Sunday, 11 January 2026

SIHIR BAHASA

 ASSALAMUALAIKUM



SIHIR BAHASA

.

Mengenalinya  mengait uja

pesona kata makna selirat

merenung agum ralit mengeja

penangan bahasa angin barat

.

Menjajah  nusa menguasainya

warga sebenar menganggap jaguh

habis ditiru lagak gayanya

kemajuannya meninggi teguh

.

Terasa  jauh telah tertinggal

ruang dunia terbuka luas

budaya asal anggapnya janggal

bebas bicara berlaku buas

.

Hanya  semata merujuk pakar

kekagumannya jitu sekali

menukar diri bergelut sukar

jiwa dan raga tergadai lali

.

Terlupa  sudah diri sejati

waris Melayu berzaman-zaman

cabaran tiba bersilih ganti

sebagai Muslim kekal beriman

 

 

 

 

DEMI TANAH AIR

.

Pasca  merdeka tersedar lena

para pemimpin berganding bahu

rakyat jelata bersama jana

mencipta jaya sesuai mahu

.

Langkah  terpesong gara penjajah

tersesat jauh dipengaruhi

perlahan-lahan mengubah wajah

cahaya Islam firman Ilahi

.

Tahun  berlalu ganti baharu

perubahannya mengikut arus

kemajuannya singkir keliru

semata lalu jalan yang lurus

.

Tiada  mudah tarbiah jiwa

sekian lama minda diasuh

khayal gembira teruja hawa

segala mungkar usaha basuh

.

Demi  negara tanah tercinta

musuh durjana segera cantas

doa semoga Maha Pencipta

memelihara iktikad tuntas


No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”