Saturday, 17 October 2015

IMPIAN VERTIGO...

CERPEN:
IMPIAN VERTIGO.
KARYA:
PARIDAH ISHAK.

                                                               IMPIAN VERTIGO



DI SEPERTIGA  malam ibuku sudah bangun daripada tidurnya menuju kamar kecil untuk mandi membersih diri dan berwuduk sekali. Usai bersujud  beberapa rokaat mengadap Ilahi memunajat segala doa kepada Yang Khalik segera menggantung mengkana di tempatnya yang tersedia di kamar solat kecil itu.
Bergegas pula ke dapur menyiapkan apa yang ada di dapurnya untuk bersarapan sebentar lagi, mengisi perut ala kadarnya. Ibuku tidak memilih jenis makanan yang akan diambilnya. Berpada setakat yang boleh mengenyangkan perutnya buat seketika sebelum menjelang tengahari. Kalau kebetulan ada roti maka dengan rotilah ibuku bersarapan. Tidak ada roti ibuku menjadikan biskut kering yang dicicah air teh panas sebagai pengalas perutnya. Jikalau ibuku menganggar masa yang ada masih awal dan sempat untuknya memasak resepi mudah seperti cekodok bilis atau lempeng kelapa  maka itulah yang dilakukannya.
Ibuku kadangkala malas hendak  bersarapan pagi lalu beliau berpuasa saja dan makan kala berbuka puasa setelah azan maghrib berkumandang. Berpahala berpuasa sunat ikut cara nabi Daud alaihisalam iaitu sehari berpuasa sehari berbuka. Meliputi sekali puasa sunat isnin dan khamis. Kelaziman ibuku  begitulah.  Menuruti syariah Islam yang syumul itu berfaedah sekali buat kesihatan ibuku. Bukankah makan secara berlebihan itu memudaratkan kesihatan?
Dengan berpuasa ibuku juga merasakan beliau akan menjimatkan masanya daripada berlama di dapur  buat melakukan aktiviti luar rumah kesenangan beliau. Sebelum mengatur langkah menjejak tanah ibuku akan mengemasi segenap ruang rumahnya daripada dapur hingga ke serambi terlebih dahulu. Segala habuk dan sampah-sarap disapu hingga bersih. Setelah berpuas hati dengan kekemasan rumahnya yang sederhana saja saiz besarnya itu barulah ibuku perlahan-lahan membawa dirinya  menuruni tangga rumah.
Ralit sungguh sehingga mentari tanpa disedari menginjak tengah kepala masih berada di luar, mengelitari segenap ruang yang ditumbuhi aneka bunga-bungaan yang segar mekar mengindahi lamannya.
Tenaga ibuku tidaklah terlalu banyak setelah beliau terlibat dalam kemalangan jalanraya di lebuh raya Utara- Selatan dalam perjalanan menemani ayahku menguruskan perniagaannya namun dipaksa berkuat juga untuk memenuhi realitI yang ingin dicapainya.
Walau berjalan sambil bertongkat menggunakan batang cangkul  ibuku tetap bersemangat mengatur langkah menuju kebunnya di belakang rumah meneliti tanamannya samada hidup subur, mati kering. Atau sudah tinggal teras dibaham lembu ,kambing yang sentiasa berkeliaran dan tidak terdaya diusir kerana lemah upaya dirinya.
Pantang tersilap sedikit pembawaan dirinya yang tidak terlalu stabil imbangan badannya ibuku akan jatuh tersungkur mencium tanah. Lantas segera berusaha dengan susah payah berpaut atau menongkat diri pada apa saja  yang berdekatan dengannya. Yang boleh membuatnya bangun semula meneruskan langkahnya yang terhenti.
 Mak cik Idah jiran ibuku yang kadangkala berada di kebun belakang rumahnya akan berkejar mendapatkan ibuku untuk membantunya. Tersenyum ibuku membalas pertolongan ikhlas itu dan bibirnya tidak mengucapkan apa-apa kecuali tangannya yang digerakan ke dada pengganti isyarat terima kasihnya kepada jirannya itu yang seringkali di sisinya saat dia kesusahan. Sudah lama mak cik Idah dan jiran-jiran terdekatnya memahami bahasa isyarat mudah ibuku itu.
Jiran-jiran yang baik adalau saudara terdekat kita dunia dan akhirat. Dan hak-hak jiran sudah termaktub di dalam alquran yang suci. ibuku menyedari itu. Sambil menghayun cangkul perlahan-lahan memokah tanah yang tidak sedalam mana bakal pula dimasukan anak benih ke dalamnya, bibirnya sentiasa dibasahi kalimat zikir bertasbih sambil kalbunya berdoa. Kemasylahatan, kesejahteraan, kebahagiaan suaminya, ibu bapanya, anak-anaknya, saudara-maranya, jiran-jirannya, kawan-kawannya, Muslimin dan Muslimat.
Doa dan zikir yang sentiasa diulanginya di mana saja sehingga terlelap matanya di dalam hatinya meski tidak terlafaz ketara di bibirnya. Tidak lupa pula menghadiahkan pahalanya kepada mereka yang amat dekat di hatinya. Termasuk jiran-jirannya.
Fenomena yang menguasai kehidupan ibuku kini menjadikannya merasakan apa saja dan siapapun kita perlu saling bertolong bantu melengkapi segenap kekurangan yang ada. Tambah di dalam keadaan ibuku yang tidak berdaya ini. Kelangsungan hidupnya berlestari dengan pertolongan jiran-jirannya, saudara-maranya dan mereka yang prihatin akan nasibnya.
Tragedi kemalangan yang amat trajis itu telah mengambil kebanggaan dirinya dan meninggalkan masalah vertigo kepada dirinya. Kecederaan parah di kepalanya menyebabkan terjadi bekuan darah di otaknya  mengakibatkan permasalahan vertigo kata doktor yang merawatnya. Vertigo yang menyebabkannya hilang suara, hilang upaya diri, air liur yang terlalu banyak bertakung di mulutnya yang terpaksa dilap agar tidak kelihatan jijik di wajahnya, sukar hendak menelan minuman atau makanan dan kelumpuhan separa.  
Anggota tubuhnya di bahagian kiri teramat lemah untuk berfungsi sebaiknya. Sementara anggota tubuh yang di sebelah kanan pun tidak berapa bertenaga seperti mereka yang normal kesihatannya. Pergerakannya pun terbatas dalam jarak minima sekitar rumahnya saja. Malah hatinya cepat tersentuh dan mudah berjauh hati. Sayangnya apa yang dirasakan hatinya tidak terdaya digambarkan melalui lafaznya buat membalas apa saja kenyataan yang diterima deria dengarnya. Hanya mengeram geram di sudut hati yang amat mendera jiwanya.
Wajahnya juga berparut di mana-mana. Kesempurnaan wajahnya yang luntur keseriannya tdaklah terlalu diambil hirau namun hatinya diserbu kesedihan kala anak-anak kecil yang ingin dimesrainya memalingkan wajahnya sambil menangis ketakutan. Ibuku sering bertanya kepada dirinya, apakah wajahnya teramat jelek untuk dipandang sehingga yang memandangnya keseraman seolah melihat hantu? Tersenyum pula sendirian di hadapan cermin yang membalikan gambaran wajah sebenarnya.
Ah! Anak kecil manalah yang tidak ngeri menatap wajah putih yang rompong tidak bergigi dan berparut pula di sana sini. Sebuah wajah yang tidak selesa diletak pandangan mata. Kecelakaan dengan hentaman kuat di kepalanya menjadikan dirinya ibarat tin yang dilenyek jentera berat. Habis sirna bentuk wajah sebenarnya. Dirinya sendiripun tidak gemar melihat wajahnya apatahlagilah orang lain. Wajah tidak cantik tidaklah mengapa asal hati bersih suci.
Setiap hamba Allah itu walau siapapun dia dan bagaimana rupa parasnya sama-sama berhak mengongsi rezeki-Nya berserta peranannya yang tersendiri. Ibuku berkompromi pula memujuk hati dengan reda mensyukuri takdir-Nya yang dilaluinya terbungkus hikmah yang belum terbuka. Mungkin. Kemungkinan yang tidak mungkin pun bagi Allah.
Jangan hanya menyesali kesukaran meneruskan hidup begitu begini dengan menyenaraikannya satu persatu. Terselindung rencana Allah yang maha mengetahui kebaikan jalan hidup pilihan sebenarnya ketentuan-Nya  bagaikan doa pilihan ibuku, ‘Tunjuki aku jalan yang benar, jalan yang diredai dan jauhi azab api neraka…aamiin.’’
Impian ibuku dulu hanya ingin menjadi isteri mithali kepada bapaku dengan setia tanpa bantah. Sepenuh hati berkhidmat menyulam kasih sayang terhadap keluarganya dengan  harapan menuai kebahagiaan. Walau tidak terlalu bahagia tapi tetap dapat merasai nikmatnya juga. Ibuku amat mencintai ayahku dan mensyukuri pertemuannya dengan ayahku yang mengikatnya dengan ijab Kabul pernikahan .
Lahir pula anak-anak lelaki dan perempuan yang comel dan cergas. Melengkapi hidup dalam istilah berkeluarga sebenarnya. Semata-mata ada suami dan isteri hanya disebut pasangan yang telah berkahwin. Disertai anak-anak antara pasangan suami isteri itu barulah dikatakan keluarga.
Tiada apapun yang kekal di dalam dunia fana yang  baharu alam ini yang disurat dalam sifat 20. Segalanya adalah sementara. Kecuali Allah yang esa. Hakikat yang hakiki dan tiada soal jawab mengenainya.  Gambaran dukanya meratapi perpisahan dengan ayahku yang terpaksa meninggalkan ibuku yang sudah hilang fungsinya sebagai isteri yang diharapkannya memenuhi semua keperluannya tertera jelas di wajahnya.
Perpisahan walau tidak pernah terlintas di impian ibuku akan berlaku antaranya dan ayahku, itulah yang berlaku. Mengenanginya membuat ibuku tersedu sedih pula. Bukan kemahuan, bukan keinginan kalau sudah demikian takdir-Nya masakan berdaya menolaknya.
 Impian ibuku tidak kesampaian menurut perencanaannya. Keinginan memiliki keluarga bahagia di samping suami tercinta dan anak-anak yang dididik untuk mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi ternyata gagal walau tidak sepenuhnya. Masih ada anak-anaknya yang setia bersamanya mengongsi sengsara, deritanya.
Dan anak-anak dalam diamnya tindakan tanpa suara, dalam sepinya menyusuri hari demi hari dengan langkah sumbang nampaknya memperlihatkan tanda-tanda bahawa cita-citanya yang disangkut ke bahu anak-anaknya itu akan Allah izinkan kejayaannya. Yang dirasakan ibuku begitu. Anak ibuku yang sulung sedang menghabiskan pengajiannya di university dan anaknya yang kedua bakal mengikuti jejaknya.
Ibuku menghantar anak sulungnya dan anak keduanya itu ke sekolah menengah harian biasa yang berasrama dengan harapan anaknya itu akan mendapat didikan yang sepatutnya diterima  daripada guru-guru bertauliah yang mengajar di sekolah itu. 
Sanggup menyusahkan dirinya ditinggal sendirian tanpa anak-anak di sisi yang boleh membantu dirinya dalam segenap perkara. Pengorbanan yang perlu dilakukan seorang ibuku demi masa depan gemilang anak-anak kecintaannya. Lagipun ibuku merasa tanpa suara, beliau tidak mampu mendidik anak-anaknya dengan cukup berkesan.
Sekadar menulis nota-nota pendek mengutarakan pandangan dan pengajaran kadang hanya dipandang lewa anak-anaknya. Sakit pula hatinya. Biarlah anak-anak ibuku tinggal di asrama dan hidup berperaturan untuk membentuk jiwa murni berhati budi mulia. Impian ibuku terhadap anak-anaknya hanya masa menentukannya kelak. insyaAllah.
Dan ibuku tidak serik untuk merancang lagi demi menggembirakan hati sunyinya. Langkah longlai cuba digagahkan setakat kemampuan dirinya untuk mendusunkan tanah di belakang rumahnya. Pelbagai jenis anak benih yang ditanami ke dalam tanahnya. Ada anak benih yang disemai sendiri dan banyak juga yang dibeli di nerseri yang menjual pelbagai jenis anak benih yang menjadi pilihannya.
Durian, cempedak, rambutan, dokong, duku, manggis yang daripada jenis berbaka baik dibeli tanpa berkira harganya. Kebanyakannya melebehi 10 rm ke atas terutama bagi durian D24 D25 D29. Musang king pun dibeli dan ditanam walau agak mahal harga anak pokoknya. Biarlah alah sedikit membeli asal menang memakai, telahan ibuku begitu pula.
Penjual anak benih durian lulusan UPM itu menasihatkan ibuku membiarkan anak pokok durian itu di dalam polybeg selama tiga tahun atau lebih sebelum memindahkannya ke kebun untuk menanamnya. Cuma perlu baja sesekali dan siram saja. Kalau tidak disiram tentu mati kering pokoknya.
Bersemangat sekali ibuku hendak menjayakan projek impiannya sambil berkejar dengan waktu dan cuba mengatasi kelemahan dirinya yang ternyata tidak setara semangatnya.  Mengapa ketika usia ibuku masih muda dan tenaganya banyak tidak ibuku merealisasikan impiannya itu? Bukankah ianya lebih mudah untuk dilakukan.
Banyak pula alasan yang ibuku beri. Alasan ibuku yang pertama mengaitkan kesibukannya mengurusi anak-anaknya yang masih kecil. Langsung tiada kesempatan untuk melakukan apa saja minatnya. Dikesampingkan dulu niat itu sehingga anak-anaknya besar sedikit. Untuk alasan kedua pula adalah kerana lebih memberi tumpuan kepada perniagaan keluarga. Sibuk  turut sama membantu ayahku menguruskan perniagaan  untuk mengumpul sedikit kekayaan demi anak-anak di masa depan.
Sudahnya terbiarlah tanah di belakang rumah itu tanpa di usahakan. Dipenuhi pula dengan semak samun yang membiakan makhluk perosak yang tidak diingini seperti tikus, ular, babi. Jikalau tikus banyakberkeliaran  pasti banyak ular yang akan mengejarnya. Rantaian makanan menyebutkan ular adalah makanan tikus. Apa yang nak dihairankan pun.
Dan babi yang suka menyondol sana sini akan menjadikan semak samun sebagai tempat persembunyiannya yang selesa. Keberadaannya dibimbangi membawa wabak JE pula. Bukankah amat merbahaya sekali wabak Japanesse Eclypse itu. Sebelum sesuatu yang memudaratkan berlaku eloklah diambil tindakkan yang bersesuaian dengannya.
Kawasan rumah bahagian belakang yang kesuraman dan ditakuti untuk didatangi kini semakin bersih dan terang. Bukan ibuku yang membersih dan menerangkannya tapi dibantu anak-anak jirannya dengan huluran sedikit upah yang seikhlasnya diterima. Kadang ibuku merasa hanya membebani mereka dengan masalahnya setiap penyelesaian kepada kemahuannya,
Apakandayanya lantaran kemahuan kepada merealitikan impiannya perlu melibatkan mereka yang prihatin kepadanya dalam ertikata bersimpati dengan kekurangan dirinya. Kelebihan yang ada padanya hanya sejumlah simpanan wang yang dibelanja pun secara berhemat agar keperluan sara hidup dirinya dan anak-anaknya tidak meminta-minta kepada sesiapa.
Walau kita miskin jangan sesekali menadah tangan meminta-minta kepada mereka yang ternyata berlebihan daripada kita. Rezeki orang tentulah hak orang. Langsung tiada mengena dengan kita jikalau Allah tidak menyatakan rezeki-Nya bersama orang itu terselit juga hak kita bersamanya. Ibuku akan hidup berpada seadanya dengan rezeki Allah yang melimpah dalam pelbagai cara dan bentuk saja.
Hatinya yang bahagia melihat anak-anak pokok yang ditanaminya subur menghijau tanpa kesan ragutan lembu dan kambing milik jiran yang terlepas daripada kandang juga adalah rezeki karunia-Nya. Jikalau tanamannya habis diragut haiwan-haiwan itu akan sedih pula hatinya walau ibuku tahu setiap tanamannya yang menjadi makanan kepada setiap apa saja makhluk Allah pahala ibuku telah dicatat malaikat pencatat pahala ke dalam kitab.
Kelak helaian kitab itu akan dibuka pada hari pembalasan di padang Mahsyar. Janji Allah itu pasti. Sungguh lega hati ibuku melihat kondisi tanamannya sihat walafiat dan tidak kenapa-napa. Tersenyum pula membayangkan hasilnya kelak akan dituai anak cucunya , jiran-jirannya, saudara-maranya dan sesiapa saja. Menggunung harapannya memohon Allah mengizinkannya.
Hujan mencurah teramat lebat berjam-jam lamanya tanpa diduga pada suatu malam yang pada senjanya ditabiri mendung hitam. Disertai pula angin kuat yang meliuk-lintukan pohon-pohon tinggi.  Guruh berdentum dentam sabung menyabung, kilat memancar-mancar cahayanya. Terdengar bunyi rekahan pohon-pohon yang mematahkan banyak dahan pokok. Kelapa nan sebatang berdekatan dapur rumah ibuku telah tumbang menyebabkan bumbungnya pecah dan air hujan memenuhi ruang dapur.
Ibuku mengurut dada kerusuhan sambil meraup wajah mengaminkan doa agar hujan ribut ini segera berhenti dan tidak membawa musibah banjir pula walau sudah kelihatan kepadanya air sudah naik dan membasahi ruang tamu rumahnya pula. Ruang tamu agak tinggi sedikit daripada ruang dapur.
Pengalaman begitu bukan pertamakali buat ibuku. Namun berulangkali dialaminya  tatkala musim tengkujuh menjelang akhir tahun. Sentiasa menghadapinya dengan sabar sambil bertawakal kepada Allah ketentuan-Nya. Hidup ini bukankah ada pasang surutnya. Hujan ribut pun tidak selamanya dan pasti berhenti juga.
Nampaknya pokok-pokok tanaman ibu yang patah dan hanyut akibat ribut dan banjir terpaksalah ibuku sekali lagi bersusah payah menanamnya semula. Tanpa jemu tanpa ragu melakukan minatnya yang menjati diri. Moga Allah akan menganugerahinya sebuah taman yang indah sarat dengan tanaman dan buah-buahan anekanya di jannah kelak walau di alam fana tidak sempat hendak direalisasikannya.
 Perkhabaran yang menyejukan jiwanya itu diperolehi daripada seorang ustaz yang member I kuliah di surau berdekatan rumahnya pada setiap petang jumaat. 
Hujan semakin rintik renyai dan kelihatan kepada ibuku jirannya mak cik idah berpayung ke rumahnya.
“Tadi dengar macam pokok tumbang… hati kak tu bukan main bimbang lagi risaukan Izah kenapa-napa…”
Ibuku tersenyum saja namun wajahnya ternyata keruh. Ibuku menunjuk ke a rah dapurnya. Mak cik idah menapak ke situ sambil  kepalanya tergeleng-geleng menyaksikannya dengan rasa keterkejutan.
Mujurlah kelapa sebatang itu hanya menghempap bahagian sipi dapur rumah ibuku saja dan mak cik Idah sudah mengira hendak meminta tolong anak-anaknya mengalihkannya secara memotong pelepah atasnya terlebih dahulu. Kemudian menguruskan pula bahagian pangkalnya.
Lagipun siapalah yang akan membantu ketidakberdayaan ibuku melainkan jirannya yang satu ini juga jiran-jiran terdekatnya yang amat rajin berbudi kepadanya itu.


Tamat..




24 comments:

  1. keren cerpenya ,,,, salut buat paridah ,,,, :)

    ReplyDelete
  2. tq fiu s..insyaAllah...suka2 berkarya sesekali.

    ReplyDelete
  3. Betapa besarnya kesabaran dan ketabahan hati seorang wanita...
    Sayu pulak bila baca cerpen macam ni. Pandai Kak Paridah tulis.

    ReplyDelete
    Replies
    1. wanita apalagi ibu perlu tabah hadapi apa saja ujian-Nya demi anak2 fidah.
      tq fidah2 suka2 berkarya drpd pemerhatian bukanlh pandai sgt pun heh..heh..

      Delete
  4. Sedih dan sayu... tabahnya seorang ibu yang kurang upaya melaksanakan tanggung jawab tanpa seorang Suami.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq zai insyaAllah tu..tanggungjawab sbg ibu tunggal perlu dilaksana sebaiknya.

      Delete
  5. sedihnya baca.. teringat kisah silam aiza dahulu.. mak aiza tabah membesarkan dan memberi pendidikan kepada aiza adik-beradik sendirian selepas kematian ayah aiza..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ibu sanggup berkorban apa saja demi anak2nya kan aiza...tq.

      Delete
  6. Pengorbanan seorang ibu memang taida tolak tandingnya..... pandainya kak paridah menulis cerpen..tahniah :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq wa..begitulah wa pengorbanan ibu demi anak2nya xtercerita banyaknya..

      Delete
  7. selamat malam P
    sedihlah pualk malam2 ni membaca cerita

    ReplyDelete
    Replies
    1. selamat pagi noor.
      jgn sedih2 hanyalah cerpen kan noor.

      Delete
  8. Sayu nya baca cerpen ni kak... pengorbanan wanita mmg tidak boleh dipertikaikan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu atie..hati wanita tetap tahu merasai dgn fikirannya. tq.

      Delete
  9. Tabahnya perjalanan hidup seorang ibu

    ReplyDelete
    Replies
    1. sorang ibu mmg perlu kuat n tabah hadapi apasaja yg melintang jln hidupnya.
      tq zumal.

      Delete
  10. Ibu itu ratu hati kita buat yang memahami. Seburuk manapun dia ibu ayah kita..terbaik PI

    ReplyDelete
    Replies
    1. benar tu ibbu kita adalah ratu segala ratu. tq cikgu.

      Delete
  11. pada anak2 Etuza selalu kata ..ibu lah yang lahirkan kita.tiada lagi lain selain ibu..Allah titipkan ibu buat kita hargailah ibu kita

    ReplyDelete
    Replies
    1. pesanan yg sgt baik pada anak2..ibu mesti dihargai...tiada ibu tiadalah kita...
      tq cikgu etuza.

      Delete
  12. Salam hujung minggu Kak. singgah lagi :)

    ReplyDelete
  13. salam hujung minggu fidah tksh banyak rajin singgah.

    ReplyDelete
  14. kita hanya ada seorang ibu...tq anies.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”