Sunday, 10 December 2023

CITRA PERTAMA

 ASSALAMUALAIKUM



CITRA PERTAMA

 

Aku anak sulung kedua ibubapaku. Bermakna aku yang pertama dilahirkan ibuku ke dunia setelah sekian lama berkahwin dengan bapaku. Perkahwinan pertama kali berlaku antara kedua-duanya dan berkekalan sehingga penghujung hayat.

            Setelah berusia 7 tahun aku ke sekolah pertama kali. Sebelum bersekolah aku sudah boleh membaca. Ibuku yang mengajarku membaca rumi dan jawi. Aku pula memang suka membaca buku. Di sekolah rendah Dulang Kecil kala ujian akhir diadakan aku mendapat tempat pertama.  Terukir  kejayaan pertamaku di sini.

Tika usiaku sembilan tahun aku meninggalkan sekolah dan kampungku mengikuti ibubapaku berhijrah ke Pahang menyertai skim LKTP. Pertama kali menaiki bas bersama beberapa keluarga secara rombongan menuju pertempatan baru. Pengalaman baru mengujakan menaiki bas melalui jalan raya melintasi negeri Pulau Pinang, Perak dan Selangor sebelum tiba di Maran, Pahang. Tika itu baru menyingsing fajar subuh. Tempat yang ditujui masih jauh. Bas yang dinaiki berlenggang-lenggok meneruskan perjalanan melaui jalan bengkang-bengkok bagai ular dipalu. Keletihan terasa. Kepala berpinar pening. Sudah termuntah-muntah berkali-kali. Di kiri kanan jalan kelihatan hanya hutan tebal. Mentari pagi mulai bersinar. Siang menyerlah.

            Tibalah ke destinasi. Bas meninggalkan semua penumpangnya di sebuah bangunan sederhana yang diperbuat daripada kayu. Tertulis  pada papan tanda iaitu PEJABAT LKTP ULU JEMPOL. Di hadapan pejabat itu kelihatan tanah yang bersambung dengan paya yang luas. Sekitarnya terdiri beberapa rumah peneroka yang menempatinya lebih awal.

Seorang pegawai membawa keluargaku menuju ke rumah yang bakal dihuni. Kelihatan sebuah rumah kayu dikelilingi semak samun sekitarnya. Inilah kediaman disediakan pihak LKTP  untuk keluargaku di sini. Tiada kemudahan api eletrik. Tapi paip air untuk kegunaan seharian terletak di pinggir jalan utama. Sebuah paip digunakan secara berkongsi beberapa keluarga di situ. Anak-anak kecil  bermandi-manda di situ. Bapaku membeli getah paip yang menyalurkan air ke rumah dan diisi di dalam bekas untuk keperluan keluarga. Setelah penuh semua bekas maka kepala paip ditutup untuk memberi peluang pada yang lain pula menyalut getah paip yang menyalurkan air ke rumah mereka.

            Ibubapaku memanfaatkan tanah sekitar rumah kecil kami dengan pelbagai tanaman kontan dan kekal. Antaranya pelbagai sayuran, kacang tanah, jagung, betik, ubi kayu, ubi keledek dll.

            Bermulalah rutin kehidupanku bersama ibubapaku dan adik-adikku di sini. Aku menyambung persekolahan di sekolah kebangsaan Ulu Jempol. Guru Besarnya ialah cikgu Mutalib. Seorang anaknya juga sekelas denganku.  Rosmiah menyapaku. Kami berkawan baik.  

Aku akan ke sekolah setiap hari berjalan kaki. Jarak antara sekolah dan rumahku tidaklah jauh. Dalam perjalanan, aku akan melalui lorong kecil yang ditumbuhi rumpun teberau. Sebalik rumpun teberau ada tanah paya agak luas dipenuhi kangkung liar menghijau. Ralit juga aku memerhati kesuburannya. Burung wak wak berlari bersama anak-anaknya menarik minatku mengejarnya. Membuang masa saja. Memanglah tak akan dapat aku menangkapnya. Hanya melambatkan masaku sampai di sekolah. Dan mengotorkan kasut sekolahku yang putih.

Kangkung di paya itu selalu juga kukutip untuk dimasak sayur goreng campur belacan. Memang enak masakan ibuku. Bertambah-tambah nasi yang dimakan bersama ibubapa dan adik-adikku. Lauknya cuma ikan pelata kering yang digoreng. Dan sambal belacan berserta ulam-ulaman yang dipetik hasil tanaman ibubapaku sekitar rumah.

Ketika peperiksaan akhir persekolahan aku hanya mendapat tempat kedua saja. Selalu di belakang Othman yang mendahului pada tempat pertama. Tapi aku sangat gembira pabila cikgu Kamarudin yang mengajar subjek Bahasa Melayu memuji karanganku berjudul “Kemalangan Jalanraya.” Aku menulisnya berdasarkan kisah yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia hasil pembacaanku.  Sebab aku selalu mendapat tempat kedua dalam peperiksaan maka guru kelas melantikku sebagai penolong ketua darjah. Ketua darjah tentulah Othman. Jawatan pertamaku di sekolah tercatat dalam sejarah hidupku.

            Sekolah kebangsan Ulu Jempol akan mengadakan malam pementasan kebudayaan. Berpeluang aku menjadi artis pertama kali bergandingan dengan rakan-rakanku Pazilah dan Salmiah. Trio menyanyikan lagu Telok Bayour yang dipopularkan Ernie Djohan. Malam pementasan dihadiri ramai ibubapa murid sekolah itu. Meriah sekali. Pelbagai acara hiburan diadakan termasuk dikir barat.

Akhir April 1968, ibuku melahirkan adik lelakiku yang pertama. Adik-adikku yang kedua dan ketiga perempuan. Aku cadangkan pada ibubapaku agar menamakannya Pazeli untuk menyamakan nama awalku dan adik-adikku yang bermula dengan huruf P. Usiaku  tika itu menghampiri sepuluh tahun. Tapi sudah berani memberi nama pada adik kecilku. Ibubapaku pula menyetujuinya. Terdaftarlah nama adikku dalam surat beranak dan kad pengenalannya. Adik kesayanganku sentiasa kudukung ke mana sahaja. Dan kuperhatikan kebajikannya.

            Cuti sekolah penggal akhir 1969 bapa membawaku dan adikku Patimah pulang ke kampung kelahiranku di Dulang Kechil. Setelah seminggu di rumah tokwanku, bapa pulang bersama adikku Patimah ke Pahang.  Tapi meninggalkan aku di rumah tokwanku. Sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Terpaksalah aku menebalkan muka berjumpa dengan Guru Besar Sekolah Dulang Kechil agar menerimaku menumpang belajar di sekolah ini sementara aku pulang ke Pahang semula menyambung persekolahanku. Kawan baikku berulang-alik ke sekolah sejauh sebatu setiap pagi ialah Sofiah. Kelas kami berbeza. Murid-murid dalam kelas ini bersaing menunjukan prestasi cemerlang. Antaranya Zaki, Rosli, Aisyah, Mahani, Mutiah, Solehah. Aku pernah juga mendapat tempat pertama dalam ujian peperiksaan akhir. Minatku dalam karang-mengarang disedari cikgu Zakaria, guru kelasku. Cikgu Zakaria berusaha mengirimkan karanganku pada majalah Utusan Pelajar yang baru diterbitkan pada awal 1970. Aku tidak pasti sama ada karyaku disiarkan atau tidak. Tapi usaha cikgu mengenengahkan bakatku ke ruangan sastera bercetak amat kuhargai. Baik budinya kusanjung tinggi. Tidak  terlupakan.  

            Genap usia 12 tahun terpaksa pula membuat kad pengenalan. Tokwanku menghantarku ke pejabat pendaftaran di Yan. Jauh juga jaraknya. Dari kuala Dulang Kechil kampungku akan menempuhi kampung Dulang Besar, pekan Sungai Yan Kechil, kampung Sungai Udang barulah sampai ke bandar Yan. Tapi tukwanku mengayuh basikalnya mengendongku di pelantar basikalnya dengan kudrat tuanya. Mengenangkan baik budi tokwanku hatiku pilu terharu.

            1970 muncul persona sejarah negara mengejutkan semua. Aku turut membaca kisah pahlawan Mat Kilau yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia tika aku singgah di kedai Pak Mat.  Aku pun tidak tahu apa yang dijual Pak Mat dalam kedainya itu. Mungkin kedainya dijadikan tempatnya berehat saja.  Setiap pagi aku nampak dia akan membaca akhbar Utusan Malaysia sambil duduk di kerusi malas.

Aku menyapanya ramah. Sempat pula mengerling baca tajuk utama akhbar Utusan Malaysia itu. “Sah: Pahlawan Mat Kilau Maseh Hidup.” Terkejut sungguh aku. Selama ini aku hanya membaca dalam buku tawarikh darjah iv kisah perjuangannya menentang keterlibatan Brtish dalam pemerintahan Pahang. Akhbar British The Free Press di Singapura menyiarkan berita bahawa pejuang Mat Kilau telah terbunuh ketika berlawan dengan askar British. Aku kehairanan. Tapi kuasa Allah menentukan segalanya.

            Aku menyelesaikan persekolahan peringkat rendahku di sini. Menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah menengah Yan. Guru-guru yang mengajar di kelasku semuanya perempuan. Murid-murid dalam kelas ini tinggal sekitar daerah Yan. Kawanku Hasnah tinggal di bandar Yan. Rumahnya terletak bersebelahan sekolah Langkasuka.

            Aku bercerita padanya bahawa ibuku pernah juga bersekolah di situ. Hasnah pula bercerita pada cikgu Pazidah, cikgu Hanesah dan cikgu Rabiatul yang mengajar di kelasku. Rupanya cikgu-cikgu ini juga sekelas dengan ibuku dan mereka mengenalinya.

            Pencapaianku dalam pelajaran di sini sederhana saja. Tapi cikgu Hanesah pernah memuji karanganku. Aku berulang-alik ke sekolah di sini dengan menaiki bas.

.           Aku kalut bersiap ke sekolah sebaik kawanku Cik Romah memanggilku di tangga rumah. Rumah kawanku itu di tepi laut. Dan dia akan berjalan melalui batas bendang ke rumah tokwanku. Kemudian kami akan mengatur langkah susuri ban tali air hingga sampai ke jalan besar, untuk menunggu bas  yang akan membawa ke bandar Yan. Jarak antara rumah tokwanku ke jalan besar melebihi dua kilometer. Jauh juga.  Memang penatlah berjalan pada awal pagi walaupun panas mentari tidak terasa sangat bahangnya..

Bas yang dinanti telah tiba. Aku dan kawanku bergegas menaikinya. Sebaik duduk di atas seat, konduktor bas menghampiri, meminta duit tambang sambil menghulur tiket yang siap diketip nilai sekupang destinasi kami. Aku pun membuka kotak gometri Oxford hendak mengambil duit diberi tokwanku. Biasanya tokwanku beri tiga kupang untuk belanja ke sekolah. Sekupang untuk bayar tambang bas hala pergi. Sekupang untuk bayar tambang bas hala balik. Sekupang lagi untuk beli makanan.

Aku terkejut mendapati duit yang dicari tiada di situ. Rupanya aku terlupa mengambil duit tiga kupang yang diberi tokwanku. Perasaanku kacau. Serba salah sungguh. Malu pula. Apa aku nak buat ni? Cik Romah selamba saja membayarkan tambangku. Aku berterima kasih kepadanya sudi menolongku saat terdesak begitu. Dan akan membayar hutangku sebaik tiba di rumah balik dari sekolah nanti.

Di sekolah kala  loceng rehat berdering aku tidak keluar kelas ke kantin. Sendirian saja di dalam kelas menikmati keriuhan ritma keroncong orkestra perut kosong. Kelaparan. Kebiasaannya memang begitu pun. Makanan yang dijual di kantin sekolah mahal harganya. Tidak cukup duit sekupang untuk membelinya. Kalau tidak terlupa tadi dapatlah kugunakan duit sekupang untuk membeli makanan buat mengalas perut tika balik sekolah di gerai perhentian bas. Lima duit biasanya kubeli ais kepal dan lima duit lagi kubeli mihun goreng.   

Risauku berkecamuk lagi. Bagaimana nak balik nanti sedangkan duit tambang basku tiada. Takkan aku nak harapkan pada kawanku lagi membayarkannya. Aku tawakal saja menaiki bas buat muka sekupang. Mustahil  aku nak bermalam di sekolah.

Tika  konduktor bas menghampiriku, seorang rakan sekolah bersebelahanku tolong membayar tambangku. Mungkin dia perasan aku tidak berduit lantaran tidak menghulurkan duit yang diminta. Siew Ming sekampung denganku. Tapi aku tidak meng enalinya dengan rapat kerana dia dalam tingkatan lima aliran Inggeris sedangkan aku baru tingkatan satu aliran kebangsaan. Alhamdulillah Allah menghantar bidadari-Nya menolong kesusahanku.

Ibu Siew Ming dikenali sebagai nyonya keturunan baba peranakan seorang peramah dan disenangi masyarakat kampungku.

Terima kasih Cik Romah, terima kasih Siew Ming kerana tiga kupang, menggunung budi ukhuwah kenangan abadi.didoakan kalian dalam rahmat perlindungan Allah…amiin..

Aku masuk belajar di sekolah menengah Maran setelah permohonan untuk tinggal di asrama dibenarkan Guru Besar SMKM. Lama juga aku tidak bersekolah setelah aku bertukar sekolah dari sekolah menengah Yan kerana masalah penempatan di asrama.

Tingkatan 2C menjadi kelasku. Kawan-kawan sekelas menerimaku dengan baik. Jalilah antara paling rapat denganku. Beliau  tidak tinggal di asrama. Tapi tinggal bersama keluarganya di kampung Bintang, berhampiran bandar Maran   setiap hari beliau berjalan kaki sahaja ke sekolah.

Pihak perbandaran Maran mengadakan acara pementasan pada suatu malam dengan mengundang penyanyi terkenal iaitu Datin Rafeah Buang. Guru Besar SMKM memberi izin penghuni asrama untuk turut menyaksikan pementasan itu. Memang seronok tak terkata kami penghuni asrama dapat keluar asrama pada malam hari pula. Apalagi dapat menyaksikan acara hiburan walau masanya dihadkan. Semua penghuni asrama mesti kembali ke asrama sebelum pukul 10.00 malam.

Sempatlah juga menikmati kemerduan suara Datin Rafeah Buang mengalunkan beberapa lagunya yang disukai ramai tahun 72. Terpegun mengagumi kejelitaan wajah biduanita itu. Putih selepuk. Lain-lain acara yang dipersembahkan selepas itu tidak kuketahui.

Keesokannya hari Isnin. Ada perhimpunan sebelah pagi semua murid-murid SMKM. Aku berdiri belakang Jalilah. Guru Besar berucap dengan tegas menekan disiplin pelajar dan melarang pelajar-pelajar SMKM terlibat dengan sebarang acara budaya di luar sekolah.

Sekali Jalilah jatuh terjelepuk. Terkejut aku. “Ko ni dah kenape Lilah?.” Aku cuba mengangkatnya. Mujur  dia mampu berdiri. Aku mengiringnya ke asrama. Dia berbaring di katilku sebentar sebelum kesegaran tubuhnya kembali pulih. Aku tidak bertanya apa-apa pun. Mungkin panas pagi menyebabkannya keletihan berdiri lama.

Jalilllah kembali ke rumahnya selepas itu dengan izin guru kelas. Kawan-kawanku di kelas bercerita bahawa ucapan Guru Besar tadi ditujukan pada Jalilah kerana beliau mengambil bahagian dalam acara malam tadi dan telah dimahkotakan sebagai  Ratu Kebaya mengalahkan peserta lain termasuk kakaknya. Terlopong aku mendengarnya. Tapi Jalillah memang seorang gadis sunti yang cantik. Aku berbangga dengan kejayaannya. Walau baru berusia 14 tahun tapi sudah bergelar ratu.     

 Keputusan peperiksaan akhir tingkatan 1, 2 dan 3, SMKM telah ditampal di papan kenyataan yang tergantung di luar dewan sekolah. Pelajar-pelajar berpusu-pusu memerhati sambil memberi reaksi riang dan muram. Atau biasa-biasa saja.

Keputusan peperiksaan tahun akhir akan menentukan tingkatan seterusnya akan dimasuki menurut markah keseluruhan yang diperolehi. Aku memanglah teruja hendak mengetahuinya. Selepas berpindah sekolah dari SMY ke SMKM aku ditempatkan di kelas 2C. Semasa di SMY aku di kelas 1E. Tentunya ada peningkatannya. Tapi di SMY cuma ada dua kelas untuk pelajar perempuan iaitu 1E dan 1F. Tingkatan 1A B, C, D untuk pelajar lelaki. Kelas memisahkan gender.

Di SMKM tidak berlaku begitu. Tapi tatkala keputusan peperiksaan menentukan kelas tahun hadapan, berlaku begitu juga. Hanya 3 pelajar perempuan terpilih memasuki tingkatan 3A iaitu Nab, Idah dan aku. Menjadi masalah besar kepada guru-guru kerana murid perempuan ada kelas Ekonomi Rumah Tangga sedangkan pelajar lelaki belajar Seni Perusahaan. Agaknya guru berfikir tidak berbaloi mengadakan kelas ERT untuk kami bertiga saja.

Aku tidak kisah dalam kelas mana pun akan diletakkan asalkan dapat belajar dengan selesa. Kami bertiga dimasukkan dalan kelas 3B. Tapi kesian pula pada kawan-kawan seperti Nab, Timah, Idah dll yang turun kelas dari A kepada B. Di dalam kelas 3B, pabila setiap kali keputusan peperiksaan bulanan atau penggal diumumkan, aku, Nab dan Idah selari saja. Nab teratas selalu. Kedua Idah. Ketiga memang aku selalu. Nab sangat rapat denganku.

SMKM adalah sebuah sekolah menengah yang terdiri di bandar Maran dengan kemudahan asrama untuk penginapan pelajar pelajarnya yang tinggal di persekitarannya seperti Chenor, Luit, Paya Bungor dan kampung-kampung felda dari Sg.Tekam, Ulu Jempol, Bukit Tajau, Jengka . Terimbau  nostalgia tinggal di asrama di kaki bukit berhampiran hutan kecil.

Masa dahulu tiada kemudahan api letrik dan pelajar-pelajar terpaksa menggunakan pelita sebagai sumber cahaya menerangi kegelapan pada malam hari untuk belajar dan lain lain urusan. Mungkin kerana keadaan itu timbul idea redaksi majalah sekolah untuk memilih KUNANG-KUNANG sebagai judulnya. Simbolik kepada aspirasi guru-guru menginspirasi pelajar-pelajarnya seperti kunang-kunang yang mencerahi malam dengan kerlipan cahayanya yang indah menuju impian.

Aku juga bernasib baik terpilih menjadi redaksi majalah KUNANG-KUNANG 1973 dibawah bimbingan cikgu Hamid, cikgu Sulaiman. Sebagai redaksi tugasku ialah mengumpul karya kawan-kawanku dan disampaikan kepada guru editor. Lucu mengenangkannya kerana karya kawan-kawanku itu aku yang tulis tapi diterbitkan atas nama mereka. Sedangkan karyaku satupun tidak disiar. Tapi cikgu Hamid menulis esei disiar atas namaku.

Tika aku mula belajar di sini dan tinggal di asrama pada tahun 72, sumber api untuk cahaya di malam hari diperolehi daripada generator yang dihidupkan setiap petang. Tidak payah lagi gunakan pelita.

Hubungan antara guru guru dan murid terjalin erat mentelah dengan murid yang tinggal di asrama walau ada antara guru guru itu bukan guru yang mengajar di kelas.

Setelah lulus SRP dengan aggregate yang sederhana aku, Nab dan kawan-kawanku meneruskan persekolahan di SMART  Kuantan pula dalam tahun 74 dan 75. Mulanya terpaksa tinggal di asrama Sekolah Berasrama Penuh Air Putih sebelum berpindah memasuki asrama puteri SMART. Asrama yang baru disiapkan ini akulah antara penghuni yang merasmikannya.

            Aku belajar dalam aliran sastera. Guru subjek sastera; cikgu Sarwan. Guru-guru yang mengajarku dan kawan-kawan sekelas di sini ialah Cikgu Roslan, Cikgu Ghafar, Cikgu Laili, Cikgu Normah Teh, Cikgu Miss Yit, Cikgu Mr.Loo, Dr Sugioto dll. Dilantik sebagai ketua kelas tahun 74 hingga 75. Sebab aku minat sastera dan semua subjek berkaitannya aku memperolehi markah tinggi kecuali matematik dan sains. Aku hanya berikan tumpuan pada sastera. Selalu mendapat tempat pertama setiap kali ujian. Gred satu dengan aggregate 17 selalu. Pada hari penyampaian hadiah akhir tahun aku menerima hadiah markah tertinggi subjek sastera. Hadiahnya disampaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad Mohammad ketika itu menteri pelajaran. Tapi takdir tidak membenarkan aku bertemu dengan mantan Perdana Menteri Malaysia itu kerana aku terpaksa pulang ke Kedah untuk menghantar tukwanku ke pelabuhan Pulau Pinang menaiki kapal belayar ke tanah suci Mekah menunaikan fardu haji.

Semoga semua guru-guru yang hadir atau tidak dalam kehidupanku dilindungi Allah sihat sejahtera menjalani kehidupan sambil berbakti mendidik anak bangsa, berbahagia tiasa dunia dan akhirat....halalkan dan reda budi murni ilmu yang dicurah kepadaku selama ini .

Kebanyakan insan yang mengenalkan pengalaman pertama dalam kehidupanku telah berpulang pada Ilahi. Innalillahiwainnailaihirojiun. Al-fatihah.    

     


1 comment:

  1. Saya saluuuut, kak PI masih mengingat cerita di saat kecil hingga zaman sekolah dengan detil begini 😍👍👍. Saya kalau ditanya masa2 kecil, jujur tak ingat.

    Saya browsing juga siapa Datin rafeah buang, dan ternyata sedap juga lagunya. Khas lagu 70an. 👍

    Sayang tak dapat bertemu Tun Mahathir saat itu ya kak.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”