Thursday, 15 December 2022

SURAH 2: AL-BAQARAH MUKA SURAT: 4 . AYAT: 17 - 20

 ASSALAMUALAIKUM



“Summum bukmun ‘umyun fahum laayarji’uun…” Saat aku membaca ayat 18, surah Al-Baqarah ini kenangan mengimbau zaman remaja.

“Ayat ini dulu-dulu baca untuk halau anjing, hahaha…..”

“Ya, betul kak.” Adikku Nor Raudah Hj Siren dan Nor Azwanah serentak mencelah.

“Kalau nampak anjing cepat-cepat baca ayat ni. Takut anjing kejar. Hahaha…” Adikku Norsobah Siren turut ketawa.

Aku membaca tulisan CT Nurza di ruang sembang: Siti pun macam tu zaman budak-budak.

“Tak boleh ke baca ayat ni, kalau kita nampak anjing atau orang-orang yang mencurigakan, seperti peragut?” Puan Rosiah pula melontar tanya.

“Ayat-ayat Al-Quran tidak boleh digunakan sesuka hati. Boleh digunakan jika ada dalil daripada riwayat sahih. Cuba tengok makna ayat ini: Mereka tuli, bisu dan buta… Allah memberi tahu orang-orang yang degil tidak mahu terima Al-Quran sepenuhnya, mereka sebenarnya tidak mahu - mendengar, berkata dan melihat kebenaran. Jadi tak ada kaitan pun untuk halau anjing ...” Jawabku panjang lebar.

PERKONGSIAN ILMU:
SURAH 2: AL-BAQARAH
MUKA SURAT: 4 . AYAT: 17 - 20

Ayat 17 – 20: PERUMPAMAAN ORANG-ORANG MUNAFIK.

Ayat 17: Allah beri perbandingan dan contoh bagaimana keadaan orang yang ‘kafir degil’ itu. Allah banyak beri pengajaran dalam bentuk bandingan kerana kita lebih senang faham kalau ada bandingan. Orang yang menyalakan api itu adalah isyarat kepada Nabi Muhammad saw. ‘Api’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ayat-ayat Al-Qur’an’ kerana sebagaimana api menerangi kegelapan, cahaya Al-Qur’an juga menerangi kegelapan syirik. Ianya juga mengandungi dalil-dalil Al-Qur’an tentang Islam. Maka Nabi Muhammad telah menyampaikan cahaya wahyu kepada manusia. Beberapa orang lelaki duduk mendengar dakwah Nabi. Dan kerana Surah Al-Baqarah ini adalah Surah Madaniyyah, maka ia juga merujuk kepada golongan kafir degil yang ada di Madinah: Golongan Yahudi. Sepatutnya mereka dapat cahaya itu, tapi Allah tarik daripada mereka disebabkan oleh kedegilan mereka. Apabila Allah tarik cahaya wahyu itu dari mereka, kesan kepada mereka adalah mereka terbiar dalam kegelapan. Dan kegelapan itu adalah syirik kufur. Mereka tidak dapat melihat bahawasanya mereka sedang duduk dalam syirik kufur.

Ayat 18: Mereka seolah-olah orang yang pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran). Telinga mereka masih boleh lagi mendengar, tapi mereka tidak boleh mendengar kebenaran.
Mereka ada mulut dan boleh bercakap tapi mereka tidak bercakap tentang kebenaran. Mata mereka masih boleh nampak lagi, tapi mereka tidak boleh nampak kebenaran. Walaupun kebenaran itu ditunjuk di hadapan mereka. Tapi mereka tidak mampu memahaminya dan menerimanya.
Ketiga-tiga cara (pendengaran, percakapan dan penglihatan) untuk mendapat ilmu telah dihilangkan dari mereka. Mereka tidak akan dapat kembali kepada jalan tauhid. Kerana mereka telah kehilangan tiga-tiga pancaindera itu, mereka tidak ada peluang. Allah sudah kunci mati hati mereka dari kebenaran.

Ayat 19: Dalam ayat ini, air hujan itu adalah isyarat kepada wahyu Allah. Awan yang tebal dan gelap menutup cahaya matahari. Apabila awan tebal, suasana pun jadi gelap. Yang dimaksudkan dengan ‘kegelapan’ adalah akidah syirik, amalan-amalan dan ilmu-ilmu salah yang mereka lakukan, diisyaratkan dalam ayat ini dalam bentuk kegelapan. Sebelum turun hujan, mula-mulanya suasana gelap, selepas itu bunyi guruh, dan kemudian petir. Lepas petir baru hujan. Guruh adalah ancaman-ancaman tentang syirik kepada Allah. Kilat adalah yang cahaya yang menerangi, iaitu dalil-dalil dari Allah tentang pentingnya beriman penuh kepada Dia. Cahaya itu yang boleh menunjukkan jalan. Ianya adalah ‘hujah’ dan ‘bukti’ dari Allah tentang betapa jelasnya kesalahan dalam perbuatan dan fahaman syirik itu dan betapa nikmatnya tauhid. Seperti cahaya kilat yang datang, semua akan cerah sahaja. Teta[I apabila mendengar guruh dan petir, mereka sangat takut sampai kalau boleh mereka nak masuk ‘semua’ jari-jari mereka ke dalam telinga. Ia adalah bahasa kiasan. Kerana mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Tapi ini bermakna, mata mereka sepatutnya masih nampak lagi. Tapi mereka buat tak nampak. Mata pun mereka akan tutup juga. Ini adalah isyaraat kepada mereka tak mahu dengar ancaman dan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadis. Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa mereka itu kafir sebenarnya. Perkataan kafir yang digunakan oleh Allah dalam hujung ayat ini.

Ayat 20: Ayat ini bermaksud, hampir-hampir hujah Al-Qur’an itu menghairankan mereka dan memberi kesan kepada mereka. Hampir-hampir hujah itu mereka nak terima kerana hujah itu memang sudah benar dan tidak boleh ditolak oleh akal yang sihat. Tapi orang munafik walaupun jelas macam mana pun, mereka tak mahu terima juga.‘Menyinari’ itu bermaksud apabila mereka nampak keuntungan dunia, mereka akan ikut agama. Contohnya mereka boleh dapat duit zakat, harta ghanimah rampasan perang dan sebagainya. Mereka pergi solat berjemaah supaya mereka dilihat sebagai orang Islam sahaja. Sebab itu Nabi kata orang munafik berat untuk datang solat Subuh dan Isyak kerana waktu itu suasana gelap jadi tidak ada orang nampak. Jadi, bila suasana gelap, bolehlah mereka buat alasan tak datang, kerana mereka datang waktu boleh dilihat sahaja. Apabila ada kepentingan, terus mereka berlari untuk mendapatkannya. Jika ada hukum-hukum agama yang menguntungkan mereka, mereka akan ikut. Tapi apabila mereka lihat agama Islam itu menyusahkan mereka, mereka tak mahu ikut. Orang munafik, semasa terang sekejap itu yang mereka berlari. Allah boleh hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka terus bagi mereka terus jadi pekak dan bisu semasa di dunia lagi. Tapi Allah biarkan mereka ada alat pancaindera yang lengkap supaya mereka tak boleh jadikan alasan yang mereka di dunia dulu kerana pancaindera mereka tidak lengkap. Golongan munafik, luaran mereka menunjukkan mereka Muslim, tapi dalaman mereka tidak


3 comments:

  1. oh ya ke boleh halau anjing...insya allah nnt sy cuba

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas perkongsian.

    ReplyDelete
  3. sebaik2 pendinding diri dari syaitan yg direjam ialah ayat2 suci Al-Quran..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”