Wednesday, 20 May 2026

BULAN TERBELAH

 

ASSALAMUALAIKUM




BULAN TERBELAH

.

Nabi Muhammad SAW pernah membelah bulan sebagai mukjizat daripada Allah SWT. Peristiwa itu berlaku apabila kaum Musyrikin Mekah meminta baginda membuktikan kerasulan sekiranya mahu mereka mempercayai dakwah  disampaikan. Allah SWT mengutuskan Malaikat Jibril AS untuk menyampaikan perintah agar Nabi Muhammad SAW memperlihatkan mukjizat tersebut. Kejadian menakjubkan itu berlaku di Mekah, kira-kira lima tahun sebelum peristiwa hijrah.

Kaum  Musyrikin tetap mengingkari janjinya meskipun telah menyaksikan sendiri kejadian itu dengan nyata. Mereka menuduh Nabi Muhammad SAW melakukan sihir. Mereka terus menolak seruan baginda untuk beriman dan menerima Islam sebagai akidah kehidupan. Kejahilan dan penentangan mereka menyebabkan Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qamar ayat 1 hingga 4 menjelaskan bahawa Hari Kiamat semakin dekat dan bulan telah terbelah. Surah ini juga menekankan bahawa segala takdir berada dalam kekuasaan Allah SWT. Sebagai hamba, perlu menerima ketentuan-Nya dengan reda tanpa  mengeluh.

Peristiwa terbelahnya bulan juga merupakan salah satu tanda besar kiamat. Nabi Muhammad SAW ialah nabi akhir zaman dan kehadiran baginda sendiri menjadi petanda bahawa kiamat semakin menghampiri. Maka mukjizat bulan terbelah membawa makna sebagai peringatan tentang kekuasaan Allah SWT.

Dari sudut sains pula, gambaran bulan terbelah kelihatan sebagai visualisasi artistik atau simbolik justeru bulan sebenar terbelah memberi kesan besar terhadap sistem graviti bumi. Graviti bulan memainkan peranan penting dalam fenomena pasang surut air laut di bumi. Jika bulan  terbelah dua, keseimbangan graviti akan berubah dan boleh menyebabkan gangguan besar terhadap  cuaca serta kestabilan orbit bumi.

Sekiranya bulan benar-benar terbelah, kesannya pasti turut mempengaruhi bumi dan keseluruhan sistem atmosfera. Fenomena astronomi serta susunan alam akan berubah.

Sesungguhnya janji Allah SWT bahawa kiamat akan berlaku pada akhir zaman adalah benar. Alam semesta yang wujud, akhirnya akan hancur dan Allah SWT akan menggulungnya seperti menggulung tikar. Segala yang hidup dan wujud di dunia ini tidak akan kekal selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”