Friday, 1 July 2022

SURAH AN NISSA (WANITA) MUKA SURAT: 105 – 106. AYAT : 171 – 176

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA



PERKONGSIAN ILMU: SURAH AN NISSA (WANITA)
MUKA SURAT: 105 – 106. AYAT : 171 – 176
Walaupun hanya dua keluarga yang hadir, rutin mingguan majlis ilmu diteruskan juga. Amiru anak kelimaku memimpin bacaan al-Quran.
Aku melontarkan soalan-soalan kuiz, sebelum mentaddabur ayat-ayat yang telah dibaca. Berebut anak-anak dan cucu-cucu cuba menjawab. Satu jawapan yang betul dapat RM1.00..
Antara soalan-soalannya:
Sebutkan 5 mukjizat Nabi Isa as?
Sebutkan 5 benua di dunia?
Berapa peratus air yang meliputi dunia ini?
Apa yang terjadi kepada kaum Nabi Musa as yang melanggar larangan Allah menangkap ikan pada hari Sabtu?
Taddabur malam itu, bahagian terakhir surah An-Nissa. Alhamdulillah.
PERKONGSIAN ILMU: SURAH AN NISSA (WANITA)
MUKA SURAT: 105 – 106. AYAT : 171 – 176
Ayat 171 – 172: Nasihat kepada Ahli-ahli Kitab (Yahudi/ Nasoro) supaya jangan melampaui batas dan mengubah-ubah agama.
Ayat 171: Allah menempelak Nasoro yang bertuhankan Nabi Isa as. Sesungguhnya Al-Masih, Isa putra Maryam itu, adalah utusan Allah. Nabi Isa as seorang rasul. Baginda bukan Tuhan, bukan Juzuk dari Tuhan dan bukan anak Tuhan. Kejadian baginda daripada titahan atau kalimah Allah iaitu “KUN”. Allah berfirman, "Jadilah kamu," maka jadilah Nabi Isa as. Allah menciptakan Isa melalui kalimat perintah yang disampaikan oleh Malaikat Jibril daripada Allah kepada Maryam. Lalu Malaikat Jibril meniupkan roh ciptaan-Nya ke dalam tubuh Maryam. Maka jadilah Isa dengan izin Allah, kejadiannya tanpa melalui proses seorang ayah.
Maka Allah menyuruh orang-orang Nasoro supaya beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Janganlah menyatakan Tuhan itu tiga. Maksudnya, janganlah kalian membuat kedustaan terhadap-Nya dan menjadikan Allah ada isteri dan anak. Mahasuci Allah lagi Mahatinggi. Mahasuci lagi Maha Esa Zat Allah dalam sifat Keagungan dan Kebesaran-Nya. Tidak ada Tuhan selain DIA. Penciptaan Nabi Isa as di sisi Allah adalah seperti penciptaan Nabi Adam as daripada tanah, tanpa ibu dan tanpa bapa. Segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Semuanya adalah makhluk dan milik Allah, dan semua yang ada di antara keduanya adalah hamba-hamba-Nya, mereka berada dalam pengaturan dan kekuasaan-Nya. Dialah yang memelihara segala sesuatu,
Ayat 172: Nabi Isa as tidak bersalah, baginda mengakui menjadi hamba Allah, baginda menyembah Allah. Malaikat-malaikat yang terdekat dengan Allah, yang berada di sekitar Arasy juga menjadi hamba Allah. Antaranya malaikat Jibril, Mikail dan Israfil, mereka menyembah Allah. Barang siapa yang enggan menyembah-Nya dan menyombongkan diri, nanti Allah akan mengumpulkan mereka semua pada hari Kiamat. Dan Allah akan memutuskan di antara mereka dengan hukuman yang adil. Tiada siapa yang teraniaya dan tiada hukuman yang berat sebelah.
Ayat 173: Dalam ayat ini ada Tabshir dan ada Takhwif. Adapun orang-orang yang beriman sempurna dan berbuat amal saleh, Allah akan memberi mereka pahala. Amal saleh hanyalah amal yang ada contoh dan sunnah daripada Nabi Muhammad saw dan para sahabat. Allah memberikan tambahan kepada mereka kebaikan, anugerah dan rahmat. Orang-orang yang enggan dan menyombongkan diri, Allah akan menyiksa mereka dengan siksaan yang pedih, dan mereka tiada pelindung dan penolong selain dari Allah. Orang-orang yang menyombongkan diri, tidak mahu menyembah Allah akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.
Ayat 174: Ayat Targhib (ajakan) supaya mengikuti ajaran Nabi Muhammad saw. Allah berfirman, ditujukan kepada semua umat manusia dan sebagai pemberitahuan, bahawa sesungguhnya telah datang kepada mereka bukti kebenaran yang besar dari Allah, iaitu dalil yang pasti membantah semua alasan, dan hujah yang melenyapkan semua masalah. Iaitu dalil daripada Al-Quran yang terang dan jelas. Mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad saw.
Ayat 175: Tabshir: Berita gembira kepada orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada Al-Quran. Allah belas kasihan kepada mereka. Maka Allah memasukkan mereka ke dalam surga dan menambahkan kepada mereka pahala yang berlipat ganda; darjat mereka ditinggikan berkat karunia Allah. Allah menunjukkan jalan yang jelas, tujuan yang lurus, tidak ada bengkoknya dan tidak ada penyimpangan. Demikianlah gambaran tentang orang-orang mukmin di dunia dan akhirat. Di dunia mereka dipimpin berada di jalan yang lurus dan jalan keselamatan dalam semua akidah dan amal-amalnya. Sedangkan di akhirat berada pada jalan Allah yang lurus yang menghantarkan mereka ke taman-taman surga-Nya. Semoga Allah pilih kita.
Di dalam hadis Al-Haris Al-A'war, dari Ali ibnu Abu Talib Radhiyallahu Anhu, dari Nabi Muhammad saw disebutkan bahawa Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud: “Al-Quran adalah jalan Allah yang lurus dan tali Allah yang kuat.”
Ayat 176: Masalah Pusaka Kalalah.
Surah ini disudahi dengan ayat Umur Munazimah (undang-undang) kerana surah an-Nissa ini kebanyakannya tentang undang-undang dan hukum. Perkara tentang pembahagian harta telah disebut di awal dan di pertengahan surah ini. Disebutkan di banyak tempat, untuk mengingatkan manusia tentang kepentingan perkara ini.
Ayat ini adalah tentang kalalah. Kalalah maksudnya orang yang tiada waris yang dapat menerima harta pusaka peninggalannya kerana dia tidak mempunyai anak dan ibu bapa. Para sahabat pada waktu itu masih keliru lagi tentang pembahagian Harta Pusaka. Pembahagian harta pusaka telah disebut di awal surah ini, jadi ini adalah penjelasan tambahan. Pembaca Quran akan selalu mendapat peringatan. Ini kerana hal harta ini adalah perkara yang sering menjadi punca kezaliman di dalam masyarakat kita. Mereka tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada penerima. Maka Allah benar-benar menekankan hal ini di dalam al-Quran.
Dalam ayat ini disebut tidak mempunyai anak sahaja tetapi ia mewakili semua waris. Maknanya dia tidak ada langsung pewaris yang layak menerima harta faraid. Hanya ada adik-beradik sahaja.
(i)Kalau dia hanya mempunyai seorang adik beradik perempuan, maka adik-beradik perempuan itu akan mewarisi separuh daripada harta yang ditinggalkan. Dan yang separuh lagi diberikan kepada golongan yang dikategorikan sebagai waris terdekat kepada si mati iaitu anak saudara lelaki atau kaum kerabat sebelah lelaki sahaja. Mereka berhak mendapat kesemua baki harta.
(ii) Kalau yang meninggalkan harta itu pula adalah perempuan, dan dia mempunyai adik beradik lelaki, maka adik beradik lelaki itu akan mendapat kesemua hartanya.
(iii)Kalau yang meninggalkan harta itu mempunyai dua orang atau lebih adik beradik perempuan, mereka akan berkongsi 2/3 daripada harta-harta itu.
(iv)Kalau kombinasi adik beradik itu terdapat lelaki dan perempuan, maka kenalah bahagikan harta itu, lelaki mendapat dua kali ganda daripada bahagian perempuan.
Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Hukum pembahagian harta ini amatlah penting kerana kalau tersalah perkiraan, kemungkinan orang yang menerima harta pusaka itu dengan cara yang salah akan termakan benda yang haram dan tidak layak untuk masuk syurga.
Sekali lagi diingatkan yang pembahagian harta pusaka ini amatlah penting untuk diikuti. Ini kerana Allah ‎ telah memberikan penerangan dengan terperinci maka kita sebagai hambaNya mestilah merendahkan diri dan menerima pembahagian yang telah Allah tetapkan. Jangan ada langsung terdetik di dalam hati kita perasaan bahawa Allah tidak adil. Sesungguhnya Allah itu ALIMAN, Yang ‎ Maha Mengetahui. Kalau ada terambil mana-mana harta dengan cara yang salah, kalau manusia lain tidak tahu pun, tetapi ingatlah yang Allah ‎Maha Mengetahui.

3 comments:

  1. Terima kasih atas tazkirah ini. Selamat menyambut bulan Zulhijjah..

    ReplyDelete
  2. ini merupakan amalan yang bagus

    ReplyDelete
  3. Bagus perhimpunan keluarga kak PI.. tadabbur al quran.. terima kasih perkongsian.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”