Friday, 19 June 2026

ADILA FAJAR DI BUMI PERMATA

 ASSALAMUALIKUM



FAJAR DI BUMI PERMATA

 

 Drama radio nasional RTM Fajar Di Bumi Permata amat popular dan diminati pendengarnya seluruh negara sejak disiarkan pada tahun 72. Tajuknya pun begitu indah dan puitis. Peminat setia ternanti-nanti siarannya ke udara kerana teruja hendak mendengar celoteh mencuit hati lontaran suara watak-wataknya yang bertutur dalam loghat berbeza mengikut negeri tertentu. Olahan kisahnya amat menarik minat pendengar radio RTM. Terutama  mereka yang tinggal di skim tanah rancangan FELDA di Pahang kerana peserta di sini selain rakyat tempatan juga kebanyakannya berasal dari negeri berlainan di semenanjung. Tetapi tetap bersama menjalin ukhuwah harmoni. Seperti kata pepatah “tidak kenal maka tak cinta”.

Aku sering juga mengikuti siaran drama Fajar Di Bumi Permata  kala berkesempatan. Maklum  tika itu aku bersekolah dan tinggal di asrama. Di asrama tidak dibenarkan membawa radio bersama. Kala pulang ke rumah pada cuti sekolah, aku tidak melepaskan peluang mengikutinya. Watak-watak yang kuingati ialah Pak Chat dan isterinya, Pak Alang, Mak Lipah. Melakonkan peranannya di samping beberapa watak tetap dan undangan bersilih ganti.

Penulis skripnya memang ramai. Antaranya MZ Halim Hassan, Jamil Hashim dll. Paparan cerita setiap minggu amat menarik olahan karya kreatif penulis skrip sesuai situasi semasa. Dramatis Ahmadi Hassan membawa watak sebagai Pak Chat seorang peneroka di Bukit Putera berasal dari utara. Beliau dan semua pelakon terlibat menghidupkan watak yang dibawa dengan jaya.

Kemasyhuran drama ini mengujakan peneroka sebenar di kampungku ingin bertemu muka dengan saudara peneroka di Bukit Putera.

       Hajat itu tertunai pada tarikh bermakna angka selari 7777. 7 Julai tahun 77 adalah tarikh kerajaan isytiharkan Hari Peneroka di Malaysia. Agensi FELDA diwujudkan kerajaan pada 1958 dengan pemugaran tanah yang pertama di Lembah Bilut di Pahang oleh peneroka yang menyertainya dengan daya usaha sendiri.  Cogan  kata FELDA, BAKTI DISEMAI BUKTI DI TUAI seolah meniup semangat juang mengatasi cabaran kehidupan sebagai peneroka..  

 

       Pihak pengurusan pentadbiran FELDA berusaha mengundang artis drama RTM itu ke kampungku untuk meriahkan lagi acara sambutan Hari Peneroka. Para peneroka Bukit Putera iaitu dramatis Fajar Di Bumi Permata akan berada di pentas yang disediakan mengadakan persembahan drama, tarian budaya dan nyanyian dirancangkan akan diadakan pada malam tersebut.

       Pihak pentadbiran felda Ulu Jempol terdiri daripada pengurus, pegawai luar, SDA (w) kakitangan umum, para peneroka dan keluarganya saling membantu melaksanakan acara bersejarah yang sangat bermakna ini. Aku pun turut membantu.

       Maklumlah masing-masing teruja hendak meraikan sambutan Hari Peneroka merupakan pertama kali. Persiapannya dilakukan dengan sangat teliti. Aku sebagai salah seorang penyelenggara bersama kawan-kawanku beliawanis persatuan belia turut berperanan membantu apa yang mampu dilakukan sedaya boleh di beberapa lokasi ditetapkan pihak pengurusan. Sangat meriah sekali sambutan Hari Peneroka pada tarikh tersebut di Felda Ulu Jempol tempat tinggalku. 

Pada sebelah siangnya diadakan pameran kraftangan, masakan kuih-muih, lauk-pauk, kek, gubahan bunga dll oleh wanita perkumpulan GPW rancangan. Bahan-bahan itu dipertandingkan pula. Maknanya yang dipilih juri dan diletakkan nombor 1, 2 atau 3 akan ada hadiah yang menantinya. Aku pun menyertainya dengan menghantar sulaman silang pangkah sampul bantal dan kaitan selendang benang bulu hasil kerjatanganku. Aku memang suka buat kerjatangan mengisi masa terluang. Pemilihan pemenang dibuat oleh ASDO (W) Wilayah Pahang Tengah.

       Hadiah-hadiahnya disampaikan YB ADUN TAJAU untuk pelbagai kartegori yang dipertandingkan pada acara tersebut. Aku pula ditugaskan membawa dulang berisi hadiah yang akan disampaikan YB kepada penerimanya. Walau merasa agak malu melakukan tugasan itu, kusisihkan keresahannya.

Alhamdulillah beroleh rezeki tidak pernah kuduga. Kedua-dua kraftanganku menang hadiah pertama. Aku tersipu membawa hadiah kepada YB untuk di sampaikan padaku. Tetapi tetap kulakukan tugasan itu sebaiknya. Ironis pula situasinya.

       Banyak gambar- gambar menarik  dirakamkan sempena insiden bersejarah tersebut oleh seorang sahabat juga pegawai FELDA di sini. Beliau menjualnya pada yang berminat menyimpannya sebagai koleksi kenangan.

Aku membeli juga. Tapi  sekeping saja dan bercadang menjadikannya kembaran pada catatan berita yang akan kutulis mengenainya. Sekadar mencuba nasib sebagai penulis berita secara suka-suka. Dalam foto itu terselit juga keberadaanku sisi YB. Tapi tidak ketara sangat. Acara diadakan pada sebelah siang berakhir sempurna kelancarannya. Tidak sabar pula aku menanti  kejadian yang akan berlangsung seterusnya. Insya-Allah.

Pada sebelah malamnya aku dan kawan-kawan, beliawanis kampungku bersibuk pula di gerai menjual laksa GPW. Membantu  menjualnya pada pengunjung yang ramai datang menyaksikan pementasan drama Fajar Di Bumi Permata. Kami jugalah yang memasak laksa, kuahnya dan sediakan ulamannya pada sebelah petangnya. Memang kalut sungguh kami menyiapkan segalanya. Dan dibawa semuanya ke gerai yang terletak di suatu sudut.

Aku hanya mampu memandang dari jauh gelagat artis di pentas menggayakan persembahannya sambil melayan pelanggan yang memesan laksa. Langsung tidak berpeluang menemui dramatis Fajar Di Bumi Permata dan artis yang menjayakan persembahan di pentas. Kalau ikut kehendak hati memang teringin sangat hendak bersua artis tersohor itu.

“Eh kenapa orang berkerumun di tepi bawah pentas tu?” Tanya Nurizan kawanku mengejutkanku.

“Yala. Kenapa agaknya ya?” aku membalas soalannya dengan soalan juga. Aku meninjau pandang ke arah itu.

“Pergilah kau tengok.” Nurizan menggesaku.

“Malaslah. Sibuk nak siapkan laksa, ramai yang tengah tunggu nak makan ni. Biarlah Izan kita tak payah campur soal tak sangkut dengan kita. Kita buat kerja kita saja.” Balasku sambil lewa. Selesai sudah kerjaku dan kawan-kawanku berjualan laksa di gerai pada malam itu.

Malam dingin yang sarat dengan pelbagai cerita kehidupan realiti sebenar berakhir kisahnya. Desas-desus tersebar merata pada keesokannya bahawa berlaku pergaduhan antara seorang pemuda yang mempertahankan tunangannya daripada diganggu seorang pemuda nakal. Pemuda itu memang dikenali di kampungku, tingkahnya tidak disenangi masyarakat setempat. Pada pandangan mataku beliau ini sangat segak wajahnya. Kulitnya putih melepak. Cuma perilakunya menjengkelkan kerana sering mengganggu dengan tutur sapanya mengusik gadis-gadis cantik di kampungku. Tapi dia tidak pernah menegur atau menggangguku. Mungkinlah aku tidak cantik. Dia tidak tertarik denganku. Dan membuang masa saja menggangguku yang hodoh ini. Aku mengagak saja.

Aku mulai menaip artikel tentang peristiwa yang berlaku menggunakan mesin taip pejabat JKKR. Kebetulan aku bekerja di situ sebagai kerani.  Berhati-hati sungguh menekan abjad agar tidak tersilap bukan mudah. Kalau tersilap taipan menjadi tidak kemas kerana terpaksa gunakan liquid paper untuk memadam ejaan yang salah. Menaip guna mesin taip tidak sama dengan menaip di computer. Kalau tersalah boleh segera padam dan mudah mengubah susunan ayat. Aku terpaksa merenung lama sebelum menulis ilham yang tumpah. Akhirnya siap juga. Segera kumasukkan dalam sampul surat bersetem dan kuposkan pada alamatnya.

Wah! Sungguh tidak terduga tulisanku itu disiarkan dalam Utusan Malaysia terbitan July tahun 77. Tarikhnya aku dah lupa.

Ekoran berita  disiarkan Utusan Malaysia itu ada pula yang merungut, kononnya aku tidak masukkan fakta sebenar siapa yang terlibat. Aku tidak pernah pula terfikir bahawa tulisan kecilku itu memberi impak besar pada keharmonian suasana kampungku. Merasa bersalah menghantuiku. Sedang aku teruja kerana tulisanku disiar akhbar arus perdana ada pihak lain pula kecewa. Menyesal pula aku menulisnya.
       Aku diam saja. Mengakui kesilapan yang tidak tersengaja kulakukan. Lagipun aku pun baru belajar menulis di akhbar dalam ruangan berita semasa tanpa mengikuti sebarang kursus penulisan berkenaan dengannya. Menulis semata-mata aku suka menulis.

       Dan kini setiap kali sambutan HARI PENEROKA pada 7 July berulang, terimbau kembali peristiwa 7777. Kala aku menonton filem Man Laksa arahan almarhum Mohamad Khalid itu di TV 1 setelah lama bergulir masa, aku tersenyum mengenangkan malam pementasan drama Fajar Di Bumi Permata 7777. Seakan-akan begitulah gambarannya. Selamat ulang tahun RTM ke 80 Teman Setia Anda. Tahniah sekian lama menabur bakti menyeri sunyi ruang udara nusa dengan pelbagai genre siaran berkualiti.

Lagu pilihan;

1. Godaan Dunia – Ahmadi Hassan

2. Mimpi Yang Tak Sudah – Ibnor Riza

3. Kenangan Mengusik Jiwa – A.Ramli

 

 

 


3 comments:

  1. Zaman saya kecik-kecik dulu pernah de gar siaran Fajar di Bumi Permata.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh amie yaka lama betul siri drama tu disiarkan masa kak dgr dh sekolah menengah

      Delete
  2. Masa sy sek rendah kdg2 dengar drama Fajar di Bumi Permata ni biar pun sy kurang meminatinya. Mungkin masa tu masih budak2 lagi. Kalau rancangan Bersama Kak Yong dan Abang Chik tu saya minat la...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”