Tuesday, 27 January 2015

APA DAYAKU...

ASSALAMUALAIKUM...

PI KONGSIKAN DENGAN IZIN PENULISNYA CERPEN YANG SANGAT MENARIK INI. CERPEN INI DISIARKAN MINGGUAN WANITA AHAD LALU. TERIMA KASIH KEPADA PENULISNYA  NOORLAILA GHAFAR YANG MAHU KARYANYA TURUT DIIKUTI KAWAN-KAWAN YANG GEMAR SINGGAH KARYAKU. TERIMA KASIH BANYAK YA...KAWAN-KAWAN..



APA DAYAKU
-         Karya : Noorlaila Ghafar

Kadang-kadang Noralia merasakan dunia berlaku tidak adil kepadanya. Kadang-kadang dia terasa undang-undang negara tidak adil kepada wanita-wanita sepertinya. Kadang-kadang dirasakan ceramah-ceramah yang pernah didengarnya di kaca televisyen, untuk membela nasib kaum wanita yang didera suami hanya retorik. Artikel-artikel yang menjelaskan hak-hak wanita di  dalam majalah-majalah atau di dada-dada akhbar yang pernah dibacanya tidak membantu.
Untuk menghubungi Umi pun dia tidak mampu kerana telefon bimbit dirampas lelaki itu. Cemburu lelaki yang telah bergelar suaminya itu sentiasa mengawal seluruh kebebasan hidupnya. Hidup umpama burung dalam sangkar, hanya mata terlepas badan terkurung. Nikmat terbang telah tiada. Bagaimana dia mahu keluar membuat aduan kalau dirinya sentiasa dikurung? Bagaimana dia mahu mendapat rawatan doktor selepas tubuhnya lebam-lebam dipukul?
“Umi, tolong. Tolong Along, Umi... Adik, tolong kakak, Dik...” Noralia menjerit . Tetapi tiada siapa mendengar jeritan sanubarinya. Hanya sepi menemani kegelapan malamnya.
“Tolong... Tolong Along, Umi...” Jeritan itu terus bergema di relung hatinya. Wajah Umi dan Adik dirindui amat.   Wajah  Walid yang telah lama kembali kerahmatullah  turut bergentayangan di ruang mata. Sesekali bunyi katak memanggil hujan Disember saling bersahutan. Sesekali dingin angin Monsun Timur Laut menyapa tubuh kurusnya, yang dibaluti telekung putih bersulam indah pemberian Umi. Dinginnya menusuk hingga ke tulang hitam
Mengenang Umi, nubarinya bagai ditusuk tajam sembilu. Sedih dan kesal silih berganti kerana kedegilannya tidak menerima nasihat Umi.  Kini jiwa dan jasadnya terpenjara akibat kedegilannya.  Bagaimana dia mahu melepaskan diri dari jeriji-jeriji yang memagari diri dan hatinya? Bagaimana...?
“Umi, maafkan Along.. Maafkan Along, Umi..”  Esak tangisnya tenggelam dalam relung jiwanya yang kosong. Untuk kesekian kali air matanya tumpah meratapi takdir.
“Oh Tuhan, aku sudah tidak mampu menanggung dugaan  ini.” Dia merebahkan dirinya di atas sejadah ungu, hadiah daripada Adik. Hanya telekung dan sejadah itulah pengubat rindunya kepada Umi dan Adik. Setiap kali menyarung telekung itu, terasa dirinya dalam pelukan  Umi. Terasa panasnya kasih Umi yang tiada tepinya. Benarlah kasih ibu membawa ke syurga. Terasa dekatnya Adik di sisi, setiap kali menatap sejadah itu. Lukisan Kaabah yang tertera di tengah-tengah sejadah bagai  dirinya amat dekat dengan Baitullah.
“Dik, hati kakak seungu sejadah pemberianmu.” 
Telekung dan sejadah itulah yang terus mendekatkan dirinya kepada Allah swt.  Dia yakin amat, Allah swt mendengar suara hatinya. Mendengar rintihan jiwanya. Dia tahu, doanya terjawab bersama berlalunya waktu. Dia tidak kesorangan dalam kegelapan dan kesepian malam ini.
“Demi waktu dhuha (ketika matahari naik sepenggalah) dan demi malam apabila telah sunyi. Allah tidak pernah meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak pula membencimu. Dan  sesungguhnya, yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan. Kelak Allah swt akan memberikan kurnia-Nya dan hatimu pasti akan puas. Bukankah dulu engkau seorang yang yatim? Lalu Allah melindungimu. Dulu engkau dalam keadaan binggung lalu Allah memberi petunjuk. Dan Dia mendapati kamu dalam serba kekurangan, lalu Dia mencukupkan. Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau mengherdiknya. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau bersyukur.”

Membaca Surah 93, Surah Ad-Dhuha yang mengandungi sebelas ayat itu menginsafkan dirinya. Beberapa kali Noralia beristigfar. Sesungguhnya dia  tidak bersendirian. Allah swt sentiasa bersamanya. Allah swt sentiasa mendengar doanya. Didakapnya al-Quran milik gemulah Tok Wan. Dia, Adik dan sepupu-sepupunya mengaji dengan Tok Wan. Sesungguhnya Tok Wan guru Quran terbaik yang pernah ditemui. Merdu suara Tok Wan melagukan ayat-ayat cinta bertajwid bagai  masih terngiang-ngiang di telinganya. Kini Tok Wan telah tiada, menyusul Walid ke alam barzakh.
            Nostalgia bersama gemulah Walid bertandang dalam kotak kenangan. Walid yang begitu garang dan tegas dalam mendidik mereka dua beradik, terutamanya dalam soal solat. Masih membasah kenangan itu, ketika Walid menyiram segayung air , apabila pada suatu hari minggu, pagi jumaat, dia dan Adik terlewat bangun. Begitulah Walid akan sentiasa memastikan anak-anak menunaikan fardhu yang lima.
            “Ya Allah, ampunkan dosa-dosa Walid, cucurilah rahmat ke atas rohnya. Tempatkanlah dia bersama para Solehhin. Jauhkanlah Walid daripada azab kubur. Aminnn.” Hanya doa itu yang mampu dipanjatkan saat Noralia mengenang Walid. Walid pergi saat usianya baru menginjak dua belas tahun. Meninggalkan Umi yang masih muda.  Dia kagum dengan ketabahan Umi hingga saat ini masih tidak berkahwin lain. Dia kagum dengan kesabaran Umi bertahun-tahun menjaga Walid yang sakit hingga Walid dijemput Illahi.
            Kehadiran Azrul dalam hidup Noralia bagai dinantikan. Barangkali kekosongan yang ditinggalkan oleh Walid membuatkan dia begitu mudah menerima cinta lelaki. Nasihat Umi supaya menyelesaikan dahulu kuliahnya yang hanya tinggal setahun lagi tidak dihiraukan.  Pujukan Azrul untuk segera mengakhiri cinta mereka dengan akad yang suci, meyakinkan hatinya bahawa lelaki itu benar-benar ikhlas. Azrul terus merayu, walau pun telah bergelar isteri, lelaki itu akan terus memberi izin dia meneruskan kuliah. Lebih-lebih lagi apabila ibu Azrul menemui Umi. Akhirnya Umi terpaksa akur dengan cintanya. Umi merestui cinta mereka dengan ijab dan kabul. Harapan Umi, menantu lelaki ini boleh menjadi payung pelindung. Menantu boleh menjadi dahan kukuh tempat berpaut.
Tetapi kebahagian yang diimpikan tidak menjadi realiti. Harapan bahagia hanya tinggal mimpi.  Realiti rumah-tangganya hanya kengerian. Rumah-tangganya dipagari tembok cemburu suami yang tinggi bagaikan tembok besar Negara China. Noralia terpenjara di dalamnya. Noralia terpisah dari dunia luar. Paling melukakan dia dipisahkan daripada insan-insan yang disayangi. Dipisahkan daripada Umi... Dipisahkan daripada Adik...
Mengingatkan tembok besar Negara China yang pernah dibaca daripada buku-buku sejarah negara itu,  dia terbayang nasib gundik-gundik Maharaja China. Tetapi nasib mereka pastinya lebih baik daripada takdir dirinya. Malahan ramai gadis-gadis China zaman itu, berebut ingin menjadi gundik Maharaja. Tinggal dalam mewah istana, dilayani dayang-dayang. Tubuh bersalut indah kain sutera dan emas permata menghias diri.  Pastinya mereka gembira walaupun hanya setahun sekali menerima giliran dikunjungi Maharaja. Aduhai betapa ramainya gundik Maharaja China!  
Noralia hanya mampu memandang kegelapan malam dari dalam rumah. Rumah yang baru dirikan setelah beberapa bulan usia perkahwinan mereka, bersebelahan rumah ibu mertuanya. Semua barang kemasnya pemberian Umi digadaikan oleh Azrul untuk menyiapkan rumah ini. Gelang, cincin, subang dan rantai leher dengan loket yang berukir nama Noralia dipajakgadaikan.  Malah cincin tunang pemberian lelaki itu turut diambil semula. Cincin tunang juga dipajakgadaikan.
 Sebelum itu Azrul sudah menunjukkan tembelangnya. Meminta semula mas kahwin  yang diberi, dengan alasan untuk membeli kereta. Baru disedari Myvi yang sering dipandu suaminya adalah milik abang ipar. Noralia berkeras tidak mahu mengeluarkan wang tersebut yang telah disimpan di dalan bank. Tetapi akhirnya dia terpaksa akur setelah kedua-dua pipinya menerima tamparan demi tamparan dari tangan sasa lelaki yang baru seminggu bergelar suaminya. Baru seminggu mereka diikat akad, Merah pipinya terasa perit. Merah inai di jari masih belum hilang, dirinya telah menjadi mangsa.
Noralia hanya mampu bersabar. Bersyukur masih diberi izin meneruskan kuliah. Setiap pagi Azrul akan menghantar ke kampus, yang kebetulan tidak berapa jauh dari rumah. Kerana cemburu atau barangkali takut rahsia rumah-tangganya terbongkar, setiap hari Azrul sanggup menunggu di dalam kereta hingga kuliah berakhir. Noralia tidak berani membantah. Meneruskan kuliah sudah cukup memberi sedikit kebebasan kepadanya. Apa yang ada dalam minda fikirnya ketika itu, hanya ingin menggenggam segulung ijazah. Dia gigih berusaha untuk lulus peperiksaan, walau terpaksa mengharungi gelora ombak rumah-tangga yang membadai. Dia yakin doa Umi sentiasa mengiringi.
Hanya kepada-Mu ya Allah, syukurnya melimpah apabila menatap  keputusan peperiksaan yang tertera di skrin komputer.  Ketika itu, Noralia dibenarkan Azrul mengikutnya ke Siber Cafe milik mereka. Azrul telah meminjam wang Umi dalam jumlah yang agak besar untuk membuka perniagaan Siber Cafe itu. Noralialah yang menjadi orang tengah memujuk Umi supaya memberi pinjaman itu. Dengan alasan setelah tamat pengajian, Noralia akan bersama Azrul menguruskan Siber Cafe. Demi kasih Umi kepada anak-menantu, Umi sanggup membuat pinjaman. Sebagai kaki tangan kerajaan, tidak sukar untuk Umi membuat pinjaman peribadi daripada Bank Rakyat. Pastinya Umi terpaksa berjimat kerana setiap bulan gajinya dipotong untuk melunaskan pinjaman itu.
“Oh.. Umi, maafkan Along. Abang Azrul yang mendesak Along. Along tidak pernah berpeluang menceritakan ketidakjujuran suami kepada Umi. Hidup Along dikawal rapi dan sentiasa diintip. Kalau membantah, sepak teranjang sebagai hadiah.  Memikirkan kuliah, Along terpaksa mengalah. Menelan segala kepahitan ini.”
Dia tahu, suaminya tidak segan-silu bertemu pensyarahnya kalau ada yang tidak berkenan di hatinya. Dia takut kalau dibuang dari kolej. Dia tidak mahu mengecewakan Umi andainya gagal dalam pelajaran.  Dengan rasa ketakutan itulah dia memujuk Umi membuat pinjaman, walaupun sebenarnya dia telah mengecewakan Umi. Azamnya setelah tamat pengajian dia akan melarikan diri daripada cengkaman lelaki yang sudah tidak dicintainya lagi.
Sejak petang tadi, Azrul menunaikan fitrah di rumah isteri yang lain. Sebelum keluar Azrul telah mengunci rumah mereka dari luar!
“Apa dayaku kerana aku perempuan. Bagaimana kudrat wanitaku untuk merungkai kusut masalah ini.” Sebelum bernikah, sesungguhnya Noralia tidak tahu Azrul telah beristeri dan telah mempunyai dua orang anak. Sungguh bijak sandiwara Azrul. Norlia yang masih mentah, tertipu oleh lakonan lelaki itu. Malah ibu Azrul turut memainkan peranan dalam sandiwara itu. Lebih mengejutkan, apabila Noralia mendapati dirinya merupakan wanita ketiga menjadi isteri Azrul! Isteri abang iparnya juga memaklumkan bekas isteri pertama Azrul lari dari rumah, dan kini mereka telah bercerai.
Kemudian Azrul menikah lagi di sempadan. Noralia tidak menyangka, dia telah merampas suami orang! Dan kini Azrul telah merampas seluruh hidupnya... Dia juga dimaklumkan madunya tidak dapat menuntut penceraian kerana pernikahan mereka tidak disahkan di Malaysia. Tanpa surat nikah yang sah, bagaimana umtuk menuntut penceraian? Aduhai bagaimana nasib wanita itu? Sesekali terdetik pertanyaan di hatinya.
“Apakah dia juga seperti diriku? Apakah dia juga tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit? Apakah dia juga sering dipukul dan disepak-terajang?”
 Hasrat untuk bercerai masih buntu. Usaha melarikan diri menemui kegagalan. Noralia pernah keluar rumah sehelai sepinggang tanpa sesen  di tangan. Untuk menghubungi Umi juga tidak mampu kerana telefon bimbitnya dibawa suami. Mujur Pakcik pemandu teksi yang dinaikinya mempercayai dirinya dan sanggup menghantar ke rumah dengan janji akan membayar tambang teksi apabila sampai di rumah Umi. Sepanjang perjalanan pulang, yang mengambil masa  hampir dua jam dirasakan terlalu lambat. Tidak berhenti-henti bibirnya berselawat dan berdoa agar perjalanannya selamat.
Umi terkejut melihat kehadirannya. Mereka saling berpelukan dan tenggelam dalam banjir air mata. Kesedihan jelas terpamer di wajah Umi. Bimbang Azrul menjejaki langkahnya, Umi membawa Noralia menumpang buat sementara waktu di rumah Pak Ngah, di kampung berhampiran.
 Benar, telahannya. Azrul datang menngamuk-ngamuk mencari Umi di tempat kerja setelah gagal mencari Noralia. Umi terpaksa minta izin pulang awal,  untuk melayani kerenah Azrul kerana malu. Malam itu Azrul tidur di rumah Umi. Umi cuba menghubungi pihak polis, tetapi pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa kerana Azrul masih menantunya. Undang-undang apakah ini?
Dengan bersembunyi-sembunyi  Pak Ngah membawa Noralia ke bandar dengan kereta seorang kawannya, untuk menemui seorang peguam wanita. Setelah berbincang, peguam itu bersetuju membawa kes Noralia ke mahkamah untuk membuat tuntutan fasakh. Setelah selesai menandatangani borang-borang yang berkaitan, Noralia ke utara tanah air, ditemani Pak Ngah.  Pak Su dan isterinya telah dimaklumkan tentang kehadiran mereka. Dia bersembunyi di rumah Pak Su, sementara menunggu dipanggil ke mahkamah untuk sebut kes. 
Beberapa minggu kemudian Pak Ngah datang mengambil dirinya untuk hadir ke mahkamah. Pak Su sengaja tidak menghantar Norlia pulang, untuk mengelakkan Azrul menghidu tempat persembunyian ini. Umi, Adik dan beberapa orang keluarganya turut hadir ke mahkamah. Betapa terkejutnya mereka, apabila Azrul hadir bersama berpuluh-puluh keluarga dan kawan-kawannya. Malah Azrul turut membawa bomoh ke mahkamah!
“Aduh... sakitlah, lepaskan.. lepaskan...” Noralia menjerit saat Azrul menerpa dan memegang pergelangan tangan kanannya. Semakin dia cuba meronta semakin kuat cengkaman  tangan sasa lelaki itu.
Suasana di dalam mahkamah menjadi kecoh. Semua mata di dalam mahkamah tertumpu kepada mereka. Norlia amat malu. Azrul bagai orang hilang akal. Tanpa malu dan segan cuba memeluknya. Azrul merayu-rayu supaya Norlia menarik balik tuntutan fasakh. Tuan Hakim terpaksa memanggil mereka ke dalam bilik untuk Sebutan Kes tuntutan fasakh itu. Sepanjang berada di dalam bilik di depan Tuan Hakim, Azrul tidak melepaskan pergelangan tangan kanannya. Masih terngiang-ngiang di telinga Norlia, kata-kata Tuan Hakim;
“Oh.., Sayang sangat kat isteri. Tapi pukul isteri?”
Setelah selesai urusan Sebutan Kes. Azrul mengheret Norlia keluar dari mahkamah. Norlia meronta-ronta ingin melepaskan diri. Pihak polis terpaksa dipanggil . Azrul diberkas dan dibawa ke balai kerana membuat onar di mahkamah.   
Pak Ngah menghantar semula Norlia bersembunyi di rumah Pak Su. Hidupnya bagai pelarian. Dirinya ibarat pendatang tanpa izin. Takut untuk keluar rumah. Takut untuk mencari kerja. Kadang-kadang untuk bersiar-siar bersama keluarga Pak Su pun takut. Takut seharian di rumah, ketika Pak Su dan isterinya bekerja. Dia  takut ditemui Azrul, kerana dia masih bergelar isteri kepada lelaki itu.
Ketakutan itu menjadi kenyataan, apabila suatu pagi, saat Norlia bersendirian di rumah tiba-tiba wajah bengis Azrul muncul. Belum sempat dia menjerit, Azrul telah menerkam dan menutup mulutnya. Seorang lelaki lain, pastinya rakan Azrul menekup hidungnya dengan sehelai sapu tangan yang lembab. Sesaat dia terhidu bau yang asing daripada sapu tangan itu.  Kepalanya tiba-tiba terasa berat. Alam sekeliling bagai berpusing-pusing.  Tangn sasa Azrul memaut tubuhnya yang hampir rebah. Terasa tubuh diangkat. Dalam pandangan yang berpinar-pinar itu, dia nampak seorang lelaki sedang menunggu di dalam sebuah kereta di tepi pagar. Noralia terasa dirinya dicampakkan ke dalam kereta bahagian penumpang. Azrul segera melabuhkan diri di sisinya. Kedengaran pintu-pintu kereta ditutup kuat dan terasa kereta melunjur laju. Selepas itu dia tidak ingat apa-apa. 
Sedar-sedar dirinya terlantar di atas katil di dalam bilik tidur yang telah dua bulan ditinggalkannya. Barangkali dia pengsan hampir lapan jam. Azrul ketawa kuat tanda dia telah menang. Di tangannya sehelai kertas putih, surat daripada mahkamah untuk hadir perbicaraan. Dengan ketawa yang masih tersisa, tangan rakus itu mengoyak-ngoyakkan kertas, berkecai-kecai. Hati Norlia bagai dikoyak-koyak seperti kertas itu., berkecai-kecai. Dia ingin menjerit tetapi suara itu bagai tersekat di kerongkong.
“Sayang...Pak Su buat laporan polis, sayang diculik.” Azrul ketawa sambil mengelus-ngelus kepala Noralia. Mahu saja Noralia menepis tangan itu. Tapi, sesungguhnya dia tidak berdaya.
“Apa yang polis boleh buat kalau isteri diculik oleh suami sendiri??” Ketawa ego lelaki itu semakin kuat. Dia hanya mampu memandang kosong. Di sebalik pintu bilik, senyum sinis ibu mertua menikam jantung hatinya.
Ketika azan maghrib sayup-sayup dari surau Noralia bangun untuk menutup daun tingkap. Pandangannya sempat dilemparkan ke luar dari tingkap bilik yang kini telah dipagari grill. Oh, di keliling rumah itu kini telah berpagar tinggi. Pagar yang dibina itu turut memagari rumah ibu mertua di sebelah kanan, rumah abang ipar di sebelah kiri. Semua tingkap dan pintu telah dipasang grill. Noralia yakin pasti suami dan ibu mertua membuat perancangan ini, untuk menghalang dia lari dari rumah. Setiap kali dia dan suami bergaduh, pasti ibu mertua akan menyebelahi anak lelaki bungsu kesayangannya. Sudahlah badannya sakit-sakit disepak terajang oleh lelaki yang tidak berhati perut itu. Ibu mertua menambah kesakitan itu dengan sindiran: Tak pandai jaga suami!
 “Bagaimana aku hendak hadir ke Mahkamah pada hari pembicaraan? Bagaimana aku hendak meneruskan tuntutan fasakh ini?” Bisikan-bisikan hati Norlia hanya disambut oleh titis-titis hujan di luar, yang lebat menimpa bumbung rumah. Laungan batinnya hanya disambut oleh keras tiupan angin Monsun yang menampar-nampar dinding rumah.
Sebelum kejadian melarikan diri, sesekali Noralia boleh juga menghubungi Umi walaupuan Azrul akan mendengar perbualan mereka. Pastinya Azrul mahu memastikan dia tidak mengadu apa-apa kepada Umi! Sesekali Azrul akan membawanya pulang ke rumah Umi, terutama jika perlu bantuan kewangan. Sesekali Umi dan Adik datang berkunjung. Tetapi sejak Azrul berjaya menjejaki tempat persembunyiannya, hidupnya semakin terpenjara. Hidup di sebalik jeriji memeritkan amat. Azrul tidak membenarkan dia menghubungi Umi. Malah Umi dan Adik tidak dibenarkan datang... Polis tidak ada kuasa mengambil dirinya atau menangkap Azrul kerana mereka masih suami isteri!
“Oh... di mana keadilan? Bagaimana aku hendak menuntut keadilan? Bagaimana aku menuntut hak, andai diri terus berada di sebalik jeriji ini? Ya Allah, tolonglah hamba-Mu yang lemah ini... Berilah aku kekuatan menghadapi ujian-Mu ini...” Norlia hanya mampu berdoa dan mengharap.
 Tarikh perbicaraan telah berlalu. Norlia tidak dapat hadir ke mahkamah.
“Azrul, aku tahu kau gembira. Aku derita dalam kurungan ini. Tapi apa dayaku? ” Norlia hanya mampu menghitung hari-hari dukanya. Hanya masa yang akan menentukan.


 TAMAT.

19 comments:

  1. Hmmm.. Kiranya akak ni pengikut setia Majalah Mingguan Wanita jugakla yer. Sesekali belek-belek memang ada juga cerpen-cerpen yang menarik ditulis hasil nukilan penulis-penulis tempatan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. heh...heh..kak xikuti sgt majalah ni cuma kalau ada karya penulis yg kak kenali barulah diintai juga...tq sylarius yusof.

      Delete
  2. Baru membaca setengah nih kak, nanti diterusin lagi ya :)

    ReplyDelete
  3. PANJANG CERITANYA TAPI MENARIK MBAK SUSI...TQ

    ReplyDelete
  4. salam PI, itu la kesan dari jealousy ek...kuat cemburu.. dulu kawan saya suka bercerpen, dapat duit banyak juga, emaknya pun somebody, penulis majalah apa tah..minang timang...eee sori tak ingat..

    ReplyDelete
  5. WSALAM ..YEKE..MEWARISI BAKAT PENULISAN IBUNYALH TU...TAMBAH MUDAH MEMAPARKN IDENYA DLM MAJALAH KELOLALAAN IBUNYA MCM KAK N RAMAI PENULIS LAIN TERPKSA BERSAING UTK DPTKN PERHATIAN EDITOR AGAR KARYA DISIAR...MCM KAK MUDAH JER BUAT BLOG, TULIS N PUBLISH SENDIRI...HEH..HEH..TQ BABYPOSE.

    ReplyDelete
  6. Alahai cerpen ini membuat mata kakak dibanjiri air mata.
    Kezaliman begini mungkin masih ada
    Pandai penulis mengolah rentetan cerita - menarik!

    ReplyDelete
    Replies
    1. YA SEDIH MEMBACANYA...BIASANYA APA YG DITULIS ADALAH PEMERHATIAN PENULIS SENDIRI TERHADAP APA YG BERLAKU DI SEKITARNYA...TQ KAKZAKIE.

      Delete
  7. dialeknya sedikit kurang saya fahami, soalnya terlalu melayu, hehehe tapi ceritanya bagus

    ReplyDelete
    Replies
    1. BAHASA MELAYU TU LUNAK N INDAH XSUSAH MEMAHAMINYA...TQ ZULHAM EFENDI.

      Delete
    2. BAHASA MELAYU TU LUNAK N INDAH XSUSAH MEMAHAMINYA...TQ ZULHAM EFENDI.

      Delete
  8. Zalimnya Azrul tu... Apalah nasib Norallia jika dia kekal di dikurung sebegitu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ENTAHLH ZUMAL...TAPI BEGITULAH CERPEN, PENULISNYA TINGGALKAN PERSOALAN UTK DIFIKIRKN...TQ ZUMAL.

      Delete
  9. bacanya belom beres lumayan panjang, bentar komen dulu entar pasti diterusin lagi bacanya :D

    ReplyDelete
  10. XPALAH NABIL FAYADH NANTI DISAMBUNG BACAANNYA...TQ.

    ReplyDelete
  11. Sangat Jogja bermanfaat Untuk Jogja terimakash Kami tunggu Lawatan baliknya di maklumat kesihatan Khasiat Jelly Gamat Gold G untuk Obat Rematik dan Obat Asam Urat info -> Cara Pemesanan Jelly Gamat Gold G

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”