Friday, 27 January 2023

SURAH 2: AL BAQARAH (LEMBU BETINA) AYAT: 43 - 48

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA




 PONDOK DARUL ULOOM, KAMPUNG LAK LOK, JERTIH, BESUT.

Setiap tahun Daurah Tafsir akan diadakan mulai 1 Syaaban hingga 20 Ramadan, Selama 50 hari. Tahun ini Insya Allah akan diadakan pada 22 Febuari 2023 hingga 11 April 2023.
Melihat poster ini, aku bagai melihat kenangan ketika menghadiri Daurah Tafsir Al Quran Bersanad 30 juzuk. Sempat ikuti tiga tahun berturut-turut 2017, 2018 dan 2019. Syukur Alhamdulilah tiga kali khatam.
Serak-serak basah suara mudir pondok Maulana Abdul Hadi menyampaikan tafsir ayat demi ayat, wahyu Allah tergiang-giang di telinga.
Wajah-wajah sahabat syurga dalam kelas bergetayangan di ruang mata. Istimewa Sis Rahana Ab Rahim Kak Ani , Shuhailawati Ramli Wanrusliah Awang Rashidah Abd Rahim Kak Linda Ali dan lain-lain lagi.
Aku berusaha menyampaikan kembali ilmu yang kutadah dari Pondok Darul Uloom itu, sekadar mampu. Buat keluarga, jiran-jiranku, adik-beradik, saudara-mara dan sahabat-sahabat. Semoga terus mengalir jariah walaupun aku telah tiada nanti.
PERKONGSIAN ILMU:
SURAH 2: AL BAQARAH (LEMBU BETINA)
AYAT: 43 - 48
MUKA SURAT: 7
Ayat 43 – 45: Sifat-sifat terlalu cinta kepada pangkat dan harta benda dapat dirawat dengan solat dan sabar.
Ayat 43: Kalau rapat dengan Allah, tentu tidak berani untuk meninggalkan arahan-Nya. Caranya adalah dengan menghinakan diri di hadapan Allah dengan melakukan solat. Maka, falsafah solat itu adalah: meninggikan Allah dan menghinakan diri kita. Lihatlah kita merendahkan kepala kita dalam rukuk sama tinggi dengan binatang yang berkaki empat. Kemudian dalam sujud, kita merendahkan lagi kepala kita sehingga ke tanah, lagi rendah dari binatang. Seterusnya Allah perintahkan untuk keluarkan zakat. Ini termasuk dalam perkara adat – hubungan sesama manusia. Kalau solat tadi, hubungan dengan Allah ‎iaitu ibadat. Menunaikan zakat dapat mengurangkan rasa cinta kepada harta. Termasuk infak. Kita telah mengambil harta dari Allah ‎ dan kita kenalah memberikannya kepada orang lain, kerana ada bahagian orang lain di dalam harta kita. Ia bukan sepenuhnya harta kita. Allah ‎memberikan kita harta yang lebih supaya kita boleh salurkan kepada orang lain. Ayat ini juga mengajak ahli Kitab untuk bersama-sama mendirikan solat dengan orang Islam yang lain. Ini adalah rawatan kepada penyakit hasad dengki. Iaitu perasaan tidak suka ada orang yang lebih dari kita. Maka kenalah rukuk bersama-sama dengan orang lain. Supaya semasa berjemaah itu kita dapat merasakan yang diri kita sama dengan orang lain. Satu lagi pengajaran adalah sembahyang itu hendaklah dibuat di masjid atau surau bagi orang lelaki untuk mendapat 27 darjat. Kepada orang perempuan kalau solat di rumah sudah boleh dapat 27 darjat dengan solat sendiri di awal waktu. Mereka dapat pahala dengan membuat kerja rumah dan sebagainya. Sssungguhnya Allah itu Maha Adil.
Ayat 44: Celaan kepada sifat Pendeta Yahudi yang keempat. Iaitu Allah tegur mereka yang hanya pandai menyuruh orang lain belajar agama. Mereka mengaku yang Nabi Muhammad saw itu adalah seorang rasul dan membawa ajaran yang benar. Mereka suruh orang lain mengikut Nabi Muhammad saw tetapi mereka sendiri tidak mengikut Nabi Muhammad saw. Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka. Seseorang itu sepatutnya melakukan amar makruf dan nahi mungkar serta berusaha mengamalkan apa yang didakwahkan. llmu tafsir Al-Quran ini wajib dipelajari. Kalau hanya membaca sahaja Al-Quran tetapi tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Quran, kita tidak dapat beramal sebagaimana yang disarankan oleh Al-Quran.
Ayat 45: Sekarang Allah mengajar bagaimana cara berdoa. Pertamanya, kita kenalah bersabar dengan apa yang terjadi kepada kita. Kita kenalah sedar yang apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah dalam takdir Allah. Maka kita kenalah terima dengan redha dan rela. Ada satu lagi sabar yang penting, iaitu sabar dalam belajar. Kerana belajar itu bukanlah sesuatu yang mudah. Berapa ramai yang mulanya bersemangat untuk belajar tetapi lama kelamaan mereka tidak sanggup lagi hendak meneruskan. Ini memang dugaan dari syaitan yang tidak suka kita belajar. Jadi kita kena minta ilmu dengan Allah. Tetapi semasa kita meminta pertolongan itu, kita juga ada melakukan usaha kita sendiri. Bukanlah kita meminta pertolongan kepada seseorang, tetapi kita tidak melakukan apa-apa pun. Satu lagi sabar yang penting adalah sabar dari menceritakan kepada makhluk tentang masalah yang dihadapi. Jangan hendak cerita sangat masalah kepada manusia, sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah. Kerana Allah ‎ akan membantu kita, bukannya orang. Letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah. Dalam ayat ini, Allah ‎mengajar kita cara untuk mendapatkan pertolongan, dan salah satunya adalah dengan melakukan solat. Dan sifat sabar dan solat ini adalah sangat berat untuk diamalkan. Kecuali kepada mereka yang ada sifat ‘khusyuk’. Khusyuk bermaksud orang yang takut dan patuh kepada Allah.
Ayat 46: Allah ‎memberitahu apakah definisi orang yang khusyuk. Orang yang khusyuk adalah mereka yang sentiasa yakin yang mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka di akhirat. Mereka sentiasa sedar yang apa sahaja yang terjadi sekarang di dunia adalah bersifat sementara sahaja. Mereka yang ada sifat khusyuk itu tahu yang mereka akan dikembalikan kepada Tuhan untuk menerima balasan. Mereka akan menerima balasan baik dari kesabaran dan amalan mereka yang baik. Maka kita semua ada peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat. Asalkan kita ada pemahaman ini dan sentiasa latih diri kita untuk ingat tentangnya. Ketika solat, bukannya tidak dengar langsung apa berlaku, tetapi kita lebih mementingkan solat kita. Apa-apa sahaja yang berlaku di luar solat, kita buat tidak tahu.
Ayat 47: Allah ‎memperingatkan kepada Bani Israil zaman Nabi dan juga zaman sekarang, tentang segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Allah ‎menyeru kepada semua sekali golongan bani Israil, dengan gelaran yang dihormati. Allah hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dialah yang memberikan segala nikmat dan kelebihan itu kepada mereka. Allah ‎ menekankan dalam ayat ini kerana bangsa Bani Israil sangka yang mereka dapat segala kelebihan itu kerana mereka bangsa terpilih. Allah ‎beritahu fahaman itu tidak benar. Bukan mereka mendapat kelebihan itu kerana diri mereka tetapi kerana Allah yang pilih. Dan Allah boleh sahaja mengambil balik kelebihan yang telah diberikan kepada mereka itu dan boleh diberikan kepada orang lain. Galakan ini diberikan supaya mereka cepat-cepat beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Jangan berdolak-dalih lagi.
Allah beritahu dalam Surah Ali Imran, Ayat 110, yang bermaksud: "Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”
Maka jangan kita sangka mereka itu mulia zaman berzaman. Kalau zaman sekarang mereka sudah menjadi hina.
Ayat 48: TAKHWIF / ANCAMAN UKHRAWI - Tiada syafaat qahriyah (syafaat kasih sayang) Ayat ini diberikan supaya mereka menjadi takut dan supaya mereka cepat-cepat beriman kepada Nabi Muhammad dan kepada Al-Qur’an. Setelah dipujuk namun masih degil lagi, maka ajakan telah menjadi sedikit keras dengan diberikan dengan ancaman. Allah ‎mengingatkan yang dunia ini sementara sahaja. Semua orang akan mati akhirnya. Sebelum ini Allah sudah memerintahkan untuk takut kepada-Nya. Tetapi mereka tidak takut kepada-Nya. Takutlah kepada Hari Kiamat nanti. Pada hari itu tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan orang lain. Para Nabi mereka tidak akan dapat selamatkan mereka. Syafaat dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah ‘syafaat kasih sayang’ (Syafaat Qahriyah). Maka, orang yang disayangi oleh Allah ‎seperti malaikat, Nabi dan wali-wali tidak boleh memohon kepada Allah ‎untuk menyelamatkan seseorang. Bani Israil sangka mereka akan diberikan syafaat kerana mereka sangka mereka adalah bangsa terpilih. Tetapi Allah ‎berkata, tidak . Begitu juga kita, umat Nabi Muhammad SAW, bukan semua akan mendapat syafaat. Tidak ada cara untuk melepaskan diri. Mereka yang berdosa akan menawarkan keluarga mereka nanti. Contohnya, mereka akan menawarkan supaya emak mereka dimasukkan ke dalam neraka asalkan mereka boleh masuk syurga. Begitu sekali mereka akan buat. Tidak ada harapan langsung pada waktu itu lagi. Melainkan kalau mendapat bantuan dari Allah ‎sendiri. Yang kita boleh harapkan hanya amalan kita semasa di dunia dan iman kita.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”