Saturday, 4 December 2021

SURAH 18: AL-KAHFI (GUA) Muka Surat: 300 - 301 . Ayat: 60 – 65

 ASSALAMUALAIKUM





PERKONGSIAN ILMU: SURAH 18: AL-KAHFI (GUA)
Muka Surat: 300 - 301 . Ayat: 60 – 65.
KISAH KETIGA: FITNAH ILMU IAITU UJIAN KEPADA ORANG YANG MENUNTUT ILMU DAN ORANG YANG BERILMU – KISAH NABI MUSA A.S MENCARI ILMU.
Pengenalan:
Nabi Musa as pernah ditanya oleh umatnya: Adakah orang lain yang lebih pandai daripada baginda? Baginda menjawab, dialah yang paling pandai. Sebagai seorang nabi, pasti dia paling bijak dalam kalangan umatnya. Jawapan baginda tidak disertai “Wallahu ‘alam (Allah yang lebih mengetahui). Kerana tidak sebut kalimah tersebut, Allah uji baginda. Allah beritahu Nabi Khidir lebih pandai daripada Nabi baginda.
Mengetahui perkara itu, Nabi Musa a.s ingin belajar dengan Nabi Khidir. Nabi Khidir telah diberi mukjizat mengetahui ilmu ghaib. Sehingga sekarang ada amalan menyeru Nabi Khidir, sedangkan baginda adalah hamba Allah. Tidak boleh diseru sebagai perantara atau wakil Allah, kerana baginda telah wafat.
Ayat 60: Nabi Musa a.s mengembara mencari Nabi Khidir untuk menuntut ilmu. Baginda ditemani anak muridnya yang menjadi pembantunya iaitu Yusyak bin Nun. Nabi Musa a.s telah berkata kepada pembantunya, bahawa baginda tidak akan berhenti berjalan, sehingga berjumpa dengan pertemuan dua laut. Iaitu pertemuan air laut masin dan air laut tawar. Mengikut Tafsir Jalalain, antara Laut Romawi dan Laut Parsi. Nabi Musa a.s nekad mencari Nabi Khidir untuk menuntut ilmu. Walaupun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun, perjalanan tetap diteruskan.
Ayat 61: Apabila mereka sampai di suatu tempat, Nabi Musa a.s tertidur kerana sangat letih dan penat. Yusyak melihat ikan kering yang telah dimakan separuh, melompat keluar daripada raga bekalan makanan. Ikan itu kembali hidup melompat masuk ke dalam air laut. Dia tidak terkejut, kerana kejadian luar biasa adalah biasa baginya. Sebelum itu Nabi Musa a.s telah beritahu; Jika berlaku sesuatu yang luar biasa kepada ikan kering bekalan mereka, itulah tempat yang mereka cari. Tetapi Yusyak terlupa perkara itu. Nabi Musa a.s tidak nampak peristiwa itu kerana sedang tidur.
Ayat 62: Setelah Nabi Musa a.s terjaga daripada tidur, mereka meneruskan perjalanan. Yusyak terlupa untuk memberi tahu kepada Nabi Musa a.s peristiwa ganjil, ikan kering hidup balik dan melompat ke dalam laut. Apabila berasa lapar, baginda berhenti rehat dan meminta Yusyak mengeluarkan bekalan makanan mereka.
Ayat 63: Yusyak menjelaskan bahawa ikan bekalan mereka telah melompat dan masuk ke dalam air laut. Dia lupa memberi tahu kepada Nabi Musa a.s., ketika baginda tidur di tepi batu-batu besar tadi. Yusyak menjelaskan pastinya syaitan yang melupakan dirinya. Kerana mencari ilmu, syaitan tidak suka. Dia juga memberi tahu, ikan itu melompat ke dalam air dengan cara yang sangat aneh membuat terowong di atas laut. Kalau kita lupa, bacalah ISTI’AZAH, syaitan akan lari dan kita akan ingat semula.
Ayat 64: Mendengar kata-kata Yusyak, Nabi Musa a.s mengajak pembantunya berpatah balik ke tempat tersebut. Baginda menjelaskan, itulah tempat yang mereka cari. Mereka menjejaki semula bekas-bekas tapak kaki mereka. Akhirnya mereka menemui terowong ganjil di atas laut yang tidak tertutup. Kemudian kedua-duanya masuk ke dalam terowong tersebut dan berjalan hingga sampai ke sebuah pulau.
Ayat 65: Nabi Musa a.s dan pembantunya menemui Nabi Khidir di pulau tersebut. Allah memberikan mukjizat ilmu laduni (takwini) kepada Nabi Khidir. Baginda dapat mengetahui kejadian yang akan berlaku sekadar yang diberitahu oleh Allah. Ilmu ini tiada hubungan dengan pahala dan dosa. Ilmu ini tidak penting. Yang penting ilmu syariat.

3 comments:

  1. Terima kasih kak PI perkongsian. banyak pengajarannya.

    ReplyDelete
  2. Wkmsalam
    Baca tafsiran barulah kita faham maksud ayat2 Al-Quran

    ReplyDelete
  3. terima kasih atas perkongsian kak PI

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”