Saturday, 16 September 2023

SEKUNTUM MAWAR

 ASSALAMUALAIKUM


Cerita rakyat

Olahan

Paridah Ishak

 



SEKUNTUM MAWAR

Suatu ketika dahulu dalam sebuah taman terdapat pelbagai jenis tumbuhan bunga-bungaan. Taman itu indah berseri suasana sekitarnya. Burung-burung, kumbang dan rama-rama sering singgah di situ menikmati nektar bunga-bunga.

Di pohon kelihatan anggerik melekapkan akarnya di dahan pohon yang tinggi. Bunganya berpancawarna sedang berkembang sangat cantik. Anggerik menjuntaikan bunganya ke bawah sehingga menyentuhi Kenanga.

            Kenanga berkelopak kuning juga sedang mekar Aroma keharuman Kenanga tersebar di persekitarannya. Kenanga tumbuh di sisi pohon tembusu di mana Anggerik berada. Mereka berdua sering bercerita dan berbual mesra.

Daisi dan Dahlia pula tumbuh di sisi kolam Teratai. Juga sering mencelah perbualan Anggerik  dan Kenanga. Persahabatan antara Anggerik, Kenanga, Daisi, Dalia dan Teratai terjalin akrab.

            Tidak jauh dari mereka, pohon mawar tumbuh merimbun. Mawar juga sedang berkembang. Kelopaknya tersusun berwarna merah. Mawar sangat berbangga dengan kecantikannya. Dia merasa  kecantikannya mengkagumkan semua di situ.

            Perasaan itu menyebabkannya menjadi sombong. Dia mengangap dirinya paling cantik antara flora di dalam taman itu. Mawar  tidak mahu berkawan dengan tumbuh-tumbuhan di dalam taman itu.

            Bersebelahan dengan Mawar, kelihatan kaktus tumbuh meninggi. Dedaunnya lebar dan berduri tajam. Kaktus masih belum berbunga.  

            “Kenapalah kau tumbuh di sebelahku, Kaktus? Rupa kau amat hodoh. Kau tidak layak berada di sebelahku yang amat cantik ini.” Berkata Mawar pada Kaktus dengan sombong. Dia  jengkel dan merasa tidak selesa Kaktus berada bersebelahannya.

            “Kenapa pula aku tidak boleh berada di sisi kau?” Tanya Kaktus.

            “Sebab rupa kau tidak seperti aku! Kau sangat hodoh  dan tidak berbunga pula. Tubuhmu bersalut duri tajam. Tentu akan membahayakan aku jika duri kau menusukku kalau kau berdekatan denganku.”

            “Wah kau merasa dirimu terlalu cantikkah? Aku tengok Anggerik, Kenanga, Dahlia, Daisi, Teratai juga cantik. Tapi mereka tidak membanggakan kecantikan diri seperti kau. Mereka berkawan dengan setiap tumbuhan yang berada di sisi mereka. Tapi kau tidak begitu. Banyak pula kerenahnya.” Kaktus membidas sikap Mawar.

            “Diamlah kau. Aku tidak mahu bersembang dengan kau lagi. Kau tidak layak bersembang dengan aku yang cantik ini.” Mawar menegaskannya.

            “ Jika kau tidak mahu bersembang denganku, tidak mengapalah. Aku boleh bersembang dengan Anggerik dan Kenanga walau mereka agak berjauhan dariku.” Kaktus membalasnya perlahan. Dia tidak mahu memanjangkankan pertengkarannya dengan Mawar.

            Kenanga memperhatikan saja gelagat Mawar itu.

            “Apa yang dikatakan Mawar pada Kaktus? Aku tidak mendengarnya kerana aku berada di atas pohon tinggi. Aku lihat wajahnya merah menyala ketika dia berkata-kata dengan Kaktus.” Anggerik bertanya pada Kenanga.

            “Kau bukan tidak tahu akan kesombongan Mawar sejak dari dahulu lagi. Kecantikannya membuat dia tidak sedar diri.” Balas Kenanga.

            “Kita patut nasihatkannya agar mengubah sikap buruknya itu.” Anggerik memberi cadangan.

“Ya aku setuju. Kita patut menegur kesilapannya. Perbuatannya setiap hari menghina Kaktus itu sangat kurang sopan. Dia tidak boleh terus mengamalkan sikap buruk begitu.”  Balas Daisi. Teratai angguk, turut menyetujui cadangan Anggerik.

“Kau cubalah menasihatinya. Lagipun kedudukan kau berhampiran dengannya.” Saran Dahlia. Kenanga berfikir seketika.

“Baiklah Dahlia, aku akan cuba menasihati Mawar.” Kenanga memberi persetujuannya.

            Pada suatu pagi Kenanga merendahkan rantingnya agar lebih berdekatan dengan Mawar.

            “Selamat pagi Mawar. Cantik sungguh kau Mawar. Kecantikanmu menyerikan lagi suasana taman ini.”

            “Selama ini kau tidak tahukah bahawa aku adalah yang tercantik di antara semua flora di sini.” Jawab Mawar dengan angkuh. Kenanga walau terasa meluat dengan sikap Mawar yang sombong itu namun dia masih bersabar.

            “Aku hendak sampaikan amanah daripada kawan-kawan kita, Anggerik, Daisi, Teratai, Dahlia agar menegur sikap buruk kau suka menghina Kaktus. Perbuatan begitu amat tidak baik. Biarlah kita hidup di taman ini dalam keadaan  damai. Kita patut saling membantu antara satu sama lain. Bukan pula  menghina kekurangannya.” Wajah Mawar masam mencuka setelah mendengar Kenanga berkata begitu padanya.

            “Tidak perlulah kau bersusah-payah hendak mengajar  aku, Kenanga. Apa salahnya aku menghina Kaktus? Sudah keadaan dirinya memang hodoh. Tentulah aku akan mengatakannya hodoh. Kenyataannya begitu.” Mawar enggan menerima nasihat Kenanga dengan alasannya.

            Kenanga merasa kecewa kerana tidak berjaya mengubah sikap Mawar. Tapi dia tetap mendoakan semoga suatu ketika kelak Mawar akan berubah sikapnya,

            Hari berganti hari. Hujan sudah lama tidak turun. Langit terang tidak berawan. Cahaya matahari menyinari alam. Panasnya berbahang. Tumbuhan yang berada jauh hendak mencapai sumber air mulai kelihatan kelayuan.

Mawar juga tidak terkecuali. Kelopaknya layu tidak bermaya. Wajahnya kehilangan seri. Dia amat perlukan air untuk mengekalkan kesegarannya. Tapi dia tidak tahu di mana hendak mendapatkan air.

            Dia melihat Kenanga, Anggerik, Daisi, Dahlia masih segar kerana mereka semua tumbuh berhampiran kolam Teratai. Perubahan cuaca tidak menjejaskan kesuburan dan kesegaran mereka. Lantaran mereka mampu mendapatkan bekalan air untuk keperluan mereka. Tapi kedudukannya agak jauh untuk meminta air daripada Teratai.

            Kaktus juga tidak sepertinya. Masih segar tegak berdiri.Di celah daunnya yang berduri, mekar bunga berwarna warni. Terpesona pula Mawar memandang kecantikan Kaktus. Mawar terpinga-pinga melihat burung pipit seakan sedang menyedut air dari tubuh Kaktus.

            Dia mengagak tentu Kaktus menyimpan banyak air. Tetapi mngenangkan kesilapannya, selalu menghina Kaktus, dia tidak meneruskan hasratnya meminta air daripada Kaktus. Dia cuba bertahan. Namun kelopaknya sudah ada yang gugur. Dia terpaksa juga meminta pertolongan Kaktus untuk membantunya.

            “Boleh kau tolong berikan aku sedikit air, Kaktus? Jika aku tidak mendapat air tentu aku akan mati kekeringan.” Mawar bertutur lembut.

            “Boleh! Ambillah sebanyak mana  kau perlukan.”

            “Baik sungguh hati kau Kaktus. Kau masih mahu menolong kesusahanku walau selama ini aku selalu menghina kau. Aku sungguh menyesal akan perbuatanku terhadap kau selama ini. Maafkanlah semua kesilapanku itu.”

            “Ia aku maafkan semua kesilapan kau terhadap aku. Dan aku mengharapkan semoga kita akan terus berkawan selamanya.”

            “Wah baguslah kamu berdua sudah berkawan baik. Bersyukur aku pada Pencipta kita kerana telah makbulkan doaku dan sahabat kita semua di taman ini.” Ujar Kenanga mencelah.

            “Terima kasih Kenanga sudi mendoakannya. Aku telah melakukan kesilapan juga terhadap kau. Jadi kau maafkanlah aku. Lain kali aku tidak akan menyombong diri lagi. Aku baru sedar setiap kita ada kelebihannya. Seperti Kaktus aku menyangka dia tidak berbunga. Tapi bunganya yang  cantik hanya terbit pada musim panas.” Ujar Mawar memuji-muji kecantikan bunga Kaktus.

            “Baguslah kau sudah menyedari kesilapan kau selama ini. Kawan-kawan kita semua tentu amat bergembira dengan perubahan sikap kau. Dan semoga kita semua akan hidup aman sentosa dalam taman ini tanpa sengketa.” Ujar Kenanga dengan rasa gembira.

             


4 comments:

  1. Allahu Akbar!
    Kisah Sekuntum Mawar yang menginsafkan.
    Tahniah Kak PI, hasil karya yang sarat mesej dan pengajaran.

    ReplyDelete
  2. Banyak spesis seperti bunga mawar di dunia ini.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”