Meriah sekali
acara yang diatur di dalam majlis anjuran seorang tokoh korporat IT(Informasi
Teknologi), Datuk Shamsudin yang selalu disebut Pak Din saja bagi yang rapat
mengenalinya. Ramai rakan taulannya yang hadir turut sama meraikan kejayaannya
menguasai dunia IT yang globalisasi yang beribu pejabat di MSC (Multimedia
Super Coridor) Sepang, Putrajaya.
Antara rakannya
yang turut hadir adalah Datuk Shaari dan seorang anak muda yang sentiasa resah
kerana tidak selesa berada di tengah kelompok manusia pelbagai wajah menurut
ras itu.
“Kenalkan anak
saya Rizalsyah. Dia ni baru balik dari US . Baru saja tamat pengajiannya.”
Datuk Shamsudin menggores senyuman di bibirnya menyambut salaman anak muda yang
memaksa diri memaniskan senyumannya itu.
“Wah…sudah besar
anak kau ye Shaari, sudah ada yang boleh kau harapkan untuk menerajui syarikat
perkapalan kau kelak.” Datuk Shamsudin hanya menyatakan impian seorang ayah
terhadap anaknya apabila semakin dewasa menurut kebiasaannya. Dia merenung
Rizal dari ubun-ubun di kepala hingga ke hujung tumit kasutnya.
“Harapannya
begitulah.” Anak yang serba-salah di sisinya dijelingnya sekilas.
“Ish…kau ni datang
berdua saja ke, Amin mana? Selalunya kau kemana saja mesti dengan pembantu yang
sangat setia itu.” Datuk Shaari tertoleh-toleh mengimbas kelibat Amin yang
dijangkanya sudah tiba seperti yang di janjikannya.
“Dia pun akan
datang juga ke majlis kau ni katanya. Tidak tahulah kemana pula sesatnya.
Sekejap lagi sampailah kut.” Datuk Shaari berandaian saja pada kalimat
akhirnya.
Datuk Shamsudin
melihat ramai tetamu-tetamunya sedang memasuki ruang majlisnya. Dia mengangkat
tangan ke arah mereka dengan melontarkan senyuman cerianya.
Kawan-kawannya
ramai yang hadir ke majlisnya tentu ingin turut sama mengongsi kejayaannya
kerana berjaya menembusi pasaran maya IT di Australia dan beberapa negara lagi.
Begitu menurut gerak hatinya.
“Shaari bawalah
anak kau menjamu selera di meja sana .
Aku hendak berjumpa dengan kawan-kawan kita yang lain pula.”
“Baik Datuk.
Terima kasih.” Datuk Shamsudin membawa dirinya menghampiri tetamunya berjabat
tangan seorang lepas seorang dengan senyuman yang menguntum di bibir tanda
keceriaan meraikan tetamu yang hadir.
“Jom kita ke sana.” Datuk Shaari menudingkan
jarinya kearah sebuah meja yang dialas cantik dengan kain brocade kuning yang
berkilat. Beropol-ropol di sekelilingnya. Siap dengan gubahan lipatan bunga ros
di empat penjuru meja.
“Rizal duduk di
sini sekejap, ayah hendak bertemu dengan rakan bisnis ayah di meja sana.” Rizal
memandang kearah jari telunjuk yang dituding ayahnya. Seorang wanita seusianya
mungkin, menggamit ayahnya. ‘Tunggu sekejap Nadia,’ getus hatinya
Apa yang jelas di
matanya hanya seorang gadis berbusana anggun bergaya seperti model dengan wajah
yang mempesona sedang melambai ayahnya. Hatinya diterpa pelbagai persoalan.
Merangka prasangka yang tidak enak pada jangkaan.
‘Biar betul ayah
aku ni. Rakan bisnis ke girl friend?
Masakan semuda itu sudah menjadi korporat yang berjaya. Tetapi tidak mustahil
juga.’ Hati Rizal keliru sekali membuat penafsiran. Tapi tetap menenangkan jiwa
kalutnya dengan anggapan yang positif. Tidak menyukarkan benaknya.
Dia memang tahu
Bill Gate belum lagi berusia 40-an sudah pun menjadi billionare kerana siswa
yang tidak sempat graduat di Havard itu berjaya mempraktikan kemahiran IT dan
mengembangkan perniagaan Microsoftnya ke seantero dunia.
‘Boleh jadi gadis
berambut perang itu suku-sakat Bill Gate kut’, lucu pula gurau hatinya.
Hilanglah kerusuhan hatinya memandang perilaku ayah yang tidak di senanginya
sementara. Bercempera laksana awan ditiup angin.
Dia bersaorangan
di meja itu. Sedangkan ayahnya begitu leka berbual mesra dengan temannya. Dia
terasa ayahnya sengaja melupakannya. Membiarkannya termangu-mangu seperti kera
sumbang. Dirinya seakan sendirian walaupun dikelilingi ramai orang.
Segera dicapai
segelas minuman jus yang tersedia di meja. Ingin menghapus kerusuhan yang
menyesak dada dengan air yang bakal diteguk itu. Tugas air yang sangat ajaib
bermukjizat walau apa bentuk, rasa dan warnanya.
Samaada H2O jernih
tulen waima bercampur rupa. Sentiasa menyenangkan. Kecuali bah besar, tsunami.
“Hai Rizal.” Dia
terhenti dari meneguk air yang mula membasahi tekaknya apabila mendengar suara
sapaan yang sangat biasa pada pendengarannya. Gelas di tangannya diletakan di
atas meja dengan cermat.
“Eh…uncle Sham.
Uncle pun di sini juga? Auntie Mun tidak ikut sekali?” terasa terisi sedikit
ruang kosong kesunyian yang
menyerkupinya di tengah-tengah kemeriahan majlis yang serba mewah ini
dengan kehadiran sesaorang yang dikenalinya. Sahabat mama dan ayahnya yang
dikenalinya sejak lama.
“Auntie kamu tu
tidak ikut. Katanya dia ada janji dengan mama kamu hendak ke kuliah agama di
masjid Kota .”
Rizal angguk mengakuinya. Mamanya berkata begitu kepadanya.
“Tapi majlis Datuk
Shamsudin ni khusus untuk rakan-rakan bisnis yang lelaki saja. Dia tidak jemput
orang perempuan.” Rizal terkeliru. Sukar hendak dipercayainya. Wajah Datuk
Shamsi di jengah dengan pertanyaan. ‘Iyakah begitu?’
“Saya tengok ramai
je orang perempuan di dalam majlis hotel ni. Tapi Uncle kata orang perempuan
tidak dijemput?”
“Itu kamu jangan
silap faham. Kebanyakan perempuan yang ada tu hanyalah urusetia yang
menguruskan kelancaran majlis ni.” Datuk Shamsi mengucapkan fakta rekayasanya.
‘Masakan gadis
urusetia berlagak seperti tetamu. Uncle ni memang penipu. Dia ingat aku ni baru
sekolah tahun satu.’ Rizal menggumam dalam diam. Bibirnya mencebik sedikit.
“Eh…uncle duduklah
dengan saya di sini. Ayah tu sedang bersembang dengan seorang gadis urusetia
gamaknya.” Rizal mempelawa Datuk Shamsi duduk di sampingnya.
Sempat pula
melepaskan bola smash sinis yang
mengena tepat ke sasarannya. Datuk Shamsi tahu itu. Dia tersenyum sedikit
melindungkan wajah dari raut rasa serba tidak kena.
“Tidak mengapalah
Rizal, uncle hendak bertemu dengan ayah kamu sekejap. Uncle pergi dulu ye.”
Datuk Shamsi yang berusia awal 50-an sebaya dengan ayahnya meninggalkan Rizal
kembali sendirian. Tetapi tidak lama. Datang lagi sesaorang menyapanya. Dia
melepaskan semula gelas yang di pegangnya setelah sekali reguk.
“Eh...Rizal.”
Sekali lagi Rizal melafaz selawat ke atas Nabi S.A.W dengan perlahan. Kali ini
kerana bersalaman dengan Amin pula. Teman di sebelah Amin seorang gadis dengan
kelopak matanya berwarna hijau+biru yang gemerlap sementara alis keningnya urna
coklat ditulis persis garis melengkong halus.
Rerambut keningnya
yang tulen tidak kelihatan lagi. Namun gadis itu memiliki raut wajah yang
cantik. Memang tidak ternafikan keindahan wajah wanita ciptaanNya.
“Rizal, abang
hendak ke tandas ni. Boleh abang tumpangkan sepupu abang ni di sini sekejap.
Abang risaukan keselamatannya. Maklumlah sepupu abang ni baru datang dari
kampung. Takut hilang pula nanti jika dibiarkan seorang diri tidak berteman.
Tak apalah abang pergi dululah.” Amin tergesa-gesa meninggalkannya tanpa
mempedulikan apakah kata-kata Rizal selanjutnya. Adakah sanggup menerima amanahnya
atau tidak. Rizal mengangapnya bebanan yang terpaksa dipikulnya. Dia mengetap
bibirnya.
Dia membalas
senyuman gadis itu dengan air muka yang tidak jernih. Tetapi berusaha
dijernihkannya dengan senyuman tawar yang dimaniskan. Sekujur tubuh itu diintai
dengan lirikan matanya.
‘Begini punya dressing, ye ke orang kampung?
Ah...orang kampung alaf baru, era glokal seperti disarankan Timbalan PM perlu
setanding dengan modenisasi yang dikecap masyarakat bandar. Berminda kreatif
lagi inovatif. Hidup berkualiti. Tapi bukan setakat berubah kepada cara
berpakaian dan cara bersolek saja kut.’ Sinis sekali protesnya dalam diam.
Gadis itu juga sedang menilai seorang anak muda di hadapannya menerusi
pandangan matanya.
‘Kacak sungguh
anak Datuk ni, andai katalah dia ni berkenan pada aku seumur hidup aku dan
keturunan aku akan senang-lenang menumpang kemewahan Datuk yang kaya-raya tu.’
“Duduklah. Abang
Amin tu sekejap lagi baliklah.” Gadis itu dipersilakan mengambil tempat duduk
di sebuah kerusi yang disedia.
“Terima kasih. Saya
Liza.” Gadis itu tersenyum manja menghulurkan jejarinya untuk disambut jejaka
di hadapannya.
Rizal tidak
berhasrat hendak bersalaman dengan gadis itu. Tetapi dia tidak mahu memalukan
gadis itu kerana huluran tangannya tidak bersambut. Dia menggenggamnya longgar
dan segera melepaskannya.
Aroma minyak wangi
yang dikenakan gadis itu menyengat deria baunya tatkala dia mendekatkan dirinya
pada Rizal. Sangat memeningkan kepalanya. Rizal memang alahan dengan wangian
yang terlalu.
“Abang Amin
bercerita pada saya, Rizal ni baru balik dari belajar dari US . Ye ke?” Rizal terkedu. ‘Hai
berkenalan pun baru beberapa minit sudah buat soal-selidik tentang biodata diri
aku. Pelik ni. Macam ada sesuatu yang tidak kena pula.’
Rizal mengangguk
hambar. Gayanya seperti sesaorang yang sedang mengantuk. Dia menjengah mencari
kelibat Amin yang tidak muncul-muncul. ‘Lama betul abang Amin ni. Apa
dibuatnya?’ Mindanya mengukir tanda tanya.
“Ambil kursus apa
di sana ?”
pertanyaan yang muncul tiba-tiba dari gadis itu menerjah mindanya yang lepa.
“Degree in Applied
Electrodynamics.” Jawabnya hambar. Dia sengaja menyebut apa yang terlintas di
mindanya saja. Dia mengambil jurusan lain di universiti Rhode Island USA.
Ocean Engineering
sebenarnya bidang khusus yang dipelajarinya. Ijazah tentang kejuruteraan
samudera yang merangkumi semua dari asas mengenal lautan, arah tiupan angin,
cuaca, kelajuan arus, ombak sehinggalah apa yang ada di dalam perut kapal
sebelum memulakan pelayaran merentasi lautan. Setiap sabjek yang wujud
berkaitan maritin mesti diambil tahu. Ilmu yang wajar dipelajari seluas
lautannya. Tetapi pengetahuan yang diberiNya hanya setitis.
“Digri apa tu? Nak
sebut pun berbelit-belit lidah.” Pertanyaan yang menerjah ruang mindanya yang
telah melayang jauh ke Rhodes Island. ‘Itu pun tak tau! Hai lorat-lorat.’ Rizal
tersenyum simpul. Malas pula dirinya hendak memberi penjelasan setepatnya.
Dibiarkan gadis itu terkapa-kapa, teraba-raba maksud yang sebenarnya.
“Kenapalah ambil
kursus yang susah-susah. Habis tu balik sini boleh dapat kerja apa?” Banyak
pula pertanyaan gadis itu yang mengasaknya meminta jawapan dari Rizal sehingga
dia merasa bosan dan rimas hendak menjawabnya.
“Apa-apa pun
boleh, jadi cikgu, jadi pegawai, jadi kerani, jadi peniaga warong. Pendek kata
apa saja asalkan berminat dan ada kemahuan.” ‘Ramah sangat pula minah seorang
ni. Cepatlah datang Amin oii. Ambil balik harta kau yang memeningkan kepala aku
ni.’ Suara sinisnya itu terperangkap di dalam peti kalbunya. Matanya melilau
mengintai kelibat Amin. Tidak kelihatan di mana-mana.
“Laa…kalau sudah macam tu, buat apalah pergi
belajar jauh-jauh. Kata bang Amin, Rizal ni anak orang kaya. Tidak payah susah
payah belajar tinggi-tinggi. Harta ayah pun tidak habis dimakan.”
‘Mudahnyalah
penerimaan sepupu Amin ni tentang hidup. Sekarang ni orang berlumba-lumba
mencari ilmu pengetahuan terkini tetapi awak masih berangan-angan hendak hidup
senang dengan menghabiskan harta warisan emak-ayah. Sungguh tidak glokal
(globalisasi lokal). Tetapi lokal yang teruk. Sifat buruk yang tidak harus
diikut.’
“Liza awak
tunggulah Amin di sini. Jangan kemana-mana. Di sini keadaannya bukan macam di
kampung. Apa lagi orang cantik macam Liza. Mesti ramai yang berkenan. Silap gaya dibawa lari. Saya nak
keluar sekejap.” Rizal bergerak tanpa menoleh ke belakang lagi. Laju langkah
yang diaturnya. Sesiapa saja yang dilewatinya tidak disapanya. Hayunan langkah
menuju ke tempat yang ditetapkan hatinya.
Liza tersengih
melihat gelagat Rizal yang mengingatkannya tentang itu semua. Dan dia tidak
berupaya hendak menahannya dari tidak meninggalkannya.
‘Dia fikir aku ni
baru semalam agaknya tiba di KL. Aku ni anak KL jati beb. Lahir dan besar di KL
ni. Memanglah dari kampungpun. Kampung Baru KL. Nampaknya orang bandar yang
ijazahnya hebatpun mudah ditipu.’
“Tengok tu, Liza
sendirian saja. Anak Datuk tu ke mana?” Tersentak lelaki itu bila lengannya
dicuit. Lehernya terkilas memandang kearah meja yang ditempati anaknya sebentar
tadi. Benarlah apa yang dikatakan Nadia, anaknya sudah tidak ada bersama Liza.
“Ish…masalah ni.
Kawan pilihan si Amin ni langsung tidak boleh diharap.’ Telefon di tangannya
berbunyi. Datuk Shaari segera menjawabnya.
“Ayah, Rizal
terasa kurang sihat. Rizal dah balik dengan teksi ke rumah.” Tiada lagi
suaranya yang kedengaran. Taliannya sudah diputuskan. Datuk Shaari terpempan.
Termangu memandang Nadia.
“Ish budak ni.
Sudah balik dia. Cepatnya. Amin ni memang nak kena.” Dengus kerasnya
dilepaskan. Nadia memandangnya terkulat-kulat. Barangkali tidak memahami apa
yang dimaksudkan Datuk itu.
Ketika itu Rizal
sedang berada di luar entrance hotel.
Belum lagi berada di dalam perut mana mana teksi. Dia hanya berkata begitu agar
ayahnya tidak keluar mencarinya di luar. Helahnya memang berkesan. Datuk Shaari
mempercayai kelentong anaknya itu.
Rizal memetik
nombor handset mamanya pula. Mamanya
perlu diberitahu tentang keperluan mendesaknya pada saat ini. Kalau boleh dia
berharap mamanya itu akan terpacak di sisinya ketika itu juga. Mengongsi segala
yang dirasai dan dialaminya. Suatu pengalaman yang menjengkelkannya dan tidak
ingin diteruskan sehingga kesudahannya.
Majmin dan
kawan-kawannya sudah selesai kelas yang dihadiri dan kini sedang bersama-sama
minum di sebuah restoran. Handsetnya
bergetaran di meja. Dia mencapainya. Melihat nombor yang tertera di skrin dan
menjawabnya.
“Assalamualaikum.” Ucapan salam yang mulia
mendoakan kesejahteraan yang mendengarnya dilafazkan..
“Waalaikummussalam…
maaf Rizal ganggu mama ke? Mama sedang buat apa tu? Masih dalam kuliah ke?”
Rizal mengatur pertanyaannya satu persatu.
“Tidak. Baru saja
habis kuliah. Sedang minum ni dengan kawan-kawan mama. Eh…Rizal kenapa ni? Ada apa-apa ke. Rizal di
mana ni?” Suara Majmin cemas diiring dengan hamburan pertanyaan demi
pertanyaan.
“Rizal di depan
Mandarin Oriental. Mama hendak balik ke?” suara yang bertanya kedengaran
tergesa-gesa dan kalut.
“Sekejap lagi.
Kenapa?” Majmin merasakan anaknya sedang dilanda resah dan rusuh yang kusut dan
dia perlu tahu puncanya. Sebab-musababnya. Pertanyaannya meluncur bagai air
terjun Niagara.
Dan pertanyaan
yang di lontar mamanya ternyata pertanyaan baik yang sedang ditunggunya.
“Boleh mama datang jemput Rizal?”
“Kenapa? Ayah…”
pertanyaannya tidak habis kerana suara si anak segera memintasnya. Tidak mahu
diganggu dengan soalan tentang ayahnya.
“Rizal nak balik
ni. Mama datang ya. Rizal tunggu ni.” Majmin terpinga-pinga. Handsetnya
dimatikan dan meluru ke keretanya. Enjinnya dihidupkan. Segera kereta yang
membawa pemandu nan seorang itu meluncur meredah malam.
“Min! nak ke mana
tu?” jerit Datin Maimun. Dia hanya melambaikan tangannya membalas pertanyaan
Datin Maimun. Setelah itu jarinya yang di tangan kanan menunjuk ke arah
hadapan.
Dia cuba
memahami maksudnya. Tetapi tiada upaya. ‘Kehadapan tu kemana?’ dia bertanya
kepada dirinya. Sudahnya dia bungkam. ‘Lantak kaulah Min hendak kemanapun.
Asalkan selamat sudah.’
“Hendak ke mana
Datin tu? Tergesa-gesa sangat? Macam hendak mengejar sesuatu saja?”Tanya Normah
seorang pegawai tinggi di sebuah jabatan kerajaan yang baharu saja bersara
wajib.
“Entah… adalah tu
kerja yang hendak di selesaikannya.” Balas Datin Maimon, tidak mahu lagi
memanjangkan kisah.
Dah bab13 dah.. lajunya akak menulis
ReplyDeleteHEH..HEH..TQ DORSET PINK.
ReplyDeleteKalaulah Rizal bawa Datin/mak dia tu terus ke majlis ayah dia tu kan bagus
ReplyDeleteNak tengok apa jadi dgn Nadia tu. Geram kakak
Hihi... novel pun kadang buat kita geram PI:)
HEH..HEH..WATAK NADIA TU SAMPINGAN SAJA KAKZAKIE...ADA LAGI WATAK YG LBH INTRESTING SELAIN N ADIA...TUNGGU SAMBUNGANNYA...TQ KAKZAKIE SUDI IKUTINYA.
ReplyDeleteSaya ketinggalan cerita, tau-tau sudah bab 13 sahaja. Mengalir lancar tulisan, semakin terasah, semoga menjadi penulis yang menuai hikmah :)
ReplyDeleteiya dh panjang ceritanya..tq ave ry sudi singgah n ikuti karyaku..
ReplyDeleteTahniah paridah...teruskan berkarya...
ReplyDeleteterima kasih bunda..insya Allah...
ReplyDelete