Friday, 14 January 2022

TRAGEDI ATIE......

 

ASSALAMUALAIKUM

 SALAM JUMAAT MULIA

TRAGEDI ATIE

.


Atie anak saudara adik iparku. Tinggal bersama paktok dan maktoknya sedari kecil, sekampung denganku. Dia menyelesaikan persekolahan peringkat rendah dan menengah di sini. Emak ayahnya tinggal di sebuah kampung felda berhampiran. Seorang gadis remaja yang cantik dan baik budi pekertinya.

Dia rapat juga dengan adikku yang dipanggilnya maklang. Kadang dia akan menemani maklangnya yang memandu kereta menghantarku beruurusan di bank. Dia yang akan memimpinku berjalan perlahan memasuki bank. Aku terhutang budi akan kebaikannya.

Atie mendapat pekerjaan di sebuah agensi kerajaan lalu bertemu jodoh dengan teman sepejabatnya. Perkahwinan yang bahagia sehingga dikurniakan seorang cahaya mata. Tragedy menyayat hati berlaku tika dia melahirkan anaknya yang kedua. Tiba-tiba berlaku komplikasi kerana hipertensi yang amat tinggi tika dia hendak melahirkan anaknya yang kedua. Dia terus koma. Kalau aku tidak silap dalam tahun 2006.

Dia dibawa pulang ke rumah emak ayahnya kerana maktoknya telah meninggal dunia. Dan paktoknya semakin uzur justeru faktor usia dan pelbagai masalah lain. Ayah dan emaknya yang menjaga anak kecil itu bersama suaminya. Usaha merawati untuk menyedarkannya dilakukan selalu oleh keluarganya. Masa berganti masa harapan emak ayah, suaminya, anak-anaknya untuk melihat Atie sedar dari koma tidak pernah putus. Dan kudoakan afiahnya. Lantaran kisah itu telah sekian lama terjadi aku sangkakan Atie telah pulih sediakala.

Akupun menanyakan adikku via wasap tentang Atie. Jawapannya mengejutkanku.

Rupanya Atie masih koma. Bukan hampir sebulan sepertiku alami tika eksiden 1987. Tapi berbelas tahun lamanya.  Paktok dan ayahnya telah meninggal dunia. Emak dan adik beradiknya terus menjaganya sepenuh daya. Anak yang dilahirkan tika dia alami komplikasi membesar dengan sihat. Telah juga meninggal dunia. Wani yang sering membantu emaknya menguruskan Atie juga telah meninggal dunia. Masya-Allah. Anak sulung Atie sudah remaja kini tinggal bersama bapanya yang telah berkahwin lagi.  Kisah Atie menyentuh hatiku. Aku doakan semoga Atie segera pulih sedar dari koma yang lama. Allah itu Maha Penyembuh segala penyakit yang berada di langit dan di bumi…amiin. Besar ujian-Nya mengganjari Ros, insya-Allah (bukan dinda makruss) seorang ibu yang tabah berkorban apa saja mendepani susah payah demi Atie anak kecintaannya.

Dulu ada siri drama TV disiarkan TV3 lakonan Isma Aliff dan Shamsul Ghau Ghau mengisahkan watak seorang yang koma tahun 70-an dan sedar tahun 2000-an terbawa dengan gelagatnya suka berdisko menari tarian John Travolta. Aku fikirkannya Cuma karya kreatif penulisnya. Sebenarnya memang ada logiknya setelah aku melihat Atie begitu walau Atie masih koma.

enta

5 comments:

  1. semoga dipermudahkan urusan keluarga Atie..

    ReplyDelete
  2. Ya Allah... saya ingat hanya cerita dalam filem saja, rupanya memang wujud cerita begini di dunia nyata. Atie... bangun Atie!

    ReplyDelete
  3. Lamanya dia koma
    Semoga ada harapan untuk sembuh

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik
    Allahu, sebak saya membaca coretan ini. Besarnya ujian kepadanya. Jauh di sudut hati saya mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan yang tiada kesakitan selepasnya kepada Atie.. serta memberikan kesabaran kepada keluarganya

    ReplyDelete
  5. Lamanya dia koma kak PI. Harap dijaga dengan baik. Kasihan jugak bila dia sedar nanti keadaan dah banyak berubah. Ahli keluarga pun ramai dah meninggal. Alahai

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”