Wednesday, 23 August 2023

KEJUTAN CINTA

 ASSALAMUALAIKUM



KEJUTAN CINTA
.
Aku mendapat kenalan baru. Dia dan keluarganya baru saja berpindah ke kampung tempat tinggalku. Orangnya kacak. Kulitnya putih kemerahan persis orang Inggeris. Warna rambutnya keperangan. Tapi keturunan Melayu. Terpesona juga memandang ketampanannya. Tapi tidaklah sampai terjatuh hati. Aku hanya tenggelam dalam fikiran memikirkan kenapa lelaki itu berperawakan begitu. Berbangsa Melayu tapi rupa Inggeris. Pelik. Kehendak Allah apalah yang pelik. Tiada satu pun yang mustahil bagi Dia.
Kebetulan kami rakan sekerja. Dia rajin juga menegurku. Dari desas-desus rakan sepejabat berbisik, lelaki ini baru saja berputus tuning. Apa sebabnya, tidak kuasa aku mengambil tahu. Soal orang kenapa pula aku perlu mengambil kisah. Biarkanlah. Tapi keadaan menjadi sebaliknya kala lelaki itu mula berkawan baik denganku. Berkawan saja. Bukan ada apa-apa hubungan lain pun. Aku cuba menasihatinya agar menyambung semula ikatan pertunangan yang putus. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Lelaki itu hanya mencebik.
Terkejut aku tatkala menerima surat daripada tunangannya meminta aku mengembalikan tunangnya padanya. Eh. Bila pula aku mengambilnya? Aku kebingungan. Tertanya-tanya bagaimana dia tahu alamat rumahku? Pening memikirkannya. Barulah kuketahui kala aku bertanya pada lelaki itu.
Katanya dia telah memberitahu bekas tunangnya bahawa dia telah memilih aku menggantikannya. Jika dia ingin pastikannya cubalah hubungi aku. Ah sudah! Aku pula terbawa dalam persengketaan mereka. Mustahil padaku baru berkenal dua bulan dia begitu cepat melupakan kisah lamanya dan beralih kasihnya padaku pula. Barangkali hanya drama rekayasanya.
Alhamdulillah aku mendapat tawaran bertukar ke pejabat cawangan di tempat baru. Aku tinggalkan pejabat lama dan kenangannya. Setelah sebulan bekerja di pejabat baru, aku pulang ke kampung untuk menghadiri perkahwinan sahabatku. Rakan sekerjaku di pejabat lama. Rupanya pasangannya ialah lelaki itu. Perpisahan walau sebentar telah melunturkan cintanya padaku. Mujur juga aku tidak mencintainya sedikit pun.

4 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”