Tuesday, 5 April 2022

BUDI BAHASA

 ASSALAMUALAIKUM



BUDI BAHASA
.
Sepantun syair budi bahasa,
tandanya kita orang berbangsa,
hidup di kota atau di desa,
adab dijaga senantiasa.
.
Budi bahasa disanjung tinggi,
bijak bestari menambah lagi,
berbuat baik pelbagai segi,
sifat mulia tidaklah rugi.
.
Budi bahasa budaya kita,
warisan lama sudah tercipta,
didikan diri mencapai cita,
walau ke mana arah merata
.
Budi bahasa insan budiman,
ambil yang benar jadi pedoman,
mudah berkawan atau berteman,
tidak bermusuh hidup pun aman.
.
Cerminan jiwa citra terserlah,
budi bahasa bukan masalah,
pekerti murni sifat terolah,
hanya semata kerana Allah.

Karangan syair sekadar wadah,
puisi lama susun kaedah,
moga beroleh akan faedah,
sampai di sini berakhir sudah.


PARIDAH ISHAK
Desa Melor Serendah
5/04/022

10 comments:

  1. Tanpa budi bahasa manusia jadi sombong

    ReplyDelete
  2. Budi bahasa sangat-sangat penting kan kak. Lambang akhlak juga.

    ReplyDelete
  3. salam Ramadan Mubarak buat Kak PI, cantik bait-bait pantun kak Paridah,memang benar adab dan budi bahasa kini makin terhakis dan amat membimbangkan.. khasnya di dunia sosialmedia..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ana, ni amilah, sk serundum. kau buat apa kat sini? baca puisi ya...

      Delete
  4. Assalamualaikum kak paridah, moga sentiasa berada dalam kesihatan yang baik.
    Ahli bidalan mengukir kata: “Tanda orang berbudi bahasa, apabila bercakap tahukan rasa”.

    ReplyDelete
  5. pantun yang indah, seindah sifat berbudi bahasa itu sendiri

    ReplyDelete
  6. kaya budi bahasa terjaga personaliti dan sikap

    ReplyDelete
  7. budi bahasa perhiasan peribadi

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”