Saturday, 21 November 2015

PADAM...

ASSALAMUALAIKUM...

 CERPEN 
PADAM
OLEH:
PROF IRWAN ABU BAKAR.


"Arnab. 200 cucuk.”
Dua ratus cucuk sate arnab dipesannya! Hai, berapa lama dia mahu duduk-duduk di restoran ini bersama isteriku? Berapa lama dia mahu mempermainkan “emosi wanita” isteriku? Berapa lama dia mahu menggoda isteriku?

Dia sedang duduk di meja 17 itu, disusuri waktu sambil menunggu tetamunya dengan sedulang sate arnab dan segelas jus limau nipis di atas meja di hadapannya. Dia kelihatan amat riang dan yakin. Namun ada kegelapan pada sinar matanya. Ada durjana pada teleng kepalanya. Dia sabar menanti. Namun apabila tetamu yang dinanti-nantinya tidak tiba juga setelah hampir setengah jam, dia menjadi resah. Sesekali dia melihat imej mukanya di dalam cermin. Sesekali dia menyikat rambut jarangnya. Menyembur pewangi nafas “Listerine” ke mulut. Dan semakin lama semakin gelisah dia.

Izwan memerhatikan raut dan riak gelagat lelaki yang berumur kira-kira 35 tahun itu dari meja yang berhampiran. Dengan mata yang menikam tajam. Dengan hati yang menjeruk dendam. Mereka sama-sama berada di Restoran eSastera. Lelaki itu ialah rakan sembang internet yang kerap berinteraksi dengan isteri Izwan di alam siber sejak kebelakangan ini. Kini sudah seminggu lebih Izwan menyamar sebagai isterinya dan bersembang siber dengan lelaki itu sehingga Izwan (yang disangka lelaki itu ialah isteri Izwan) mencadangkan untuk bertemu di restoran eSastera ini.

- Bagaimana kalau kita bertemu di alam nyata?
+ Wow, tentu boleh. Esok? Di Restoran eSastera?
- Beres. Jam 10.00 malam.
+ Kita makan sate arnab. Berapa cucuk sdr nak?
- 200 cucuk, hahaha.

Sengaja Izwan meminta pertemuan itu kerana ada urusan hati yang mahu diselesaikannya dengan jantan kurang ajar itu!
Satu jam lelaki itu menunggu. Setengah jam dia riang yakin, setengah jam dia resah gelisah. Sempat dia membaham lima cucuk sate arnab dan menghabiskan segelas jus limau nipis. Dan melangsaikan senaskhah majalah hiburan. Kerana buah yang ditunggunya tidak gugur-gugur, dia mengangkat punggungnya dan meninggalkan Restoran eSastera. Ada kekecewaan tercoret pada air mukanya. Ada kekesalan terpancar di matanya
.
Dalam gelap malam kota yang diterangi lampu-lampu jalan, Izwan mengekori kereta lelaki itu sehingga Wira biru lautnya itu berhenti di garaj rumah teres dua tingkatnya. Itu sahaja maklumat yang Izwan perlu tahu − alamat kediaman lelaki itu.

Berlumba Izwan dengan kilat. Izwan bergegas ke sebuah warung siber 24-jam. Izwan perlu berhati-hati dalam urusannya ini. Beroperasi dari warung siber lebih selamat kerana sukar dijejak. Jika Izwan beoperasi dari rumah atau pejabat, identitinya dapat dijejaki dengan mudah melalui alamat IP.

Isteri Izwan seorang wanita yang baik. Alim dan tidak pernah meninggalkan sembahyang. Mereka berjanji sehidup semati, timbul tenggelam bersama-sama, walau apapun yang berlaku, walau ganas taufan melanda. Memang Izwan akui yang kadang-kadang isterinya kesunyian apabila Izwan ke luar bandar dengan tugas-tugasnya. Tapi isterinya memahami hakikat bahawa Izwan terpaksa bertugas untuk mencari wang ringgit bagi menyara hidup mereka. Isterinya dapat menerima hakikat itu. Memang dia faham dan dapat menerimanya. Namun isterinya berubah sikap apabila diganggu lelaki ini. Isteri Izwan telah memasuki alam penuh khayal dengan keseronokan bersembang di internet tanpa menyedari implikasi bahawa perbuatannya itu merupakan perbuatan curang kepada suami.

Isteri Izwan dan lelaki itu pada mulanya berinteraksi di alam maya apabila mereka terserempak di suatu chat room secara kebetulan. Pada masa itu, interaksi siber antara mereka berlaku pada peringkat biasa sahaja. Peringkat suka-suka. Peringkat main-main. Seronok-seronok. Tiada ikatan emosi.

- Dah makan.
+ Dah.
- Hari ini masak lauk apa?
+ Tak masak lauk. Goreng mihun sahaja.
- Mihun pun sedap. Hahaha.
+ Hahaha.

Kemudiannya medan interaksi mereka telah dipindahkan ke instant messenger. Di situ, lelaki itu memulakan perbincangan tentang isu-isu peribadi. Hubungan antara mereka mahu diintimkannya lagi, lebih daripada hanya sepasang penyembang kasual di alam siber.

- Sdr dah kahwin ker?
+ Dah. Dah 35 tahun umurku.
- Umur kita sama sebenarnya.
+ Ya ker?
- Banyak masa untuk bersembang di internet, nampaknya. Kerja rumah dah buat?
+ Tinggal sorang. Kerja apa sangatlah hendak dibuat.

Sefasa selepas itu, dia mula pula memper-mainkan “emosi perempuan” isteri Izwan dengan membincangkan hal-hal yang melibatkan hati dan perasaan. Maklumlah, isteri Izwan selalu tinggal berseorangan. Selalu kesunyian.

- Kita berdua beremosi sama nampaknya. Sama-sama berbintang Taurus. Jenis emo.
+ Betul. Saya memang emo orangnya.
- Saya berasa sdr sedang kesunyian.
+ Taklah. Saya biasa sahaja.
Sefasa lagi selepas itu, mereka telah mula berbincang tentang urusan harian masing-masing pula. Siapa buat apa di mana. Hal yang biasanya dibincangkan oleh pasangan suami isteri sahaja.
- Hari ini banyak kerjalah. Nak basuh kain baju. Pastu nak gosok pula. Tak boleh sembang lama-lama. Gtg. Jumpa esok. Bye.
Suami tiada di rumah. Anak tiada. Dalam keadaan ini, kerja rumah minimum. Tentu kebosanan boleh terubat jika dapat berkomunikasi dengan orang yang rajin melayan emosi dan nafsu.
- Suami ke mana hujung minggu ni?
+ Penang. Ada urusan perniagaan.
- Betul ker? Ker dia gi cari awek lain? Hahaha.
+ Taklah. Mengarut sahaja sdr ni!
- Kan elok kalau sdr pun ada teman. Jangan asyik memendam rasa.
+ Teman untuk apa?
- Duduk-duduk bertukar perasaan. Dan mengadu hal. A shoulder to cry on.
+ Saya ok begini.
- Saya rasa sdr tak ok. Sdr sahaja memendam rasa. Entah di manalah dia sekarang. Entah dengan siapalah dia sekarang.

Izwan menyedari apa yang sedang berlaku apabila membaca rekod-rekod sembang itu yang memang disalurkannya ke cakera keras. Rupa-rupanya, mudah sekali bagi lelaki yang “entah siapa-siapa” untuk menggoda seorang wanita di alam siber. Barangkali orang mudah terpikat di alam siber kerana rakan sembang di hujung talian adalah misteri dan sentiasa dibayangkan di minda sebagai manusia ideal yang diidam-idamkan. Dan setelah menyusup gerbang masuk ke alam siber, kekadang orang terlupa bahawa fizikalnya masih berada di dunia nyata dan masih dipengaruhi undang-undang dan peraturan dunia nyata
.
Pada suatu peringkat, interaksi dengan isteri Izwan telah sengaja diseret oleh lelaki itu ke lembah orang bercinta, dengan menggunakan istilah pasangan yang sedang berkasih sayang seperti “cantik”, “rindu”, “sayang” dan sebagainya.
- Sdr tentu seorang yang cantik.
+ Taklah.
- Apabila perempuan berkata “tak”, maksudnya “mungkin”.
+ Hahaha...
- Eh, ke mana semalam, tak masuk ke internet? Saya rindu. Sdr tak rasa rindu?
+ Emm... mungkin.
- Apabila perempuan berkata “mungkin”, maksudnya “ya”.
+ Eh, awak nakallah.
- Hahaha... Kenapa ek, apabila perempuan bercakap, lain di mulut lain di hati?
+ Saya tak macam tu. Saya bercakap betul. Kalau saya ajak sembahyang, takkanlah maksudnya saya ajak tidur.
- Apa? Ajak saya tidur?

Hal ini tidak boleh jadi. Seorang perempuan yang telahpun diijabkabulnya dan terpaksa bersendirian di rumah, digoda lelaki iblis ini. Entah-entah lelaki itu memang mengenali mereka berdua, mana tahu!
Terkesan Izwan akan sedikit perubahan pada diri isterinya sendiri. Kekadang, fikiran isterinya melayang entah ke mana walaupun Izwan di sisinya. Apakah emosi isterinya terperangkap di alam siber sewaktu dirinya beredar meninggalkan kelir komputer?

“Dayuslah aku jika aku biarkan semua ini berterusan! Aku mesti mengambil sesuatu tindakan. Aku mesti mengambil tindakan tegas!” Begitu kata hati Izwan. Izwan melangkah tegas. Dipindahkannya komputer dari rumah ke pejabat. Dia memberitahu isterinya bahawa komputer itu telah diserang virus amat berbahaya “LoverBugs” dan perlu dibaiki. Kemudian Izwan mengambil alih hubungan sembang isterinya dengan lelaki itu, dengan berlakon sebagai isterinya! Sememangnya Izwan mengetahui username dan password yang digunakan isterinya dalam sistem instant messaging itu. Memang tidak ada rahsia antara mereka berdua.

Malam ini, lelaki itu kecewa kerana pertemuan pertama kali di alam nyata yang dirancangnya tidak menjadi. Izwan sendiri berpuas hati dengan apa yang terjadi malam itu. Semuanya berada pada landasan seperti yang dirancangnya.
Sebaik-baik sahaja Izwan mengambil alih sebuah komputer di suatu sudut tersorok di warung siber itu, dia log masuk dengan menggunakan nama pengguna dan kata laluan isterinya lalu meninggalkan pesan kepada lelaki itu:

+ Maaf tak dapat datang tadi. Gigiku sakit, macam mana nak makan sate arnab? Hahaha...
Selepas itu, Izwan log keluar dari ruang sembang itu. Dia terus dengan tugasnya yang berikutnya seperti yang telah lebih seminggu dirancangnya. Dengan menggunakan alamat rumah lelaki itu, Izwan dapat menjejaki rekod diri lelaki tersebut di semua pengkalan data rasmi.

Izwan menggodam pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara dahulu. Dia mahu padamkan semua informasi yang mengesahkan kewujudan lelaki itu. Dan dalam beberapa minit, lelaki itu sudah tidak wujud lagi secara rasmi. Kemudiannya, Izwan ke pengkalan data Polis Diraja dan Jabatan Pengangkutan Jalan pula. Dan bank-bank yang dilanggani lelaki itu. Dalam 45 minit, Izwan selesai menjalankan tugasnya. Semua rekod rasmi tentang kewujudan lelaki itu telah berjaya dipadamnya.

Kepakaran Izwan dalam bidang komputer bukan kepalang uniknya. Dia raja hacker. Lebih daripada 50 peratus syarikat-syarikat besar ICT negara ini mengupahnya untuk menguji keselamatan sistem komputer masing-masing. Namun tidak pernah terfikir olehnya bahawa kepakaran itu akan digunanya untuk tujuan ini: tujuan peribadi bagi membuktikan yang dia bukan seorang lelaki yang dayus.

Pada jam 1:15:34 pagi, kewujudan rasmi lelaki kurang ajar itu telah habis kena DELETE. Dan, dalam sistem tanpa kertas yang sedang dilaksanakan sekarang, hal ini bererti bahawa lelaki itu tidak diiktiraf lagi kewujudannya. Kewujudannya kini tidak lagi diakui. Malah tidak dapat dibuktikan melalui rekod yang sah.
Izwan menghantar kepada isterinya sms yang telah dimanipulasinya:

+ I luv u. Miss u. Sweet dreams!
Dan dalam sistem sms itu, direkodkan bahawa Izwan telah menghantar mesej itu dari suatu lokasi lain, 400 kilometer jauhnya dari tempat dia berada.

Tugas Izwan di dunia maya telah selesai.
Izwan beredar dari warung siber itu. Dia memandu keretanya kembali ke rumah lelaki tadi. Langkah seterusnya ialah untuk dia DELETE kewujudan fizikal lelaki itu dari dunia nyata. Tentu Izwan tidak menghadapi apa-apa masalah akibat daripadanya. Siapa yang hendak ambil kisah atas kehilangan seorang manusia yang tidak wujud? Dan tugas ini amatlah mudah untuk dilakukannya dengan bantuan sepucuk pistol kecil bergilap amarah dan dendam yang tersembunyi di saku kecil seluarnya!


TAMAT
e.sastera.com

30 comments:

  1. Padam
    Suram
    Hitam
    Malam

    Ter delete dendam

    Salam...

    ReplyDelete
  2. Padam
    Suram
    Hitam
    Malam

    Ter delete dendam

    Salam...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Puan. Paridah...

    Inilah cerpen yang saya sangat suka baca....jalan ceritanya....maksud saya ada unsur2 penyiasatan....macam cerita Hardy Boys...Lima Sekawan...Tujuh Sekawan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. wsalam fida...inilah cara menulis cerpen yg patut dicontohi penulis2 cerpen fida...tq.

      Delete
  4. waallaikumsalam
    maaf belum sempat membaca cerpen wan Prof Irwan Abu Bakar yang berjudul Padam dan yakin menarik sangat pasti...nanti malam balik lagi lah ya

    ReplyDelete
  5. cerpen karya seorang prof mestilah hebat...ada masa singgah baca ya...tq.

    ReplyDelete
  6. bahayanya kalau lelaki begitu benar-benar wujud.. penuh dengan dendam.. menarik cerpen ini..

    ReplyDelete
    Replies
    1. mrk yg suka menyusahkan org ni elok dipadamkan saja heh..heh...cerpen yg kreatif nukilan penulis hebat...tq aiza.

      Delete
  7. wahh..mcm citer Hollywood...tapi itulah realiti sekarang ni..FB, whatsapp, chat room..jadi punca perceraian..

    ReplyDelete
  8. hebatkan cara penulisan prof ni gambaran situasi semasa melalui cerpen...tq nohas.

    ReplyDelete
  9. Fuhh... lelaki spt ini mmg patut dilenyapkan di muka bumi ni... mmg tak patut hidup... penulisan yg sgt hidup dan mencubit emosi pembaca... thanks sharing kak PI... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hmm elok dipadam saja kan KK...tq...cerpen yg menang hadiah sastera bukan mudah nk hasilkannya.

      Delete
  10. arghhh..."LELAKI" tu....x suka!!!

    ReplyDelete
  11. Alhamdulillah bisa jumpa cerpen seperti ini yang saya suka sekali

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih debe dilacious menyukai cerpen ini.

      Delete
  12. jalan cerita yg hebat ikut arus semasa..

    ReplyDelete
  13. setuju dgn noor...cara menulis cerpen yg elok dicontohi...tq

    ReplyDelete
  14. cerpen yang mempunyai nilai pengajaran buat penggemar dunia cyber..berhati2 semua...

    ReplyDelete
    Replies
    1. cerpen mmg perlu ada nila mesej yg berguna kpd pembaca kan cikgu...tq.

      Delete
  15. Sekarang ni, macam-macam jenis orang ada..Kena hati2 selalu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. yela fidah kena hati2 dgn kwn2 siber jgn terlalu yakin kita xkan diuji spt citer cerpen itu. tq.

      Delete
  16. alah tak puas baca...pendek sangat...jalan cerita best...

    ReplyDelete
  17. nama pen cerita pendek yan...mestilah pendek..cerpen yg sgt menarik ...tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cerpen pendek je klu panjang tu novel btw cerpen ni mmg best padat&ringkas.....;-)

      Delete
  18. spesis mcm ni laa yg patut dinyahkan dari muka bumi!!! ;-)

    ReplyDelete
  19. heh..heh..betul tu anies...padamkan saja...tq.

    ReplyDelete
  20. Agak2 sape yg nak dipadamkan tu ye...???

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”