Wednesday, 19 October 2016

PULANG..

PULANG

ASSALAMUALAIKUM...

CERPEN:
OLEH PARIDAH ISHAK


                                                                     PULANG

LELAKI itu melongo di depan pintu. Menjuntai kaki di anak tangga berubin marmar. Renungannya menjauh. Melepasi rumah-rumah, pohon-pohon, gunung-gunang serta awan gemawan. Seraut wajahnya telah lama sirna cerianya kembali cerah berkaca. Ada senyum kecil tersungging di sudut bibir. Dia berdiri. Tegap dan gagah. Di sinilah! Dia angguk menyetujui, Amat pasti sekali.
Kepalanya tunduk menjenguk lopak air yang semakin kering-kontang. Dari dalam lopak yang pekat berselut itu terjengul janggut-janggut yang sangat dikenalinya . Serasi dan sebati dengan kehidupannya. Sekian lama. Sejak dia tahu beradaptasi dengan kehidupannya. Kain pelikat digulung tinggi, sebentar lagi sesuatu mahu diraihnya. Selipar jepun yang lusuh yang disarung kakinya sudah ditinggalkan  di atas batas. Kaki yang tidak berlapik tidak lagi ragu menerjah lumpur.
“Banyaknya ikan,” bibirnya mendesis perlahan. Dengan sangat berhati-hati tangannya dicelupkan ke lumpur lalu merasai sesuatu dan memegang kemas seekor keli hitam berkilat. Dia perlu berwaspada kerana kalau tersilap cara duri keli pasti menyengat. Bisanya tetap terasa walau tidak seteruk sengatan semilang. Sakit tetap sakit. Ikan keli pun ada berjenis-jenis. Ada yang kulitnya kuning cerah dan ada yang hitam atau kelabu. Bolehlah memilih mana satu yang digemari selera masing-masing. Baginya lebih menyukai keli hitam darpada keli kuning cerah yang agak liat isinya. Keli dan semilang rupanya seakan walau berbeza latar kehidupan. Kehidupan keli di air tawar sedang semilang berhabitat di muara laut berair masin.
Namun semangat seharusnya tidak  patah. Kalau takut disengat keli alamatnya tidak merasalah berlaukan ikan yang sangat nikmat ini. Apalagi ianya adalah anugerah alam yang percuma. Hanya perlu sedikit usaha sahaja. Sepasang tangannya ligat menggagau. Satu persatu isi lumpur  pekat  itu dikeluarkan. Dicampak di kawasan tanah kering yang mulai merekah di sana sini kerana musim kemarau sedang berterusan kini. Penangan el-nino. Menjadikan hawa panas dan sekitarnya garing kering. Perubahan cuaca kini sukar terduga dan langsung tidak menepati musim yang dijangka seperti selalunya.
Pak Hamid tersentak. Peluh yang mercik di dahinya tidak dapat disekanya. Sukar hendak melakukannya kerana sepasang tangannya cemar berselut. Melihat pasti apa yang digenggam kedua-dua tangannya. Dia memegangnya kuat dan erat. Matanya bulat merenung. “Besaqnya!” haruan sebesar betisnya itu membuatkannya terhenti seketika daripada aktivitinya.
‘Ah! Cukuplah. Syukoq Alhamdulillah.’ Putus hatinya mungkin. Sudah lebih memadai untuk dijadikan lauk hari ini. Selebihnya bolehlah dikeringkan. Ikan darat yang dikeringkan digoreng atau dibakar sedap amat baginya kalau dimakan bersama pulut atau nasi tika sarapan pagi. Dia mencapai sebatang jerami kering. Jerami kering kelihatannya membusut di sana sini sekitar bendang yang saujana luas pandangan itu setelah kerja penuaian padi usai dilakukan. Satu persatu ikan-ikan itu dicucuk dengan batang jerami. Kini serangkaian ikan-ikan yang pelbagai jenisnya tergantung di situ. Ada sepat benua, haruan, keli, puyu, belida. Ikan haruan yang paling besar diasingkan daripada yang lain.
Alangkah sedapnya kalau berlaukan haruan ‘bantut’ hari ini. Berangan dia seketika. Isterinyalah yang akan memasak resepi tradisi kesukaannya seperti selalu itu. Resepi hasil air tangan isterinya itu tiada tandingannya keenakannya bagi seleranya sejak lama. Kalau anak-anak perempuannya yang ingin memasak ‘haruan bantut’ kesukaannya pastinya tidak dibenarkan isterinya. Justeru isterinya itu tahu dan faham akan selera suaminya.
Haruan besar itu proses awalnya akan disiang, dibuang sisik; dibelah perutnya dan dikeluarkan segala kotoran di dalamnya terlebih dahulu. Kemudian dibersihkan hingga hilang hanyirnya dengan mengisar perlahan bersama asam gelugur, garam dan daun serai. Setelah diyakini kebersihannya isterinya itu  akan menyediakan bumbu yang akan disumbat ke dalam belahan ikan haruan itu. Segalanya teradun daripada campuran serai, kunyit, cili kering, bawang merah, bawang putih, lengkuas, jintan manis, jintan putih yang digiling halus bersalut dengan kelapa tua yang dikukur.
Rempahan yang digiling menggunakan batu giling warisan keluarga turun temurun membangkit aromanya tersendiri  mengait rasa. Diikat kemas pula dengan kulit pelepah kelapa muda yang halus dijadikan tali sebelum dipanggang di atas bara api tempurung kering. Harum semerbak  aroma ‘ikan haruan bantut’ yang sedang menanti saat diangkat pemanggangnya daripada atas bara api untuk dihidangkan sebagai santapan tengahari. Dia berkira-kira sambil menelan liurnya sendiri.
Pak Hamid menapak pulang. Lopak berlumpur yang masih banyak ikan di dalamnya ditinggalkan. Berenang bebas lagi  ikan-ikan itu walau di dalam selut. Biarkan rezeki Allah yang banyak itu dikongsi hamba-Nya yang lain pula. Tidak perlu tamak mengaut semua rezeki-Nya sebagai milik seorang. Demikian prinsip Pak Hamid selalu. Menjati diri santunan peribadi mulia.
Dalam keadaan cuaca yang sangat panas terik kini tanah lopak berselut  yang terbentang di bawah sinar mentari berhaba itu pasti akan kering juga seperti tanah bendang di sekelilingnya. Retak merekah di sana sini. Ikan-ikan di dalamnya tentu akan terus membenamkan dirinya lebih jauh ke dalam tanah. Andaian Pak Hamid begitulah. Jikalau tidak dari mana pula datangnya ikan yang banyak aneka jenisnya kala air hujan memenuhinya kalau ikan -ikan itu turut mati bersama kering kontangnya bendang.   Tentu tidak ada lagi ikan- ikannya. Tapi menjadi sebaliknya pula. Begitu yang bermain di fikiran Pak Hamid. Samaada benar atau salah perkiraannya itu langsung tidak jadi persoalan kepadanya. Hanya Allah yang maha mengetahui. Wallahualam. Langkah pulangnya diatur tenang, riang, berbahagia membawa impian di hatinya.
Hujan rintik halus. Sebentar kemudian telah riuh gemaannya berjatuhan menimpa bumbung rumah. Di halaman, Saerah berlari-lari anak menarik kain jemuran di ampaian. Fenomena yang sering dilihatnya. Bukanlah ganjil. Pak Hamid melingas sekelilingnya. Gobek sirih berima sekata menyapa sunyinya. Senyumnya yang tadi terorak lebar kini hilang. Wajahnya kembali pekat tidak beraura. Tapi redup sayu. Imbauannya yang sekilas itu telah terpadam warna suasananya. Kembali dirinya berada di dalam sedar situasi yang melengkungi dirinya.
“Kita ni dah lama duk sini. Mengkala  agaknya Saerah tu nak hantaq kita balik?” ulangnya bertanya entah untuk kali yang keberapa. Mak Inah mendengarnya. Walau ucapan itu kerap terbit daripada mulut suaminya dia tetap member i perhatian. Dia sangat faham apa yang ada di hati suaminya itu. Tidak pernah dia berkata, “lagutu saja duk sebut seluloi.” Suaminya itu pastinya tersangat rindu pada kampung halaman yang lama telah ditinggalkan. Dia juga sama. Sentiasa terkenangkan rumah kayu usangnya yang  tersergam, bertiang dan bertangga walau tidaklah secantik rumah batu Saerah yang dibina di atas tanah. Rindu hatinya untuk kembali
berada di dalamnya hanya dia dan suaminya yang maklum. Ingin merasai kembali kembali kenikmatan alam semula jadi tanah tumpah darahnya.

Dusun buah-buahannya di kaki gunung Jerai seakan menggamitnya pulang. Tanah bendangnya di hulu sedang apa agaknya sekarang? Kalau musim mengerat padi sudah selesai tentu  senang menangkap ikan di petak bendang yang masih berair. Rindunya dia hendak melakukan itu, Terkenang sewaktu mudanya bersama rakan sebaya bersama mengerat padi yang kuning meranum dan mengemping padi pulut di malam bulan mengambang penuh. Paling tidak dilupainya tentulah  pertemuannya dengan jejaka kacak yang sedang membanting padi di bendang serelung besar milik keluarganya. Pertemuan sekilas pandang yang membawa mereka ke pelaminan justeru jejaka itu telah terpaut hati dengan gadis yang berlindung wajahnya disebalik kain batik yang diselimpang namun menutup kepalanya.
‘Awat susah sangatkah hangpa hendak paham perasaan, kemahuan dan kesukaan orang tua macam ayah dan emak hang ini Saerah? Ayah hang pun duk seluloi ulang  habaq kata hatinya. Hantaqlah ayah dan emak hang ni balik   Saerah oi.!’ Keinginan Mak Inah itu terbenam diam di dalam hatinya saja. Tidak pula diluah suaranya. Walau hakikatnya serupa. Dia tetap tersenyum riang melayani kerenah anak menantu. Kadangkala ada anak cucu cicit yang datang bertandang.
Pada Mak Inah dia tidak perlu mengulang lagi apa yang disuarakan jelas suaminya itu. Saerah juga pasti faham dan tahu. Dia pun bukan muda lagi. ‘Cuma aku ini emak. Aku dan ayah hang jugak  ada rumah tangga yang hendak kami pertahankan. Kami mai sini cuma sebab nak makan kenduri kahwin   Ani cucu kami. Bukan mai nak duk dengan hang. dan mati kat sini. Di kaki gunung Jerai, aku dan ayah hang dilahirkan, di situ juga aku dan ayah hang ingin dikuboqkan. Di sanalah dunia kami, impian kami, kebahagian kami. Tolonglah hantaq kami balik. Kami sudah cemoih di sini walau bagi hang ianya adalah syurga kehidupan dunia hang. Tapi syurga dunia  kami di sana. Di sebuah rumah tua di sebalik pohon-pohon kayu yang rimbun di mana gunung Jerai tercacak megah.’ Mak Inah erkenangkan kampung halamannya yang indah permai dengan hamparan bendang saujana pandangan mata, berdekatan juga dengan laut Selat Melaka dan dusun buah-buahan di kaki Gunung Jerai. Sempurna sekali keindahan alam semula jadi ciptaan-Nya yang ditelusuri alam kehidupannya selama ini.
Bergentayangan di layar mindanya pelbagai kenangan manis mengusik ingatannya. Sesekali dalam keuzurannya tetap berusaha menunggu durian gugur di pondok di dusun bersama suaminya. Kegembiraannya menikmati saat begitu meriangkan hatinya. Durian tembaga, durian kucing tidur adalah kegemarannya.  Dimakan bersama pulut berkuahkan santan segar dan dimaniskan dengan sedikit gula amat enak rasanya. Dan beberapa lagi jenis durian akan berbuah lebat pabila tiba musimnya.
Begitu juga dengan rambutan, cempedak, langsat, pulasan jentik, remia, manggis lebat dan meranum di pohon kala tiba musimnya menjadi rezeki kepadanya dan suaminya dengan menjualnya kepada peraih buah-buahan yang sering keluar masuk kampung membelinya.. Atau kadangkala suka benar hatinya dapat menumpang motor anak cucunya ke hulu melihat bendangnya. Dapat melihat saja pun sudah puas rasanya walau dia tidak berkudrah lagi mengusahakannya. Bendang miliknya dan suami yang dibeli secara berdikit-dikit hasil kerja keras semasa muda kini diusahakan anak-anak dan cucu-cucunya yang tinggal di kampung. Anak cucu di sana juga baik-baik semuanya terhadapnya. Selalu dapat merasa beras baru dan ikan -ikan dari bendang. Juga yang baru naik dari laut dihantar anak cucunya.
Tragedi  tsunami yang mengorbankan ribuan jiwa pada 2004 juga turut dialami suaminya yang bercerita kepadanya akan kisah yang amat menggerunkan itu. Cuma takdir Allah yang memelihara diri suaminya daripada musibah yang tidak diingini berlaku.
“Hang tau masa tu aku dapat ikan banyak sangat. Ikan tenggiri, ikan gelama, ikan temenung , ikan lemuduk dan macam-macam ikan lagi penuh dalam bot kecik aku tu. Masa tu aku pi ke laut soghang saja. Takdak sapa-sapa mau pi ke laut masa tu. Maklum masa tu depa kalut duk punggah padi nak bawa pi jual kat kelang.” Mak Inah masih sabar menunggu suaminya meneruskan cerita pengalamannya berhadapan suasana tsunami yang menggerunkan dan mengejutkan peristiwanya yang berlaku laksana kiamat kecil itu.  Menggemparkan seluruh dunia kejadian yang mengorbankan ratusan ribu mangsa di negara Asia Tenggara dan meranapkan nusa Aceh Indonesia hingga laksana padang jarak padang tekukur.
“Tiba-tiba ombak besaq mai. Dia angkat bot aku tinggi lepas tu dia letak balik. Beberapa kali ombak duk angkat duk letak lagutu. Aku takut tak tau nak habaq dah. Tak renti-renti aku berdoa. Kalau aku matipun aku ghedo. Bersyahadah berselawat tak ghenti. Mujuqlah ombak tu tak tolak bot aku hanyut tengah laut tapi terus ke pantai. Syukuqlah aku selamat. Dapat lagi balik ghumah jumpa dengan hang. Kalau dak tentu aku dah berkubuq dalam laut.”
“Hish! Apa cakap lagu tu. Ajal maut tu Allah punya kosa. Kitapun tak tau di mana tanah kuboq kita. Tapi harapnya di tanah kampung kita ni, senang anak cucu kita nak mai ziarah.”
Untuk menyatakan kesyukuran dirinya terhadap Allah swt yang menyelamatkannya daripada bencana tsunami yang dilaluinya Pak Hamid dan Mak Inah mengumpulkan anak cucunya  dan mengadakan kenduri doa selamat yang dihadiri seisi kampung.
Lembaran kisah tsunami terselak lalu. Masakini sedang Mak Inah renungi dengan mata hatinya.
‘Aku dan ayah hang memang uzuq. Sakit tak ghenti. Maklum kami sudah tua merga. Tapi kami tak mau hidup menyusahkan orang lain. Biaqlah kami hidup dengan cara kami sendiri. Setakat untuk memasak makanan dan mengurus diri sendiri kami masih bulih buat. Takdak masalah apapun. Hidup lebih kurang seadanya tapi kami sangat bahagia. Hidup secara orang tua merga.’ Mak Inah bermonolog panjang mewakili fikiran suaminya. Penamatnya di situ. Namun tidak berdaya diterjermah bahasa bibirnya. Hanya beku di situ. Di hatinya. Menggumam perasaan selagi dia dan suaminya tidak dihantar pulang ke kampung halaman yang sangat dirinduinya..
Saerah bersimpuh di sisi suaminya. Mak Inah dan Pak Hamid juga berserta. Masing-masing mengadap sajian petang di serambi. Sentuhan angin mulus nyaman dingin menyapa tubuh mereka yang berada di serambi dan dedaunan pun berayun.  Suasana hari redup dan tenang.
“Saya dah janji dengan Ani, bila cuti dia akan hantaq mak dan ayah balik ke kampung.”
“Mengkala tu?” Tanya Mak Inah pendek. Suka benar hatinya menerima perkhabaran yang sangat dinantinya itu walau kebenarannya tidak dapat dipastikan lagi.
“Cuti sekolah nanti.”
“Lambat lagi tu ghasanya.” Pak Hamid mula menghitung, ‘aku di sini sudah lima bulan. Cuti sekolah ujung bulan sebelas. Maknanya kena duk tunggu sebulan lagi. Lama sungguh tu….’ Wajahnya kelat.  Sirna aura yang bercahaya.
“Balik dengan bas sudahlah. Toksah nak tunggu Ani. Menyusah dia saja.” Mak Inah memandang suaminya. Usulannya itu hanyalah untuk melegakan kegelisahan yang ketara di wajah suaminya.
“Tak bulih, mak, ayah! Tak bulih balik naik bas. Mak dah tak laghat. Ayah pun bukan kuat sangat. Kalau apahal berlaku, sapa yang nak tulung.” Larang Saerah. Sedang suami Saerah hanya diam membatu. Tidak membantah, tidak juga mengiakan. Seakan langsung tidak berminat dengan persoalan yang menjadi perbicaraan mertuanya dan isterinya. Hanya menjadi pendengar setia.
“Abang Majid ni mata dia tak berapa awas sangat kalau bawak kereta. Kalau dak dah lama kami berdua pi hantaq mak dengan ayah balik. Kalau bawak kereta kut dekat boleh ja. Ni nak balik pi Kedah nun jauh sangat tu.” Saerah lancar saja mengutarakan permasalahan sebenarnya sedang penerimaan ayahnya lain pula.
Tercuit juga hati kecil Pak Hamid mendengar apa yang dikatakan anaknya. ‘Aku sedaq sapa diri aku. Juga setakat mana upaya yang aku ada. Susahnya kalau sudah tua merga lagu ni. Apa yang hendak dibuat lebih banyak menyusahkan orang keliling. Allah bagi kat aku umuq yang panjang dan aku perlu ghedo dengan takdir-Nya. Toksah duk keluh kesah walau dugaan-Nya buatku seluloi ghnsing. Astaghfirullah.ampuni hamba-Mu ini ya Allah.’ Keresahan yang melanda hatinya dilukis monolog mindanya.
Saerah juga sedih melihatkan keadaan ayahnya yang tidak seceria awal kehadirannya ke rumahnya dahulu. Kelihatannya sentiasa murung. Hajatnya ingin menjaga kedua emak dan ayahnya meniti akhir usia mereka. Tidak mahu lagi membiarkan ayah dan emaknya menyara kehidupan dengan mencari rezeki sendirian. Samaada ke laut, ke bendang atau ke dusun di tepi hutan . ayah dan emaknya tidak layak lagi melakukan kerja sebegitu walau pada anggapan kedua-duanya amat ringan. Lagipun sudah lama emak ayahnya membanting tulang demi kehidupan. Dan sudah tiba masanya mereka menikmati usia tua mereka dengan berehat dan beribadat smbil dijaga anak cucu. Dia menyimpan hasrat itu dan ingin melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai salah seorang anak kepada  emak dan ayahnya. Bilakah lagi jasa, budi baik yang bertabur di batas kehidupannya selama ini oleh kedua-duanya dapat dibalas. Itupun kalau boleh dilakukannya sebagai anak yang mengenang budi dan jasa orang tuanya.. Rasanya payah pula walau dia telah merekakarya pelbagai alasan. Dia sangat mengasihi ayah dan emaknya itu. Melepaskan kedua-duanya pulang serasa lompong jiwa raganya. Namun kehendaknya tidak mampu mengatasi keinginan emak ayahnya yang ternyata kuat.  Bak kata perbidalan lama ‘bujur lalu melintang patah’ Maksudnya apa saja galangannya akan dilepasi demi menunaikan hajat dengan pasti. Apalah dayanya lagi. Kemahuan emak dan ayahnya terpaksa diikuti jua.
Sambil minum sambil bercerita isu semasa lewat sebuah Wira biru metalik yang membelok dan berhenti tiba-tiba. Enjinnya yang menderum  keras mencemarkan sunyi alam. Menarik perhatian untuk dipandang.  Masing-masing menjenguk ke halaman mengawasi persekitaran. Saerah bingkas bangun daripada duduknya untuk memastikan siapakah yang dijangka hadir menjadi tetamunya. Tersenyum Saerah kepada  suaminya dan emak ayahnya. Riang hatinya menyerikan wajahnya.
“Ani dan Adi balik tu.”
Kepulangan Ani dan suaminya Adi menggembirakan yang menyambutnya.  Sepasang suami isteri itu segera menaiki anak tangga yang cuma tiga takah setelah membolos diri dari kereta yang dipakir di sudut halaman rumah keluargnya.
“Kata cuti sekolah baru nak balik?” ucap Saerah.
“Dapat pula cutii lebih cepat mak.”
“Bolehka lagu tu.”
“Boleh ja asai betoi sebab musababnya.”
“Untung jugak kerja cikgu no…. bulih cuti ikut suka.”
“Untung ghugi sama banyak mak oii dengan kherjanya yang menimbun tak tau nak habaq apa.”
Saerah berlalu ke dapur dan kembali dengan membawa dua buah cawan yang beralas piring. Menuangkan  air kopi dari dalam teko ke dalam cawan-cawan itu pula.
“Minumlah Adi, Ani…makan kuih tepung talam yang tok hang buat. Sedap sangat tu. Resepi kuih lama dari ayaq tangan orang lama.”
“Ish! Sedapnya kuih tok. Nanti tok ajaq Ani lagu mana nak buat tepung talam ni no.”
“Makanlah Ani, Adi tak sedap manapun kuih tok buat tu.”
Ani dan Adi tersenyum sambil melirik pandang Pak Hamid. Tenang saja kelihatan wajah tokwan mereka kepada kedua-duanya. Tersenyum sedikit membalas pandangan cucunya itu.
“Esok kita balik Kedah tokwan, tok.” Ani memegang tangan tokwannya dan mencuit pipi toknya. Memeluk toknya dengan erat penuh kasih sayang. Mak Inah juga membalas rangkulan cucunya itu dengan lebih kemas lagi. Pertautan kasih sayang sedarah sedaging yang abadi dirasakan menyatu diri kedua-duanya.
“Sungguh ka Ani?” Tanya tokwannya berserta senyum yang terorak lebar. Girang sungguh hatinya. Matanya bersinar. Wajahnya cerah berseri. Inilah khabar yang sangat dinantinya. Kedua-dua tangannya meraup wajah seraya mengucap syukur Alhamdulillah.  Segera pula dia bingkas bangun.
“Nak pi mana pulak tu tokwan. Duklah dulu kita sembang-sembang sat.” Adi bersuara lunak.
“Cepatlah bersiap apa yang patut. Esok tak kalut sangat.” Pernyataan Pak Hamid kepada isterinya menjawab pertanyaan Adi.  Mak Inah bingkas segera daripada duduknya, mengekori langkah suaminya dengan akur. ‘Apalah yang ada yang hendak disiapkan pun.’ Getusnya dalam diam. Gelagat kedua-duanya mengundang senyum di bibir dua pasang suami isteri itu.
“Toksah duk kalut sangatlah mak ayah. Nanti cek tulong siap semua. Mai duk sembang-sembang dulu. Isuk dah nak balik. Nanti takdan pulak nak kata apa.” Mak Inah dan suaminya kembali melabuh duduk.
“Tiba-tiba saja nak balik Kedah awatnya.” Majid yang selama ini berdiam saja melantunkan suaranya.
“Abang Adi ada kursu di Langkawi. Kebetulan nak ke sana bolehlah bawa tok dan tokwan balik. ” Pengurus firma swasta itu mengangguk membenarkan kata-kata isterinya.
“Ani pun nak ikut pi sekali. Mohon cuti lulus pulak.” Jelas Ani tergelak. Seronoknya dia. Anganannya selama ini untuk menjengah pulau Mahsuri itu akan termakbul. Kisah Mahsuri seorang isteri yang setia kepada suaminya lagi cantik jelita telah dihukum sula lantaran fitnah mereka yang dengki kepadanya diingati akan  sejarahnya. Dan Pulau Langkawi dengan persisiran pantai yang cantik tersangat ingin dijelajahinya sambil membeli belah di pulau bebas cukai itu.
Impian indah seorang perempuan yang baru bergelar isteri. Kebahgiaan yang sentiasa marak meriah berbunga sepanjang usia perkahwinan yang sangat baru itu.  Saerah dan suaminya juga dapat menelah apa yang beriak di wajah Ani, namun Saerah juga tumpang gembira dengan kegirangan di wajah emak ayahnya. Mujur juga cerita kebetulan itu berlaku. Kalau tidak mendung akan terus menutupi wajah Pak Hamid ayahnya.
Malam Saerah berusaha memasak bekalan makanan yang akan dibawa pulang emak dan ayahnya dengan dibantu  emaknya.
“Buat apalah mak susah payah masak bekai. Kami boleh singgah makan di kedai R&R yang banyak kat tepi lebuhraya tu.”
“Takpalah Ani dah ada bekai bila lapaq boleh ghenti makan kat bangku.  Jimat sikit belanja. Lauk kat kedai tu tokwan hang bukan suka. Tok wan hang suka makan masakan tok dan mak hang ja.”
“Ya ka? Kalau nak jalan jauh kena bawak bekai lah no.” Ani cuba memahami walau perkara semudah itu hanya remeh baginya.
Pagi masih terlalu awal dan dingin. Pak Hamid bergaya dengan sepasang baju Melayu Cekak Musang merah jambu hasil jahitan anaknya Saerah. Senyumnya terukir manis menyalami anak menantunya. Lega sungguh perasaannya yang selama ini mendera mindanya kerana kerinduannya kepada kampung halamannya. Sebentar lagi dia pasti sudah berada di lebuhraya lebar penghubung destinasinya bersama cucu dan cucu menantunya..
‘Tinggallah bak-baik anak menantu. Tinggallah negeri Pahang Darulmakmur.  Aku ingin menghabiskan sisa sisa keriangan hidup yang kukecapi dengan nikmat di tanah kelahiranku. Jiwa ragaku sudah sebati dengan apa yang ada di sana. Seperti kau juga Saerah yang sangat mesra dengan alam kehidupanmu bersama suami dan anak-anakmu di sini. Ayahmu ini akan sentiasa mengirimkan doa kesejahteraan agar anak menantu dan cucu- cicit yang disayangi berbahagia selalu.’ Mungkin begitulah  Pak Hamid menyusun frasa di mindanya.
Pak Hamid menjeling isterinya yang terlena di sisi. Berbalam di selimuti kabus puncak Jerai mulai menyerlah. Nafasnya ditarik puas. Melepaskannya perlahan. ‘Aku pulang padamu kampung halaman.’
Tamat.

Glosari:
Takdak - tiada
Bulih - boleh
Besaq – besar
Syukoq – syukur
Haruan bantut – sejenis resepi masakan ikan berinti yang dipanggang.
Mengkala – bila
Lagutu – begitu
Seluloi- selalu
Hampa – kamu
Hang – awak
Mai – datang
Kelang – kilang
Soghang - seorang
Awat - kenapa
Hantaq – hantar
Habaq - kabar
Cemoih – jemu
Mai - datang
Mujoq – mujur
Berkuboq – berkubur
Ghumah – rumah
Ghenti – renti
Ghedo – reda
Toksah – tidak usah
Biaq - biar
Ghunsing – runsing
Kosa – kuasa
Tua merga – tua renta
Tulung – tolong
Ghasa - rasa
Ghugi – rugi
Bekai – bekal
Asai – asal
Kuboq - kubur

16 comments:

  1. Realitinya memang kebanyakan Orang2 tua biasanya cepat je nak balik ke kampung. :)

    ReplyDelete
  2. HMM BETUL TU NADHIE MESTI CUBA DIFAHAMI PERASAAN MRK...TQ

    ReplyDelete
  3. kerinduan pada kampung halaman selalu mencengkam jiwa... memang tak betah duk bandar lama2...

    ReplyDelete
  4. HMM BETUL TU ATIE APALAGI ORG TUA MCMKAK NI HEH..HEH..TQ

    ReplyDelete
  5. Haahhh... habis juga kakak baca.
    Kakak kalau baca cerpen tak boleh tinggal sekerat-sekerat
    Puas baca sebab endingnya happy dan terlaksana impian dua org tua nak balik kampung halamannya:)

    ReplyDelete
  6. Resepi membakar ikan keli tu kakak membayangkan cara ikat dia PI
    Agaknya sedap kan buat cara tu:)

    ReplyDelete
  7. WAH RAJIN JUGA KAKZAKIE HABISKAN CERPEN KAK YG PANJANG TU LBH 3K WORDS TU..TKSH CERPEN NI DIBINCANGKAN SIFU PENULISAN ZAHARAH NAWAWI DLM KURSUS PENULISAN CERPEN DBP BEBERAPA TAHUN DULU.

    ReplyDelete
  8. Wkmsalam.
    Singgah lalu dulu.
    Belum sempat baca habis.

    ReplyDelete
  9. YA SEDAP IKAN HARUAN BANTUT NI KAKZAKIE..IKAT JE DGN TALI DAUN PISANG N BAKAR DGN SEMANGGANG

    ReplyDelete
  10. TKSH WP..XPA BACA TIKA LAPANG

    ReplyDelete
  11. Assalaamu'alaikum wr.wb, Kak Paridah Ishak....

    Tersentuh saya membaca kerinduan Pak Hamid dan Mak Inah untuk kembali ke kampung halaman mereka. Memang betul kak, di situ tempat lahir, tempat bermain dan jatuh bangun pasti akan menggamit hati jua. Tambah lagi kampung yang tenang dan damai tentu tidak mampu dibendung rasa untuk kembali bersua. Anak-anak pun harus faham, bawalah ibu ayah sekali sekala balik kampung jika tinggal bersama mereka. atau selalu menjenguk mereka apabila ada masa terluang. Ikan keli tu kak, saya tak reti nak makan. Cara sedia bahan masak ikan keli guna batu giling memang akan menghasilkan aroma yang lain dari kita blender sahaja. Sama macam kita tumbuk dalam lesung batu jugak, rasa dan baunya lebih enak dihidung kita.

    Salam manis dari Sarikei, Sarawak. :)

    ReplyDelete
  12. wsalam ct fatimah ...tksh sudi baca..cerpen ni ditulis berdasarkan kisah benar dari pemerhatian kak saja. ikan keli sedap dimasak sambal tumis r sambal berlada..org dulu2 kalau nk msk gulai r apa saja menggunacili n rempah2 semuanya digiling ct

    ReplyDelete
  13. Panjang ni tp pengisian bagus... baru dpt berblogging hari ni setelah beberapa hari ketinggalan huhu.. :)

    ReplyDelete
  14. TKSH DIK KK INSYAALLAH..BZ SGT TU YA XPA SELESAIKAN URUSAN PENTING DULU.

    ReplyDelete
  15. tempat jatuh lg dikenang inikan pula kg halaman sendiri

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”