasukkan ke sekolah 'orang puteh' atau sekolah Inggeris. Alasannya adalah kalau masuk sekolah Inggeris apabila hendak mati nanti tak tahu hendak mengucap Dua Kalimah Syahadah. Kebetulan pula, sebelum itu ada seorang murid yang bersekolah di Government English School, Seremban, berasal dari Rantau baru sahaja meninggal dunia. Sewaktu dia dalam keadaan nazak, saudara dan keluarga yang berada di sisinya pada masa itu telah menyuruhnya mengucap dua kalimah syahadah. Dia hanya menjawab dengan bercakap Inggeris atau cakap 'orang putih', "No, no, no!". Demikianlah jawabnya sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kejadian inilah yang telah dijadikan senjata atau alasan oleh ibu bapa pada waktu itu untuk tidak menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran kesekolah Inggeris atau pada masa itu disebut sekolah 'orang putih'.
Jadi pada awal tahun 1925 aku pun bertolaklah pergi ke Malim Nawar, Perak. Aku pergi bersama dengan seorang saudaraku yang bernama Omar bin Haji Yunus. Aku belajar di sebuah sekolah agama pondok di Kampung Tualang Sekah, Malim Nawar. Aku belajar dengan seorang Tuan Guru yang bernama Haji Mohd Yunus. Murid-murid yang belajar di situ agak ramai juga. Hampir 100 orang pada masa itu. Di Kampung Tualang Sekah ini pun aku selalu diajak oleh anak-anak murid Tok Guru ini untuk bermain bolasepak. Kami bermain bola di sebuah padang sekolah yang jauhnya lebih kurang satu batu dari pondok tempat aku belajar.
(Bersambung ke BAB 2 

13 comments:

  1. Warna warni perjalanan hidup Pak Engku..tunggu bab 2 pulak :)

    ReplyDelete
  2. Ini kisah ayah Pak Engku PC...menarik sekali catatan manuskrip lama...tq

    ReplyDelete
  3. Menarik utk diabadikan sbg catatan berharga... slmt tahun baru 2017 kak PI :) :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya manuskrip lama warisan keluarga pak engku tu patut dicetak sbg dokumen keluarga...tq dik KK

      Delete
  4. anti betul diorang dgn org luar ni ya

    ReplyDelete
  5. Ya dee kisah org dulu2 yg baik kita baca n ambil tahu cara kehidupan mrk n sebab2 penentangan mrk terhadap penjajah inggeris yg hanya merosakan budaya tempatan...tq

    ReplyDelete
  6. Mereka anti sgt tentu bersebab kan anies..tq

    ReplyDelete
  7. Menarik untuk di baca ni PI..teruskan bab seterusnya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH KY..PAK ENGKU TOLONG KAK ISI KEMALASAN MENGUPDATE N3 HEH..HEH..

      Delete
  8. Kelakar baca bab bila ayah Pak Engku lalu masa dia bermain kawan-kawan boleh jadi spy inform. Nampak sangat ayah Pak Engku strict sangat orgnya. Org dulu-dulu kan macam itu kan..

    ReplyDelete
  9. Pengkisahan yang menarik.
    Selamat tahun baru PI.
    Teruslah berkarya.

    ReplyDelete
  10. INI BUKAN KISAH PAK ENGKU KAKZAKIE TAPI KISAH AYAH PAK ENGKU DLM TAHUN 30-AN LAGI LAMA SGT TU...SEJARAH KELUARGA PAK ENGKU...TQ

    ReplyDelete
  11. TKSH WP..BERKONGSI KARYA PAK ENGKU KALI INI.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”