Friday, 6 January 2023

ALHAMDULILLAH REZEKI AWAL TAHUN 2023

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

SAYEMBARA CERTOT TAHUN BAHARU GAKSA ESASTERA



PI baru ni menyertai sayembara certot tahun baharu anjuran GAKSA ESASTERA...Alhamdulillah dipilih tempat kedua...terima kasih banyak Prof Irwan dan para juri sudi pilih certot PI antara pemenang. 

Ulasan Hakim

Bismillah … berikut adalah ulasan ringkas setiap cerpen;

1. Tahun Baru Tuan Ghuf – Moh Ghufron Cholid

Mengisahkan tentang kehilangan anak pada tahun baharu. Segala kenangan silih berganti sejak mula berkahwin. Pada mula aku seolah-olah tidak dapat menerima kehilangan anak itu. Namun akhirnya pasrah dan memulakan hidup baru pada tahun baharu.

Cerita ini lebih kepada luahan perasaan atau untuk menceritakan Kembali segala kenangannya. Konflik yang diharapkan iaitu tentang kesedihan tidak cukup menyentuh perasaan. Penggunaan puisi seolah-olah terpisah daripada jalinan cerita hanya ulangan kepada segala yang telah berlaku. Markah 51/100

2. Anwar Ibrahim: PMX Malaysia – Kablam22

Catatan aku tentang PMX atau Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.  Aku mengharapkan ada ruang dan peluang kepada PMX agar dapat memajukan negara. Segala tohmahan lalu perlu dilupakan. Rakyat terutama aku perlu ada wawasan untuk memajukan diri pada setiap tahun baharu.

Konflik sangat penting dalam sesebuah cerita. Jadi perkara itu perlu difikirkan oleh penulis untuk masukkan dalam sesebuah certot, dan bukan sekadar memberi pendapat dan harapan beliau tentang PMX yang baharu. Markah 50/100

3. Dilema Isteri Peneroka -Paridah Ishak

Safura seorang janda yang melihat rakannya gembira apabila berkahwin dengan seorang duda peneroka Felda. Kedatangannya ke rumah makcik pada tahun baharu hanya berakhir dengan angan-angan. Ibu saudaranya menasihatinya agar tidak meneruskan hajat untuk berkahwin dengan duda peneroka kerana akan timbul masalah belakangan nanti.

Cerpen adalah sebuah cerita yang membiarkan pembaca mendapat manfaat melalui karangannya. Segala yang hendak disampaikan terutama tentang tahun baharu dan juga mencari suami baru disampaikan dengan berkesan dan menarik. Untuk lebih menyengat kisah ini perlu tampilkan saspens atau twist plot. Markah 78/100

4. Jodoh – Hamimah Ibrahim

Seri telah kematian suari, begitu juga dengan Rasyid yang telah kematian isteri. Mereka bertemu dan jatuh cinta semula. Namun hajat Seri itu dihalang oleh anak-anak kecuali anak bongsunya. Di sebelah pihak Rasyid pula semuanya berjalan dengan lancar dan mendapat dukungan daripada anak-anak. Seri mengharapkan tahun baharu memberi sinar kepadanya agar bertemu dengan jodoh itu.

Kisah pertemuan semula dengan kekasih lama sudah sering didendangkan oleh penulis. Tambahan pula setelah kematian pasangan masing-masing kemudian mahu bersama tetapi ada halangan daripada anak-anak. Agak klise. Namun aspek klise ini sepatutnya boleh ‘dicantikkan’ dengan teknik plot atau unsur saspens dan ‘twist plot’. Tetapi dalam kisah itu perkara tersebut tidak dilakukan oleh penulis. Markah 62/100

5. Janji Patin Tempoyak – CT Nurza

Sitie menetapkan azam untuk menunaikan janji kepada kawannya iaitu mengirim ikan patin dar sungai Pahang. Daripada perbualan itu, Sitie berasa bangga dengan kejayaan kawannya dalam bidang penulisan. Jadi pada tahun baharu Sitie juga mahu tekun berkarya menghasilkan karya yang berimpak tinggi.

Kisah ini perlukan teknik cerita yang lebih mantap. Hal ini kerana tiada klimaks dan saspens untuk dipersembahkan kepada pembaca. Lebih kepada hanya sebuah catatan untuk diingatkan oleh diri sendiri. Sedangkan gaya bahasa yang digunakan sangat baik. Markah 53/100

6. Sanah Helwah Adikku Sayang – Noorlaila Ghafar

Mengisahkan hubungan adik-beradik yang sangat erat sejak daripada kecil hingga dewasa. Walaupun hidup berjauhan dan sudah mempunyai keluarga masing-masing hubungan yang erat berkat didikan dan asuhan ibu bapa menjadikan hubungan mereka terus kukuh.

Kisah kekeluargaan yang menarik. Walaupun sudah biasa atau klise dengan cerita-cerita sebegini namun, teknik penceritaan yang digarap (imbas kembali dan suspens) menjadikan kisah ini berbekas di sanubari. Cuma penulis perlu peka tentang fakta (penggunaan vacum pada tahun 1971 di masjid?) begitu juga dengan beberapa ejaan perkataan dalam bahasa Arab. Markah 80/100

7. Dalam Kotak Ada Katak – Nuri Mas Nuri

Nilai persahabatan yang kukuh sangat bermakna apabila saling bantu-membantu. Kisah dua orang sahabat baik yang belajar di universiti. Syima menghadiahkan Qaira telefon bimbit untuk memudahkan sahabatnya itu belajar. Hari jadi Qaira yang jatuh pada tahun baharu itu sangat bermakna dengan hadiah itu. Telefon bimbit itu sudah lama diidaminya.

Teknik penceritaan yang lancar. Juga memberi kesan kepada pembacaan terutama dari aspek persahabatan yang akrab. Namun bagi sebuah certot kisah ini agak bertele. Isu atau topik yang hendak disampaikan oleh pencerita iaitu tentang banjir seolah-olah diabaikan dan tiada kesudahan. Markah 75/100.

8. Kisah Sarah Tiada Noktah setiap Tahun Baharu – Salmah Amir

Mengisahkan tenang seorang anak (Sarah) yang meninggal kerana kanser. Sarah anak yang baik meninggalkan segala harta kepada ibu bapa. Didikan yang baik daripada ibu bapa terhadap anak-anak akan kembali kepada ibu bapa hasilnya.

Sebuah kisah (kenangan) yang mendatar iaitu hanya bercerita tentang didikan ibu bapa kepada anak yang hasilnya anak tersebut membalas semua jasa tersebut. Tiada aspek atau teknik yang menarik, walaupun kisahnya boleh memberi pengajaran kepada pembaca. Terdapat kesalahan ejaan yang perlu diperbaiki (mengganggu kelancaran pembacaan). Markah 66/100

9. Angin Tahun Baharu – Abdul Jalal HM

Kisah aku dan seorang anak muda (Leo) yang berbual tentang kehidupan. Kebayakan kehidupan anak muda di Tangerang agak sukar kerana terpaksa bersaing untuk mendapat pekerjaan yang sedikit. Kemudian fokus cerita mula bercampur-campur iaitu berubah tentang penulisan, sayembara, peniaga dan lain-lain hingga hilang isu utama yang hendak disampaikan.

Penulis lebih kepada melaporkan kejadian dan bukan bercerita (cerpen). Walaupun kisah ini menarik, namun aspek sastera dari segi plot (longgar) mengganggu pembacaan.  Markah 60/100

Kesimpulan

Dalam aspek penulisan terutama cerita (dalam hal ini certot) perkara penting seperti aspek sastera tidak boleh diabaikan. Plot cerita seperti permulaan, perkembangan, klimaks, konflik dan peleraian perlu kemas dan kuat. Untuk certot iaitu cerita pendek fokus atau subjek cerita perlu ringkas atau satu perkara sahaja. Jika terlalu banyak perkara hendak dikisahkan maka, fokus atau tumpuan cerita itu akan terjejas (mengganggu pembacaan). Begitu juga dengan gaya bahasa. Selalunya cerita yang menarik akan hadir bersama bahasa yang indah (tiada kesalahan, mudah difahami, kosa kata luas dan sebagainya). Dalam hal ini kesemua certot adalah baik (memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu tahun baharu) namun, yang menang adalah lebih baik dan menarik pada pandangan mata penilai. Moga bermanfaat.

Pemenang

1. Sanah Helwah Adikku Sayang – Noorlaila Ghafar (RM300).

2. Dilema Isteri Peneroka -Paridah Ishak (RM200).

3. Dalam Kotak Ada Katak – Nuri Mas Nuri (RM100).

Disediakan:

5.01.2023.

Tahniah kepada para pemenang. Untuk yang tidak berjaya, cuba lagi dalam sayembara-sayembara ESVA yanag akan datang.

6 comments:

  1. Tahniah puan.. Teruskan lagi usaha.

    ReplyDelete
  2. Wah tahniah sebab berjaya di tempat kedua! Teruskan usaha manatahu next time boleh jadi tempat pertama


    Saintis Sedang Berusaha Membekukan Najis Kerana Berjuta-Juta Mikrob dalam Usus Anda Diambang Kepupusan

    ReplyDelete
  3. terima kasih sudi hadir insyaAllah

    ReplyDelete
  4. Tahniah kak PI. Moga lepas ni dapat nombor satu plak. Saya setuju, cerpen kalau ada plot twist lagi menarik

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”