Sunday, 22 March 2015

SELIRATAN CINTA BAB 19.

ASSALAMUALAIKUM...

PIC GOOGLE SEKADAR HIASAN.

Sebaik turun dari bas ekspsres Purnama, Rizal dan Fareez berehat sejenak di atas bangku panjang yang tersedia di stesyen bas. Kedua-duanya melepaskan kelelahan yang dirasakan merangkum seluruh tubuh. Perjalanan yang lama dari KL hingga ke sini memang sangat-sangat meletihkan kedua-duanya. Sudahlah keletihannya terlalu ditambah pula dengan rasa mengantuk yang memberat kelopak mata. Amat menyiksakan sekali.
Dari stesyen bas Kuantan ini kedua-duanya menaiki teksi pula untuk ke jeti yang menempatkan feri, pengangkutan yang akan membawanya ke pulau yang menjadi destinasi.
Sesampai saja di jeti, Rizal begitu hampa. Feri yang diharapkan masih berada di pengkalannya telah membongkar sauh berlayar menuju pulau nun di sana. Tidak kelihatan pun di muka laut.
Fareez ternampak sebuah bot bersama pengemudinya. Dia pergi mendapatkan lelaki yang sedang mengemaskan keadaan botnya itu bertanyakan samada dia sanggup menghantarnya dan Rizal ke pulau itu.
Lelaki itu bersetuju dan memberikan harga tambang yang tidak munasabah pada perhitungan Fareez. Tersangat tinggi. Dia tidak terfikir Rizal mampu membayarnya. Dan mahu membayarnya.
“Gila...pakcik tu...dia minta 250.00RM. Selalunya 15.00 RM je seorang. Kau tengok senarai harga yang tertulis untuk pengangkutan feri dan bot yang diletakan di papan kenyataan tu. Kan jauh sangat beza larinya. Hai mencekik darah betul. Nampaknya kita bermalam sajalah di sini Rizal.” Ujar Fareez lemah diikuti dengan saranannya.
Walau hatinya tidak mengharapkan berlaku begitu tetapi di dalam keadaan begini nampaknya terpaksa juga diharungi. Menyesal dengan tindakannya mengikuti seorang teman yang baru dikenalinya sehingga menyusahkannya terpaksa melalui situasi sebegini tidak perlu lagi. Redha dan pasrah semata.
“Tak apa…aku bayar!” Fareez menentang bebola mata Rizal. Dia kehairanan amat.
“Hei…kau ni biar betul Rizal. Bayar tambang dah begitu mahal, kita hendak makan apa nanti. Jangan bazirkan duit Rizal. Simpan sikit untuk keperluan mendesak.” Rizal tidak memperdulikan temannya yang menceceh itu.
Dia mengeluarkan dompetnya dan menarik keluar not 50RM  5 helai dengan nilai wang 250RM. Fareez memerhati dengan takjub kerana dia tidak menyangka kawannya itu sanggup berhabis duit yang banyak kerana itu.
“Kau berikan wang ni kepada orang bot tu. Aku hendak ke sana malam ini juga.” Fareez tersentak. Terkedu seketika. Tidak tahu lagi apa yang hendak dikatakannya. Rupanya temannya itu bukan seperti yang disangkanya. Tidak sesengkek dirinya.
Dia tidak membuang masa lagi terus saja menghampiri lelaki pengemudi bot itu dan duit yang dipegangnya telah beralih tangan. Malam semakin dingin. Embunnya mulai menitis satu satu.

                                                     * * *

Majmin membelek-belek novel ‘Anugerah’ hasil karya penulis tanah air yang terkenal. Novel yang sangat tebal isi kandungannya. Tentunya penulisnya Zaharah Nawawi terpaksa membuat kajian yang begitu lama untuk menghasilkan sebuah karya yang sangat bernilai tinggi.
Bukan senang hendak menulis novel setebal ini jika tidak ada minat, kesungguhan dan kegigihan tegar untuk melakukannya. Sebuah karya yang menyebabkan penulisnya menerima S.E.A Write Award 1996 dari kerajaan Thailand.
Membaca karya-karya sastera sering juga dilakukan selain menelaah kitab-kitab agama. Karya-karya kreatif adalah dihasilkan penulis-penulis yang ligat berfikir. Buah pemikiran itu dicernakan di dalam tulisan pelbagai media.
Perlu diteliti corak pemikiran ini kerana kadangkala ia sangat membantu sesaorang mencari sesuatu solusi yang diingini.
Dia pernah berkenalan dengan seorang penulis yang gemar bergendang menyanyikan lagi Walinong Sari sebuah lagu rakyat Pahang yang indah dan unik. Ketika itu dia masih gadis kolej. Kadang-kadang mengikuti juga teman-temannya yang mengambil jurusan ijazah pengajian sastera bertemu penulis-penulis terkemuka tanah air.
 Dia amat mengkagumi tulisan cerpen yang dihasilkannya. Dan pernah bertanya penulis itu bagaimana beliau mempunyai idea menulis cerpen dengan begitu baik. Jawabnya, “Bila semakin berusia, kita akan semakin matang. Kematangan hidup akan memudahkan kita menggarap idea yang tercerna.” Tetapi dia tidak berminat menulis cerpen. Dan tidak pernah menulisnya.
Dia gemar sekali menulis pantun dan puisi. Puisi dan pantun yang ditulis buat tatapannya sendiri. Mengisi hari sunyi dan lapang bila sendirian.
Kini dia tidak pernah lagi menemui penulis Aripin Said dan jarang sekali menemui cerpennya yang tersiar di media arus perdana. Kemanakah dia agaknya? Pertanyaan yang mengganggu mindanya tidak ada jawapannya.
Dia terhenti dari menyelak lembarnya yang pertama nostalgia awal 80-an itu apabila tiba-tiba saja sesaorang terdiri di sisinya. Novel Anugerah yang ada di tangannya tidak jadi hendak dibuka. Sekeping kertas terjatuh dari bawah novel yang sedang diletak di atas sebuah meja kecil. Dia menunduk. Mengutipnya dan mendongak mengadap wajah dan tubuh yang terpacak di sisinya.
“Mana Rizal? Belum balik lagi ke?” Terpacul suara menerjah deria dengarnya.
“Belum lagi. Abang dah makan?” Tanya seorang isteri yang sangat perihatin terhadap kesejahteraan suami yang dikasihinya. Apapun perlakuan lelaki itu yang mendera jiwanya dia tetap mengatakan bahawa suaminya masih amat menyayanginya.
Persis pantun yang ditulisnya;
Baju Kedah pakai ke Kota
Bunga melati oles ke pipi.
Tidak semudah bagai dikata
Kerana realiti bukan mimpi.

Buat rimpi padi muda
Bakar setanggi harum baunya.
Biar mimpi menjadi nyata
Biar pelangi warna-warninya.

“Mak Kiah tak masak malam ni. Min ingat abang lambat balik macam selalu jadi Min suruh Mak Kiah panaskan saja lauk yang ada. Kami dah makan tadi. Biarlah Min tengok apa yang ada untuk dimasak kalau abang hendak makan.” Majmin berusaha bangun dari duduknya.
“Saya tu tak kisah. Saya masih kenyang lagi. Tadi dah makan di restoran dekat opis tu. Hah! kalau Rizal balik nanti macam mana. Kesian dia tidak ada apa yang hendak dimakan.” Majmin termangu. Tidak jadi hendak melangkah ke dapur. Ingatannya melayang-layang mencari anaknya yang entah berada di sudut mana.
 .  “Rizal…dia tu bukan suka sangat makan malam. Hendak diet jaga badan katanya.” Majmin mereka-cipta alasan yang kukuh. Sukar hendak dipersoalkan lagi.
“Saya hendak naik ke atas mandi. Kalau Rizal balik beritahu dia saya hendak berjumpa dengannya.” Dia sudah melangkah menaiki tangga satu-persatu membawa tubuhnya yang tegap tinggi itu.
“Apa hal penting sangat ni?” Tanya Majmin lunak.
“Eh tak boleh ke saya hendak berbual-bual dengan anak saya sendiri?” Dia bertanya balas membuatkan Majmin memandangnya terkulat-kulat.
“Malam tadi bukan ke abang sudah ajak dia keluar bersama-sama, tidak puas lagi berbual, bercerita?” pertanyaan yang tidak disambut dengan jawapan sebaliknya dengan sebuah arahan.
“Ingat tu. Saya hendak bercakap dengan dia. Jangan biar dia terus masuk tidur.” Arahan dan pesanan Shaari membuat Majmin mengulum senyum sendirian. Shaari terus melangkah memasuki bilik tanpa menyedari sesuatu yang diinginkannya tidak mungkin terjadi.
Majmin melihat sehelai kertas di bawah novel itu. Dia membaca tulisan cantik yang dinukil di atasnya. Tulisan tangannya sendiri.

Sekuntum momen

Sekuntum momen
persis mimpi gelisah di hujung ranting malam.
Gerimis luruh di kelopak misteri.
Berlabuh di pengkalan tandatanya yang mengelirukan.
Siapakah itu yang mengisi sepi seorang Sita.
Yang berladung titis sedihnya sepanjang usia.
Hanya momen nostalgia yang membeku sebagai tugu.

12 Dis 03


                                                      

6 comments:

  1. aduh terkesan ayat akhir tu...aduhh best plk membacanya

    Jom Vote blog acik bagi msmw

    ReplyDelete
  2. Sampai 250 tambang naik bot tu? cekik darah yer kalau betul2...

    ReplyDelete
  3. terima kasih acik...menulis suka2 saja...nanti kak cuba vote blog acik utk anugerah tu...

    ReplyDelete
  4. biasa zumal walau mahal kalau trpksa dibayar juga..tq zumal.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”