Tuesday, 26 December 2023

MEMDAM BERAHI

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)


SYAIR MENDAM BERAHI

#1

Awal bismilah bermula ayat,

berlagu syair akan hikayat,

Memdam Berahi citra riwayat,

bahtera megah sanjungan rakyat.

#2

Sudah terkenal sejak dahulu,

wangsa Melayu gemar selalu,

belayar jauh hilir dan hulu,

lautan luas tiada silu.

#3

Cerita silam ramai bertanya

apakah mitos akan kisahnya,

persoal pula bila wujudnya,

Inginkan bukti nyata sahihnya.

#4

Tersebut kisah satu ketika,

dalam negara nama Melaka,

rakyat dan raja tiada leka,

ilmu lautan amatlah peka.

#5

Sultan  Mansur Shah telah berperi,

bina bahtera agam selari,

pada Hang Tuah titah diberi.

ke Majapahit pinang puteri,

#6

Raden Mas Ayu amat jelita,

sultan Mansur Shah menaruh cinta,

rindu dipendam rasa derita,

hasrat menyunting bunga dicita.

 

#7

Hai Hang Tuah menjunjung titah,

pantang menyanggah walau sepatah,

taat setia akur perintah,

bersama tukang kayu dipatah.

#8

Satu persatu kayu terpilih,

ditanggam kemas tidak bersilih,

dipasak cuma sukar di alih,

bekerjasama tanpa berdalih.

#9

Tinggi bahtera hai tujuh tingkat,

gigih siapkan ikut peringkat,

luas ruangnya ada disekat,

dinding berlapis empat melekat.

#10

Tiang layarnya terdiri tiga,

tengah letaknya jurus peraga,

kiri dan kanan adalah juga,

tinggi menjulang menyentuh mega.

#11

Muncung bahtera hai cengal batu,

sirat tujuan maksud tertentu,

padat kayunya tajamnya jitu,

bagai senjata letak di situ,

 

#12

Tiga geladak telah siapkan,

dek kedua indah hiaskan,

ruang  bangsawan bersama rakan,

tempat berpegang emas sadurkan.

#13

Jumlah pendayung genap seratus,

kiri dan kanan tiada putus,

bergerak laju bayu mengutus,

mengharung badai taufan tercetus.

#14

Berhari-hari tukang bekerja,

bermula siang berganti senja,

tunai kehendak seorang raja,

siap tersergam kagum teruja.

#15

Hang Tuah bijak mudah berfikir,

aksara indah jelas terukir,

pegang amanah menolak mungkir,

berjiwa hamba tiasa fakir.

#16

Memdam Berahi nama bahtera,

maksud bahasa Jawa setara,

ambil sempena lantaran gara,

pesona cinta mabuk asmara,

#17

Raden Mas Ayu kalbu memuja,

Sultan Mansur Shah nian teruja,

majlis berkahwin adat beraja,

setelah itu nikah Tun Teja.

#18

Dalam bahtera Memdam Berahi,

nan bertemasya tidak kelahi,

baik putera juga puteri,

bercanda mesra dua isteri.

#19

Setelah itu Hang Tuah guna,

sandang jawatan hai laksamana,

belayar jauh ke mana-mana,

rentas segara hingga ke China.

.

#20

Susun senjata di ruang legar,

meriam, lela juga istinggar,

pemuras ada rentaka gegar,

semangat juang tiasa tegar.

#21

Sekian tahun silih ketika,

Sultan Mahmud Shah tadbir Melaka,

negara indah tanah pusaka,

Portugis serang bagai puaka.

#22

Gagah berlawan tingkah serangan,

sebelum tewas berundur jangan,

Memdam Berahi bukan saingan,

luput pandangan mana gerangan.

#23

Syair dikarang mengakhir kata,

sejarah lama warisan kita,

Memdam Berahi bukan cerita,

terlalu mahal nilainya harta.


6 comments:

  1. ingatkan nama tempat tapi nama kapal rupanya

    ReplyDelete
  2. kesian Hang Tuah..asyik kena meminang pompuan je, lepas ke Majapahit, ke China pula..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya nohas hang tuah setia dgn sultannya tq nohas

      Delete
  3. dulu tak tahu juga yang ada kapal namanya mendam berahi ni...

    ReplyDelete
  4. Memdam Berahi kapal nya si Hang Tuah .. sepatutnya replika kat Melaka tu bukan kapal portugis.. patut dibina kapal hang tuah ni :D

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”