Sunday, 14 August 2022

TANAM SEMULA SAWIT

 

ASSALAMUALAIKUM

 


TANAM SEMULA SAWIT

 

Projek tanam semula sawit fasa kedua akan dimulakan tidak lama lagi kata jiranku, Kak Idah. Aku termenung mendengarnya. Terkenang tika tanaman sawit fasa pertama dahulu akan kesusahan kehidupan yang ditempuhi kerana kawan-kawan se blok membuat keputusan tidak mahu terima wang sara hidup bulanan diberi felda sehingga sawit mengeluarkan hasil kerana tidak mahu lagi berhutang dengan felda. Masing-masing berusaha mencari rezeki melakukan pelbagai pekerjaan dengan bersemangat sekali kerana kebanyakannya masih muda dan bertenaga.

Bagaimana dengan diriku? Aku kan sakit dan tidak berdaya. Bagaimana aku hendak menyara kehidupan dan menyekolahkan anak-anakku? Terpaksalah hidup seadanya berjimat cermat. Perbelanjaan sara hidup bergantung sepenuhnya pada simpanan yang dikorek setiap bulan di bank. Sering memikirkan cukupkah duit sedikit untuk melunaskan segala keperluan penting sehingga sawit yang baru ditanam mengeluarkan hasil? Duit simpanan dilabur dalam saham ASN. Kononnya mengharapkan dividennya setiap tahun menampung perbelanjaanku dan anak-anak.

Sekali ekonomi gawat pula, gara-gara George Soros memanipulasi mata wang Asia 1997. Harga saham ASN yang dibeli pada harga 1.60 RM seunit merudum pada 1.00RM kemudian turun lagi sehingga 50 sen seunit. Huh aku terjelepok. Aku sebenarnya suka membeli ASN pada akhir tahun sebelum akaun jual beli ditutup kerana dividennya akan dimasukkan pada awal tahun berikutnya. Sekiranya kulihat ada pertambahan nilai melebehi harga beli akan kupindahkan pula ke ASB.

Tapi nasib baik tidak menyebelahiku kali ini. Hendak dijual terlalu merugikan. Terpendamlah duitku di situ. Dari 1997 hingga 2020 sebelum terpaksa juga dijual kerana menjelaskan suatu urusan kewangan .   

Tanaman sawit fasa kedua belum kutandatangani penyerahan projek pada felda. Tapi seorang jiranku bertekad menanamnya sendiri. Benih sawit dibeli dari PPPTR untuk mempastikan kesuburan dan hasilnya kelak berbaloi. Setiap hari dia akan ke lot kebunnya menanam sawit secara beransur-ansur seluas 3.5 hektar. Walau usianya sudah 70-an namun daya usahanya seperti masih 40-an.

Kerajinan dan semangat generasi lama  mengagumkan. Amat sayangkan tanah seperti nyawa sendiri. Di hadapan rumah jiranku itu Jalur Gemilang sedang berkibaran meraikan jelang 31 Ogos Hari Kemerdekaan.

4 comments:

  1. Masyarakat FELDA sudah semakin senang sekarang, terutama apabila harga sawit mencanak baru2 ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh wp Alhamdulillah kalau beringat insyaAllah

      Delete
  2. harga kelansungan hidup semakin tinggi sekarang..sedih

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh AD xboleh nak kata apa dah tinggi yakmat belanjanya

      Delete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”