Friday, 17 September 2021

TIGA KUPANG

 ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



TIGA KUPANG

 

Aku kalut bersiap ke sekolah sebaik kawanku Cik Romah memanggilku di tangga rumah. Rumah kawanku itu di tepi laut. Dan dia akan berjalan melalui batas bendang ke rumah Atukku. Kemudian kami akan mengatur langkah susuri ban tali air hingga sampai ke jalan besar, untuk menunggu bas  yang akan membawa ke bandar Yan. Kami bersekolah menengah di situ. Jarak antara rumah Atukku ke jalan besar melebihi dua kilometer. Jauh juga.  Memang penatlah berjalan pada awal pagi walaupun panas mentari tidak terasa sangat bahangnya..

Bas yang dinanti telah tiba. Aku dan kawanku bergegas menaikinya. Sebaik duduk di atas seat, konduktor bas menghampiri, meminta duit tambang sambil menghulur tiket yang siap diketip nilai sekupang destinasi kami. Aku pun membuka kotak gometri Oxford hendak mengambil duit diberi Atukku. Biasanya Atukku beri tiga kupang untuk belanja ke sekolah. Sekupang untuk bayar tambang bas hala pergi. Sekupang untuk bayar tambang bas hala balik. Sekupang lagi untuk beli makanan.

Aku terkejut mendapati duit yang dicari tiada di situ. Rupanya aku terlupa mengambil duit tiga kupang yang diberi Atukku. Perasaanku kacau. Serba salah sungguh. Malu pula. Apa aku nak buat ni? Cik Romah selamba saja membayarkan tambangku. Aku berterima kasih kepadanya sudi menolongku saat terdesak begitu. Dan akan membayar hutangku sebaik tiba di rumah balik dari sekolah nanti.

Di sekolah kala  loceng rehat berdering aku tidak keluar kelas ke kantin. Sendirian saja di dalam kelas menikmati keriuhan ritma keroncong orkestra perut kosong. Kelaparan. Kebiasaannya memang begitu pun. Makanan yang dijual di kantin sekolah mahal harganya. Tidak cukup duit sekupang untuk membelinya Kalau tidak terlupa tadi dapatlah kugunakan duit sekupang untuk membeli makanan buat mengalas perut tika balik sekolah di gerai perhentian bas. Lima duit biasanya kubeli ais kepal dan lima duit lagi kubeli mihun goreng.   

Risauku berkecamuk lagi. Bagaimana nak balik nanti sedangkan duit tambang basku tiada. Takkan aku nak harapkan pada kawanku lagi membayarkannya. Aku tawakal saja menaiki bas buat muka sekupang. Mustahil  aku nak bermalam di sekolah.

Tika  konduktor bas menghampiriku, seorang rakan sekolah bersebelahanku tolong membayar tambangku. Mungkin dia perasan aku tidak berduit lantaran tidak menghulurkan duit yang diminta. Siew Ming sekampung denganku. Tapi aku tidak kenalinya dengan rapat kerana dia dalam tingkatan lima aliran Inggeris sedangkan aku baru tingkatan satu aliran kebangsaan. Alhamdulillah Allah menghantar bidadari-Nya menolong kesusahanku.

Ibu Siew Ming dikenali sebagai nyonya keturunan baba peranakan seorang peramah dan disenangi masyarakat kampungku.

Terima kasih Cik Romah, terima kasih Siew Ming kerana tiga kupang, menggunung budi ukhuwah kenangan abadi.didoakan kalian dalam rahmat perlindungan Allah…amiin..

 


5 comments:

  1. Macam ibu sedara saya, bila dapat pertolongan saja, beliau cakap Allah swt hantar malaikat tolong dia, manakala ibu saya pula, cakap, menantu2 Allah yang hantar tu syukur,. Dulu geometri original, jenama terkenal Oxford.. Semangat muhibbahb tu tolong menolong 3 kupang..

    ReplyDelete
  2. Teringat lagu 3 kupang..
    Budi baik takkan kita lupakan ya kak... betapa dengan duit tu membantu kita walaupun nilainya kecil...diingat sepanjang hayat

    ReplyDelete
  3. Tiga kupang, terus nyanyi dalam hati PC.

    ReplyDelete
  4. kisah yang menarik kak Pi. dulu 3 kupang pun besar nilainya

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”