Thursday, 6 August 2026

KHAYANGAN

 ASSALAMUALAIKUM


NEGERI DI ATAS AWAN

 


Teruja sungguh aku hendak melihat “negeri di atas awan” seperti dikisahkan

Kamarul Zaman padaku. Seolah ceritera pelipur lara dalam banyak hikayat Melayu pernah kubaca. Antaranya hikayat, Malim Deman, Awang Sulung Merah Muda, Inderaputera.

Aku membayangkan akan melihat negeri di atas kayangan. Tentulah

teramatlah indahnya. Tidak sabar rasanya hendak mengikuti Kamarul Zaman melihat “negeri di atas awan.” Teruja  sungguh.

“Jadi kau nak ikut aku melihat “negeri di atas awan”? Aku angguk.

“Iakah? Ingatkan kau tak mahu. Lebih suka di rumah masa cuti semester sambil membaca saja. Selalu aku ajak kau tak pernah mahu. Tapi aku faham.”

“Kali ini aku terasa nak ikut pulak.”

“Tapi kau mesti ingat kalau mengikut aku bukan naik kapal terbang atau kereta. Tapi menapak saja. Dalam perjalanan di hutan banyak agas, nyamuk, pacat, ular, haiwan liar, redah semak-samun, sebelum sampai “negeri atas awan” tu. Sanggup?”

“Aku tahulah. Aku bukan kenal kau sehari dua. Aku tahu kegilaan kau. Aku pun

bukan tak pernah kena hurung agas, nyamuk, pacat. Aku kan selalu tolong ayah di kebun sawit. Macam-macam jenis ular aku dah jumpa. Tak hairanlah semua tu. Tapi hendak sampai di sana perlu berkereta juga. Tempat tu kan di negeri Kelantan. Jauh juga.”

“Okey. Kalau begitu  bersiaplah. Bawa keperluan penting untuk selama tiga hari.

Jangan pula kau bawa buku-buku sekampit. Sebab aku tahu kau memang suka membaca di mana saja.”

“Ialah. Aku bawa buku nota dan buku yang sedang kubaca saja.”

“Sebenarnya aku risau juga nak bawa kau ikut aku. Bimbang kau keletihan. Kau

kan tak biasa berlasak.”

“Kau jangan risau sangat, Insya-Allah aku tak akan menyusahkan kau.”

Awal pagi di kaki Gunung Stong. Ekspedisi pendakian bermula.

“Siapa bersama Kamarul  tu?”

“Kau tanya aku, manalah aku tahu. Bukannya aku kenal pun. Suka hati dialah. Hak dia nak bawa sesiapa pun, dia kan ketua tim ekspedisi kita. Kenapa? Kau jeles? Aku memang tahu kau suka Kama kan?”

“Sedapnya kau mengata aku ya Tika! Bukannya apa, bimbang dia menyusahkan kita saja nanti. Sebabnya aku tengok orangnya ayu sangat. Agaknya sanggupkah redah hutan, rempa semak samun nak naik gunung. Kita ni nak mendaki tiga gunung tau, Gunung Baha, Gunung Ayam, Gunung Stong. Stamina dan semangat perlu kuat.”

“Tak payahlah kau susah-payah fikirkannya       Nad. Itu masalah dia. Pandai-pandai dialah.”

Soksek-soksek antara dua gadis itu kedengaran juga padaku. Mereka

berdiam sebaik aku dan Kamarul Zaman menghampiri mereka.

“Ini Kamaria anggota baru ekspedisi kita. Berkenalanlah.”

“ Saya Kartika.”

“Saya Nurnadia.” Aku bersalam dengan kedua-duanya. Berbalas senyum.

“Ini Rizal, Farid dan Syafiq. Jadi

bersama Maria, tim kita seramai tujuh orang. Maria ni tidak pernah berekspedisi mendaki sebelum ini, jadi sama-samalah kita membantunya. Perjalanan kita akan lebih mudah  jika kita saling membantu.”

Sambil kaki melangkah menuruti jejak mereka agak laju mendahului, mulai aku

terasa kepenatannya. Beg kusandang di bahu berat membebani, melemahkan kecergasanku bergerak. Menyesal pula aku mengikuti Kamarul Zaman  lantaran keterujaan hendak melihat “negeri di atas awan.”

Tiba-tiba menggema bunyi bagai guruh tidak putus jelas kedengaran tika kakiku meniti batuan berlumut hijau menyusuri denai.

“Hati-hati melangkah Maria. Batu-batu ni licin.” Kamarul Zaman cuba menahan tubuhku daripada terjatuh kerana tergelincir. Mujur tika itu Kamarul Zaman berada di belakangku.

Nurnadia yang sudah jauh di hadapan menoleh melihat aksi aku dan Kamarul Zaman. Dia berbisik dengan Kartika. Apalagilah umpatannya kepadaku.

“Bunyi apa bergema tu Kama?”

“Oh! Itu bunyi air terjun Jelawang. Tak  jauh dari sini. Air terjun tertinggi di Asia

Tenggara tau. Tingginya 303 meter. Sebelum sampai ke puncak kita akan masuk melihat Gua Tali, Gua Keris, Gua Gelap dulu.”

 

Air terjun Jelawang sangatlah indah alam sekitarnya. Terpesona aku memandangnya. Susunan batunya besar, bertingkat-tingkat. Tujuh tingkat semuanya Dan ada tujuh kolam berair jernih.

“Kolam itu tempat puteri puteri “negeri di atas awan” turun bersiram,” Ujar Kamarul

Zaman bersahaja. Terpana aku mendengarnya.

“Syafiq, Rizal,Farid, marilah sini. Kita makan dulu bekalan kita bawa ni.”

Syafiq mengeluarkan beberapa bungkus mi segera daripada beg sandangnya.

“Nad, Tika, jangan pandang saja cepatlah masak air. Kan kita nak rebus mi ni. Periuknya  minta kat Syafik, dia  bawa semua peralatan memasak.” Aku membantu Kartika dan Nadia memasak air. Farid menyusun batu untuk dijadikan

tungku buat memasak mi segera. Nurnadia pula mengisi periuk itu dengan air diceduk di kolam berdekatan. Ranting kayu kecil kering kususun bersilang di bawah dapur segera itu, Syafiq menyalakan api dengan lighter dibawanya. Sebuah  periuk kecil berisi air telah ditenggek di atas api yang mula marak menyala.

“Kama! Aku dan Tika nak mandi di sini.”

“Tak payahlah dulu. Di atas sana ada tempat elok untuk mandi,” balas

Kamarul Zaman berdasarkan pengetahuannya.

“Aku nak berehat sekejap atas batu bawah pokok ara tu. Nanti kau panggil aku ya Kama.” Kamarul Zaman angguk.

Aku membaringkan diri di atas batu besar terhampar itu; menyelak lembar buku

Hikayat Malim Deman yang kubawa.

 

“ Terperanjatlah Malim Deman ketika melihat tujuh bidadari tengah mandi di kolam yang terletak di belakang pondok Mandeh Rubiah. Malim Deman sangat terpesona melihat kecantikan tujuh bidadari itu ketika wajah mereka terkena sinar rembulan yang tengah purnama. Malim Deman juga melihat tujuh selendang tergeletak di dekat kolam itu. Malim Deman menerka, tujuh selendang itu digunakan para bidadari untuk terbang dari khayangan ke kolam itu. Maka, dengan berjalan mengendap-endap dia mendekati tujuh selendang itu dan mengambil salah satu selendang. Segera disembunyikan selendang itu dan dia kembali mengintip tujuh bidadari yang tetap mandi tersebut.”

“Jom ikut aku lalu jalan pintas untuk ke “negeri di atas awan”. Tidak perlu penat nak mendaki gunung.” Aku terkejut disapa suara itu. Segera terpanggung daripada buku sedang kutatapi. Mencari-cari keberadaan suara itu.

Ingin  memastikannya kakiku mula melangkah. Mataku  melingas merata.

Kakiku  tersadung akar ara. Tersembam mencium tanah. Aku  merasa terlalu lemah dan tidak berdaya. Seorang lelaki cuba hendak membangunkan aku semula. Kutolak pertolongannya. Lagipun tidak kukenali siapa dia. Aku mengharapkan Kamarul Zaman akan segera datang menolongku.

Kuseru  sekuat suara memanggilnya. Lelaki itu hilang  entah ke mana.

Sekujur tubuhku lemah. Aku berbaring di atas tanah. Kepalaku  berbantalkan banir ara. Perasaanku bercelaru. Mengenangkan keadaan diriku sebegini, bagaimanakah aku hendak mendaki Gunung Stong dan melihat “negeri di atas awan”?

Benar kurasakan kata-kata Nurnadia bahawa aku hanya membawa masalah kelancaran langkah kumpulan ini mendaki seperti sering mereka lakukan sebelum ini.

“Eh! Maria kenapa tidur di atas tanah ni? Tadi kan kau kata nak tidur atas batu? Puas kami memanggil mencari kau. Rupanya kau tidur di balik batu besar ni.” Tiba-tiba saja aku melihat Kamarul Zaman dan anggota tim mengelilingiku. Kartika menyapu debu tanah dan daun-daun kering melekat di pakaianku. Aku terpinga-pinga.

“Minum air ni. Bismillah dan selawat. Basuh muka kau. Lepas tu makan sikit sebelum kita mula mendaki. Kau perlu ada tenaga.” Setelah meneguk air dan meraup muka dengan air daripada bocong air dibawa Kamarul Zaman, terasa tubuhku semakin meringan; aku bangun menuruti langkah mereka.

          “Kau dah lupa apa  kupesan pada kau?” Aku terdiam memikirkannya.

Mengenangkan kisah pengalaman kembaranya di hutan kala mendaki gunung merata pelosok negeri. Pelbagai cabaran dan gangguan rohani, jasmani ditempuhinya. Mungkinkah kini detik itu sedang mendugaku?

“Ada peminat Maria di sini.” Celah Nurnadia.

“Kau jangan kita gitu Nad, kita ni dalam hutan. Nasib perjalanan kita pun kita tak

pasti takdir-Nya. Reda dan tawakal saja, berdoa moga tiada aral melintang mengganggu kita. Langkah kita  memang banyak cabarannya.”

Aku mendengarkan sahaja bicara Kamarul Zaman dan Nurnadia. Sedang tanganku galak menguak daun paku resam dan mengelak rumput jelatang yang membuatku kegatalan.

Kini berada di hadapan muka gua. Eksplorasi menjelajah ruangnya bermula. Lanskap gua dengan pelbagai bentuk susunan batu stalaktit serta stalagmit. Di Gua Keris, aku melihat  kawanan kelawar dan menemui satu formasi batu berbentuk keris.

Dadaku berombak kelelahan.aku; mengurutnya perlahan. Namun kaki tetap tegar meneruskan langkah.

“Kita berkhemah di sini ya.” Seiring dengan pegucapan Kamarul Zaman bermulalah gerak kerja pantas dilakukan keempat anggota tim lelaki. Terdirilah dua buah khemah kecil. Satunya untuk anggota tim lelaki. Satu lagi untuk aku, Nurnadia dan Kartika.

“Kalau nak mandi bolehlah mandi di kolam hujung sana.”

          “Jom Maria, Nad, kita pergi mandi.” Ajak Kartika. Aku mengikuti langkah mereka

menghampiri kolam mandi yang sangat jernih. Dingin  airnya menyentuhi tubuhku. Angin senja berhembus halus. Dedaunan pohon rimba bersentuhan. Segera kusudahkan mandian.

Tubuhku memberi rangsangan  merisaukan. Tanganku tidak lepas mengurut dada. Bibirku menggeletar.

“Kau kenapa Maria? Sejuk sangat ya?” Tanya Kartika kalut.

“Dadaku sakit. Susah hendak bernafas.”

“Biar aku panggil Kama ya!”

Sebentar kemudian Nurnadia kembali bersama Rizal, Syafik, Farid dan Kamarul Zaman. Rizal memeriksa tekanan darahku dengan tensimeter dan meletakkan steteskop.di dadaku.

“Kau kenapa? Tak makan ubat ke?” Kamarul Zaman memegang tanganku dan mula memicit-micit bahuku. Ketara dia amat risaukan keadaanku.

“Tak sempat lagi nak makan.”

          “Patutlah! Cepat makan ubat tu!”

Kamarul Zaman mengeluarkan ubatan daripada beg sandangku dan kuambil untuk menawar sakitku. Nurnadia menghulurkan cawan plastik berisi air. Perlahan-lahan kutelan satu persatu pil-pil itu .

“Sakit apa Maria ni Kama?”

“Adik aku ni sakit kanser paru-paru. Hidup bergantung dengan ubat. Kalau tak makan ubat  ikut jadual, ginilah jadinya.” Nurnadia dan Kartika berpandangan. Mungkin tidak menyangka bahawa Kamarul Zaman ialah abangku dan berfikir, kenapalah aku sanggup beraktiviti lasak mendaki gunung sedangkan aku sakit.kronik.

 Sebenarnya aku tidak mahu terlalu melayani sakitku dengan hanya menunggu kematianku. Aku juga berhak merasai nikmat hidup, mengalami kegembiraan dan tidak hanya meratap saja. Kematian itu memang pasti takdir-Nya.

“Nampakya suhu tubuh, degupan jantung Kamaria semakin stabil selepas dia ambil ubatnya.”

“Terima kasih Dr. Rizal. Kau dah tolong pulihkan kesihatan adik aku.”

“Hanya Allah  berkuasa  segalanya. Kita pasrah memohon kepada-Nya.” Dr. Rizal tawaduk.

“Kau dah okey Maria? Tidurlah. Besok pagi bangun awal sebelum fajar. Sama-sama kita semua lihat “negeri di atas awan.” Jangan lupa makan ubat kau ikut jadual. Lepas ni boleh ikut daki Gunung Kinabalu pula.”

Abangku mengingatkan aku tentang program dirancangnya sebagai latihan

mempersiapkan diri dalam pemilihan di kalangan belia-belia negara akan di bawa ke Nepal untuk mendaki gunung tertinggi dunia iaitu Everest. Bagi abangku, mendaki gunung itu adalah fardu kifayah mulia, justeru sanggup mendaki ke puncak tinggi untuk melihat kebesaran Ilahi. Kawan-kawannya daripada pelbagai bidang kerjaya sepakat bersamanya.

Dingin pagi menggigit kulit dan temulangku. Usai  solat subuh berjemaah dengan

dua rakan yang semakin rapat denganku, beriringan kami atur langkah untuk

menyaksikan matahari terbit.

Pancaran cahayanya keemasan sebalik awan; menghidangkan pemandangan

himpunan lautan awan permaidani baldu membentuk “negeri di atas awan”,

Terkesima aku memandangnya. Subhanallah! Amatlah indah mempesona. Seolah-olah  ternyata sebuah negeri di atas  kayangan.

Aku bagai melihat sesuatu bergerak ke sana sini. Dan seseorang berbusana indah

selayak raja. Siapakah itu? Aku merasa pernah menemuinya.

 

TAMAT


2 comments:

  1. Penceritaan mendaki Gunung Stong & Air Terjun Jelawang ni sangat menarik!

    ReplyDelete
  2. Bila baca cerita ni teringat kawan yg suka hiking.. Terima kasih sudi singgah & meninggalkan jejak di blog ejulz..
    Senarai Pengomen Tegar JULAI 2026

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”