Wednesday, 3 May 2023

MAKMUM SAF KE1

 ASSALAMUALAIKUM

 


----------

MAKMUM DI SAF KE-1

 

Aku tertolak ke saf pertama di solat Subuh di masjid itu

tidak layak aku di situ

kiri kanan orang alim-alim belaka

mereka berjubah putih panjang dan berserban

sekurang-kurangnya berpelikat baharu dan bersongkok putih

pakaian dan badan harum baunya disembur pewangi dari Mekah

tidak layak di situ aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah.

 

Makmum di kiri kananku alm-alim belaka

amat bersistem duduk dan geraknya

tidak bangkit mereka untuk bersolat sebelum bilal berqamat menyebut "Hai ya alas solat"

tidak bergerak tunduk rukuk sebelum imam sempurna di kedudukan rukuk

dari berdiri tegak tidak mereka bergerak sebelum dahi imam sempurna duduknya di sejadah

memang tidak bergerak mereka mengikut gerakan imam

sebelum imam sudah sempurna tiba di sesuatu kedudukan

lamanya sujud akhir mereka sehingga kusangka mereka telah terlelap tidur

tidak memberi salam kanan mereka, sebelum imam selesai salam kirinya.

 

Selesai solat mereka tidak bergegas bangun tetapi tekal di kedudukan

bersama imam berzikir hingga tamat mengamimkan doa imam di akhir lantas disalam tangan imam.

 

Selesai segala-galanya, aku berdoa:

"Ya Allah, tumpangkan aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah ini

bersama-sama mereka apabila kelak mereka ke syurga dan aku di tahan nanti."

 

Selesai solat begegas aku ke kedai Mamak menikmati sarapan

sekeping roti canai dan segelas teh tarik panas kupesan

datang orang-orang dari saf pertama solat Subuh di masjid tadi

mereka berjubah putih panjang dan berserban, sekurang-kurangnya bepelikat baharu dan bersongkok putih

pakaian dan badan harum baunya disembur pewangi dari Mekah

duduk semeja dengan aku yang ber-Tshirt tanpa kolar, seluar jean ketat, dan rambut terdedah

makan juga mereka setiap seorang roti canai sekeping dan teh tarik panas segelas.

 

Selesai makan aku ke kaunter dan aku bayarkan makanan untuk semua

tersentak mereka lalu mereka ramai-ramai berdoa

"Ya Allah, tumpangkan kami bersama-sama lelaki ini yang ikhlas sedekahnya

apabila kelak dia diusung masuk ke syurga dan kami ditahan nanti."

 

Terpinga-pinga aku.

 

Kuala Lumpur, 24.01.2017.

 

(Sajak ini dipetik dari buku kumpulan sajak "AM Ke PM", Kuala Lumpur, eSastera Enterprise, 2020).

 

ULASAN  SAJAK MAKMUM DI SAF KE1

Oleh Paridah Ishak

 

“MAKMUM DI SAF KE1” sebuah puisi sajak genre prosa yang menarik. Penulis membina puisi ini secara bersahaja 53 larik bersambung. Ada  perenggan yang melukiskan sesuatu kisah.  

Amat mudah memahami maksud pengkarya justeru ditulis seolah anekdot menceritakan pengalamannya yang ironi. Tapi tiada menggunakan tanda baca persis kebiasaannya sebuah puisi prosa.

“Puisi prosa juga sebenarnya sudah wujud dalam banyak budaya di seluruh dunia. Di Jepun, prosa dalam puisi menjejaki akarnya sejak abad ke-17.”

-     Petikan artikel Dr Saleh Rahamad Dewan Sastera Jendela DBP.my March 022

Meneliti sajak ini tidak menyusahkan pembaca menikmatinya kerana susunan diksi pilihan  bahasa Melayu standard digunakan seharian. Penulis sajak ini berjaya mengemukakan maksud menjadi intipati sajak tanpa menggunakan diksi puitis, bombastik, simbol, perlambangan, personafikasi, bahasa Melayu klasik dll unsur puisi yang sering dipetik penulis untuk mengindahkan sajaknya.

      Ungkapan sajak ini mencitrakan situasi Penulis teruja berada di saf pertama barisan jemaah bersolat subuh walau sebenarnya Penulis tertolak ke situ. Penulis amat mengagumi makmum di saf 1 kerana kelihatan berilmu, zuhud, alim dan tertib beribadah. Terasa dirinya teramat kerdil lantaran tidak persis mereka yang bersolat di saf pertama yang memperagakan busana Islam sempurna.

      Lantas beliau berdoa semoga kelebihan mereka mampu menampung kekurangannya andai tertahan ketika ke syurga kelak.

      Setelah usai bersolat Penulis bersarapan di kedai mamak. Turut bersarapan di situ makmum yang bersolat bersamanya di saf ke1. Penulis membayar harga sarapan semua kenalan barunya, makmum sah ke1.

Penulis terpinga-pinga apabila mendengar makmum ke1 mendoakan semoga baik budi dan keikhlasan Penulis mampu membawa mereka ke syurga seandainya tertahan kelak.

Kejadian ironi mengejutkan Penulis seakan hijab pengertian ikhlas itu tersingkap luas. Penulis secara bersahaja berdakwah menekankan nilai murni keikhlasan melakukan ibadah Islam syumul maha penting walau sekadar melakukan kebajikan kecil sekadar kemampuan dan tidak terlalu berlebih-lebihan.

      Sajak ini keseluruhannya digarap dengan sempurna. Maksud hendak disampaikan Penulis ternyata berkesan menyentuh perasaan. Membuat pembaca merenung akan kebenarannya. Cuma ada sedikit kesilapan kecil ejaan. Mungkin kerana masalah teknikal.  

1. alm-alim - alim

2. . "Hai ya alas solat" - solah

3. Subuh – subuh

4. Bepelikat – berpelikat; tiada dalam kamus Dewan

Walau puisi sajak luahan hati Penulisnya bebas tanpa pola namun masih terikat dengan struktur ejaan yang tepat.  


5 comments:

  1. Sajak yang sangat puitis

    ReplyDelete
  2. amat mendalam sekali bait2 puisi ini sehinggakan abe kie baca n hayati sampai habis!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh cikgu ya sajak karya Prof Irwan Abu Bakar mmg terbaik

      Delete
  3. bait bait nya.... fuhhhhh puitis sungguh!👍👍👍👍

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”