Wednesday, 29 June 2022

FAKTA MAYA

 ASSALAMUALAIKUM



FAKTA MAYA

.

Konon kata

jelas auta

bukan benar

pusing nanar

.

Biar saja

buat kerja

walau tular

belang ular

.

Dalam selut

belut kalut

nafas sesak

insang rosak

.

Semak akta

karya dusta

mesti tangkap

kurung lokap



PARIDAH ISHAK

DMS

2906022

Monday, 27 June 2022

SI BUNCIT YANG RAMPING

 

ASSALAMUALAIKUM

Jom pakat beli majalah Dewan Pelajar edisi July 022 untuk anak-anak, cucu-cucu. Banyak ilmu tarbiah generasi baru dll akan diperolehi sekiranya menelaahnya. Alhamdulillah karya cerita rakyat olahan PI SI BUNCIT YANG RAMPING turut disiar. Terima kasih banyak editor DP sudi pilih karya PI yang seadanya saja.



Friday, 24 June 2022

SURAH AN-NISSA (WANITA) Muka surat: 103. Ayat 155-162.

ASSALAMUALAIKUM


 Syukur alhamdulillah, dalam keadaan kesihatanku yang masih "on - off" kerana jatuh. Allah tetap beri yang

terbaik
, anugerah kental jiwa. Perkongsian ilmu di rumah, setiap Rabu lepas maghrib dapat diteruskan.
Sirna segala kesakitan saat menatap wajah- wajah riang cucu-cucu yang hadir. Istimewa kehadiran cucu- cucuku Si Kembar Seiras. Menambah ceria suasana majlis ilmu, di ruang tamu.
Suaraku menyampaikan taddabur, berselang-seli tangisan cucu-cucu...
PERKONGSIAN ILMU:
SURAH AN-NISSA (WANITA)
Muka surat: 103. Ayat 155-162.
Ayat 155 – 161: Sebab-sebab Mengapa Yahudi dilaknat/ dihukum oleh Allah.
Ayat 155: Orang-orang Yahudi ingkar dari melaksanakan perjanjian. Mereka mengkufuri ayat-ayat Allah. Membunuh nabi-nabi seperti Nabi Yahya as dan Nabi Zakaria as. Mendakwa hati mereka tertutup, kerana itu mereka tidak beriman kecuali sebahagian kecil dari mereka.
Ayat 156: Dengan kata lain, hati mereka terbiasa dengan kekufuran, kezaliman, serta keimanan yang sangat sedikit. Orang-orang Yahudi menuduh Maryam dan putranya dengan tuduhan-tuduhan yang besar; Mereka menuduh Maryam telah berbuat zina karena mengandung. Semoga laknat Allah terus-menerus sampai hari kiamat menimpa mereka.
Ayat 157: Orang-orang Yahudi mendakwa, mereka telah membunuh Al-Masih, Isa putra Maryam, utusan Allah. Ucapan tersebut adalah sebagai cemuhan dan ejekan. Kisah sebenar: Ketika Allah mengutus Nabi Isa anak Maryam as dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan petunjuk, mereka dengki kepadanya karena baginda telah dianugerahi Allah kenabian dan berbagai macam mukjizat yang cemerlang. Antara mukjizatnya ialah dapat menyembuhkan orang yang buta, orang yang terkena penyakit sopak, dan menghidupkan kembali orang yang telah mati dengan izin Allah. Mukjizat lain, baginda membuat patung seekor burung daripada tanah liat, lalu ia meniupnya. Dengan izin Alllah, burung itu dapat terbang dengan disaksikan oleh mata kepala orang-orang yang melihatnya. Mukjizat-mukjizat itu dengan izin oleh Allah. Kerana gangguan orang-orang Yahudi, menyebabkan Nabi Isa as banyak mengembara, dan ibunya pun ikut mengembara bersamanya.
Orang-orang Yahudi datang berjumpa Raja Dimasyq (Damascus) di masa itu. Raja Dimasyq adalah seorang musyrik penyembah bintang, para pemeluk agamanya dikenal dengan sebutan pemeluk agama Yunani. Mereka membuat laporan palsu, bahawa di Baitul Maqdis terdapat seorang lelaki yang menghasut khalayak ramai, menyesatkan mereka, dan menganjurkan mereka agar memberontak kepada raja. Raja murka, lalu ia mengirimkan utusan kepada gabernornya yang ada di Baitul Maqdis. Baginda memerintahkan agar menangkap lelaki yang dimaksudkan, lalu menyalibnya. Si gabernor segera melaksanakan perintah itu, lalu ia berangkat bersama segolongan orang-orang Yahudi menuju ke sebuah rumah yang di dalamnya terdapat Nabi Isa as. Ketika itu Nabi Isa as bersama beberapa orang sahabatnya, seramai lebih kurang lebih tiga belas @ tujuh belas orang. Peristiwa itu berlaku pada hari Jumaat, selepas Asar. Mereka mengepung rumah tersebut. Nabi Isa as berkata kepada sahabat-sahabatnya, "Siapakakanh di antara kalian yang mahu diserupakan seperti diriku? Kelak dia akan menjadi temanku di surga." Seorang pemuda yang rela berperanan sebagai Nabi Isa. Setelah dua tiga kali, baginda mengulangi pertanyaannya, hanya pemuda itu yang sanggup. Maka Allah menjadikannya mirip seperti Nabi Isa as. Lalu terbukalah salah satu bahagian dari atap rumah itu, dan Nabi Isa as rasa kantuk yang sangat hingga tertidur, lalu baginda diangkat ke langit dalam keadaan demikian.
Setelah Nabi Isa diangkat ke langit, para sahabatnya keluar. Ketika mereka (pasukan yang hendak menangkap Nabi Isa) melihat pemuda itu, mereka menyangkanya sebagai Nabi Isa as, ketika itu hari telah malam. Lalu mereka menangkapnya dan menyalibnya serta mengalungkan duri-duri pada kepalanya. Orang-orang Yahudi menonjolkan dirinya bahawa merekalah yang telah berupaya menyalib Nabi Isa as dan mereka merasa bangga dengan hal tersebut. Beberapa golongan dari kalangan orang-orang Nasrani —karena kebodohan, mempercayai perkara tersebut. Kecuali mereka yang ada bersama Nabi Isa as. Mereka tidak mempercayainya karena menyaksikan dengan mata kepala sendiri Nabi Isa as diangkat ke langit. Mereka yang tidak bersama Nabi Isa as, mempercayai Nabi Isa as, disalib. Sehingga mereka menyebutkan suatu mitos yang mengatakan bahawa Maryam duduk di bawah orang yang disalib dan menangisinya.
Ayat 158: Ayat ini sebagai bantahan kepada orang-orang Yahudi, bahawa mereka telah membunuh Nabi Isa as. Allah telah menjelaskan dengan terang di dalam al Quran yang kepada Rasul-Nya yang mulia, Nabi Isa as telah diangkat ke sisi-NYA. Sesungguhnya Allah itu AZIZAN, Yang Maha Perkasa dengan keperkasaan yang tak terjangkau oleh siapa pun, dan orang yang dilindungi-Nya tiada yang dapat menyentuhnya. Allah juga HAKIMAN, Yang Maha Bijaksana. Allah Maha Bijaksana dalam semua takdir-Nya dan semua perkara yang diputuskan-Nya.
Ayat 159: Sahabat-sahabat Nabi Isa as yang telah beriman, mengakui baginda adalah rasulullah, bukan anak Allah. Tetapi apabila mereka mati, golongan kemudian berpecah-belah menjadi tiga golongan. Golongan pertama menganggap Nabi Isa as itu Tuhan. Golongan kedua menyatakan Nabi Isa as, anak Tuhan. Golongan ketiga menyatakan Nabi Isa as, hamba Allah dilantik menjadi pesuruh Allah. Mereka yang berkeyakinan demikian adalah orang-orang muslim. Kemudian dua golongan yang kafir itu memerangi golongan yang muslim dan membunuhnya, maka Islam dalam keadaan terpendam hingga Allah mengutus Nabi Muhammad as. Ini menunjukkan kepentingan SANAD dalam pengajian ILMU.
Ayat 160: Oleh kerana golongan Yahudi telah menghalang manusia dari jalan Allah dengan sembunyikan perkara yang sebenar dan putar belit ajaran sebenar, Allah hukum mereka. Mereka diharamkan untuk makan makanan yang halal sebelum ini, seperti unta. Di dunia mereka sudah dihukum, di akhirat mereka akan dihukum dengan azab yang pedih. Fahaman Nasrani konsep Triniti datang daripada Yahudi (Paul). Fahaman Syiah juga daripada Yahudi (Abdullah bin Saba).
Ayat 161: Allah sebut lagi kesalahan orang Yahudi, iaitu Makan Riba. Mereka dilarang memakan harta orang lain secara batil. Sama seperti agama Islam. Walaupun agama mereka mengharamkan riba, tetapi orang Yahudilah yang memulakan sistem perbankan yang mengamalkan riba. Kerana pelanggaran syariat ini, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Ayat 162: Ayat Tabsir: Khabar gembira kepada orang-orang Yahudi yang berilmu. Mereka beriman kepada Nabi Muhammad saw dan al-Quran. Mereka beriman dengan ilmu TAUHID dalam kitab-kitab terdahulu. Ilmu tauhid dari dulu hingga sekarang sama. Cuma yang berbeza ialah syariat, dari satu nabi ke satu nabi. Dan orang-orang yang selamat orang yang mendirikan solat, ibadah hubungan manusia dengan Allah. Membayar zakat, amal ibadah yang berhubung dengan manusia lain. Serta yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Maka orang-orang beriman ini, Allah beri pahala yang besar dengan masuk syurga dan kekal di dalamnya. Semoga Allah pilih kita.

Thursday, 23 June 2022

SUP MELETUP

 ASSALAMUALAIKUM


Alhamdulillah PI terima tiga buah naskhah, hadiah penulis mapan prolific sasterawan cikgu NURIMAS SN pada pertemuan di homestay Odelia Studio tika PI dan anakcucu kebetulan ke Kemaman pada awal Jun lalu. Langsung tidak menduga kakpidah dapat bertemu penulis ini bersama suri hatinya Puan Noraini Idris sudi hadir mengunjungi kakpidah diitu. Terima kasih banyak sahabat baik berbudi mulia kesudiannya. Didoakan semoga cikgu NURIMAS SN dan cikgu Noraini Idris dalam lindungan Allah bersama family tercinta, murah rezeki, dipermudahkan Allah semua urusan dunia akhirat…amiin
Buku pertama hadiah penulis wibawa ini pada PI; antologi BALADA ANGKA-ANGKA amat menarik nukilan 22 penulis terkenal tanah air, selenggaraan Mohamad Shukri Abu Samad penerbitan SNE. Puisi sajak bertema bebas digubah indah ilham luahan rasa penyair dalam antologi ini dengan pemilihan aksara menyusun diksi membawa maksud nyata dan tersirat.
Antologi cerpen MENGURAI IMPIAN ialah karya cerpen hasil nukilan 21 penulis ALUMNI AKADEMI SANGGAR NURIMAS selenggaraan NURIMAS SN dan EIZA NASHWA. Ternyata semua cerpen mengujakan ditelusuri hingga usai terbitan SNE merupakan buku kedua hadiah cikgu NURIMAS SN kepada PI
Dan SUP MELETUP buku ketiga hadiah cikgu NURIMAS SN merupakan himpunan 17 cerpen digarap pelbagai tema persoalan. Berfokus kepada perjalanan remaja pada bahagian pertama dan setelah mereka bekerjaya karya NURIMAS SN . Buku dengan cover yang kemas setebal 192 muka surat ini terbitan DBP
Tahniah semua penukil, penyelenggara, penerbit buku-buku berkenaan. Sekiranya teringin memiliki karya sastera berharga ini sebagai khazanah warisan, sila hubungi cikgu Nurimas SN@facebook.




Wednesday, 22 June 2022

DURIAN JERAI

 ASSALAMUALAIKUM


durian Jerai

dusun Kampung Ketapang

saing pilihan




Tuesday, 21 June 2022

RACUN

 ASSALAMUALAIKUM





RACUN

.

Rasa

asli enak

manis masin masam

selera bergabung dalam

usus

.

Tanpa

Sedar ia

bertukar menjadi

racun berbisa mendera

diri

.

Manis

kian pahit

justeru geruhnya

diabetis jangkitannya

kronik

.

Masin

biar tawar

moga darah

bacaannya normal

menghindar masalah tambah

sadis

.

Masam

cuka jeruk

hiris urat saraf

                                                                alzheimer selaru alpa

                                                                           lupa


                                                                  PARIDAH ISHAK

                                                                       DMS

                                                                   21/06/022                                                 

Monday, 20 June 2022

SEORANG BAPA

 KEPUTUSAN UJIKARYA LIMERIK



Pemenang Pertama
[01] ❤ LELAKI ITU (Seti Zaleha)
Lelaki itu hidup sendiri
membawa diri setiap hari
ingat kekasih
telah tersisih
hati kecewa memakan diri
Suatu hari dapat berita
dia terkedu tidak terkata
kekasih pulang
dihempap palang
benar terjadi di depan mata
Sehingga kini duduk menanti
kasih yang hilang datang berganti
hidup merana
sering dihina
hati merintih mohon simpati
Pemilihan tajuk yang sesuai dengan menujukan puisi limerik ini kepada seseorang yang tertentu. Bentuk puisi menepati patrun limerik dengan rima yang sesuai dan sempurna. Kuplet pendek yang sesuai dengan rumusan.
Frasa penegasan yang tepat untuk puisi limerik seperti *memakan diri di rangkap #1, *terjadi di depan mata di rangkap #2, dan *merintih mohon simpati di rangkap #3.
-----------------------------------------------------------------
Pemenang Kedua
[02] ❤ SEORANG BAPA (Paridah Ishak)
Sering bapa berkata padaku
rajin belajar membaca buku
ilmu dicari
bekalan diri
ocehan bapa daku terkaku
Ilmu dunia juga akhirat
walau di timur atau di barat
masa terluang
usah dibuang
termangu daku dengar tak larat
Pesan bapaku benar selalu
tidak peduli biar berlalu
terlambat sudah
menyesal padah
mengenang bapa sedih terlalu
Pemilihan tajuk yang sesuai selari dengan jalan cerita puisi limerik ini yang fokus kepada *bapa. Binaan ayat yang mudah dan bersahaja. Kuplet pendek menepati tujuan rumusan.
Bentuk binaan dengan patrun yang sesuai berserta rima sempurna yang menepati struktur puisi limerik. Limerik ini mempunyai "kesan terbalik" atau "reverse effect" dari sudut pembacaan.
-----------------------------------------------------------------
Pemenang Ketiga
[03] ❤ BUJANG TERLAJAK (Rina Chundau)
Bujang terlajak menginjak senja
hidup sendiri jimat belanja
dara idaman
sudah berteman
kempunan rasa ingin bermanja
Bekerja kampung mengambil upah
memotong rumput, menyapu sampah
tak kira masa
mencurah jasa
bimbang sawan diterpa sesumpah
Ayah dan ibu telah tiada
kadang nangis di bucu beranda
enggan berbini
sehingga kini
jadah memilih tolak yang janda
Pemilihan tajuk yang sesuai dengan isi puisi limerik yang tertumpu pada si *Bujang. Bentuk puisi menepatin patrun puisi limerik serta rima sempurna yang sesuai. Kuplet pendek menepati tujuan rumusan.
Frasa penegasannya memberi impak yang sesuai dengan tajuk seperti; kempunan bermanja, *sawan diterpa sesumpah, dan *tolak yang janda - sebagai pilihan jodoh terakhir mungkin.
-----------------------------

Sunday, 19 June 2022

SEJUTA RAHSIA

 ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU…SELAMAT HARI BAPA!
.



Alhamdulillah kakpidah terima tiga buah antologi, hadiah penulis mapan prolific sasterawan cikgu Hayati Daud pada pertemuan akhir Syawal lalu. Terima kasih banyak sahabat baik berbudi mulia kesudiannya. Didoakan semoga cikgu Hayati dalam lindungan Allah bersama family tercinta, murah rezeki, dipermudahkan Allah semua urusan dunia akhirat…amiin
Buku pertama antologi PANTUN PULAU PANDAN JAUH KE TENGAH amat menarik nukilan 15 penulis terkenal tanah air, selenggaraan ACJafrie penerbitan PENA PADU. Pantun puisi tradisi Melayu bersemarak digubah indah dalam antologi ini dengan gabungan sampiran dan maksud yang bersesuaian.
Memetik serangkap pantun Hayati Daud;
Si pokok birah si pokok tebu,
Dimakan lembu habis semua;
Sayangnya ayah kepada ibu,
Sayangnya ibu kepada semua.
Antologi puisi SEJUTA RAHSIA ialah karya sajak hasil nukilan 20 penyair termasuk juga cikgu Hayati. Ternyata sajak bermakna dan puitis semuanya terbitan HIKARYA merupakan buku kedua hadiah cikgu Hayati kepada kakpidah.
Dan NASI LEMAK SAMBAL BILIS buku ketiga hadiah cikgu Hayati menghimpunkan coretan kenangan 41 penulis bersama emak masing-masing serta keluarga disamping berkongsi resepi makanan kegemaran. Tebal sekali buku terbitan Writers Write Services selenggaraan editor pengurusan Puan Sri Diah Shaharudin.
Tahniah semua penukil, penyelenggara, penerbit buku-buku berkenaan. Sekiranya teringin memiliki karya sastera berharga ini sebagai khazanah warisan, sila hubungi cikgu Hayati Daud @facebook.

Saturday, 18 June 2022

GARAM JATUH DI AIR

 ASSALAMUALAIKUM


SELAMAT BERHUJUNG MINGGU



Belanak naik batu tergolek,
bayang selangat timba sedia;
bak anak baik menantu molek,
hidup yang sangat berbahagia.
.
Mengganti param sentuh mencair,
melihat adik jadi kesima;
seperti garam jatuh di air,
nasihat baik yang diterima.
.
Cermat menajin sisihkan reja,
kobis dicampak terhenti tiung;
teramat rajin lakukan kerja,
bak habis kapak berganti beliung.
.
Gara di para terhentak bahu,
getah bidara minyak sapukan;
berpura-pura konon tak mahu,
bak patah selera banyak makan.

Friday, 17 June 2022

SURAH AN NISSA (WANITA) Muka Surat: 102

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



SURAH AN NISSA (WANITA)
Muka Surat: 102


 Jumaat petang 10 Jun 2022. Allah jentik dengan sedikit ujian. Aku jatuh tertiarap, kaki kiri terseliuh, tapak tangan dan lututku berdarah luka . Telefon bimbit jatuh terhempas.

Hari ni Selasa petang, 14 Jun 2022. Alhamdulillah kesakitanku telah sembuh walau tidak sepenuhnya. Kugagahkan diri hadir ke Pusat Tarbiah Muhammadi Kampung Pak Wong (desaku) untuk berkongsi ilmu. Mengajar tafsir / tadabbur, sambungan surah An Nissa.
PERKONGSIAN ILMU:
SURAH AN NISSA (WANITA)
Muka Surat: 102
Ayat: 148 - 154.
PENGENALAN: Dalam surah An-Nissa, Allah membongkar sifat-sifat Munafik.
Dalam surah Al-Baqarah, Allah membongkar sifat-sifat Israel (Yahudi) dan
Dalam surah Ali Imran, Allah membongkar sifat-sifat Nasoro (Keristian). Orang-orang Munafik adalah orang Islam, tetapi hatinya munafik. Hanya Allah yang tahu. Iaitu golongan orang Muslim tetapi kefahamannya bercanggah dengan wahyu (al-Quran). Fahaman dalam kalangan orang Islam, mungkin ada yang betul, ada yang salah. Maka ukurannya mana yang betul, mestilah berpandukan wahyu Allah (al-Quran). Allah seksa kamu bukan kerana kamu kufur, tetapi kerana kamu bercanggah dengan arahan Allah.
Ayat 148 - 152: Jangan Sebar Kisah Buruk Orang.
Ayat 148: Allah tidak suka, seseorang yang bersuara lantang menyebut perkara-perkara buruk. Tidak boleh sangka buruk atau mencela. Tidak boleh menuduh orang lain, tanpa bukti atau mengumpat. Tidak boleh memfitnah. Jangan jadi macam munafik, dengar sahaja berita terus sebar. Kecuali jika kita dizalimi, bawa kepada hakim atau penguasa tentang keburukan-keburukan orang yang menzalimi. Hanya Allah yang mengetahui kezaliman itu, betul atau tidak. Sesungguhnya Allah itu SYAMIAN Yang Maha Mendengar dan Allah itu ALIMAN Yang Maha Mengetahui.
Ayat 149: Hiduplah dengan kebaikan, tiada kebaikan sehebat wahyu! Begitulah kehidupan para sahabat, manusia-manusia yang Allah pilih untuk sebarkan wahyu. Boleh zahirkan kebaikan tetapi menyembunyikan kebaikan itu lebih afdhal. Tentang dosa, jangan cerita kepada orang. Memaafkan kesalahan orang lain. Tutup keburukannya. Jika kita maafkan kesalahan orang lain, Allah maafkan kita. Sesungguhnya Allah itu Affuwan, Yang Maha Pemaaf dan Qodiran, Yang Maha Kuasa.
Ayat 150: Ini adalah ayat teguran kepada ahli kitab. Mereka kononya beriman kepada Allah, tetapi tidak beriman kepada rasul-rasul. Tidak ikut kitab al-Quran, contoh menyatakan Allah ada sifat makhluk, ini adalah SYIRIK. Golongan Israel (Yahudi) beriman dengan Nabi Musa as, menolak Nabi Isa as dan Nabi Muhammad saw. Golongan Nasoro (Keristian) beriman kepada Nabi Isa as, menolak nabi-nabi lain terutama Nabi Muhammad saw. Ambik sebahagian, tolak sebahagian. Antara keduanya lahirlah berbagai fahaman dan mengada-adakan sesuatu.
Ayat 151: Mereka yang mempunyai fahaman seperti ayat di atas, di sisi Allah, mereka kafir. Orang yang menolak satu sahaja ayat Allah, mereka sudah menjadi kafir. Allah sediakan azab yang menghinakan di neraka kekal. Allah tidak memaafkan orang yang syirik. Semoga Allah lindungi kita.
Ayat 152: Sifat mukmin tulin, terima Nabi Muhammad saw dan nabi-nabi lain. Ikut al-Quran sepenuhnya dan percaya kitab-kitab lain; Injil, Taurat dan Zabur. Iman seperti itu Allah beri pahala. Sesungguhnya Allah itu GHOFURAN, Yang Maha Pengampun dan Allah itu ROHIMAN, Yang Maha Penyayang. Orang yang mati dalam iman dan menjaga akidah, masuk syurga. Semoga Allah pilih kita.
Ayat 153 - 154: Balasan Allah Terhadap Kedegilan Golongan Yahudi.
Ayat 153: Mereka yang tidak mahu beriman, menggunakan alasan supaya Quran turun sekali gus seperti Taurat. Allah beritahu Nabi Muhammad saw, jangan pelik. Mereka tidak beradab kepada Nabi Musa as dan tidak beradab kepada Allah. Mahu melihat Allah. Jadikan anak lembu sebagai illah (tuhan). Minta keberkatan daripada anak lembu. Mereka telah terima tauhid dan melihat Firaun tenggelam tetapi tidak meninggalkan kesan. Mereka menyembah patong anak lembu yang diperbuat daripada emas. Mereka disambar petir, tetapi Allah tidak matikan semua. Allah maafkan, dan Allah berikan kepada Nabi Musa as kekuasaan yang nyata.
Ayat 154: Oleh kerana mereka golongan yang degil dan tidak menyempurnakan janji. Allah telah mengangkat Bukit Thursina ke atas kepala mereka untuk menguatkan perjanjian, jika mereka tidak menerima perjanjian bukit itu akan menghempap mereka. Mereka terdongak ke atas kerana takut bukit tersebut. Waktu itu mereka terima. Tetapi kemudian mereka derhaka. Allah perintahkan mereka supaya masuk ke dalam Baitulmaqdis – dengan sujud. Mereka langgar. Allah menjadikan hari Sabtu hari khusus untuk beribadah. Tidak boleh tangkap ikan. Mereka langgar. Kerana kedegilan itu, kedudukan mereka sebagai orang Islam, Allah tarik balik. Pengajaran kepada kita, supaya menjaga amanah agama Islam yang telah diberi kepada kita dengan sebaiknya.

Wednesday, 15 June 2022

TUK SUJI BILANG KE RUSSIA

 ASSALAMUALAIKUM


ALHAMDULILLAH ANTOLOGI TUK SUJI BILANG TERBITAN PERPUSTAKAAN NEGERI PAHANG SELENGGARAAN PENYAIR ROSLAN MADUN MENGHIMPUNKAN KARYA SYAIR PENULIS MALAYSIA ANTARANYA SN ZURINAH HASSAN, NORLAILA GHAFAR, SUJATA WEE, CT NURZA DAN BEBERAPA ORANG LAGI PENULIS MAPAN TELAH SAMPAI KE PERPUSTAKAAN LENEIKEN MOSCOW DIBAWA SASTERAWAN DR VICTOR POGADAEV..

PI MENYIBUK JUGA DENGAN KARYA SYAIR PAHANG.




Tuesday, 14 June 2022

CUTI TERKEJUT

 ASSALAMUALAIKUM

Rabu minggu lepas PI ngekor anak n cucu-cucu ke Kuantan. Kebetulan anak ada urusan kerja dengan jabatan laut/maritim di situ. Mungkin berkenaan projek PAKATAN ARKITEK yang ditangani anak dan rakan setugasnya. PI bukan tahu apa pun. Sampai di Kuantan, pusing-pusing dulu ke Tanjung Lumpur sebelum check in hotel OYO. Keesokannya selesai anak bermesyuarat di jabatan laut terus bersiap check out.
Sudah berada di Kuantan ronda dulu pantai berhampiran Tanjung Lumpur, Peramu, Sg. Karang. PI mengajak anak menghala ke Kemaman melalui jalan pantai melintasi pantai Batu Hitam, Batu Sembilan hingga pantai Chendor. Dulu-dulu kakpidah sekolah SMART Kuantan selalu juga ikut kawan-kawan jalan-jalan area sini. Tapi tak pernah sampai pantai Chendor. Sempadan Pahang dan Terengganu di sinilah.
Sangat indah suasana pantainya. Teruja hendak berlama di sini terpaksalah bermalam. Puas pula anak-anak google penginapan. PI teringatkan along NURIMAS juga tinggal area sini. Cuba nasib wasap minta tolong carikan homestay. Sekali along fon, mujur anak jawab dan beritahu homestay berdekatan sini sudah ditempah. Terharu sungguh keprihatinan along. Alhamdulillah. Odelia Studio homestay amat selesa untuk lena semalaman. Luas sekali ruang tidur, dapur n bilik air. Mesra OKU memudahkan PI menolak kerusi roda sana sini.
Along fon lagi buat kejutan nak bertemu dengan PI. Alahai along! Kakpidah ni tak siap apa-apa pun cenderahati nak bertemu along kerana semata-mata mengekor anak cucu bercuti. Ralat sungguh rasa hati. Tapi Allah mengatur takdir-Nya. Subhanallah. Along bersama isteri Puan Noraini Idris bawakan kakpidah pelbagai makanan yang sedap semuanya.
Dan hadiahkan PI tiga buku karya sasterawan ini terbitan terbaru. Terima kasih banyak along n ani sudi susah-payah datang bertemu dengan PI n anakcucu. PI doakan ani n along berbahagia selalu, tiasa sihat sejahtera, murah rezeki dalam lindungan Allah, sukses dunia akhirat.
Nama Noraini Idris buat kakpidah tertanya-tanya sebab sama dengan nama seorang kawan semasa sekolah SMY dulu. Rupanya junior PI ini isteri along n juga orang Yan. Walaupun junior rasanya mesti sempat belajar dengan cikgu Fazidah, cikgu Hanisah n cikgu Robiatul kan Ani. Ralit bersembang pasal kampong dengan Ani teringat pula nak balik kampong.
Dalam perjalanan pulang singgah lagi di pantai Chendor. Kemudian berhenti lagi di pantai Mak Nik makan tengah hari n melayan cucu2 menaiki motor MPV berpusing-pusing laluan jalan pantai. Lama juga di situ. Roda kereta bergulir lagi memasuki lorong pantai Cherating dan kampong tradisi sekitarnya. Hari semakin petang.
Anak berkira-kira hendak menginap semalam lagi di Kuantan. Sibuklah menggoogle lagi. Musim cuti sekolah kebanyakan hotel telah habis disewa. Akhirnya dapatlah TCCITY COUTYARD di pantai Telok Chempedak. TC yang teramat sibuk dengan pengunjungnya. Suasananya jauh beza tika di sini hanya ada pantai dan tidak ada hotel-hotel tinggi yang menguasai keseluruhan pantai…tiada lagi dibenarkan sesiapa bermain-main di pasiran pantai melihat ombak.
Masih awal pagi anak memandu kereta menyusuri pantai Tanjung Api dan meluncur ke jalan lama melintasi Gambang hingga Maran menghala Temerloh n memasuki jalan Chenor. Kakpidah ajak anak-anak singgah sebentar di tebing sungai Pahang melihat rumah rakit yang diusahakan cikgu Khair n cikgu Mi. indah sekali suasana perkampungannya. Sebentar saja di sini terus beransur pulang ke Serendah.
Sampai di rumah bermulalah kerja penulisan..nak review buku Along, buku cikgu Yati, buku bunda Anie Din, buku Sifu TA, buku SPTA ..