Tuesday, 21 December 2021

LAGU BANJIR

 ASSALAMUALAIKUM


LAGU BANJIR



Bergema lagu itu di corong radio suatu ketika. Kalau tidak silap ‘Lagu Banjir ’ dinyanyikan, Harun Salim Bacik. Lagu yang asyik juga didengari.
‘Eh banjir bukan untuk dinyanyilah!’ bisik hatiku pula mulai sedar diri.  Banjir adalah  musibah yang tidak diingini kerana datangnya menyebabkan kerosakan, kemusnahan harta benda dan kadangkala kehilangan nyawa.
'
Dan  tengkujuh bermusim lagi tanpa pernah berselang tahun. Negeri-negeri yang sering dilanda banjir seperti Pahang, Terengganu,  Kelantan, Johor, kini mulai dinaiki air setelah hujan seharian sejak semalam. Tahun ini banjir merata seluruh negara. Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah turut dilanda banjir. Pusat Pemindahan Sementara banyak dibuka untuk menampung mangsa banjir terlibat. Angka korban akibat banjir tinggi jumlah dilaporkan media. Tidak seperti banjir yang berlaku selalu hanya melibatkan negeri-negeri yang terletak di pantai timur sahaja.


Memandang hujan yang turun tidak berhenti, sekejap lebat sekejap renyai amat merisaukan. Bimbang sangat air mendadak naik dan tidak sempat bersedia apa-apa untuk menyelamat diri, harta benda atau dokumen penting.


Sebelum pernah mengalami banjir, aku pernah berkata kepada seorang rakan yang sama-sama mengikuti kursus penulisan DPMP di Temerloh, ingin sekali merasai banjir. Beliau  memarahiku,  memasang niat begitu,

 "awak tak tahu betapa susahnya kami menghadapi banjir besar pada tahun 70 dulu. Air  naik sampai ke bumbung dan kami ayam, itik, kambing pun naik ke bumbung menunggu bantuan penyelamat. segala apa yang ada dalam sedih koi nengok rumah kawan-kawan habis hanyut...nasiblah umur koi panjang nak selamat, boleh berjumpa dengan awak hari ini sebab tak hanyut dalam banjir tu.”
Dahsyat sungguh pengalaman rakanku itu menghadapi banjir yang melanda kampungnya yang terletak di tebing sungai Pahang itu. Membuat  aku terdiam dan tidak berani bercakap tentang itu lagi.  Menyesal pula aku celupar bertanya.

2007, tika aku sedang berkursus penulisan anjuran DBP di hotel Dynasty Kuala Lumpur, seorang jiran menelefon memberitahu rumahku dan yang lain dinaiki air akibat hujan lebat yang membawa lumpur dan segala sampah sarap menerjah kawasan kampung hingga menyebabkan tembok pagar bersimen tinggi rumah jiranku  pun runtuh.

Aku  tidak dapat segera pulang membersihkan rumah daripada lumpur dan kotoran menyebabkan banyak perabot terendam dalam air, mesin basuh, peti ais habis rosak dan terpaksa dibuang termasuk buku-buku yang terisi di dalamnya.

Semenjak peristiwa itu setiap kali hujan turun dengan lebat hatiku menjadi bimbang dan tidak senang duduk kerana memang pasti terpaksa menghadapi banjir lagi. Hampir  puluhan tahun aku tinggal di sini, tidak pernah merasa banjir sekali pun.

Kini kejadian banjir sudah jadi fenomena setiap kali hujan turun dengan lebat di kampungku. Dan pihak FELDA yang  mentadbir pengurusan kampungku siaga memberi bantuan yang diperlukan. Aku pernah menaiki land rover FELDA pengurus rancangan pada suatu malam kerana rumuahku dinaiki air sedalam dua kaki dan dikhuatiri air akan naik lagi.

Mungkinkah  disebabkan tsunami yang berlaku pada 2004 menyebabkan perubahan iklim di rantau sini menjadikan hujan mencurah terlalu lebat sehinggakan tempat yang selama ini tidak dijangka akan banjir berlaku sebaliknya. Hanya Allah yang Maha Tahu setiap sesuatu yang berlaku akan rahsia hikmahnya.

Subhanallah . Hanya  Allah yang Maha Tahu apa jua rahsianya dan kita doakan negara kita terhindar daripada bencana yang tidak diingini. Aamin!


 


5 comments:

  1. oo..ada lagu banjir jg..semoga dipermudahkan urusan mereka yg terlibat dgn banjir..

    berat mata memandang, berat lg bahu yg memikul..

    ReplyDelete
  2. Semoga banjir yang melanda segera surut. Mangsa dapat pulang ke rumah masing-masing juga.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah kak PI dan keluarga selamat sebab kawasan Serdang banyak sungai. Semoga mangsa banjir tabah dan mendapat bantuan untuk meneruskan khidupan

    ReplyDelete
  4. saya pun ingat lagi lagu tu, selalu ada masa kecik2.. Kak PI, take care walau di mana berada ya kak :)

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”