Sunday, 22 October 2023

ASA SILAM

 ASSALAMUALAIKUM



ASA SILAM

.

Tidak  sama dahulu dengan sekarang. Kalau nak dibuat perbandingan bagai langit dengan bumi. Zaman yang sempatku lalui akhir tahun 60-an. Berada di kampung halaman di Kedah Darulaman yang indah permai dikelilingi sawah padi penyejuk jiwa seluas mata memandang. Cara hidup bergantung seluruhnya pada kemampuan diri tanpa ada kemudahan yang menyenangkan.

Kebanyakannya masih mendiami rumah-rumah kecil beratap nipah dan berdinding nipah yang disemat. Ada juga rumah agam yang tersergam di tengah kelompok rumah-rumah kecil, menunjukan kemajuan kehidupan mereka atau telah diwarisi daripada keturunan mereka sejak lama.

 

Aku tinggal dengan Atuk dan Tukwanku  setelah ibubapaku berhijrah ke Pahang menyertai skim FELDA. Rumah Atukku sederhana saja buat menampung keluarga. Semua keperluan untuk kehidupan diadakan sendiri.

Maksudnya kalau hendak makan nasi kenalah tanam pokok padi. Bendang kan ada. Tanamlah padi jawi atau padi pulut. Setelah masak dituai secara berderau. Padi ini dipukul di tong pemukul padi untuk memisahkan padi dari jeraminya, kemudian dijemur, dianginkan, ditampi pula untuk memisahkan padi hampa dengan yang bernas.

Setelah itu ditumbuk pula untuk dapatkan beras yang putih. Ketika menjemur padi kerjaku ialah menghambat ayam daripada makan padi. Kalau dibiarkan alamatnya habis padi dan tak dapat dijadikan beras lagi. Ketika padi sedang ditumbuk kerjanya pula menyapu lesung pula agar padi tidak tumpah dari lesung.

 

Hendak makan sepinggan nasi pun beberapa fasa perlu dilalui. Takkan nak makan nasi putih saja kan. Mestilah seimbang nilai pemakanannya. Lengkap dengan lauk, sayur, buah-buahan yang diperlukan tubuh. Nak makan sayur kenalah rajin menanamnya di sekitar rumah.  Tentang lauk,ikan, sotong, udang, ketam,  kerang, siput tak perlu dibeli untuk dapatkannya. Rajinkan gerak saja mengatur langkah kaki ke tepi laut atau ke laut. Banyak sekali sumber protin itu di sana. Malas nak ke tepi laut boleh pancing saja ikan di bendang. Ikan haruan, keli, puyu cepat saja makan umpan di hujung mata pancing.

 

Sudah dapat ikannya bolehlah digulai atau dimasak asam pedas. Tapi terasa nak menggoreng pula. Mana pula minyaknya? Sebelum berfikir nak menggoreng segala makanan, proses menyediakan minyak masak mulakan lebih awal. Kelapa matang dikoyak kulit dan disagat isinya. Santannya diperah dan dibiarkan semalaman sebelum dikaut santan yang beku lalu dimasakkan dalam kuali atas dapur kayu. Sekian lama diatas api terhasillah minyak daripada santan kelapa.

 

Minyak kelapa buatan sendiri bukan main harum aromanya dan amat sedap digunakan dalam pelbagai jenis makanan. Boleh juga digunakan sebagai minyak rambut dengan terlebih dahulu dicampur bunga melur, tanjung atau cempaka. Selain itu dibuat minyak urut untuk mengurut tubuh yang lenguh membetulkan simpulan urat dengan campuran aneka herba.

 

Untuk memasinkan makanan garamnya tidaklah dibuat. Harganya sekupang saja dan tahan lama penggunaannya jadi beli saja di kedai. Tapi untuk dapatkan rasa manis dalam kuih-muih yang dibuat Atukku akan membuat nisan/manisan daripada buah nipah. Buah nipah ini dibiarkan hingga tua sambil mayangnya dilurut agar elok tunduknya dan senang disadap menggunakan pisau potong padi yang tajam. Daripada mayang nipah akan mengalir nira ke dalam tuke buluh yang digantung di hujungnya.

 

Hasil pengumpulan nira yang hampir seperiuk besar dimasak pula diatas api sehingga kuning keemasan dan likat. Bukan main sedap lagi rasanya dimakan dengan lempeng kelapa, cendol atau apom kukus.

 

Untuk mengalas tidur anyamlah tikar daripada tumbuhan mengkuang dan bantal yang dibuat meletak kepala berisi kekabu putih yang dkutip untuk dijadikan bantal.

 

 

Begitulah cara kehidupan dulu dulu yang  sederhana tetapi amat perlukan kerajinan tahap tinggi dalam mengendalikannya. Jikalau asyik berpangku tangan alamatnya susahlah hidup. Nasib tak baik kebuluran

 

Aku  terkenangkan kata-kata arwah Atukku bahawa hidup orang sekarang terlalu mudah kerana negara kita sudah kaya raya dan maju. Benarkah? Entahlah!


6 comments:

  1. Replies
    1. tksh syaz ya semangat hidup reda bersyukur

      Delete
  2. Lebih kurang sama corak kehidupan kita zaman kanak2 pada awal tahun 60an.
    Masa tu ibu bapa wak pun menanam padi dan menoreh getah. Cuma sekarang sawah bendang tu dah jadi kebun kelapa sawit

    ReplyDelete
    Replies
    1. oh yaka kita bermain-main dgn tanah kerana itulah kehidupan tksh WP

      Delete
  3. Saya jadi ingat cerita kakek dahulu. Bagaimana mereka berjuang hidup. Mulai dari menanam tanaman yg dapat dimakan, seperti jagung, ubi, beras. Lalu tanaman buah pula.

    Pernah juga diceritakan cara mereka mencari ikan di laut, apalagi dulu kampung saya dekat laut.

    Baca ttg minyak kelapa asli, jadi teringat kalau nenek memasak. Wanginya memang menyebar kemana2. Susaaaah sangat cari minyak kelapa asli Skr kak. Semuanya dah dibuat pabrik. Tak seharum yg asli

    ReplyDelete
  4. matlamat org dulu bkn mengumpul harta. tp hidup selesa seadanya...biar rumah buruk asalkan perut anak2 penuh. biar baju tak berganti asalkan anak2 dpt belajar...kuncinya bersyukur.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”