Saturday, 5 November 2022

SENI TAKDIR

 

ASSALAMUALAIKUM



ULASAN BUKU

Judul: SENI TAKDIR

Genre : Novel

Penulis : Hamizun Shah

Penerbit : KOPEN/Public Press(Kedah) Sdn Bhd

ISBN 983-40055-0--04

Bilangan mukasurat : 277

Pengulas : Paridah Ishak

 

Novel SENI TAKDIR karya sasterawan terkenal dari Kedah ini diterbitkan pada tahun 1997. Membicarakan tema yang agak luar biasa berbanding usia penulisnya ketika itu masih muda. Tapi berjaya menyingkap tabir ruang pembaca menelusuri cerita yang terkandung dalam jeriji wad pesakit yang terperangkap dalam masalah kecelaruan fikiran atau gila.

Watak-watak utama dikemukakan penulis agak ramai disamping watak yang wujud menyebabkan watak utama yang dilahirkan normal menyantuni kehidupan dengan status berbeza, berubah menjadi gila. Dan sentiasa berhalusinasi. Mereka semuanya wanita pelbagai ras dan agama.

Penulis memperkenalkan Siti Hawa, Helna Nadira, Witri Amira, Wei Wei. Kemudian memunculkan Nurul Atikah, E Wang, Shammila, Rajamani, Azlina. Mas Idayu Rozililawati dimasukkan dalam bab pertengahan penceritaan.

Siti Hawa dinamakan adik Awang kerana berambut pendek dan usianya masih muda oleh penghuni kamar pesakit. Witri Amira disebut Tiri, Helna Nadira dipanggil Nira, Nurul Atikah menjadi Kah Kah, E-Wang digelar Duit, Shammila ditukar Sampai Bila, Azlina jadi Taulena, Rajamani pula King dan Rozililiwati sebagai Roti.

Masing-masing sentiasa berhalusinasi. Bergelut dalam emosi tidak menentu dan meriuhkan suasana ruang kamar mereka dengan pelbagai aksi. Kadangkala mereka bergaduh dan bertengkar. Setiap watak membawa kisahnya tersendiri. Adakala bermenung, bersendiri dan tiba-tiba  menangis mengenangkan pengalaman keperihan hidup yang menyebabkan terlantar di situ. Kemudian tertawa pula kala teringatkan sesuatu yang menggembirakan.

Kisah semua watak digambarkan penulisnya penuh tragis dan tiada kesudahannya. Membuat pembaca turut kusut memikirkan sebab kemurungan fikiran lantaran tekanan emosi mampu menjerumuskan ke dalam kurungan pesakit jiwa. Kecuali watak Mas Idayu yang dikatakan gila semula jadi.

Siti Hawa seorang anak yang didera ibu tirinya akhirnya hilang dari kamar pesakit dan tidak diketahui samaada dia meninggal dunia setelah dibawa keluar para jururawat dari kamar itu.

Witri Amira seorang datin yang menghilangkan diri dari keluarganya yang kaya raya jesteru petualangannya mencurangi suaminya menekan jiwanya. Nurul Atikah kehilangan suami kecintaannya kerana dikelilingi politikus yang tamak kuasa menyebabkan kecelekaan suaminya. E-Wang gadis keturunan Thai ditinggalkan kekasih yang menodai kesuciannya. Tapi memeluk Islam setelah melahirkan anaknya. Namun sentiasa keliru samaada dia Buddha atau Islam. Rozililawati seorang peguam yang suka bersajak terperangkap di situ akibat kes yang ditangani menyebabkan yang didakwa membunuh diri. Peminat puisi sajak boleh juga menikmati sajak Roti di sini. Shammila anak seorang tokoh politik terkenal  pula hilang kewarasannya akibat sihir dihantar musuh politiknya.

Shammila dan Rajamani berkawan rapat. Mereka sebangsa. Keturunan India.

Kisah Rajamani amat meruntun rasa. Suaminya mencuranginya. Tidak mempedulikan keperluan hidupnya.  Anak-anaknya menemui ajal sebab mencampurkan racun tikus dalam makanan mereka.   Rumahnya terpaksa dibakar kerana kekasih anaknya yang dibunuh penjahat menggantung dirinya di alang rumahnya.

Selain pembaca merasai semua pengalaman watak-watak pilihan penulis, pembaca juga dapat turut berfikir tajuk yang diberikan kepada watak-watak bagaimanakah cara penguburan mayat yang terbaik masakini demi maslahat dan tidak membazirkan tanah yang boleh dimanfaatkan sebagai penempatan manusia.

Cubalah fikir! Sambil membaca novel ini yang juga sarat dengan makrifat Islam murni terungkap bersahaja namun bermakna. Reda dengan takdir-Nya yang dijatuhkan di lorong hidup masing-masing bertaklik dengan nasib.

Bahagian akhir Penulis memasukkan watak seorang pesakit jiwa yang tertinjau-tinjau keriuhan yang berlaku sebalik jeriji pesakit jiwa wanita kerana Taulena tidak mahu dibawa pulang ke rumah sepupunya. Lelaki itu ditegur pesakit jiwa dan bertanyakan masalahnya. Tanpa sedar dia memberitahu tentang keretanya pancit sedangkan dia perlu memberi ceramah motivasi sebuah seminar. Hendak diganti dengan tayar baharu skru pula tiada. Pesakit jiwa itu menyelesaikan masalah lelaki waras dengan memberi pendapatnya iaitu hanya dengan tiga skru di roda tayar mampu menggerakkan kereta hingga destinasi. Lelaki itu kembali ke kereta dan mengarahkan pembantunya membuka skru roda dan memasang pada tayar baharu.

Lelaki waras itu memuji pesakit jiwa bahawa idenya berhasil.

Jawab pesakit jiwa itu, "aku gila tapi tidak bodoh."

Heh heh.. 

Tahniah sasterawan Hamizun Syah

Sekiranya berminat memiliki buku ini untuk mengetahui idea bernas yang dilontarkan watak-watak dalam diskusi yang berseli emosi yang meronai ruang kamar pesakit jiwa wanita ini hubungi novelis ini @facebook.

4 comments:

  1. Menarik ceritanya, tapi fikiran saya pun ikut kusut membayangkannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh ya amie kak yg baca pun rasa gitu heh heh

      Delete
  2. Rozililawati seorang peguam yang suka bersajak terperangkap di situ akibat kes yang ditangani menyebabkan yang didakwa membunuh diri.

    rasa kesian laa pula

    ReplyDelete
  3. Wah.. Dahsyat novelnya. Kalau saya baca, saya pun akan murung juga

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”