Thursday, 12 October 2023

LEMBU BERJANGGUT

 ASSALAMUALAIKUM





LEMBU BERJANGGUT

 

Khalifah Harun Al Rashid sentiasa saja ada perintah yang dititahkan pada Abu Nawas untuk dilaksanakan semata-mata hendak menguji kecerdikannya menyelesaikannya.

“Beta hendak kamu bawakan enam ekor lembu berjanggut pada beta.”

“Setahu hamba tidak ada lembu berjanggut, paduka.  Cuma kambing yang berjanggut.” Balas Abu Nawas.

“Beta tidak mahu dengar alasannya. Kamu mesti cari dan bawa pada beta.”

“Baiklah paduka. Hamba menjunjung titah. Tapi berikan hamba tempoh seminggu untuk mencarinya.” Khalifah menangguk tanda bersetuju dengan permintaan itu. Abu Nawas meninggalkan istana Khalifah sebaik menerima perintah Khalifah seraya neraca aklinya ligat memikirkan pencarian enam ekor lembu berjanggut.

“Ada saja olah Khalfah ini hendak mengenakan hamba!” gerutu Abu Nawas dalam diam.

Setelah genap seminggu tempoh yang ditetapkan Khalifah Harun Al Rashid, Abu Nawas pun menuruni tangga rumahnya menuju istana Khalifah. Dalam perjalanannya dia singgah di pasar.

“Hari apakah hari ini?” Abu Nawas bertanya seseorang.

“Ahad!”

“Isnin agaknya.” Jawab seorang yang lain.

“Selasa!” ramai di situ cuba memberi jawapan pada pertanyaan itu. Tapi jawapannya salah.

“Jawapan yang kamu semua beri adalah salah. Kalau kamu tidak percaya ayuh kamu semua mengadap Khalifah untuk memastikan kebenarannya.”

Mereka semua bersetuju mengikuti Abu Nawas mengadap Khalifah.

“Kenapa kamu bawa mereka ke sini Abu Nawas?”

“Inilah lembu berjanggut itu paduka!” Khalifah kehairanan.

“Cuba Khalifah tanyakan pada mereka, hari ini hari apa?” Khalifah segera bertanya pada semua lelaki berjanggut yang dibawa mengadap baginda oleh Abu Nawas. Semuanya memberi jawapan yang salah.

 “Jika jawapan yang diberikan mereka semua salah tentulah mereka itu hanya lembu berjanggut yang boleh berkata-kata. Tapi bukan manusia yang berakal dan patut mengetahui sesuatu yang penting.”


4 comments:

  1. Bijak muslihat abu nawas
    Macam Belalang juga

    ReplyDelete
  2. kaki putar belit mcm abu nawas ni pun masih wujud pd zaman moden skrg..

    ReplyDelete
  3. hahaha... jawapan boleh mengundang kecaman

    ReplyDelete
  4. Memang jawaban abunawas selalu jenaka tapi kena sangat 😄👍👍. Dan Khalifah pasti tak bisa berkata2. 😁

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”