Saturday, 3 February 2024

HUKUMAN

 ASSALAMUALAIKUM



HUKUMAN

 

Sempena meraikan ulang tahun pertabalan, baginda Khalifah Harun al-Rashid bercadang memberi pengampunan pada pesalah  di penjara dengan mengurangkan jumlah masa berada dalam penjara. Setiap pesalah yang sedang menjalani hukuman di penjara dibawa mengadap baginda.

“Berapakah masa kamu sepatutnya berada dalam penjara?” Tanya Khalifah.

“Hamba dihukum dua tahun penjara, paduka.” Pesalah itu menjawabnya.

“Sudah berapa tahun kamu berada di penjara?”

“Sudah satu tahun paduka.”

“Kalau begitu kamu telah bebas kerana hukuman kamu dikurangkan satu tahun.”

“Alhamdulillah. Terima kasih paduka yang mulia.” Sahut pesalah itu dengan sangat bersukacita.

Semua pesalah dipenjara telah diberikan pengurangan masa hukuman di penjara. Dan seorang pesalah lagi dibawa perajurit mengadap baginda.

“Berapakah masa hukuman kamu di penjara?”

“Hamba dihukum penjara seumur hidup, paduka.”

Khalifah terkedu mendengarnya. Baginda tidak pasti bagaimana hendak mengurangkan masa hukumannya. Wajah Abu Nawas menjelma dalam mindanya. Segera baginda menitahkan perajurit memanggil Abu Nawas mengadapnya.

Setelah Abu Nawas tiba di istana, Khalifah memperihalkan persoalannya.

“Cara mengurangkan hukumannya menurut hamba ialah dengan membiarkannya sehari di luar dan sehari di penjara. Begitulah seterusnya sehingga pesalah yang dihukum itu mati.”usulan Abu Nawas itu dipersetujui baginda Khalifah Harun al-Rashid.


4 comments:

  1. Kenapa sebak dengan hukuman last sekali tu.. :(.. Alhamdulillah Allah masih memberi peluang.. Adilnya hukuman pada zaman dahulu, zaman sekarang penjenayah besar tiada hukuman.. mereka bebas membunuh seluruh negara demi kepentingan sendiri tanpa mampu dihukum oleh sesiapa :(

    ReplyDelete
  2. kisah silam yang ada related dengan situasi hari ini kan kak PI :)

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”