ASSALAMUALAIKUM
CITRA PERTAMA
Aku anak sulung kedua
ibubapaku. Bermakna aku yang pertama dilahirkan ibuku ke dunia setelah sekian
lama berkahwin dengan bapaku. Perkahwinan pertama kali berlaku antara
kedua-duanya dan berkekalan sehingga penghujung hayat.
Setelah berusia 7 tahun aku ke sekolah pertama kali.
Sebelum bersekolah aku sudah boleh membaca. Ibuku yang mengajarku membaca rumi
dan jawi. Aku pula memang suka membaca buku. Di sekolah rendah Dulang Kecil
kala ujian akhir diadakan aku mendapat tempat pertama. Terukir kejayaan pertamaku di sini.
Tika
usiaku sembilan tahun aku meninggalkan sekolah dan kampungku mengikuti
ibubapaku berhijrah ke Pahang menyertai skim LKTP. Pertama kali menaiki bas
bersama beberapa keluarga secara rombongan menuju pertempatan baru. Pengalaman
baru mengujakan menaiki bas melalui jalan raya melintasi negeri Pulau Pinang,
Perak dan Selangor sebelum tiba di Maran, Pahang.
Tika
itu baru menyingsing fajar subuh. Tempat yang ditujui masih jauh. Bas yang
dinaiki berlenggang-lenggok meneruskan perjalanan melaui jalan bengkang-bengkok
bagai ular dipalu. Keletihan terasa. Kepala berpinar pening. Sudah
termuntah-muntah berkali-kali. Di kiri kanan jalan kelihatan hanya hutan tebal.
Mentari pagi mulai bersinar. Siang menyerlah.
Tibalah ke destinasi. Bas meninggalkan semua penumpangnya
di sebuah bangunan sederhana yang diperbuat daripada kayu. Tertulis pada papan tanda iaitu PEJABAT LKTP ULU
JEMPOL. Di hadapan pejabat itu kelihatan tanah yang bersambung dengan paya yang
luas. Sekitarnya terdiri beberapa rumah peneroka yang menempatinya lebih awal.
Seorang
pegawai membawa keluargaku menuju ke rumah yang bakal dihuni. Kelihatan sebuah
rumah kayu dikelilingi semak samun sekitarnya. Inilah kediaman disediakan pihak
LKTP untuk keluargaku di sini. Tiada
kemudahan api eletrik. Tapi paip air untuk kegunaan seharian terletak di
pinggir jalan utama. Sebuah paip digunakan secara berkongsi beberapa keluarga
di situ. Anak-anak kecil bermandi-manda
di situ.
Bapaku membeli getah paip yang menyalurkan air
ke rumah dan diisi di dalam bekas untuk keperluan keluarga. Setelah penuh semua
bekas maka kepala paip ditutup untuk memberi peluang pada yang lain pula
menyalut getah paip yang menyalurkan air ke rumah mereka.
Ibubapaku memanfaatkan tanah sekitar rumah kecil kami
dengan pelbagai tanaman kontan dan kekal. Antaranya pelbagai sayuran, kacang
tanah, jagung, betik, ubi kayu, ubi keledek dll.
Bermulalah rutin kehidupanku bersama ibubapaku dan
adik-adikku di sini. Aku menyambung persekolahan di sekolah kebangsaan Ulu
Jempol. Guru Besarnya ialah cikgu Mutalib. Seorang anaknya juga sekelas
denganku. Rosmiah menyapaku. Kami
berkawan baik.
Aku
akan ke sekolah setiap hari berjalan kaki. Jarak antara sekolah dan rumahku
tidaklah jauh. Dalam perjalanan, aku akan melalui lorong kecil ditumbuhi rumpun teberau. Sebalik rumpun
teberau ada tanah paya agak luas dipenuhi kangkung liar menghijau. Ralit juga aku
memerhati kesuburannya. Burung wak wak berlari bersama anak-anaknya menarik
minatku mengejarnya. Membuang masa saja. Memanglah tak akan dapat aku
menangkapnya. Hanya melambatkan masaku sampai di sekolah. Dan mengotorkan kasut
sekolahku yang putih.
Kangkung
di paya itu selalu juga kukutip untuk dimasak sayur goreng campur belacan.
Memang enak masakan ibuku. Bertambah-tambah nasi yang dimakan bersama ibubapa
dan adik-adikku. Lauknya cuma ikan pelata kering yang digoreng. Dan sambal
belacan berserta ulam-ulaman yang dipetik hasil tanaman ibubapaku sekitar
rumah.
Ketika
peperiksaan akhir persekolahan aku hanya mendapat tempat kedua saja. Selalu di belakang
Othman yang mendahului pada tempat pertama. Tapi aku sangat gembira pabila
cikgu Kamarudin yang mengajar subjek Bahasa Melayu memuji karanganku berjudul
“Kemalangan Jalanraya.” Aku menulisnya berdasarkan kisah yang disiarkan akhbar
Utusan Malaysia hasil pembacaanku. Sebab
aku selalu mendapat tempat kedua dalam peperiksaan maka guru kelas melantikku
sebagai penolong ketua darjah. Ketua darjah tentulah Othman. Jawatan pertamaku
di sekolah tercatat dalam sejarah hidupku.
Sekolah kebangsan Ulu Jempol akan mengadakan malam
pementasan kebudayaan. Berpeluang aku menjadi artis pertama kali bergandingan
dengan rakan-rakanku Pazilah dan Salmiah. Trio menyanyikan lagu Telok Bayour
yang dipopularkan Ernie Djohan. Malam pementasan dihadiri ramai ibubapa murid
sekolah itu. Meriah sekali. Pelbagai acara hiburan diadakan termasuk dikir
barat.
Akhir
April 1968, ibuku melahirkan adik lelakiku yang pertama. Adik-adikku yang kedua
dan ketiga perempuan. Aku cadangkan pada ibubapaku agar menamakannya Pazeli
untuk menyamakan nama awalku dan adik-adikku yang bermula dengan huruf P. Usiaku
tika itu menghampiri sepuluh tahun. Tapi
sudah berani memberi nama pada adik kecilku. Ibubapaku pula menyetujuinya.
Terdaftarlah nama adikku dalam surat beranak dan kad pengenalannya. Adik
kesayanganku sentiasa kudukung ke mana sahaja. Dan kuperhatikan kebajikannya.
Cuti sekolah penggal akhir 1969 bapa membawaku dan adikku
Patimah pulang ke kampung kelahiranku di Dulang Kechil. Setelah seminggu di
rumah tokwanku, bapa pulang bersama adikku Patimah ke Pahang. Tapi meninggalkan aku di rumah tokwanku.
Sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Terpaksalah aku menebalkan muka berjumpa
dengan Guru Besar Sekolah Dulang Kechil agar menerimaku menumpang belajar di
sekolah ini sementara aku pulang ke Pahang semula menyambung persekolahanku.
Kawan
baikku berulang-alik ke sekolah sejauh sebatu setiap pagi ialah Sofiah. Kelas
kami berbeza. Murid-murid dalam kelas ini bersaing menunjukan prestasi
cemerlang. Antaranya Zaki, Rosli, Aisyah, Mahani, Mutiah, Solehah. Aku pernah
juga mendapat tempat pertama dalam ujian peperiksaan akhir.
Minatku
dalam karang-mengarang disedari cikgu Zakaria, guru kelasku. Cikgu Zakaria
berusaha mengirimkan karanganku pada majalah Utusan Pelajar yang baru
diterbitkan pada awal 1970. Aku tidak pasti sama ada karyaku disiarkan atau
tidak. Tapi usaha cikgu mengenengahkan bakatku ke ruangan sastera bercetak amat
kuhargai. Baik budinya kusanjung tinggi. Tidak terlupakan.
Genap usia 12 tahun terpaksa pula membuat kad pengenalan.
Tokwanku menghantarku ke pejabat pendaftaran di Yan. Jauh juga jaraknya. Dari
kuala Dulang Kechil kampungku akan menempuhi kampung Dulang Besar, pekan Sungai
Yan Kechil, kampung Sungai Udang barulah sampai ke bandar Yan. Tapi tukwanku
mengayuh basikalnya mengendongku di pelantar basikalnya dengan kudrat tuanya.
Mengenangkan baik budi tokwanku hatiku pilu terharu.
1970 muncul persona sejarah negara mengejutkan semua. Aku
turut membaca kisah pahlawan Mat Kilau yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia
tika aku singgah di kedai Pak Mat. Aku
pun tidak tahu apa yang dijual Pak Mat dalam kedainya itu. Mungkin kedainya
dijadikan tempatnya berehat saja. Setiap
pagi aku nampak dia akan membaca akhbar Utusan Malaysia sambil duduk di kerusi
malas.
Aku
menyapanya ramah. Sempat pula mengerling baca tajuk utama akhbar Utusan
Malaysia itu. “Sah: Pahlawan Mat Kilau Maseh Hidup.” Terkejut sungguh aku.
Selama ini aku hanya membaca dalam buku tawarikh darjah iv kisah perjuangannya
menentang keterlibatan Brtish dalam pemerintahan Pahang. Akhbar British The
Free Press di Singapura menyiarkan berita bahawa pejuang Mat Kilau telah
terbunuh ketika berlawan dengan askar British. Aku kehairanan. Tapi kuasa Allah
menentukan segalanya.
Aku menyelesaikan persekolahan peringkat rendahku di sini.
Menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah menengah Yan. Guru-guru yang
mengajar di kelasku semuanya perempuan. Murid-murid dalam kelas ini tinggal
sekitar daerah Yan. Kawanku Hasnah tinggal di bandar Yan. Rumahnya terletak
bersebelahan sekolah Langkasuka.
Aku bercerita padanya bahawa ibuku pernah juga bersekolah
di situ. Hasnah pula bercerita pada cikgu Pazidah, cikgu Hanesah dan cikgu
Rabiatul yang mengajar di kelasku. Rupanya cikgu-cikgu ini juga sekelas dengan
ibuku dan mereka mengenalinya.Pencapaianku dalam pelajaran di sini sederhana
saja. Tapi cikgu Hanesah pernah memuji karanganku. Aku berulang-alik ke sekolah
di sini dengan menaiki bas.
. Aku kalut bersiap ke sekolah sebaik kawanku Cik Romah memanggilku
di tangga rumah. Rumah kawanku itu di tepi laut. Dan dia akan berjalan melalui
batas bendang ke rumah tokwanku. Kemudian kami akan mengatur langkah susuri ban
tali air hingga sampai ke jalan besar, untuk menunggu bas yang akan
membawa ke bandar Yan. Jarak antara rumah tokwanku ke jalan besar melebihi dua
kilometer. Jauh juga. Memang penatlah berjalan pada awal pagi
walaupun panas mentari tidak terasa sangat bahangnya..
Bas yang dinanti telah tiba. Aku dan kawanku bergegas menaikinya.
Sebaik duduk di atas seat, konduktor bas menghampiri, meminta duit tambang
sambil menghulur tiket yang siap diketip nilai sekupang destinasi kami. Aku pun
membuka kotak gometri Oxford hendak mengambil duit diberi tokwanku. Biasanya
tokwanku beri tiga kupang untuk belanja ke sekolah. Sekupang untuk bayar
tambang bas hala pergi. Sekupang untuk bayar tambang bas hala balik. Sekupang
lagi untuk beli makanan.
Aku terkejut mendapati duit yang dicari tiada di situ. Rupanya aku
terlupa mengambil duit tiga kupang yang diberi tokwanku. Perasaanku kacau.
Serba salah sungguh. Malu pula. Apa aku nak buat ni? Cik Romah selamba saja
membayarkan tambangku. Aku berterima kasih kepadanya sudi menolongku saat
terdesak begitu. Dan akan membayar hutangku sebaik tiba di rumah balik dari
sekolah nanti.
Di sekolah kala loceng rehat berdering aku tidak keluar
kelas ke kantin. Sendirian saja di dalam kelas menikmati keriuhan ritma
keroncong orkestra perut kosong. Kelaparan. Kebiasaannya memang begitu pun.
Makanan yang dijual di kantin sekolah mahal harganya.
Tidak cukup duit sekupang untuk membelinya. Kalau tidak terlupa
tadi dapatlah kugunakan duit sekupang untuk membeli makanan buat mengalas perut
tika balik sekolah di gerai perhentian bas. Lima duit biasanya kubeli ais kepal
dan lima duit lagi kubeli mihun goreng.
Risauku berkecamuk lagi. Bagaimana nak balik nanti sedangkan duit
tambang basku tiada. Takkan aku nak harapkan pada kawanku lagi membayarkannya.
Aku tawakal saja menaiki bas buat muka sekupang. Mustahil aku nak
bermalam di sekolah.
Tika konduktor bas menghampiriku, seorang rakan sekolah
bersebelahanku tolong membayar tambangku. Mungkin dia perasan aku tidak berduit
lantaran tidak menghulurkan duit yang diminta. Siew Ming sekampung denganku.
Tapi aku tidak meng enalinya dengan rapat kerana dia dalam tingkatan lima
aliran Inggeris sedangkan aku baru tingkatan satu aliran kebangsaan.
Alhamdulillah Allah menghantar bidadari-Nya menolong kesusahanku.
Ibu Siew Ming dikenali sebagai nyonya keturunan baba peranakan
seorang peramah dan disenangi masyarakat kampungku. Terima kasih Cik Romah,
terima kasih Siew Ming kerana tiga kupang, menggunung budi ukhuwah kenangan
abadi. Didoakan kalian dalam rahmat
perlindungan Allah…amiin..
Aku masuk belajar di sekolah menengah Maran setelah permohonan
untuk tinggal di asrama dibenarkan Guru Besar SMKM. Lama juga aku tidak
bersekolah setelah aku bertukar sekolah dari sekolah menengah Yan kerana
masalah penempatan di asrama.
Tingkatan 2C menjadi kelasku. Kawan-kawan sekelas menerimaku dengan
baik. Jalilah antara paling rapat denganku. Beliau tidak tinggal di asrama. Tapi tinggal bersama
keluarganya di kampung Bintang, berhampiran bandar
Maran setiap hari beliau berjalan kaki sahaja ke sekolah.
Pihak perbandaran Maran mengadakan acara pementasan pada suatu
malam dengan mengundang penyanyi terkenal iaitu Datin Rafeah Buang. Guru Besar
SMKM memberi izin penghuni asrama untuk turut menyaksikan pementasan itu.
Memang seronok tak terkata kami penghuni asrama dapat keluar asrama pada malam
hari pula. Apalagi dapat menyaksikan acara hiburan walau masanya dihadkan.
Semua penghuni asrama mesti kembali ke asrama sebelum pukul 10.00 malam.
Sempatlah juga menikmati kemerduan suara Datin Rafeah Buang
mengalunkan beberapa lagunya yang disukai ramai tahun 72. Terpegun mengagumi
kejelitaan wajah biduanita itu. Putih selepuk. Lain-lain acara yang
dipersembahkan selepas itu tidak kuketahui.
Keesokannya hari Isnin. Ada perhimpunan sebelah pagi semua
murid-murid SMKM. Aku berdiri belakang Jalilah. Guru Besar berucap dengan tegas
menekan disiplin pelajar dan melarang pelajar-pelajar SMKM terlibat dengan
sebarang acara budaya di luar sekolah.
Sekali Jalilah jatuh terjelepuk. Terkejut aku. “Ko ni dah kenape
Lilah?.” Aku cuba mengangkatnya. Mujur dia mampu berdiri. Aku
mengiringnya ke asrama. Dia berbaring di katilku sebentar sebelum kesegaran
tubuhnya kembali pulih. Aku tidak bertanya apa-apa pun. Mungkin panas pagi
menyebabkannya keletihan berdiri lama.
Jalilllah kembali ke rumahnya selepas itu dengan izin guru kelas.
Kawan-kawanku di kelas bercerita bahawa ucapan Guru Besar tadi ditujukan pada
Jalilah kerana beliau mengambil bahagian dalam acara malam tadi dan telah
dimahkotakan sebagai Ratu Kebaya mengalahkan peserta lain termasuk
kakaknya. Terlopong aku mendengarnya. Tapi Jalillah memang seorang gadis sunti
yang cantik. Aku berbangga dengan kejayaannya. Walau baru berusia 14 tahun tapi
sudah bergelar ratu.
Keputusan peperiksaan akhir tingkatan 1, 2 dan 3, SMKM telah
ditampal di papan kenyataan yang tergantung di luar dewan sekolah.
Pelajar-pelajar berpusu-pusu memerhati sambil memberi reaksi riang dan muram.
Atau biasa-biasa saja. Keputusan
peperiksaan tahun akhir akan menentukan tingkatan seterusnya akan dimasuki
menurut markah keseluruhan yang diperolehi. Aku memanglah teruja hendak
mengetahuinya. Selepas berpindah sekolah dari SMY ke SMKM aku ditempatkan di
kelas 2C. Semasa di SMY aku di kelas 1E. Tentunya ada peningkatannya. Tapi di
SMY cuma ada dua kelas untuk pelajar perempuan iaitu 1E dan 1F. Tingkatan 1A B,
C, D untuk pelajar lelaki. Kelas memisahkan gender.
Di SMKM tidak berlaku begitu. Tapi tatkala keputusan peperiksaan
menentukan kelas tahun hadapan, berlaku begitu juga. Hanya 3 pelajar perempuan
terpilih memasuki tingkatan 3A iaitu Nab, Idah dan aku. Menjadi masalah besar
kepada guru-guru kerana murid perempuan ada kelas Ekonomi Rumah Tangga
sedangkan pelajar lelaki belajar Seni Perusahaan. Agaknya guru berfikir tidak
berbaloi mengadakan kelas ERT untuk kami bertiga saja.
Kami bertiga dimasukkan dalan kelas 3B. Apabila setiap kali keputusan peperiksaan bulanan atau
penggal diumumkan, aku, Nab dan Idah selari saja. Nab teratas selalu. Kedua
Idah. Ketiga memang aku selalu. Nab sangat rapat denganku.
SMKM adalah sebuah
sekolah menengah terdiri di bandar Maran dengan kemudahan asrama untuk
penginapan pelajar-pelajarnya tinggal di
persekitarannya seperti Chenor, Luit, Paya Bungor dan kampung-kampung felda
dari Sg.Tekam, Ulu Jempol, Bukit Tajau, Jengka . Terimbau nostalgia tinggal di asrama di kaki bukit
berhampiran hutan kecil.
Masa dahulu tiada
kemudahan api letrik dan pelajar-pelajar terpaksa menggunakan pelita sebagai
sumber cahaya menerangi kegelapan pada malam hari untuk belajar dan lain lain
urusan. Mungkin kerana keadaan itu timbul idea redaksi majalah sekolah untuk
memilih KUNANG-KUNANG sebagai judulnya. Simbolik kepada aspirasi guru-guru
menginspirasi pelajar-pelajarnya seperti kunang-kunang yang mencerahi malam
dengan kerlipan cahayanya yang indah menuju impian.
Aku juga bernasib baik
terpilih menjadi redaksi majalah KUNANG-KUNANG 1973 dibawah bimbingan cikgu
Hamid, cikgu Sulaiman. Sebagai redaksi tugasku ialah mengumpul karya
kawan-kawanku dan disampaikan kepada guru editor. Lucu mengenangkannya kerana
karya kawan-kawanku itu aku yang tulis tapi diterbitkan atas nama mereka.
Sedangkan karyaku satupun tidak disiar. Tapi cikgu Hamid menulis esei disiar
atas namaku.
Tika aku mula belajar di
sini dan tinggal di asrama pada tahun 72, sumber api untuk cahaya di malam hari
diperolehi daripada generator yang dihidupkan setiap petang. Tidak payah lagi
gunakan pelita.
Hubungan antara guru
guru dan murid terjalin erat mentelah dengan murid yang tinggal di asrama walau
ada antara guru guru itu bukan guru yang mengajar di kelas.
Setelah lulus SRP dengan
aggregate yang sederhana aku, Nab dan kawan-kawanku meneruskan persekolahan di
SMART Kuantan pula dalam tahun 74 dan
75. Mulanya terpaksa tinggal di asrama Sekolah Berasrama Penuh Air Putih
sebelum berpindah memasuki asrama puteri SMART. Asrama yang baru disiapkan ini
akulah antara penghuni yang merasmikannya.
Aku belajar dalam aliran sastera. Guru subjek sastera;
cikgu Sarwan. Guru-guru yang mengajarku dan kawan-kawan sekelas di sini ialah
Cikgu Roslan, Cikgu Ghafar, Cikgu Laili, Cikgu Normah Teh, Cikgu Miss Yit,
Cikgu Mr.Loo, Dr Sugioto dll. Aku dilantik sebagai ketua kelas tahun 74 hingga
75. Sebab aku minat sastera dan semua subjek berkaitannya aku memperolehi
markah tinggi kecuali matematik dan sains. Aku hanya berikan tumpuan pada
sastera. Selalu mendapat tempat pertama setiap kali ujian. Gred satu dengan
aggregate 17 selalu. Pada hari penyampaian hadiah akhir tahun aku menerima
hadiah markah tertinggi subjek sastera.
Hadiahnya disampaikan
oleh Tun Dr Mahathir Mohamad Mohammad ketika itu menteri pelajaran. Tapi takdir
tidak membenarkan aku bertemu dengan mantan Perdana Menteri Malaysia itu kerana
aku terpaksa pulang ke Kedah untuk menghantar tukwanku ke pelabuhan Pulau Pinang
menaiki kapal belayar ke tanah suci Mekah menunaikan fardu haji.
Doaku emoga semua
guru-guru yang hadir atau tidak dalam kehidupanku dilindungi Allah sihat
sejahtera menjalani kehidupan sambil berbakti mendidik anak bangsa, berbahagia
tiasa dunia dan akhirat....halalkan dan reda budi murni ilmu yang dicurah
kepadaku selama ini .
Kebanyakan
insan yang mengenalkan pengalaman pertama dalam kehidupanku telah berpulang
pada Ilahi. Innalillahiwainnailaihirojiun. Al-fatihah.
GLOSARI:
LKTP – Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan
SMY – Sekolah Menengah Yan
SMKM – Sekolah Menengah
Kebangsaan Maran
SMART – Sekolah Menengah
Abdul Rahman Talib
wahhh.. rezeki dapat hadiah disampaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad Mohammad..
ReplyDelete